RADIN AZHAR AHMAD
"NILAI dan idealisme adalah ciri kemapanan penulis dan penulisan. Kerja menulis bermatlamat menjana kemajuan kepada masyarakat. Mesej yang dikemukakan adalah mesej yang mendidik dan membina pola berfikir yang menyukai kemajuan. Inilah kecenderungan yang memperkukuh perjuangan para penulis Sarawak dalam tempoh 15 tahun ini," kata Dr. Shahri Abdul Rahman.
Dengan makalah ‘Penyerlahan Nilai dan Idealisme: Menyingkap Pembangunan Pemikiran Penulis Sarawak’ pada Diskusi 15 Tahun Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak (HPPS) baru-baru ini, Shahri menjelaskan, kesemua itu merupakan suatu misi yang wajar diteruskan kerana di hadapan para penulis dan hadapan para cendekiawan Sarawak ialah 1001 persoalan tentang kemasyarakatan yang memerlukan penyelesaian.
"Dengan iltizam demikian, isu wadah dan kedudukan para penulis Sarawak dengan sendirinya bukan isu besar. Chomsky dan Herman yakin bahawa yang diangkat sebagai mutu dalam mana-mana hasil karya penulisan adalah berpunca daripada penyerlahan para penulis itu sendiri.
"Manakala kemampuan penyerlahan tersebut diperkukuhkan oleh dua ranah yang amat penting, iaitu nilai dan idealisme yang mereka pegang. Sama ada pegangan mereka berpaksikan kebenaran mutlak atau kebenaran yang diterima secara sosial, mencirikan nilai penulis dan penulisannya," ujarnya.
Menurutnya, menyorot hasil tulisan penulis Sarawak yang memenangi Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak sejak 2001 hingga 2006 yang merupakan kritikan terhadap beberapa karya tempatan dan kebangsaan, jelas bahawa faktor yang mendominasi pemikiran para penulis ialah penyerlahan nilai dan idealisme yang mereka pegang.
"Walaupun tidak ketara wujud semacam pergelutan nilai, namun mereka berhasil menyerlahkan tahap pembangunan pemikiran dan idealisme kepenulisan yang jelas," tambahnya.
Katanya, realiti baru segi pembangunan pemikiran di Sarawak ialah wujudnya berfikir yang mengaitkan pembangunan fizikal dengan pembangunan minda manusianya.
Hasil penulis Sarawak sepanjang 15 tahun ini jelasnya, cuba membawa realiti baru ini pada tonggak politik tanah air yang bertanggungjawab membawa paradigma tersebut, iaitu politik pembangunan Sarawak – secara atau tidak.
"Apabila menyorot kehidupan sesuatu kaum yang masih bergelumang dengan kepercayaan lama dengan kewajaran pembangunan yang sepatutnya mereka nikmat, mereka menunjukkan kesedaran dan kekesalan yang beralasan.
"Ini telah dibincangkan oleh Awang Azman dan Paul Nanggang apabila mereka mengulas Kelingkang, novel karya Douglas Jaga. Sorotan mereka merupakan cetusan kesedaran bahawa masyarakat yang terus membangun perlu rela menerima pembangunan. Dalam konteks di Sarawak ialah realiti baru untuk maju dan berjaya. Ini bertujuan memahat suatu idealisme dalam strategi jangka masa panjang pembangunan masyarakat."
Idealisme itu katanya, berpendekatan hukum semula jadi – sekiranya sesebuah masyarakat itu ingin maju seperti masyarakat lain, mereka perlu menerima realiti baru – berubah dalam segenap aspek kehidupan.
"Pemikiran dan amalan mereka perlu berubah sesuai dengan perkembangan semasa. Fahaman pembangunan kemasyarakatan membentuk jalur pemikiran menjurus terhadap jejak-jejak kemajuan demi kemajuan. Masyarakat berpaksikan tempocentrism ialah masyarakat yang sentiasa bersedia mengutamakan kemajuan mengikut zaman."
Jati diri sesebuah masyarakat tidak mungkin terhakis oleh pembangunan sekalipun mereka ghairah dan tempo-centric terhadap perubahan persekitaran, jelasnya.
Pengungkapan penulis Sarawak dalam karya mereka ujarnya, cenderung membawa idealisme ini dengan hasrat supaya pembangunan itu dapat dinikmati atas nilai-nilai yang sarwajagat sifatnya.
"Para penulis mendominasi gagasan dan pakatan kemajuan sebagai matlamat dan pendidikan adalah salah satu cara mencapai matlamat tersebut."
DR. Shahri Abdul Rahman menjelaskan, "Kecintaan terhadap alam semula jadi merupakan nilai sejagat yang dominan di kalangan penulis barat. Dalam konteks penulis Sarawak, nilai tersebut turut menjadi fokus beberapa hasil tulisan."
"Cuma yang memberi sedikit kelainan ialah isu yang mereka ketengahkan masih terikat dengan kejadian-kejadian yang bersifat pertentangan atau konflik – manusia dengan haiwan, manusia dengan manusia dan manusia dengan kepercayaan kuno. Isu demikian juga turut berkaitan dengan budaya dan amalan sesebuah masyarakat."
Persoalan mengenai nilai sejagat katanya, sebetulnya sudah menjadi isu wacana pemikiran untuk mengaitkannya dengan nilai kepercayaan dan keagamaan.
"Ini memudaratkan pertumbuhan pemikiran positif masyarakat apabila perdebatan disempitkan kepada ‘yang ramai itu benar dan yang sedikit itu salah’. Ini tidak memberi kewajaran dari segi pemikiran universal kerana nilai sejagat adalah merentasi batas agama, budaya dan kepercayaan sosial."
Menurutnya, kebaikan dan keindahan adalah nilai sejagat, yang dibincangkan oleh Hazami Jahari apabila memperkatakan sastera Islam di Malaysia.
Isu yang cuba dibangkitkan ialah pencirian dan indicator sastera Islam. "Pendekatan sastera Islam juga bertunjangkan kepada matlamat memajukan masyarakat yang dikira lebih syumul daripada pendekatan lain."
Katanya, persoalan nilai adalah pertimbangan yang sentiasa menyebabkan berlakunya pertembungan tradisi berfikir manusia dengan konteks yang sebenar.
Itu katanya, berpunca daripada banyaknya sekolah pemikiran sejak zaman renaissance hingga kini.
"Apabila berlaku pertembungan pemikiran, tradisional dan global, maka sudah pasti akan mencetuskan usaha mencari kebenaran yang mutlak.
"Pertembungan demikian adalah membina dari segi jangka panjang. Apabila ia membina maka sudah pasti proses tersebut mendidik untuk mencapai kemajuan," tambahnya.
Disiarkan pada 27 September 2007 (Utusan Sarawak)