Pertumbuhan tradisi sastera Melayu

SASTERA Melayu ialah seni yang tua, bermula dengan sastera lisan pada awal peradaban bangsa Melayu, kemudian bertembung dengan peradaban Islam dan Barat pada zaman penjajah.

Mengulas lanjut tentang perkara ini, Jasni Matlani pada pertemuan Budayawan BIMP-EAGA tidak lama dahulu menjelaskan, sudah pasti sastera Melayu ditulis dalam bahasa Melayu tetapi perbincangan, isi dan mesej yang terdapat di dalamnya bersifat universal.

"Boris Parnickel mengatakan sastera Melayu pada zaman pra-Islam khususnya lebih bersifat dwifungsi. Pertama, sebagai alat memperkenalkan etnik yang bahasa aslinya adalah bahasa Melayu iaitu meliputi wilayah pesisir Semenanjung, Sumatera dan Kalimantan.

“Kedua, sastera Melayu sebagai perantara yang memperkenalkan, sama ada bangsa Melayu atau bangsa lain di Nusantara dengan khazanah sastera dunia Islam."

Fungsi itu menyebabkan sastera Melayu menjadi salah satu unsur utama daripada kebudayaan pesisir ataupun dunia Melayu dengan bahasa Melayu, sama ada lisan ataupun tulisan tersebar antara penduduk Barat pada abad ke-19 hingga awal abad ke-20 kerana mereka mendewa-dewakan unsur keaslian etnis dalam arus pemikiran romanti sdan mencela sebahagian besar kesusasteraan Melayu sebagai 'Sastera Tiruan'.

Di kawasan BIMP-EAGA, terdapat kesungguhan pihak tertentu memastikan pakatan penubuhan BIMP-EAGA memberi manfaat kepada perkembangan budaya, politik dan kesejahteraan serantau.

"Apabila memperkatakan perkembangan semasa sastera Melayu di wilayah BIMP-EAGA ini, tumpuan mestilah diberikan kepada perkembangan yang berlaku di keseluruhan wilayah yang terlibat sama di Malaysia, Indonesia, Filipina dan Brunei Darussalam.

“Tetapi dalam penjelasan mengenai sejarah kewujudan sastera Melayu di wilayah ini, kita telah diberitahu bahawa amat sukar untuk mendapatkan bahan-bahan sastera Melayu terkini terutama dari Kalimantan, Bahagian Utara Pulau Sulawesi di Indonesia dan di selatan Filipina.

"Bagaimanapun perkembangan semasa sastera Melayu di Brunei Darussalam agak mudah diikuti khususnya di Sabah sekarang, walaupun masih terdapat halangan keluar masuk buku-buku dan majalah yang diterbitkan di Brunei Darussalam ke Malaysia, tetapi hubungan dua hala yang agak baik antara penulis di Sabah dan Brunei memungkinkan kita mendapat serba sedikit maklumat mengenai perkembangan sastera Melayu di negara itu."

Perkembangan semasa sastera Melayu di Sarawak pula dalam beberapa aspek mungkin lebih baik daripada apa yang berlaku di Sabah. Walaupun Sabah dan Sarawak adalah dua buah negeri yang berbeza. Tetapi sastera Melayu di Sarawak nyata masih dapat diikuti dengan baik di Sabah.

Banyak buku yang dihasilkan oleh penulis Sarawak terutama dalam bentuk novel dan antologi cerpen yang boleh didapati dengan mudah di Sabah khsususnya yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak.

Malah sebahagian besar penulis Sabah mengetahui usaha agensi sastera di Bumi Kenyalang yang secara berterusan membina penulis, memainkan peranan dalam menerbitkan karya penulis, memasyarakatkan sastera Melayu dan membina sastera Melayu melalui keprihatinan yang tidak boleh dipertikaikan terhadap gerakan sastera yang wujud di negeri itu.

"Sementara itu, tanggapan bahawa penulis muda lebih mudah memperkatakan persoalan diri sendiri pada peringkat awal pengkaryaan bukan saja dialami di Sabah, tetapi jugd di Sarawak.

“Sebab itu karya yang disiarkan dalam akhbar di Sarawak (merujuk kepada akhbar Utusan Sarawak) kebanyakannya membawa tema kekecewaan rumah tangga, putus cinta, masalah sosial, dekadensi moral golongan muda, kegagalan mencapai cita-cita dan seumpamanya. Hal ini berlaku disebabkan kemampuan berfikir dan mencari bahan fikiran yang (belum berkembang sepenuhnya dalam diri penulis muda ini)."

Berbeza dengan penulis mapan di Sarawak yang sebahagian besarnya amat dikenali di Sabah, mereka ini jelasnya mengetengahkan persoalan yang mencabar minda pembaca.

Memang terdapat usaha yang dilakukan oleh pihak tertentu terutama yang ditunjangi oleh DBP Cawangan Sarawak dan DBP Cawangan Sabah untuk mengadakan majlis yang melibatkan penulis di wilayah BIMP-EAGA.

"Ada antara program ini melibatkan wilayah BIMP-EAGA Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan misalnya mejlis Pengucapan Puisi Wilayah-Bandaraya yang diadakan setiap tahun.

“Setiap kali acara ini diadakan pihak penganjur mengambil peluang menerbitkan sama ada antologi puisi atau cerpen yang memperkenalkan lagi penulis di wilayah yang terlibat dan langkah ini selain daripada berupaya menyebarkan pemikiran dan hasil karya kreatif ke peringkat yang lebih luas, ia juga turut menjana pertumbuhan sastera Melayu di wilayah BIMP-EAGA ini," tambahnya.

Puisi-puisi yang termuat dalam antologi yang diterbitkan sempena Pengucapan Puisi Wilayah-Bandaraya Kota Kinabalu, Kuching dan Wilayah Persekutuan Labuan jelasnya telah berjaya memikat masyarakat di wilayah terlibat sehingga aktivis sastera ini saling mengenali dan lebih mesra antara satu sama lain.

Bagi memperkukuhkan pertumbuhan sastera Melayu di wilayah BIMP-EAGA, wajar disarankan agar pihak yang terlibat perlu terus memainkan peranan dan mengadakan pelbagai bentuk kerjasama bagi membolehkan masyarakat di seluruh wilayah BIMP-EAGA ini mengenali penulis dan tradisi sastera Melayu di rantau ini.

“Majlis sastera yang melibatkan penulis dari seluruh wilayah BIMP-EAGA perlu diadakan dengan lebih kerap. Penerbitan buku dalam bentuk dan konsep yang sama mesti diterbitkan untuk kebaikan para penulis di seluruh kawasna BIMP-EAGA.

“Buku-buku yang berkaitan bahasa dan kesusasteraan Melayu yang terdapat di mana saja wilayah BIMP-EAGA dan tidak mempunyai halangan keluar masuk yang rigid, jika hendak melihat pertumbuhan tradisi sastera Melayu yang sihat di seluruh wilayah ini.

“Hubungan dua hala yang baik antara kerajaan juga perlu diambil kira kerana keputusan dan dasar yang dibuat kerajaan selakunya memainkan peranan dan memberi kesan yang tidak kecil kepada pertumbuhan dan pengukuhan tradisi sastera Melayu di wilayah BIMP-EAGA ini,” jelasnya.

Utusan Sarawak, 28 Ogos 2008




No comments: