ULASAN BUKU: Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Konstantinopel

Judul : Sultan Muhammad Al-Fateh
Penakluk Konstantinopel
Genre : Novel Sejarah Islam
Karya : Abdul Latip Talib
Penerbit : PTS Publications & Distributors Sdn Bhd
www.pts.com.my
Halaman : 324
ISBN : 978-967-5136-11-5

“Konstantinopel akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik.” Ini adalah Hadis Nabi Muhammad SAW yang sentiasa sahaja diulang-ulang dalam novel berjudul Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Konstantinopel ini. Sepanjang usahanya menakluk negara Konstantinopel yang kemudiannya ditukar nama kepada Istanbul, hadis ini menjadi panduan kepada Sultan Muhammad untuk menjadikan hadis tersebut benar.

Akhinya, negara ini berjaya ditaluk oleh Turki yang dipimpin oleh Sultan Muhammad pada hari Selasa, 29 Mei 1453. pun begitu, untuk mencapai kejayaan gemilang itu bukannya mudah bagi Sultan Muhammad. Sebelumnya, sudah banyak kali tentera Islam yang dipimpin oleh Saidina Ali Bin Abi Talib pada tahun ke-34 hijrah. Tetapi tidak berjaya menawannya.

Kemudian pada tahun ke-84 hijrah, Muawiyah pula cuba menaklukinya, namun tidak juga berjaya. Khalifah Harun al-Rasyid cuba menaklukinya pada tahun ke-165 hijrah dan akhir sekali Sultan Murad (ayahanda Sultan Muhammmad) cuba menaklukinya pada tahun ke-825 hijrah, namun semuanya berakhir dengan kegagalan.

Pada awalnya, Sultan Murad berasakan bahawa kebenaran hadis Rasulullah SAW akan berlaku pada zamannya. Tetapi tidak berjaya. Kemudian, Syeikh Bayram berulang kali menyatakan hadis tersebut hingga menyatakan bahawa putera Sultan Murad yang akan menakluk Konstantinopel.

Ditakdirkan Allah, Permaisuri Sultan Murad mengandung hinggalah kepada kelahiran Sultan Muhammad, Syeikh Baryam tetap menyatakan anak itu akan menakluk Konstantinopel. Bagi membenarkan hadis Rasulullah, Sultan Murad meminta Sultan Muhammad diajar ilmu peperangan oleh adinda Sultan Murad, Panglima Tharhan.

Menjadi masalah ialah Sultan Muhammad agak degil dan keras hatinya untuk belajar. Cuma Syeikh Kurani yang diberikan hak untuk memukul Sultan Muhammad berjaya memujuk Sultan Muhammad untuk belajar agama. Disebabkan malu dipukul di depan ramai, Sultan Muhmmad mula belajar agama di samping diajar ilmu perang.

Sejak itu, Sultan Muhammad semakin bijak dan sentiasa pula diceritakan tentang sejarah umat Islam yang gagal menakluk Konstantinopel. Suatu ketika Sultan Muhammad telah memangku tugas Sultan daripada ayahandanya dan berjaya menjaga negara.

Setelah Sultan Murad mangkat, Sultan Muhammad dilantik sebagai Sultan pada usia 19 tahun dan sentiasa memerintah berdasarkan ajaran Islam. Baginda sentiasa memastikan tenteranya membuat latihan pada siang hari dan beribadat pada sebelah malam.

Baginda juga memastikan orang miskin sentiasa memuliakan tetamu, begitu juga orang kaya membantu mereka yang memerlukan. Peniaga pula tidak boleh menipu dalam perniagaan. Semua ini diketahui apabila baginda sentiasa menyamar menjadi orang kebanyakan untuk memperoleh maklumat.

Sultan Muhammad juga sentiasa memberikan keampunan kepada musuhnya yang diberikan pilihan sama ada memeluk Islam ataupun membayar tebusan. Akhirnya, kerana baiknya pemerintahan Sultan Muhammad, ramai musuh yang memeluk Islam dan bersama-sama berjuang menakluk Konstantinopel.

Sebelum penaklukan, Sultan Muhammad telah membina tembok bagi mempertahankan Turki. Oleh kerana baginda sendiri turut sama membina, maka rakyat Turki turut bersemangat membantu secara sukarela. Hingga suatu hari yang dinantikan, Sultan Muhammad bersama-sama 250,000 tentera pergi ke Konstantinopel tetapi tidak menggunakan jalan kebiasaan.

Baginda mencontohi Rasulullah SAW ketika menaklum Mekah yang tidak menggunakan jalan biasa yang dilalui. Sultan Muhammad memecahkan tenteranya kepada beberapa kumpulan, termasuk tentera laut yang dipimpin oleh Panglima Zaghanus, bekas Ketua Paderi Konstantinopel yang memeluk Islam setelah melihat kebesaran kuasa Allah.

