7 IPT sertai peraduan baca puisi

KOLEJ Aantarabangsa Teknologi Lanjutan Lanjutan Sarawak akan mewakili Sarawak ke Peringkat Akhir Peraduan Baca Puisi Pelbagai Kaum Peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta Ke-8 peringkat kebangsaan.

Ini ekoran kolej berkenaan muncul johan pertandingan sama peringkat Zon Sarawak yang diadakan di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak baru-baru ini.
Dengan kemenanga itu, mereka menerima RM1,000 dan sijil. Sementara itu, Universiti Teknologi MARA Sarawak muncul naib johan dan menerima RM700 dan sijil menewaskan Institut Perguruan Batu Lintang (IPBL) di tempat ketiga yang menerima RM500 dan sijil.

Anugerah Deklamator Terbaik pula dimenangi oleh Howard Wyler Philip dari Kolej Twintech Sarawak. Dia menerima RM150.00.

IPT lain yang turut serta ialah Institut Perguruan Sarawak, Miri, Institut Perguruan Tun Abdul Razak, Universiti Putra Malaysia dan Kolej Twintech Sarawak.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Mantan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Zaini Oje. Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Abang Pathdeli Abang Muhi dan Zasran Abdullah turut hadir.

Peraduan baca puisi itu yang merupakan anjuran DBP dengan kerjasama IPT Awam dan Swasta pertama kali diperkenalkan pada 2001 dan telah memperlihatkan peningkatan dari segi jumlah penyertaan dan mutu persembahan.

Sementara itu, Abang Pathdeli Abang Muhi yang juga selaku Ketua Panel Hakim dalam ulasannya menjelaskan, sebanyak tujuh pasukan telah menyertai peraduan itu yang mengetengahkan puisi tradisional dan moden.

“Semua pasukan telah menunjukkan persembahan yang bertenaga, memuaskan dan baik. Diharapkan pada masa akan dating, lebih banyak IPT Awam dan Swasta menyertai peraduan ini, agar lebih meriah.”

Katanya, “Sebenarnya pasukan yang tidak menang tidak kalah dengan pasukan lain. Cuma kita tidak bernasib baik. Markah yang diperoleh untuk membezakan pemenang tidak banyak.”

Rata-rata peserta jelasnya, melakukan kesilapan dari segi tertinggal baris-baris tertentu, yang sekali gus menjelaskan tidak ada pertautan antara rangkap dalam puisi.

“Deklamator tidak boleh menambah perkataan tertentu. Kita mesti mengikut teks asal. Dan, tidak ada pengulangan yang sengaja kita buat.

“Sementara itu, vokal dan sebutan dibayangi. Suara dan muzik latar jangan terlalu tinggi,” katanya.

Seterusnya, peserta katanya, dinasihatkan agar mewujudkan hubungan dengan penonton.

“Jangan asyik pandangan lantai sahaja. Hubungan dengan penonton itu penting untuk menyampaikan puisi kepada penonton.

“Nada untuk puisi patriotik yang sememangnya bersemangat pula tidak boleh diubah dengan menggunakan nada melankolik yang mendayu-dayu.”

(Utusan Sarawak, 14 Ogos 2008)

No comments: