Persuratan kebangsaan guna bahasa Melayu

PERSURATAN kebangsaan termasuklah kesusasteraan kebangsaan, dan tulisan atau penerbitan yang menggunakan bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan, kata Zaini Oje yang pernah membentangkan makalahnya, Permasalahan Bahasa, Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan Dalam Konteks Perkembangan di Sarawak tidak lama dahulu.

“Ada dua hal saya perhatkan di Sarawak ini, penghasilan dan penerimaannya. Dari segi penghasilannya, kita mahu keterlibatan penulis dari pelbagai kaum,” katanya.

Tentulah itu jelasnya, akan melahirkan realiti sebenarnya di Sarawak khususnya dan di Malaysia amnya, dengan pelbagai tema dan pemikiran serta gambaran. Ini juga dapat melahirkan pelbagai teknik penulisan.

“Kita mahu satu negara, negara Malaysia. Banyak perkara dan peristiwa di Sarawak ini yang dapat mengisi persuratan kita: asal-usul nama tempat, puisi rakyat, adat resam, kepercayaan, amalan, dan pelbagai pesta.

“Juga, tempat memancing, sejarah, pengalaman peribadi, pengalaman dan pelbagaia spek flora dan fauna yang tampaknya banyak ditulis oleh orang dari luar negara dan dalam bahasa mereka.”

Menurutnya, mungkin juga dalam koteks kini, seseorang penulis lebih gemar menulis dalam bahasa antarabangsa, khususnya bahasa Inggeris, kerana keluasan pembacaan dan perkiraan ekonominya.

Baginya, itu boleh dilakukan, tetapi pengutamaan bahasa Melayu tetap menjadi pegangan.

“Kita menghormati orang China, Jepun, orang Perancis dan sebagainya dalam hal ini. Seingat saya tidak tertulis di mana-mana karya itu dianggap kebangsaan jika tertulis dalam bahasa Melayu yang asalnya.”

Namun dapat difahami bahawa sesebuah karya khususnya karya kreatif daripada pelbagai genre yang asalnya dicipta untuk disiarkan dalam bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan dianggap sebagai karya kebangsaan.

Jika karya tersebut tercipta dalam bahasa lain dianggap sebagai karya Malaysia kerana penulisnya orang Malaysia, dan ceritanya berkenaan orang Malaysia yang berlatarbelakangkan Malaysia.

“Dari segi negeri pula, kita memang mahu menghormati dan cinta pada negeri sendiri, tetapi sikap kita masih parokial atau ‘kenegerian’ itu yang menyebabkan kita tidak mengenali langsung negeri lain dari segi sejarahnya, flora dan faunanya yang menyebabkan integrasi nasional kita lambat terlaksana.”

Dikatakan bahawa para tokoh di Sarawak ini dalam apa juga bidang, masih mengutamakan buku dan majalah dalam bahasa lain, khususnya bahasa Inggeris.

“Pernah saya lihat sendiri satu dua sahaja karya persuratan dalam bahasa Melayu yang tersimpan di rak buku tokoh tertentu. Lalu kita mengaitkannya dengan yang berlaku di kedai buku.

“Di sana pun sangat sedikit buku dalam bahasa Melayu. Kita harus fikir sendiri tentang pengisian rak buku kita: harus ada perimbangannya lantaran kita dapat menguasai bahasa tersebut.

“Pernah juga saya terdengar sendiri para tokoh kita yang berbual bahawa mereka kurang faham faham bahasa Melayu kini kerana banyak katanya yang tidak mereka faham. Andaian saya kerana tokoh tersebut tidak membaca banyak karya dalam bahasa kebangsaan kita.”

Timbul pula interpretasi yang dikaitkan dengan persoalan kebudayaan. Contoh yang paling jelas ialah soal interpretasi yang berlebihan dalam karya seperti drama, cerpen, novel dan tarian.

Dalam drama dan fiksyen jelasnya, terlalu banyak kata tempatan, misalnya kata Iban yang tiada relevannya dengan cerita.

Demikian juga dalam tarian yang dipersembahkan di pentas. Berlaku interpretasi yang berlebihan erti ‘pertemuan di muara’.

“Inilah yang tercakup dalam permasalahan kebudayaan kita kini. Kita mabuk dalam hedonisme Barat. Kita terpedaya oleg hegemoni Barat. Tiada penyelesian secara mendadak, tiada ‘ubat’ dalam jangka pendek.

“Memang ada usaha kita melalui pelbagai jabatan, organisasi dan program, tetapi pada waktu yang sama kita berdepan dengan pelbagai tekanan yang berkaitan dengan perolehan untung dan pengejaran kedudukan sosial,” tambahnya.

(Utusan Sarawak, 28 Ogos 2008)

2 comments:

wandy@poet said...

salam...
Saya sebagai bakal guru Bahasa Melayu sangat berharap agar penulis-penulis bersama-sama memartabatkan Bahasa Melayu sebagai wadah yang penting dalam persuratan kebangsaan.

Awang Kata said...

Seharusnya kita tidak keliru lagi antara persuratan kebangsaan dan persuratan Malaysia.Bahasa dan peradaban suatu bangsa mustahil terpisah.Atau kita sebagai rakyat masih sukar untuk akui kita berada dalam negara berketuanan Melayu.