Lama berperang, belum ada tanda-tanda Konstantinopel berjaya ditakluk walaupun menggunakan meriam yang dicipta oleh Urban yang pada enggan mendedahkan cara membuat Meriam kepada Raja Konstantinopel walaupun diseksa dan dipenjarakan. Setelah diselamatkan tentera Islam, Urban bersedia memberikan maklumat dan membina banyak meriam untuk tujuan menyerang Konstantinopel.

Di pihak Konstantinopel, mereka percaya wujud tiga perkara menandakan kelalahan Konstantinopel iaitu “Kapal belayar di daratan, patung Maryam pecah berderai dan gereja Aya Sophia disambar petir. Tiga petanda buruk itu sudah berlaku di depan mata kita,” kata ketua paderi Konstantinopel.

Semua itu berlaku. Sultan Muhammad dengan petunjuk Allah melalui mimpi berjaya memindahkan 70 kapal perang menggunakan jalan darat sejauh tiga batu menuju pelabuhan Tanduk Emas. Ketika melakukan aktiviti agama, patung Maryam tiba-tiba jatuh dan pecah, seterusnya gereja Aya Sophia disambar petir. Akhirnya, Konstantinopel berjaya ditakluk. Namanya ditukar kepada Istanbul. – RADIN AZHAR AHMAD

UTUSAN SARAWAK, 28 MAC 2009

Bangsawan Cerita Sharif Mashor


CERITA Sharif Mashor yang dipentaskan dalam bentuk bangsawan Sarawak di Auditorium Tun Ahmad Zaidi, Institut Perguruan Batu Lintang (IPBL) baru-baru ini mengembalikan lagi kegemilangan teater bangsawan di Sarawak tidak lama dahulu.

Seingat penulis, Cerita Sharif Mashor merupakan antara dua teater bangsawan yang dipentaskan selepas Bangsawan Sarawak Cucu Sharif Mashor beberapa tahun yang lalu.

Pementasan yang bersempena Seminar Budaya Melayu Sarawak ke-5 itu menceritakan kisah perjuangan Sharif Mashor menentang penjajah terutama keluarga Brooke di Sarikei dan Kuching.

Bersama-sama dengan Datuk Patinggi Abdul Ghafur dan rakyat tempatan, Sharif Mashor berusaha menentang penjajahan itu.

Namun, perjuangan mereka tidak kesampaian kerana dikhinati oleh Sharif Matusin. Akhirnya, Datuk Patinggi Abdul Ghafur dan Sharif Mashor ditangkap dan diusir ke Singapura oleh Brooke.

Bangsawan ini diarahkan oleh A.B. Nor. Sementara cerita asal bangsawan ini ditulis oleh Profesor Madya Datu Haji Sanib Haji Said.

UTUSAN SARAWAK, 28 MAC 2009

Amalan, prinsip mengurus organisasi Melayu

“SEBAGAI organisasi yang mempunyai kepentingan awam, apatah lagi jika kewujudannya boleh dikaitkan dengan etos sesuatu bangsa atau marga, sudah pastilah organisasi berkenaan tidak akan terlepas daripada pandangan optimistic dan pesimistik masyarakat,” kata Ketua Unit Pengembangan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Abang Patdeli Abang Muhi.

Berkata demikian membentangkan makalah berjudul Mengurus Organisasi Budaya Melayu: Amalan dan Prinsip, jelasnya, cara organisasi itu diurus juga tidak akan sunyi daripada kritikan dan teguran – semuanya atas dasar keprihatinan untuk melihat organisasi untuk terus berdaya tahan, berdaya saung dan berdaya maju.

Menurutnya, organisasi budaya sesungguhnya kini menyongsang arus cabaran yang cukup hebat – perubahan persekitaran politik, ekonomi, sosial, pendidikan, teknologi, demografi dan budaya yang berlaku di dalam negara, dan di seluruh dunia, amat mempengaruhi kelangsungan dan kerelevanan sesebuah organisasi.

Untuk itu, Abang Pathdeli menyatakan cabaran yang harus dihadapi, dan ditangani oleh organisasi budaya, iaitu, pertama, kedudukan fiskal atau kewangan organisasi berkenaan.

“Mampukah organisasi itu bertahan tanpa kebergantungan kepada sumbangan dana daripada kerajaan? Berupayakah organisasi itu merangsang masyarakat untuk menjadi ahlinya, dan menggalakkan masyarakat mahupun penaungnya untuk terus menyumbangkan derma serta dana dana kepada organisasi?”

Kedua, saingan sesama organisasi – adakah mereka mampu bersaing sesama mereka, khususnya dalam memperoleh dana dan peruntukan khusus daripada pihak kerajaan? Bagaimanakah mereka akan memastikan tidak wujud konflik kepentingan dan pertindanan kegiatan antara mereka?

