SIFAR wakili Sarawak


TAHNIAH! Persatuan Seni Persembahan SIFAR telah berjaya terpilih untuk mewakili Negeri Sarawak ke Festival Teater Malaysia 2008 yang akan diadakan di Kuala Lumpur bermula 14 hingga 19 Julai depan.

Dengan skrip berjudul Tukang Ensera yang ditulis oleh Awangku Merali Pengeran Mohamed dan diarahkan pula oleh Suffian Haji Jalet, kumpulan teater ini berjaya menambat hati lima juri profesional pemilihan festival peringkat kebangsaan.

Untuk rekod, SIFAR bersama-sama Kumpulan Teater Ngoncong diberikan ruang untuk membuat pementasan pada Disember lalu sebagai penilaian kelayakan ke peringkat kebangsaan.

Ditanya mengenai harapan dan peluang SIFAR di peringkat kebangsaan, Suffian berkata, “Sememangnya sudah menjadi harapan setiap kumpulan yang bertanding di peringkat mana-mana pun untuk meraih kecemerlangan. Namun demikian, kita hanya mampu berusaha dan yang pastinya Allah jua yang akan menentukan segalanya.”

Katanya, “Apa-apa boleh terjadi dalam pertandingan. Lebih-lebih lagi pertandingan yang akan menyaksikan enam kumpulan pilihan yang terbaik dari seluruh Malaysia. Saya percaya kumpulan yang terpilih semuanya telah melakukan persediaan yang cukup mantap untuk tujuan festival ini. Seperti yang saya katakan tadi, kita hanya mampu untuk melakukan yang terbaik bagi pihak kita, namun segalanya akan ditentukan oleh-Nya.”

Menjawab tentang peluang pula, Suffian percaya semua kumpulan yang bertanding mempunyai peluang yang sama. “Persoalannya sekarang, kumpulan manakah yang lebih bernasib baik untuk mendapat peluang yang telah diberikan. Itu sahaja."

Bagaimana pula persiapan SIFAR untuk peringkat kebangsaan? Kejayaan SIFAR mewakili Sarawak sebenarnya adalah rentetan kepada kejayaan demi kejayaan kumpulan teater ini melayakkan diri untuk mementaskan teater persana teater nasional.

Persoalannya, adakah SIFAR dengan Tukang Ensera mampu mencapai kegemilangan yang pernah dicipta oleh oleh Kumpulan Teater Ngoncong pada 1998. Ngoncong ketika itu diumumkan johan. Sekali gus, kumpulan teater ini adalah satu-satunya kumpulan yang pernah meraih johan di peringkat kebangsaan, yang kini sudah satu dekad lamanya.

Mengenai perkata ini, Suffian menjelaskan, kejayaan Ngoncong, “Pada saya kumpulan Ngoncong telah melakukan yang terbaik tahun 1998, maka mereka sememangnya layak untuk gelaran itu.”

“Sehingga kini, saya dan kumpulan SIFAR tetap menghormati kumpulan Ngoncong sebagai kumpulan yang berpengalaman terutamanya dari soal pertandingan di peringkat kebangsaan,” katanya

“Namun demikian, untuk mengulangi apa yang telah Ngoncong buktikan dalam tahun 1998 dulu tidaklah semudah yang disangka. Seperti yang saya katakan tadi, kita hanya mampu berusaha dan mempersembahkan yang terbaik.

"Setakat ini jujur saya katakan yang kami belum lagi mengadakan perjumpaan produksi apalagi untuk membuat persiapan. Akan tetapi, sebagai ketua kepada SIFAR dan pengarah kepada cerita Tukang Ensera, Insya-Allah kami akan berusaha sedaya upaya untuk memantapkan lagi pementasan kami dari pelbagai sudut.

“Segala usul serta komen yang membina yang kami terima daripada rakan-rakan selama ini akan kami semak dan nilai untuk proses pemantapan diri,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih terutama kepada Ramli Ali, Ahmad Badwi Nerawi, Cikgu Zainoren serta Abdillah Untong yang sentiasa memberi panduan serta semangat tanpa mengira masa kepada SIFAR.

“Tidak lupa juga kepada semua rakan teater yang sentiasa memberi sokongan. Kami juga amat berbesar hati sekiranya rakan-rakan teater dapat menyumbang dari segi idea dan komen serta nasihat yang membina bagi mamantapkan lagi persembahan kami kelak demi Negeri Sarawak. Sememangnya itu amat kami alu-alukan. "

(Utusan Sarawak, 24 Januari 2008)

Cabaran kepada aktivis tari

KAPILA Vatsayan menyatakan bahawa tari pada suatu ketika adalah primitif dan sofistikated. Pergerakan manusia merupakan mekanisme untuk menyatakan kegembiraan dan kedukaan yang sudah terbentuk dalam alam semulajadi diri manusia sebagai kehendak dan kelaziman sejagat.

