Sekitar Pelancaran Antropologi II karya Abdillah SM
CATATAN I
BEBERAPA kali nada dering penerimaan SMS (Perkhidmatan Pesanan Ringkas) pada telefon bimbit penulis berbunyi. Setelah diamati, penulis menerima SMS daripada Abdillah SM yang cukup popular dipanggil Abang Dil. Beberapa hari kemudian, penulis menerima lagi SMS yang sama menyatakan, “Hai. Pelancaran antologi puisi 'Antroplogi II' dan album EP 'Momen' hasil karya abang akan diadakan di Godown Amphitheater Tebingan Sungai Kuching; Jumaat; 8 malam. Datang jangan tak datang!”
Sebenarnya, jarang benar penulis menerima SMS daripada Abang Dil. Jika adapun, Abang Dil memberitahu yang dia ada menghantar puisi ataupun cerpen melalui e-mel. Demi sokongan kepada rakan yang dianggap sebagai tokoh puisi di kalangan kerabat Angkatan Pengkarya Indie, penulis bersama-sama keluarga meluangkan masa menghadirkan diri. Yang pertama untuk melunaskan jemputan rakan, kedua atas faktor tugas.
Setiba di lokasi pelancaran, orang kuat Angkatan Pengkarya Indie, Yusuf Fansuri menyambut kehadiran penulis. Ketika itu, Abang Dil lagi sibuk melayani rakan-rakan penulis lain yang tidak melepaskan peluang merakam gambar bersama-samanya. Mana tidaknya, setelah lebih 50 tahun mengabdikan diri dalam dunia penulisan, baru sekarang Abang Dil muncul dengan bukunya sendiri. Itupun, pada usianya 60-an.
Melihat kepada beberapa sudut lain, ramai kalangan rakan penulis hadir memberikan sokongan. Walaupun majlis pelancarannya agak biasa, namun begitu bermakna. Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Jiso Rutan bersama-sama stafnya, Abang Patdeli Abang Muhi, Hajijah Mainol, dan Awang Zaidel Awang Jamil antara mereka yang hadirnya setelah menerima jemputan.
Tidak menghampakan jemputan, rombongan Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) yang diketuai oleh Ketua I, Mohd Taufek Firdausi, Ketua II, Dahiri Saini, Setiausaha I, Awang Zaidel Awang Jamil serta beberapa ahli jawatankuasanya. Mantan Bendahari Pekasa, Pharo Abdul Hakim turut hadir tanda sokongan.
Yang pasti, rakan-rakan Abang Dil tetap hadir sebagai sokongan – Sazali Mohamad, Zacharia Abdulmanan, Wahab Das dan ramai lagi. Walaupun majlisnya biasa-biasa sahaja, namun nampak meriah lebih-lebih hadirnya Ahli Dewan Undangan Negeri N7 Samariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali – tanda sokongan orang politik terhadap perkembangan sastera di negeri ini, khususnya di bandar raya Kuching.
CATATAN II
Walaupun majlisnya biasa-biasa sahaja, namun nampak meriah lebih-lebih hadirnya Ahli Dewan Undangan Negeri N7 Samariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali – tanda sokongan orang politik terhadap perkembangan sastera di negeri ini, khususnya di bandar raya Kuching.
Kegembiraan serta kepuasan Abang Dil menerbitkan kumpulan puisinya memang jelas terpapar pada wajahnya. Setiap saat, Abang Dil menguntum senyum, apatah lagi bercerita tentang usahanya menerbitkan buku tersebut.
Malam tersebut, Abang Dil begitu bertuah kerana ahli keluarganya hadir bersama-sama memberikan sokongan. Bukan setakat itu, anak-anaknya juga membantu menjual buku dan memberikan penerangan kepada orang ramai yang lalu lalang di kawasan pelancaran buku itu.
Lebih manis, isteri Abang Dil sendiri – Noor Zalihah Pandak Abd Jalal, berasal dari Perak dan kini sebagai Pensyarah di Institut Perguruan Batu Lintang yang telah banyak bersama-samanya dalam menghasilkan karya turut hadir.
Bukan sekadar sebagai pendukung, sebaliknya sebagai tetamu jemputan yang turut menyampaikan ucapan bagi pihak Abang Dil yang menceritakan tentang kepayahan Abang Dil berkarya.
Isterinya memberitahu, nama Abang Dil cukup dikenali kerana karyanya baik puisi ataupun cerpen banyak disiarkan di majalah dan akhbar sama ada nasionalat aupun tempatan.
“Tetapi, Abang Dil tidak pernah memenangi apa-apa anugerah. Tetapi itu tidak apa kerana Abang Dil memang ikhlas berkarya. Saya telah melihat penat lelah Abang Dil berkarya siang dan malam tidak kira di mana dia berada.
“Saya sejujurnya memang terharu dan bersyukur kerana buku ini berjaya juga diterbitkan. Bayangkan, setelah 50 tahun berkarya, baru hari ini buku Abang Dil terbit pada usianya mencecah 60-an,” jelasnya.
Katanya, perkenalannya dengan Abang Dil adalah melalui penulisan. “Saya rasa saya lebih mengenali Abang Dil melalui penulisan beliau. Ini yang mengikat kami hingga ke hari ini. Alhamdulillah.”
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri N7 Samariang yang hadir memenuhi jemputan turut mendeklamasikan puisi. Katanya, itu pertama kali beliau membaca puisi walaupun begitu meminati seni itu sejak sekian lama. “Ini kali pertama saya membaca puisi. Mudah-mudahan kerjasama kita antara wakil rakyat dan orang seni kian rapat.”
Hasidah turut menjelaskan, seni dan budaya sememangnya penting dalam pembangunan negara dan ia pergi bergerak seiring untuk memberikan keuntungan kepada semua pihak.
“Cuba perhatikan, negara-negara maju dalam bentuk fizikal dan sebagainya, juga maju dalam bidang seni dan budaya. Oleh yang demikian, untuk menjadikan negara kita maju, kita harus menyeimbangkan antara pembangunan fizikal dan pembangunan seni budaya,” katanya.
Sambil mengucapkan tahniah kepada Abdillah SM yang telah menerbitkan sendiri buku tersebut, beliau menyatakan pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan orang seni pada masa yang akan datang.
Subscribe to:
Posts (Atom)