“Seterusnya, kesinambungan kepimpinan. Adakah pelan penggantian dirangka secara sistematik, telus dan bijaksana? Siapakah yang telah dilantik untuk menggantikan kepimpinan organisasi dalam lima, sepuluh atau 15 tahun akan dating?

“Juga keahlian. Sejauh mana usaha menarik lebih ramai anggota masyarakat yang berkenaan untuk menyertai organisasi tersebut dilaksanakan? Adakah pada masa akan datang, wujud perubahan dari segi syarat dan kelayakan untuk menjadi ahli akan lebih telus dan terbuka?”

Kelima, sejauh mana perubahan politik dan pimpinan semasa akan menyokong organisasi yang berkenaan?

“Adakah organisasi akan membiarkan wujud pergeseran politik antara organisasi dengan pihak berwajib?”

Sementara dalam aspek pengurusan, sanggupkah kepimpinan yang sedia ada mengubah pendekatan, strategi dan kaedah pengurusannya yang sudah lapuk demi mencapai segala objektif organisasi, dan memperbaiki sistem penyampaiannya serta meningkatkan imej korporatnya.

Katanya, menjalankan sesebuah organisasi budaya bukanlah kerja yang mudah; kata orang tua-tua, betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Kendatipun, sesebuah organisasi budaya dapat memperoleh faedah daripada pengaplikasian teori, prinsip dan amalan pengurusan, jelasnya.

“Lantas mampu mengorganisasikan dengan lebih baik serta efisien, akan tidak ada satu-satu elemen yang dapat menjamin kelangsungan dan kerelevanan.

“Apa-apa pun, kebijaksanaan dalam menyesuaikan diri dengan keadaan semasa itu merupakan kunci kepada pengurusan yang lebih cekap dan cemerlang.

“Selebihnya, harus ikhlas dan jujur untuk melakukan muhasabah diri dan muhasabah organisasi.”

UTUSAN SARAWAK, 28 MAC 2009

Pemikiran Melayu, pencapaian dalam sains, teknologi

“BILA membincang tentang pemikiran Melayu, tokoh ilmuan, Profesor Diraja Ungku Aziz seringkali membicarakan tentang tragedi pemikiran Melayu,” kata Profesor Dr. Fatimah Abang daripada Universiti Malaysia Sarawak(Unimas) membentangkan kertas kerja Sains dan Teknologi dan Masyarakat Melayu: Suatu Perspektif pada Seminar Budaya Melayu Sarawak Ke-5 di Kompleks Pelancongan Sarawak, Kuching.

Dr. Fatimah menjelaskan, budaya Melayu yang tidak menggalakkan bertanya adalah tidak saintifik kerana pendekatan bertanya dan menyelidik merupakan dua elemen asas pemikiran berteraskan sains.

Menurutnya, pemikir zaman Yunani menyelsaikan masalah dengan bertanyakan soalan.

“Bersoal-jawab merupakan amalan mereka dalam menyelesaikan sesuatu kemusykilan. Malah, pemenang Hadiah Nobel Laureatte meraih kejayaan melalui penyelidikan yang dicetus oleh soalan-soalan asas dari minda inkuisitif terhadap sesuatu kejadian Ilahi.

“Tetapi untuk orang Melayu, budaya minda inkuiri ini tidak begitu berkembang. Sebahagian ini kemungkinan lahir dari budaya ‘tidak bertanya soalan’ atas sebab tanda hormat kepada orang yang lebih tua (yang tersemai dalam budaya Melayu.

“Di kalangan masyarakat Melayu tradisi, bertanya soalan dianggap biadap. Namun demikian, hari ini budaya ini tidak sekuat dulu. Ibu bapa generasi hari ini kebanyakannya terdiri daripada kalangan mereka yang berpelajaran. Walau bagaimanpun, tidak dinafikan masih terdapat keluarga tradisi yang masih mewaris budaya fikir tersebut,” katanya.

Ungku Aziz kata Fatimah menjelaskan, pemikiran Melayu hari ini sebahagiannya adalah sisa-sisa pengaruh penjajahan British.

Banyak terdapat bahan ilmiah membincangkan bagaimana British mengamalkan dasar yang mengongkong minda Melayu – sikap lebih kepada menerima dan mengguna, dan kurang bertanya dan menyiasat.

Selain minda terjajah, terdapat banyak faktor yang mempengaruhi perkembangan midan seperti buda fikir, faktor pemakanan dan pengaruh keluarha dan insan terdekat.

“Taraf pendidikan ibu, latar belakang keluarga dan sosio-ekonomi sedikit sebanyak memain peranan dalam mempengaruhi perkembangan seseorang insan. Sebagai insan paling rapat dengan anak, taraf pendidikan ibu boleh mempengaruhi minda dan seterusnya budaya fikir anak.