WARTAWAN BUDAYA

PERBINCANGAN mengenai sejarah perkembangan persembahan tarian di Sarawak menimbulkan topik yang cukup mencabar kepada semua pihak yang bergelar aktivis tari.

Para aktivis tari semestinya sudah sedar akan kedudukan perkembangan ini ataupun mereka masih lagi terumbang-ambing menghadapi pelbagai arus yang melanda beberapa sudut bahasa gerak dalam persembahan tari itu sendiri.

“Sejauh manakah dan sejak bilakah perkembangan berlaku merupakan batas ukuran dalam memulakan sejarah perkembangan tersebut,” kata Sharkawi Haji Amit menjelaskan Sejarah dan Perkembangan Ringkas Persembahan Tarian di Sarawak.

Namun demikian katanya, keprihatinan semua pihak dalam usaha mengangkat martabat seni tari itu ditinta dalam peta sejarah perkembangannya amatlah dipuji dan dihargai.

“… inilah satu-satunya ‘daulah’ seni tari dalam perjuangan mereka yang bergelar tokoh tari, seniman tari, pakar tari atau aktivis tari.”

Justeru katanya, “… kita mestilah berbangga kerana sebagai salah seorang aktivis seni tari, kita terpaksa mencari, meneroka dan menambah ilmu dalam bidang seni tari ini di samping pengalaman dan kemahiran yang kita miliki.”

“Saya agak runsing apabila soalan ‘Apa dia seni tari?’ diajukan. Apakah ia akan terjawab betul atau sebaliknya. Soalannya mudah, tetapi kita sendiri yang membuat komplikasinya. Jelasnya, ia harus dikemukakan untuk umum.”

Maka akan timbul soalan sama ada ia hanya sekadar batas sebutan atau sebaliknya yang lebih serius daripada itu. Mungkin persoalan itu akan mengelirukan seseorang kerana mereka akan mula bertanya sama ada itu penari atau menari.

“Dalam pada itu, kita perlu juga mengetahui fungsi tari. Semakin zaman berubah fungsinya juga berubah dan tidak menafikan ada tarian tertentu masih dikekalkan kerana adat dan pantang larang.”

Menyentuh tentang fungsi tari, Sharkawi menjelaskan, orang primitif mahupun mereka yang mengamalkan kepercayaan animisme, mereka yang masih lagi menitikberatkan kepada usaha dan cara lama untuk berkomunikasi dengan nenek morangh mereka.

Mohammad Ghouse Nasuruddin katanya, berpendapat bahawa tarian dianggap sebagai bentuk seni yang pertama diusahakan oleh manusia kerana ia tidak memerlukan sebarang peralatan kecuali tubuh badan manusia.

Bentuk dan stail tarian yang awal ditentukan oleh fungsi dan persekitaran. Manusia telah awal-awal lagi mempercayai bahawa mereka menggunakan tarian sebagai alat untuk berkomunikasi dengan roh nenek moyang.

“Justeru, pada hari ini fenomena ini dipercayai sebagai fenomena semulajadi. Jelas bahawa manusia juga menggunakan tarian untuk berhubung atau berkomunikasi dengan roh nenek moyang.

“Dalam hal ini, mereka akan dapat memohon supaya hujan akan turun bagi keperluan harian. Ini berlaku semasa orang primitif menghadapi kemarau yang telah menjadikan tanah di kawasan mereka kering kontang tanpa setitik air untuk pertanian, minuman dan sebagainya.”

Selain fungsi berbentuk magistik, kebanyakan tari digunakan sebagai menyatakan kegembiraan atau kedukaan.

Kapila Vatsayan jelasnya, menyatakan bahawa tari pada suatu ketika adalah primitif dan sofistikated.

“Pergerakan manusia merupakan mekanisme untuk menyatakan kegembiraan dan kedukaan yang sudah terbentuk dalam alam semulajadi diri manusia sebagai kehendak dan kelaziman sejagat.

“Dalam hubungan yang sama manusia menggunakan tarian sebagai menyambut para perwira kembali dari perjuangan. Sekumpulan gadis akan menari setibanya pahlawan atau perwira tiba ke rumah mereka.

“Ini menunjukkan rasa gembira dan bangga atas keperwiraan si jejaka telah selamat kembakli dari perjuangan atau peperangan,” katanya.

Bersambung minggu depan

Bagaimana memaknakan puisi?


Keterangan gambar: ORANG LAMA… Hajah Latifah Haji Mohd. Shebli memberikan penerangan tentang pembikinan puisi kepada peserta yang menyertai Bengkel Penulisan Puisi anjuran Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) baru-baru ini.

“RAMAI yang beranggapan sukar untuk menghayati puisi kerana puisi yang dibaca kadangkala sukar untuk dihayati. Kenapa? Ini kerana kita masih mencari perlambangan atau diksi atau apa-apa sahaja yang tepat tentang puisi tersebut.”

Ini antara perkara yang diketengahkan oleh Dahiri Saini ketika membimbing Bengkel Penulisan Puisi anjuran Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) baru-baru ini. Dahiri mengetengahkan Praktis Menulis Puisi pada bengkel tersebut.