“Taraf pendidikan juga boleh dikaitkan dengan pemikiran tahap tinggi. Justeru, ibu yang berpendidikan tinggi secara langsung menerapkan pemikiran yang tinggi kepada anak.”

Mengenai pencapaian Melayu Sarawak dalam bidang sains dan teknologi, Dr. Fatimah menjelaskan, perkataan sains dan teknologi telah menjadi begitu sinonim dengan kemajuan sesuatu bangsa atau negara. Pendek kata, sesuatu bangsa atau negara itudinilai sebagai maju dan makmur jika perkembangan sains dan teknologi itu pesat, kata.

“Sewajarnya begitu kerana sains mempunyai tanggungjawab sosial dan sentiasa saling berhubung dengan bidang-bidang kemanusiaan yang lain. Justeru itu, pengetahuan sains dan teknologi mampu membawa kesejahteraan hidup penduduk sesuatu negara dan membawa kepada kemakmuran eknomi sesebuah negara,” katanya.

Menurutnya, dalam konteks dunia global, Malaysia khususnya bangsa Melayu masih dianggap ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi.

“Untuk mencapai kemajuan dalam bidang tersebut, pembudayaan sains dan teknologi harus berlaku,” katanya.

Dari kaca mata orang Melayu, mungkin sains dan teknologi masih dilihat sebagai perkara pinggiran dan hanya dikaitkan dengan anak-anak yang masuk ke sekolah atau ke institut pengajian tinggi sahaja.

Sehubungan itu, maka tidak hairan jika dikatakan orang Melayu jauh tertinggal dalam bidang sains dan teknologi.

“Tidak dinafikan bahawa terdapatnya Melayu Sarawak yang telah meraih kejayaan yang cemerlang sebagai doktor perubatan, jurutera dan saintis pelbagai bidang sains.

“Berasaskan pemikiran saya, dan hasil penelitian bahan-bahan rujukan ilmiah yang berkisar sekitar isu Melayu dari sudut sains dan teknologi, pendidikan, pemikiran dan sebagainya, pencapaian orang Melayu Sarawak dalam bidang sains dan teknologi boleh dikatakan masih kurang.”

Masalah itu katanya, harus ditangani dengan serius jika mahu matlamat dalam mengangkat martabat bangsa Melayu tercapai, perlu ditangani dari peringkat akar umbi – dalam sistem pendidikan bermula dari sekolah rendah lagi.

Usaha dalam menggalakkan pelajar Melayu menjurus kepada bidang sains dan teknologi ujarnya, harus dipupuk dan disemai dari awal lagi.

“Seterusnya, langkah memperbanyakkan bilangan ini diteruskan, dipantau dan dinilai pencapaiannya sehingga ke tahap graduan yang keluar dengan ijazah dalam bidang sains dan teknologi dan menjadi profesional negara,” katanya.

UTUSAN SARAWAK, 28 MAC 2009

Indahnya kesenian Islam


INDAHNYA kesenian Islam. Tiga perkataan ini dapat penulis ungkapkan setelah menyaksikan Malam Kesenian Islam Dalam Budaya Melayu sempena Seminar Budaya Melayu Sarawak Ke-5 yang berlangsung bermula jam 8.30 malam hingga 10.30 malam di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri Sarawak, malam tadi.

Dewan dipenuhi hampir 500 penonton. Satu jumlah yang amat menggalakkan jika melihat kepada banyak pementasan sebelum ini yang hanya mampu mengumpul sekitar 200 penonton.

Pada masa yang sama, memberikan penjelasan bahawa kesenian Islam dalam budaya Melayu jika diadun dengan baik dan bermutu, pasti sahaja akan mampu menarik perhatian dan minat kalangan rakyat.

Menyingkap persembahan malam tadi, konsep persembahan ialah menggabungkan dua elemen iaitu local dan kedaerahan yang ada dalam kehidupan masyarakat Melayu di Bumi Kenyalang.

Sebelum pementasan lagi, Penata Konsp dan Pengarah Persembahan, Abdillah Untong ada memberitahu penulis, “Apa-apa pun bentuk, dan apa-apa pun jalannya, sumbernya tetap satu.

Katanya, “Garapan ini akan terkabung jalin dalam kronlogi yang saling tidak bertautan, namun masih diikat dengan pengabadian kepada sumber yang satu,” katanya.

Inti pati persembahan yang menjurus kepada pengabdian kepada Yang Esa hanya begitu menarik. Jalinan dua elemen (local dan kedaerahan) memang menghiburkan. Jarang benar dapat disaksikan setiap persembahan kesenian Islam mendapat tepukan gemuruh penonton.
Nyata, Malam Kesenian Islam punyai keunikan yang tersendiri. Penonton seoleh-oleh bersatu dengan persembahan. Satu perkara yang memang diutamakan ketika sesuatu persembahan pentas.