“Satu hal yang ketara, puisi yang hendak dihayati itu kadangkala bersifat terlalu peribadi. Puisi tersebut menggunakan perlambangan yang jauh.

“Jauh bermaksud tidak digunakan oleh orang lain sebelum ini. Seperti yang dijelaskan jika tajuk puisi itu ialah Pohon Diri, penulis akan menulis tentang sekitar pohon/pokok. Tetapi, dia menulis perlambangan yang tidak kena-mengena yang sepatutnya.”

Menurutnya, ramai yang tidak tahu menulis puisi memerlukan persediaan yang serapi mungkin dengan idea yang telah diperam sekian lama atau sudah tercerna untuk diluahkan dalam bentuk perkataan.

“Setelah semuanya selesai, kita mengulangi membaca dan memahami apa yang kita tulis sebelum ia diserahkan untuk diterbitkan akhbar dan sebagainya. Ingat! Puisi yang baik tidak mengajar khalayak pembaca, tetapi membuat khalayak pembaca berfikir dan terus berfikir.”

Dahiri menjelaskan, puisi harus dimaknakan dengan selera pembaca. Dalam kata lain, puisi yang baik akan dimaknakan berlapis-lapis dalam perkataannya.

Penulis puisi katanya, harus menyasarkan sasaran puisinya. “Jika hendak menulis puisi remaja, harus menggunakan bahasa remaja sifatnya. Begitu juga dengan puisi kanak-kanak. Namun, puisi yang bersifat umum, kita tidak memikirkan semua itu.”

Katanya, puisi mempunyai makna tersendiri untuk menghantar apa-apa sahaja idea dalam puisi untuk dibaca, dan dihayati oleh khalayak pembaca.

“Puisi yang menepati cita rasa kita tidak mungkin menepati cita rasa khalayak pembaca. Tetapi, penulis tidak harus prejudis dalam persoalan itu kerana puisi yang baik akan dibaca dan dihayati oleh sesiapa sahaja.”

Kata Dahiri, memang agak sukar untuk mencari teknik yang betul menulis puisi. “Kita harus menjadi subjek yang jelas dan menepati ciri-ciri sebuah puisi yang memenuhi selera penulis dan khalayak pembaca.”

Ramai yang beranggapan menulis puisi itu seperti berangan-angan dulu, baru dapat menulis puisi, katanya.

Memang menulis memerlukan apa-apa sahaja yang berlaku di sekeliling penulis atau tempat yang pernah dilawati sehingga deria rasa dapat menulis puisi, tambahnya.

“Dalam puisi kita memerlukan apa-apa saja kemampuan kita untuk mengeluarkan idea, gagasan, rasa yang terpendam atau apa-apa saja yang berkaitan dengan puisi yang hendak kita tulis.

“Puisi harus berifat positif. Harus mengetengahkan idea yang bernas atau apa-apa saja yang berkaitan dengan kebaikan, keluhuran, kebeningan dengan penuh rasa kesederhanaan.

“Bahasa dalam puisi tidak semestinya bahasa yang tinggi, tetapi harus ada kesederhaan dalam puisi. Perlu ada daya kelembutan bahasa yang serba harmoni sifatnya.”

Puisi yang baik ujarnya, tidak mengabaikan tatabahasa serta cuba membuat pembaharuan dalam teknik penyampaian, tetapi jangan pembaharuan dalam nahu bahasa. “… kerana ia melanggar etika bahasa itu sendiri.”

Bahasa yang baik dalam puisi katanya, akan membentuk diksi tersebut berifat harmoni dan mudah mengalir dalam diri penulis atau khalayak pembaca.

“Satu hal lagi, puisi harus difahami penulisnya dulu. Kalau penulis tidak faham apa yang ditulisnya, bagaimana pula dengan khalayak pembaca?

“Setiap diksi, bait, baris puisi tidak seperti gurindam, syair atau sebagainya kerana puisi bebas dengan rimanya. Tetapi, jika penulis mampu mengolahnya dengan rima serta diksi yang tepat, ia akan membuat puisi tersebut lebih baik,” katanya.
(Utusan Sarawak, 17 Januari 2008)



Tiada persaingan dalam persatuan sastera

Oleh ZACHARIA ABDULMANAN

DI daerah selatan ini, barangkali pertembungan yang paling sensasi dalam dunia sastera tempatan ialah Angkatan Pengkarya Indie (API) dan Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa). Kedua-dua ber-bengkung merah.

Entah perlawanan ini akan berlanjutan sampai ke pusingan ke berapa. Tetapi yang pasti tiada yang akan terkena pukulan knock-out. Ini bukan perlawanan tinju tetapi lebih kepada pertembungan ideologi. Pertembungan ini dapat dirasai sejak Pekasa diterajui penulis tersohor Sarawak, Jais Sahok sehingga ke pimpinan baru penulis muda tersohor, Ja’afar Hamdan.

Namun pertembungan ini sengaja diada-adakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Persaingan seperti wujud antara API dan Pekasa. Hakikatnya, tidak pernah ada persaingan. Sekurang-kurangnya API tidak merasakan begitu kerana API hanya berkiblatkan kepada matlamat pewujudannya yang langsung tiada kaitan dengan mereka.

Namun, hal yang menarik perhatian ialah andaian bahawa API tidak pernah mahu bekerjasama dengan Pekasa dalam apa-apa aktiviti sastera. Sepanjang kewujudan Pekasa sebagai sebuah badan yang berdaftar di Pejabat Pendaftar Pertubuhan dan sebagai kerabat Gabungan Persatuan Nasional (Gapena), API tidak pernah gagal untuk memberi sokongan baik terhadap sebarang perkembangan kerabatnya mahupun ak-tiviti anjuran Pekasa.

Bahkan API pernah memberi penghormatan terhadap Pharo Abdul Hakim dalam lamam sas-tera_sarawak baru-baru ini. Itu niat ikhlas tanpa sebarang sentimen ataupun agenda tersembunyi tetapi atas dasar persaudaraan.

Apabila melihat segala teguran yang diberi terhadap Pekasa lewat media cetak dan maya, ternyata itu bertitik-tolak daripada rasa cinta kasih terhadap saudara sesastera, apatah seagama. Biarpun kadang-kadang sindirnya pedas, tetapi rasanya itulah yang semoleknya tanpa perlu menikam dari belakang. Ke-banyakan kritikan adalah untuk kebaikan bersama.

Biarpun kadang-kadang dari segi prinsip, beberapa aktiviti Pekasa tidak sealiran persepsi API, namun ini tidak menjadi halangan bagi kerabat API untuk hadir memberikan sokongan terhadap usaha mereka. Bagi API, nilai persaudaraan itu penting dipeliharakan.

Lebih-lebih lagi, API berhubung secara baik dengan beberapa Jawatankuasa Pekasa seperti Pharo Ha-kim, Taufek Said, Kelana Akira, Radin Azhar Ahmad, Dahiri Saini dan Ja’afar Hamdan (Ketua Satu Pekasa).

Berbalik kepada persoalan kita tadi, adakah benar API tidak mahu bekerjasama dengan Pekasa? Bagi saya, itu lebih merupakan petuduhan yang tidak berasas dan absurd. Seharusnya tidak ditimbulkan. Pada pendapat saya, andaian seperti itu mengandungi niat yang tidak baik yang diterbitkan oleh manusia yang tidak jernih pemikirannya.

Mana mungkin API mahu bekerjasama dengan PEKASA jikalau selama ini tidak pernah ada jemputan untuk bekerjasama? Mana mungkin API terhegeh-hegeh untuk bekerjasama jika tiada pelawaan daripada Ahli Jawatankuasa Pekasa? Mana mungkin API tiba-tiba mengetuk pintu Pekasa tanpa seba-rang ajakan yang ikhlas daripada mereka?

Tidak pernahpun tercatat dalam mana-mana kitab sejarah sastera, perkara ini pernah berlaku? Setahu saya daripada aktiviti pertama Pekasa (baca puisi 48 jam) API terlibat sebagai peserta (biarpun tidak bersetuju pada dasarnya). Itupun kerana inisiatif sendiri. Bagaimana pulak dengan rentetan aktiviti baca puisi kemanusiaan, islam dan bermacam lagi judul itu, wakil API tidak pernah dijemput sebagai dek-lamator. Jangan pulak nak kata tentang produksi teater.

API tidak pernah menyombongkan diri terhadap sebarang usahasama dengan Pekasa. API menanti-nanti pelawaan ikhlas daripada Pekasa. Jika pucuk pimpinannya ikhlas dalam mengimarahkan suasana sastera di daerah selatan khusunya dan Sarawak amnya, maka jemputlah API untuk sebuah usahasama sastera.

Marilah kita berbincang untuk satu usahasama. Selayaknya perbincangan, pastinya akan ada pro dan kontra sehinggalah kita mencapai kata sepakat. Setiap daripada kita mempunyai ide untuk diketen-gahkan. Sebab itu perlunya perbincangan. API tidak pernah cuak untuk berbincang. Lainlah kalau di pihak Pekasa yang berasa begitu. Janganlah takut untuk berbincang, janganlah berbincang dengan ma-rah.

(Utusan Sarawak, 17 Januari 2008)

Bengkel Penulisan Skrip Drama Radio

PERSATUAN Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak akan menganjurkan Bengkel Penulisan Skrip Drama Radio pada 2 Februari depan, bermula pukul 8.00 pagi hingga lima petang di Bilik Wacana DBP Cawangan Sarawak.

Bengkel Penulisan Skrip Drama Radio merupakan inisiatif awal bagi membina dan menghasilkan skrip drama radio bagi tujuan terbitan pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak.