Dikira berjaya jika persembahan pentas mampu menjadikan penonton sebahagian pelakonnya. Misalnya, malam tadi, penonton bukan sahaja terhibur, malah mereka turut sama menyanyikan lagu nasyid dan turut sama mendendangkan Ratib Saman walaupun hanya duduk di kerusi penonton.

Bukan sahaja golongan dewas dan warga emas, malah anak-anak muda yang hadir turut sama menyanyikan lagu Asma al-Husna. Mereka tidak hanya mendiamkan diri. Setelah sesuatu persembahan berakhir, tepukan gemuruh tanda penghargaan.

Banyak perkara boleh diperkatakan pada malam kesenian Islam dalam budaya Melayu. Rupa-rupanya, banyak kesenian Islam yang boleh diangkat ke pentas persembahan.

Malah, penulis sendiri terpegun melihat keindahan kesenian Islam ini. Banyak yang penulis sendiri belum ketahui dan saksikan di depan mata. Jika dahulunya, hanya mendengar daripada cerita-cerita orang tua, malam tadi menyaksikan kesenian itu sendiri.

Ratib Saman misalnya. Begitu indah dialunkan. Begitu juga Lakon beradat. Pergerakan yang lembut, tertib dalam persembahan memang menarik perhatian. Satu gambaran betapa kesenian Islam walaupun lembut pergerakannya, tetapi memberi begitu banyak pengajaran kepada masyarakat.

Rugilah kepada mereka yang tidak hadir malam tadi. Bukannya mudah untuk melihat kesenian ini dipentaskan. Kebanyakan kesenian ini sudah diketahui masyarakat, terutama di kalangan generasi muda. Dengan kata mudah unuk difahami – kesenian ini kian pupus.

Penulis tetap ingat dengan kata-kata Abdillah Untong, persembahan dengan tema Mutiara Syahdu Melodi Insani itu berkonsepkan kesejagatan Islam – persembahan yang akan menazirkan dua komponen estetika – kesenian lokal dan kedaerahan.

“Kedua-dua elemen ini disulam dan dianyam dengan cabang kesenian berwajah kontemporari dan lebih terbuka luas seninya.

“Penyatuan dua komponen ini dijemalkan lewat irama dan melodi syahdu jernih mutiara insani menuju Pencipta yang menciptakan karya agung kehidupan serta alam semesta.”

Persembahan malam tadi bermula dengan paluan gendang daripada Kumpulan Gendang Nusantara – gabungan gendang, beduk, marwas, tar, gendang sunda dan disertai dengan gubahan gerak dan nyanyain selawat Nabi.

Diteruskan pula dengan paluan beduk serta dentingan piano dan tiupan flute dan kemudiannya akan menyaksikan empat penyanyi nasyid (Kumpulan Embun) bergerak ke tengah pentas dan bersatu dalam lingkaran. Mereka menyanyikan lagu Cahaya Hati - Allah Ya Nur. Paling menarik dalam persembahan ini, piano dimainkan dalam bentuk nasyid.

Kumpulan Suara Fakir yang disertai 20 kanak-kanak dan empat dewasa pula menyanyikan lagu Assalamualaikum.

Kemuculan Kumpulan Gambus Sambir menjadi tarikan – persembahan menggunakan gambus.

Mereka akan mengimbau kambali rutin ketika majlis Khatamal al-Quran. M membawa pulut kuning. Bacaan Tahtim oleh Haji Mawi daripada Suara Seni. Semuanya memang seperti ketika majlis khatam al-Quran.

Kumpulan Suara Sambir seramai 15 ahli seterusnya membuat persembahan lakon beradat yang jarang-jarang dilihat.

Seterusnya, kumpulan nasyid Sautul Amin daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Gersik yang merupakan Johan Nasyid Sekolah Rendah Kebangsaan 2007 menyanyikan lagu nasyid. Diikuti kumpulan nasyid Suara Fakir daripada Taman Yen Yen.

Dilanjutkan lagi dengan persembahan Ratib Saman oleh Suara Seni daripada Tabuan. Persembahan ini akan dilakukan oleh warga emas. Ini kerana persembahan ini kian pupus dan tidak ramai kalangan generasi sekarang mengetahui Ratib Saman.

Turut membuat persembahan ialah kumpulan daripada Sri Aman yang akan mempersembahkan Zikir Berdah – diiringi paluan gendang.

Kumpulan Nasyid Citra daripada Sri Aman yang merupakan Johan Nasyid Kebangsaan 2008 dan Kumpulan Nasyid Istaiqaza iaitu Johan Nasyid Peringkat Negeri Kategori Tradisi turut membuat persembahan nasyid.

Pelajar Sekolah Seni membuat persembahan tarian ala-ala Arab yang menggabungkan Qasidah dan gambus. Seterusnya persembahan Kumpulan Gambus Sambir.