Dua objektif yang didasarkan ialah membina karyawan yang mampu menghasilkan skrip drama radio yang baik dan bermutu, dan menampung keperluan dan memperbanyakkan manuskrip drama radio.

Penyertaan bengkel tersebut terbuka kepada semua karyawan yang ada di Sarawak. Bayaran kemasukan ialah RM50.00 bagi ahli Pekasa, sementara RM70.00 bagi bukan ahli Pekasa.

Setiap peserta dimestikan menyediakan skrip atau sinopsis untuk dibawa dalam bengkel berkenaan. Skrip yang baik dan telah dimurnikan serta diterima oleh pihak RTM Sarawak akan dibayar (setelah tersiar) sekitar RM360.00. Skrip hendaklah bersesuaian dengan penerbitan sekitar 30 minit.

Bengkel tersebut akan dikendalikan oleh empat pembimbing iaitu, Datuk Hajah Salbiah Painah yang merupakan Penasihat PEKASA. Malah, beliau banyak menghasilkan skrip drama radio pada tahun 60-an. Selain itu, juga menulis novel dan puisi.

Pembimbing kedua ialah Dahiri Saini, yang merupakan pendatang baru dalam dunia penulisan skrip. Baru-baru ini memenangi hadiah ketiga Peraduan Menulis Skrip Drama Peringkat Kebangsaan. Selain itu, beliau turut menulis novel, cerpen dan puisi.

Seterusnya, Hajah Latifah Haji Mohd. Sabli yang merupakan salah seorang penulis skrip drama radio yang cukup aktif dan berkaliber, di samping menulis cerpen dan pantun. Selain skrip drama radio, giat juga menghasilkan skrip drama pentas dan drama tv.

Sementara pembimbing keempat ialah Jamayah Pawi, iaitu Penerbit Drama Radio, Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 28 Januari 2008. Untuk maklumat lanjut hubungan Ketua Satu Pekasa, Ja'afar Hamdan (082-444711).

Jadual bengkel

8.00 pagi – 8.30 pagi - Pendaftaran
8.30 pagi -10.00 pagi - Sesi Satu
10.00 pagi -10.30 pagi - Kudapan
10.30 pagi - 12.30 tgh - Sesi Dua
12.30 tgh - 2.00 ptg - Merarau dan Rehat
2.00 ptg - 4.30 ptg - Sesi Tiga
4.30 ptg - 5.00 ptg - Kudapan

(Utusan Sarawak, 10 Januari 2008)

SIFAR bangkit sesudah SEDAR

Salah satu babak dalam teater 'Tukang Ensera' oleh Kumpulan Teater SIFAR.

Oleh: SUFFIAN HAJI JALET

PERSATUAN
Seni Persembahan SIFAR (SIFAR) telah dilahirkan pada 26 November 2006. Kali pertama nama ini didengar ketika mementaskan teater “Terput...put.., Tercis...cis...” di Dewan Bahasa dan Pustaka. Pembuka tirai projek teater berkala anjuran Pejabat Kebudayaan Negeri Sarawak tahun 2007. Muncul untuk kali yang kedua di pentas dengan produksi “Tukang Ensera” di Festival Teater Negeri Sarawak 2007 dengan mendapat Naib Johan.

Sekali gus mendapat tempat dalam Penilaian Festival Teater Peringkat Kebangsaan Tahun 2008 (untuk peringkat negeri) setelah dinilai semula oleh jawatankuasa khas penilai (tiga orang) yang ditubuh oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang diketuai oleh Datuk Prof. Dr. Ghouse (USM) bagi tujuan untuk menilai semula keputusan pertandingan festival teater di peringkat negeri 2007.

Siapakah anggota persatuan ini? Mereka adalah antara ‘bekas’ ahli kumpulan Teater Sedar Sarawak dan anggota yang lain. Kebangkitan SIFAR sekaligus membatalkan kumpulan Teater SEDAR dalam pendaftaran pertubuhan. Hampir kesemua ahli jawatankuasa Teater SEDAR (mengikut senarai terakhir di Pejabat Pertubuhan) adalah merupakan nadi dalam SIFAR hari ini.

Teater SEDAR sudah lama tidak ‘beroperasi’ dalam dunia teater mahupun persembahan. Selaku bekas ahli jawatankuasa tertinggi SEDAR (sekarang telah dibubarkan pendaftaran), di sini kami ingin membuat deklarasi bahawa SEDAR tidak pernah membuat apa-apa persembahan dan produksi yang boleh dikaitkan dengan apa-apa jenis pembayaran atas nama SEDAR semenjak dari tahun 2004 sehinggalah tahun 2007 (tahun pembubaran).

Selaku ahli dan jawatankuasa SEDAR yang sah (sebelum dibubar), kami tidak ada kena-mengena dengan sebarang aktiviti yang dimaksudkan. Adalah diharapkan dengan kenyataan ini, maka terlerailah segala kemusykilan terhadap status Teater SEDAR dan hak penggunaan namanya yang disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu.

Hari ini, kita buka lembaran baru. SIFAR mengorak langkah dengan visi dan misi yang baru dalam dunia seni dan budaya. Dengan cogankata “Implementasi Kemurnian Jiwa”, SIFAR lebih mementingkan perihal kemurnian jiwa dalam mengimplementasikan kesenian. Keikhlasan berseni merupakan tonggak perjalanan ke arah sebuah persembahan yang memiliki jiwa dan roh.

SIFAR dengan sendirinya akan “menolak” untuk bekerjasama dengan individu mahupun kumpulan yang tidak ikhlas dalam perjuangan seninya. Seperti kata pepatah – cakap tak serupa bikin. Namun demikian, SIFAR akan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk bekerjasama dengan mana-mana individu dan kumpulan yang juga mahu bekerjasama dengannya dalam merealisasikan kesenian dalam bentuk pementasan dengan berlandaskan keikhlasan untuk berseni.

Pintu SIFAR sentiasa terbuka untuk tujuan ini. SIFAR juga mengamalkan sikap terbuka dan membenarkan andai ada ahlinya yang ‘dilamar’oleh kumpulan-kumpulan tertentu bagi tujuan pementasan (sekiranya SIFAR sendiri tidak ada produksi).

Ada juga teman-teman dan individu bertanya, “Mengapa SIFAR? Bukankah SIFAR itu maknanya kosong? Tidak punya apa-apa. Apakah ini juga bermakna Persatuan SIFAR ini juga tidak ada makna? Ataupun kosong?” Nama SIFAR juga dipilih ada rasionalnya. Antaranya ialah berkenaan dengan hati dan diri.

Individu yang sentiasa memikirkan dirinya itu hebat dan sentiasa penuh dengan ilmu akan mudah terpesong dan sombong diri serta lupa daratan. Memang benar sifar itu membawa maksud kosongkan diri. Maknanya kita sentiasa harus menganggap bahawa ilmu yang kita ada masih belum mencukupi dan sentiasa merasakan diri ini kosong ilmu sehingga kita sentiasa dahagakannya dan mencari tanpa mengira siapakah orangnya yang akan mencurahkan ilmu tersebut.

Sama ada orang yang ‘baru’ ataupun sudah ‘lama’, itu bukanlah persoalannya. Yang penting bukan ‘siapa’ tetapi ‘apa’ yang akan disumbangkan. Perkataan SIFAR juga jika dibahasakan dengan sebutan tanpa mengejanya berbunyi, “ SEE + FAR” yang membawa makna “Pandang jauh!”. Maka, diharap sebarang persoalan mengapa nama SIFAR dipilih sudahpun terjawab hendaknya kepada teman-teman dan mereka yang lain yang hendak bersoal.

SIFAR memiliki cara dan pembaharuan sendiri dalam perlaksanaan pengurusannya yang mungkin belum biasa kepada yang lain (dulu pernah mengelirukan sesetengah pihak). Umpamanya, setiap kali produksi persembahan dilaksanakan (bukan pertandingan), pengarah produksi akan diletakkan nama SIFAR dan kemudian baru diikuti oleh nama individu yang dipertanggungjawabkan sebagai pengarah.

Rasionalnya? Harus kita akui dan sedar diri serta menerima hakikat bahawa setiap produksi yang telah siap dan dipentaskan bukannya datang dari idea serta kebijaksanaan seorang individu yang bernama pengarah sahaja. Sebuah pementasan yang baik adalah datang dari idea-idea sumbangan semua ahli produksi termasuk pelakon sendiri (bukannya one man show). Bersesuaian dengan kerja seni sebuah aktiviti kolektif.

Makanya, SIFAR mengenengahkan pendekatan untuk memberi pengiktirafan serta penghargaan kepada semua ahli produksi dengan meletakkan pengarah sebagai SIFAR. Selain itu, sebabnya ialah rasa kepunyaan serta komitmen yang tinggi terhadap produksi apabila semua ahli produksi diberi kebebasan untuk mengemukakan pendapat demi kebaikan sebuah produksi dan untuk mengelakkan budaya “mengarah” di luar produksi.

Ahli-ahli produksi juga dengan ini dilatih untuk berani mengemukakan pendapat serta mampu menyumbang kebaikan dalam produksi yang sekaligus melatih mereka menjadi orang yang kritis dan kreatif dalam berkarya satu hari kelak. Namun demikian, ini tidaklah bermakna bahawa individu yang dipertanggungjawabkan sebagai pengarah produksi tidak memiliki “kuasa” terhadap cerita arahannya.

Apapun idea yang diberi dalam produksi akhirnya akan diberi kata putus oleh pengarah untuk menentukan sama ada ianya diterima ataupun tidak setelah mengemukakan alasan-alasan rasional terhadap keputusannya. Dengan kata lain, SIFAR tidak mengamalkan – “Autocratic Leadership” tetapi lebih kepada “Transformational Leadership” dan insya-Allah akan sedaya upaya untuk menerima pendapat yang dirasakan rasional bagi membawa perubahan yang positif dan sihat.