Paling menarik ialah persembahan oleh The Islamic Hijrah Orchestra. Kumpulan seramai 34 ahli merupakan pemuzik Melayu sekitar Sarawak yang berkemahiran dalam persembahan orkestra.

Keseluruhannya, malam kesenian Islam tidak hanya dipersembahkan sempena Seminar Budaya Melayu. Dengan kehadiran ramai penonton, dan sebagai satu usaha mengekalkan budaya Melayu, ia harus dikerapkan.

UTUSAN SARAWAK, 21 MAC 2009

Pantun, bermukun dalam budaya Melayu Sarawak


SEMINAR Budaya Melayu Sarawak Ke-5 telah bermula Khamis dan akan berakhir pada hari ini (Sabtu). Dengan tema Budaya Melayu Sarawak – Mutiara di Samudera Luas, tiga objektif yang didasarkan.

Pertama, membincang dan menilai secara kritis sejarah kemajuan dan perkembangan masyarakat Melayu Sarawak dalam bidang pendidikan, keagamaan, ekonomi, sosio-budaya, kesenian dan politik Sarawak.

Kedua, mengenalpasti dan menetapkan dengan penuh rasa yakin kebermaknaan dan sumbangan masyarakat Melayu Sarawak dalam pembentukan jati diri bangsa Malaysia amnya dan wajah serta imej anak Sarawak khasnya.

Ketiga, menampilkan pelbagai aspek kesenian, dan kebudayaan masyarakat yang unik dan bernilai budaya tinggi.

Sebanyak 12 kertas kerja dibentangkan. Mengenai Dengan makalah Kias dan Ibarat Dalam Pantun Melayu: Nilai Pendidikan dan Teladan, Hazami Jahari daripada Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak menjelaskan, pantun yang dikatakan seni sastera yang paling tua dan asli bagi masyarakat Melayu telah memainkan peranan yang bukan sedikit kepada tamadun Melayu sejak zaman-berzaman.

“Namun pada hari ini, pantun sudah mula dilupakan oleh generasi muda dan peranan pantun juga sudah tidak dipedulikan lagi. Maka adalah penting untuk kita menghidupkan kembali seni berpantun dalam kalangan masyarakat demi kelangsungan seni yang sangat indah ini.”

Katanya, dalam sastera Melayu unsur kias dan ibarat begitu banyak digunakan bagi menyampaikan perasaan dan fikiran.

Penggunaan kias dan ibarat itu jelasnya bermula dari tumbuhnya hasil-hasil sastera masyarakat Melayu lama hinggalah ke zaman moden – kias dan ibarat menjadi alatan sastera yang penting dan menjadi cirri khas kepada sastera Melayu.

“Unsur bahasa yang istimewa ini memberi keindahan dan kehalusan tersendiri kepada sastera Melayu kerana sesuatu pernyataan perasaan dan fikiran hanya akan dikemukakan dalam bentuk yang tidak langsung, tidak menyinggung perasaan tetapi tepat kepada makna dan tujuannya.”

Penggunaan kias dan ibarat dalam sastera Melayu juga membuktikan ketinggian intelektual seniman, pemikir dan pendeta Melayu zaman lampau dalam mengungkap pengalaman dan pandangan hidup mereka.

Perasaan dan pemikiran katanya ditapis, dilindung dan disamarkan dengan indah untuk memberikan permainan rasa, ujian minda dan simpang siur makna.

“Proses pencarian makna, penaksiran maksud sekali gus mengajak masyarakat bersama mengembara ke dunia samar yang rahsia itu, membaca lambang, membanding-tara antara dua keadaan dengan kenyataan yang sebenar.”

Sementara itu, Mary Fatimah Subet dan Salbia Hassan membincangkan “Bergendang dan Bermukun Dalam Masyarakat Melayu Sarawak” pula menjelaskan, daripada kajian, walaupun terdapat peratusan yang tinggi mengatakan pernah dengar tentang bergendang dan bermukun dalam masyarakat Melayu Sarawak, berbanding mereka tidak pernah dengar dan tidak tahu, terdapat perkara yang lebih membimbangkan.

“Terdapat faktor yang akan menyumbang ke arah kelenyapan bergendang dan bermukun terutama perihal penglibatan dalam majlis bergendang dan bermukun.

“Cuma segelintir yang yang mengatakan mereka pernah berada dalam majlis bergendang dan bermukun sementara kebanyakan mengatakan tidak pernah berada dalam majlis ini.”

Seperkara lagi katanya, walaupun dalam konteks kontemporari atau moden kini, didapati seni ini Cuma hadir di corong-corong radio atau juga dipersembahkan di pentas budaya.

“Maklum balas daripada responden tentang hal ini memberi kesedaran bahawa masih ada yang mahu aktiviti bergendang dan bermukun ini kekal sebagai budaya unik masyarakat Melayu Sarawak walaupun terdapat pandangan bahawa aktiviti ini tidak lagi popular.”

UTUSAN SARAWAK, 21 MAC 2009

Budaya Melayu Sarawak diangkat ke pentas

JARANG benar penulis menyaksikan persembahan di pentas yang menggunakan sepenuhnya bahasa Sarawak. Jika adapun, mungkin hanya pementasan teater Kalan Tambang beberapa tahun yang lalu. Teater itu penuh dengan isu-isu berat.

Tetapi tidak jika kita berkesempatan meluangkan masa menyaksikan Malam Persembahan Puisi, Lagu Puisi dan Lagu Rakyat di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, malam tadi.

Dari mula persembahan lagi, penulis dapat mendengar setiap kata bahasa Melayu Sarawak dipertuturkan sepanjang persembahan. Bagi penulis, persembahan bermula jam 8.30 hingga 10.30 malam itu dapat penulis samakan sebagai pementasan teater muzikal.

Alasan penulis ialah setiap kali selepas lakonan, pasti akan dilanjutkan dengan persembahan bacaan puisi, lagu puisi dan paling menarik ialah persembahan lagu-lagu rakyat. Pelbagai jenis lagu rakyat Melayu Sarawak dinyanyikan sama ada oleh orang dewasa ataupun kanak-kanak.

Sekali gus dapat mengimbau kenangan lalu ketika di zaman kanak-kanak yang hanya dihiasi dengan nyanyian lagu-lagu rakyat ketika permainan. Tahniah kepada pihak penganjur terutamanya Yayasan Budaya Melayu Sarawak (YBMS) dan Majlis Islam Sarawak yang menganjurkan program itu dengan tema Mutiara Irama Serentak Rasa sempena Seminar Budaya Melayu Sarawak Ke-5.

Menyingkap tentang persembahan tersebut, jika promosi yang dilakukan adalah secara menyeluruh, pasti kehadiran penonton melebihi jangkaan. Dengan kata lain dapat mengulangi kata-kata lama ‘pecah panggung’. Pun demikian, kehadiran penonton pada malam tadi begitu menggalakkan.

Jikapun tidak pecah panggung, namun kehadiran mereka berjaya memeriahkan lagi persembahan. Dengan demikian, dapat pulla mengangkat budaya Melayu Sarawak melalui puisi, lagu puisi dan lagu rakyat. Sekali gus, menjanjikan usaha mengekalkan budaya Melayu Sarawak akan berterusan.

Persembahan dimulakan dengan fragmentasi pertama yang berlaku di dalam istana. Anakanda Sultan diceritakan berduka dan hanya mendiamkan diri walaupun pelbagai persembahan dipersembahkan di hadapannya.

Pada mulanya, Sultan menitahkan dayang membaca syair dan kemudian Sultan sendiri terpaksa membaca sebuah sajak bersama-sama anakanda sulungnya. Namun anakada Sultan tetap mendiamkan diri.

Seterusnya, kalangan rakyat hadir ke istana mempersembahkan lagu rakyat Laduh Lanang namun tidak juga berjaya menghiburkan anakanda Sultan. Hingga kepada kalangan anak-anak remaja membuat persembahan, yang juga lagu rakyat akhirnya anakanda Sultan ketawa dan turut menari.

Perkara yang ingin diketengahkan di sini ialah lagu rakyat juga mampu menarik minat di kalangan remaja. Pada masa yang sama, lagu rakyat yang dipersembahkan di istana dapat diibaratkan sebagai satu usaha untuk mengangkat lagu rakyat ke tahap yang lebih tinggi. Jika lagu rakyat di negeri lain boleh menjadi ikutan ramai warganegara Malaysia, mengapa tidak lagu rakyat Melayu Sarawak?

Kemudian, persembahan beralih ke fragmentasi kedua. Kali ini, kisah berlaku di kedai kopi. Sedang sibuk penduduk kampung menjamu selera, muncul Pak Junid membaca syair.

Tatkala negeri bertambah maju
Orang lain berpusu-pusu
Kita termenung tersipu-sipu
Apa nak dibuat kita tak tahu


Dengan gayanya sendiri, dia mampu menarik perhatian penduduk di kedai kopi tersebut.

Namun, dia telah menyindir anak-anak muda dengan mengatakan mereka hanya tahu bohsia, rempit dan sebagainya. Tidak tahu menilai jati diri Melayu. Sebagai anak Melayu yang kuat dengan nilai kemelayuannya, anak-anak muda menyanggah pandangan Pak Junid. Sebagai bukti mereka menunjukkan rasa cinta kepada Melayu dan kebergunaan mereka sebagai Melayu melalui puisi.