Antara aktiviti yang telah dan akan dilaksanakan oleh SIFAR ialah mengadakan bengkel seni kepada anak-anak muda/belia dikawasan Petra Jaya khasnya dan Sarawak amnya. SIFAR juga mempunyai rancangan untuk mengadakan persembahan seni (teater, tarian, puisi, muzik) di kawasan kampung mahupun sekolah dengan bantuan pihak-pihak yang selari dengan niat serta tujuan SIFAR. Tujuannya adalah untuk membenihkan rasa cinta pada kesenian dan kebudayaan selain dari melahirkan pelapis-pelapis.

Cita-cita serta visi SIFAR ini disokong dan didokongi oleh Ahli Parlimen P.194 Petra Jaya, Haji Fadillah Haji Yusof yang merupakan penaung kepada Persatuan Seni Persembahan SIFAR. Dengan sokongan serta nasihat beliau, diharapkan SIFAR akan dapat merealisasikan visi serta misinya dalam menyumbang terhadap misi negara yang termaktub di dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (Teras 2) iaitu untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang mengamalkan “first class mentality” dengan salah satu caranya menyerap kecintaan terhadap seni dan budaya.

Oleh yang demikian, dalam melahirkan modal insan yang cemerlang dan seimbang di tahun 2020, diharapkan SIFAR juga dapat berperanan sebagai penyumbang dan pelaksana dalam merealisasikan misi kerajaan.

SIFAR juga berharap semoga pihak-pihak yang berkenaan akan juga menghulurkan sokongan kepada niat murni persatuan ini dan juga ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri Sarawak, Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, Guru Besar serta warga pendidik SMK Petra Jaya, Kuching, serta teman-teman kumpulan teater dan seni yang lain yang telah membantu dan memberi sokongan kepada SIFAR untuk bangkit dan terus memberi semangat setia kawan. SIFAR juga ingin memohon maaf andainya ada pihak yang ‘tersentuh’ dengan artikel ini (bukan niat).

(Utusan Sarawak, 10 Januari 2008)

Pemenang Peraduan Menulis Skrip Drama Pentas

Pertama
Harry Usup Anak Umbar
(Langgir – Mali Lebu)

Kedua
Haji Awang Bujang Awang Hamdan
(Lagu Darul Hana)

Ketiga
Haji Awang Bujang Awang Hamdan
(Tragedi 1849)

Saguhati

Khatem Ariffin
(Rukun Perjuangan)

Yusuf Mustanir
(Valentina Maria)

Abang Pathdeli Abang Muhi
(Rosli Dhobi: Duka Darul Hana)

Yong Chwan Fwo
(Air Mata di Tasik Biru)

Hasnalee Tubah
(Sumpah Tok Tuai)

Ends…

Penulis bantu bentuk fikiran positif

PENULIS disarankan agar menggunakan bakat dan keistimewaan yang ada pada mereka untuk menghasilkan tulisan dan karya yang dapat membantu, sama ada secara langusung ataupun sebaliknya membentuk dan merubah pemikiran ke arah positif, serta sihat demi kemajuan serta kesejahteraan bangsa dan negara, dan bukan untuk meracuni pemikiran mereka.

Ahli Parlimen Santubong, Datuk Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, “… tidak kurang pentingnya, gunakanlah bakat dan keistimewaan yang ada pada diri anda (penulis) untuk menghasilkan tulisan yang dapat membantu menangkis dan membetulkan kesilapan atau ‘pembohongan’ yang mungkin pernah dilakukan, baik sengaja atau tidak oleh penulis luar seperti dari Barat dalam tulisan mereka yang berkaitan dengan perkembangan di negara kita.”

Penulis katanya juga boleh memperkenalkan dan mengangkat segala keunikan serta keistimewaan yang terdapat dalam massyarakat dan negara yang bukan sahaja dapat menarik minat dan perhatian tetapi dapat membuka mata dan telinga orang luar.

“Bagi saya, inilah tugas, tanggungjawab dan sumbangan seseorang penulis yang paling murni dan besar terhadap bangsa dan negaranya.

“Dalam konteks ini, saya mengesyorkan badan korporat yang lain supaya dapat berganding bahu dengan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak dalam mengadakan pelbagai kegiatan untuk memajukan dunia penulisan.

“Mungkin mereka boleh membantu dari segi tajaan supaya hadiah yang ditawarakan DBP dapat ditingkatkan. Tentu ini akan menarik lebih banyak penyertaan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Menulis Skrip Drama Pentas dan Malam Menjunjung Budi di salah hotel terkemuka di sini baru-baru ini.

Objektif peraduan itu ialah untuk mendapatkan bahan yang bermutu daripada para penulis untuk membina skrip drama pentas bagi tujuan penerbitan; mencungkil bakat dalam bidang penulisan skrip drama pentas dari kalangan penulis Sarawak; dan, menggalakkan minat terhadap penulisan skrop drama pentas dalam kalangan penulis Sarawak.

Sementara itu, Malam Menjunjung Budi diadakan dengan tujuan untuk menghargai kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh agensi kerajaa/swasta dan wartawan untuk menjayakan pelaksanaan projek bahasa, sastera dan penerbitan DBP Cawangan Sarawak.

Kedua, mengeratkan hubungan dan kerjasama antara DBP Cawangan Sarawak dengan agensi kerajaan/swasta dan wartawan.

Katanya, walaupun syarikat yang berkenaan mungkin tidak memperoleh manfaat secara langsung dan dalam jangka yang pendek menerusi peraduan penulisan, namun ini dapat merapatkan hubungan dengan orang ramai yang mungkin akan menjadi atau membentuk pangkalan asas pelanggan.

“Kalau tidak pun, penglibatan dan penyertaan syarikat dalam kegiatan seperti ini (peraduan) boleh dianggap sebagai tanggungjawab atau kewajipan sosial,” katanya.

(Utusan Sarawak, 3 Januari 2008)

Sidang Hantu-Hantu penuh kelucuan

RADIN AZHAR AHMAD

HANTU sudah mula berasakan mereka tidak lagi ditakuti oleh manusia. Walau dengan apa-apa cara sekalipun, manusia tetap tidak takut akan kehadiran hantu. Malah, manusia sendiri bertindak melebihi tindakan hantu. Pada masa yang sama, hantu dan manusia digambarkan boleh pula berkomunikasi. Seolah-olah tidak wujud perbezaan antara dua makhluk ini yang datangnya dari dua alam yang berbeza.

Dalam teater Sidang Hantu-Hantu yang dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak baru-baru ini, perkara tersebut jelas didramakan di hadapan penonton, yang bukan sahaja di kalangan penggiat atau peminat teater. Malah, sudah ada penonton yang sekadar mahu menonton. Ini mungkin kerana masyarakat Malaysia kini sudah disogokkan dengan cerita-cerita seram/hantu di pawagam ataupun televisyen.

Mungkin ini adalah satu daya penarik kepada kehadiran ramai penonton ke teater Sidang Hantu-Hantu yang menerima sentuhan arahan daripada Awang Kelana Awang Hassan atau Kelana Akira. Dengan bantuan daripada tenaga produksi berpengalaman, sama ada dalam aspek lakonan, pengurusan pentas, rekaan set, audio visual dan sebagainya, teater tersebut berjaya menarik minat penonton.

Dilihat secara keseluruhan, teater ini yang skripnya ditulis oleh Dahiri Saini agak ringan dan mudah difahami, tetapi memberikan banyak sindiran kepada masyarakat walaupun teater ini disampaikan secara humor (lucu). Diperhatikan dari awal hingga akhir, penonton hanya mampu ketawa terbahak-bahak melihat lakonan pada setiap babak lakonan.

Mana tidak, kemunculan hantu pocong (lakonan Ferrazzilah Haji Mohamad) yang nampak seram kemudian menjadi bahan lucu apabila bercakap seolah-olah seperti lelaki lembut ataupun mak nyah. Pocong mempunyai isteri (Ernie Doris Usin Abdullah) yang turut banyak memaparkan perwatakan lawak.

Pelakon lain yang terlibat ialah Mohd Ghazali Heman @ Jalod melakonkan watak (Langsuir) – Drakula juga menampakkan watak lucu. Seterusnya, drama pentas ini turut mengetengahkan Sarina Ibrahim sebagai Bini Langsuir, I-Setan (Mohd. Erwadi Abdul Rahman) yang mempunyai hubungan cinta dengan Darakula (Siti Nur Syuhada). Selain itu, Izzat Al-Qayyum Osman (Lelaki), Syazwani Abdul Hamid (Gadis), Tajol Asyikin Tambi (Penagih 2) dan Hasrfarazy Johan Mawi (Penagoh 1).

Drama pentas ini mengisahkan keluarga hantu yang bakal kehilangan tempat kediaman mereka kerana sering kali dikunjungi oleh manusia-manusia yang berbuat maksiat dan dosa. Kediaman mereka sudah dipedulikan sehingga timbul konflik keluarga hantu tersebut yang dalam dilema untuk berpindah atau tidak.

Antara hendak mempertahankan hak dan maruah mereka dalam keadaan tertekan atau terpaksa melupakan terus kediaman mereka bagi memberi peluang kepada manusia yang menjadikan tempat mereka sebagai tempat sarang penagihan dadah dan berbuat maksiat.

I-Setan berusaha memujuk agar keluarga mereka tidak berpindah kerana hutan yang mereka tuju juga akan dibangunkan dengan arus pembangunan. Berjayakan I-Setan memujuk keluarganya dan berusaha menghalau manusia tersebut dari tempat kediaman mereka.

(Utusan Sarawak, 3 Januari 2007)