Untuk itu, Nurjahan mencelah menafikan menggunakan Sepenuhnya dalam bahasa Sarawak,“Kamek tok bukan orang macam ya. Tau kamek erti penghidupan. Kamek tok orang Melayu. Tetap orang Melayu.” Seterusnya dia menjelaskan lagi penafiannya melalui sajak Aku Mencari Melayu karya Latifah Haji Shebli.

Hari ini
Aku mencari Melayu
Yang bersarung dan berketayap
Itukah Melayu?
Yang berbaju kurung dan bertudung
Itukah Melayu?
Aku mencari Melayu
Jati Melayu?


Kemudian, Wezan tampil mendeklamasikan puisi Melayu Yang Kutahu karya Pharo Abdul Hakim.

Melayu bangsaku pahlawan perkasa
Mencantas ombak meredah desa
Berbekalkan keris dan tombak
Bangsaku merentas lautan dalam
Membawa bersama silat dan gurindam
Membina mandala membangun empayar
Membela pertiwi mempertahankan diri
Buat generasi yang bakal mengganti


Kemudian muncul kumpulan lagu puisi Santari. Kata mereka, “Kamek orang tok walaupun berpakaian rock, tapi kamek semua ada jati diri sendiri. Kamek sik suka dengar lagu rock, rap dan sebagainya. Pak Junid nak dengar kamek orang berlagu? Lagu puisi.”

Sekali gus satu sindiran kepada mereka yang suka mengatakan bahawa anak muda begitu taksub dengan hiburan luar. Walaupun tidak dinafikan hiburan luar banyak menarik minat remaja, namun ada kalangan remaja yang begitu tinggi minat mereka terhadap kebudayaan Melayu, khususnya di Sarawak.

Setelah itu, persembahan diteruskan dengan fragmentasi ketiga yang juga masih berlatarkan kedai kopi. Suffian tampil dengan mengajak penduduk kampung bermain permainan rakyat yang bersyarat. Mereka yang kalah akan dihukum. Antaranya membaca puisi, berpantun dan sebagainya.

Orang pertama yang kalah ialah Mastijah dengan persembahan gurindam dengan teks Gurindam Rindu oleh Melayu Sarawak.

Ya Ilahi malik udayyan
Peliharakan hambamu yang daif pengetahuan
Pancainderaku tidak ketahuan
Adakah ia dirasuk syaitan

Allahu Akbar kahilulalam
Peliharakan hambaMu siang dan malam
Perasaan laksana timbul tenggelam
Terminum racun gadis pualam

Permainan diteruskan yang memaksa Dayang Radzifah membaca puisi Wajah Melayu Baru karya Abizai Abi.

Melayu baru
Ialah pengurus cekap berpendirian tegap
Bijak mencongak coran perancangan
Pintar melebar jalar pelaksanaan

Melayu baru
Ialah arkitek cerdik berperibadi molek
Mahir mengukir sketsa pembangunan
Tekun menenun sutera kemajuan

Suffian Jalet pula menjalani hukuman permainan dengan membaca puisi Adi Badiozaman Tuah berjudul Kukira Tasikmu Tak Kan Berkocak.

Kukira tasikmu tidak akan berkocak
Bila gugur aku
Daun di hujung dahan
Ke permukaan airmu
Kejernihan yang tidak pernah ternoda
Kerana aku
Adalah daun hijau
Meniti tangga waktu
Dari dahan ke dahan
Tidak berpandu
Hingga sampai di titian akhir
Menjadi kering


Kemudian, remaja hadir untuk menghibur dengan lagu rakyat. Akhirnya, Kumpulan Akira membuat persembahan. Sebelum itu, Faizal membuat persembahan pantun yang begitu menebal dalam diri orang Melayu satu ketika dahulu.

Sayur sawi dipatah liat
Tanam serai merimbun daun
Kalau sehari tidak melihat
Rasa bercerai seribu tahun

Ijo ijo dalam perigi
Kacang golok di dalam puan
Terigo igo termimpi-mimpi
Bantal kupeluk rasamu tuan

Turut membuat persembahan ialah Kumpulan Anak Alam dan kemudian Malek Hassan bersama-sama Wezan dan Suffian Jalet mempersembahkan puisi Saiee Driss berjudul Dogma Perjuangan dalam bentuk qasyidah.

tahun demi tahun
telah kita susun catatan perjuangan
setiap saatnya berisi pengalaman
yang mendewasakan
jasad dan jiwa

usia telah kita isikan
dengan saling kenal mengenali
hati budi, harapan dan cita
dan makna nafas-nafas yang dihembus
titis-titis peluh kemercik
atas nama usaha


Keseluruhannya, persembahan ini banyak meneydarkan bahawa budaya Melayu Sarawak juga mampu diangkat ke atas pentas dan mampu pula menarik perhatian penonton. Lebih penting, budaya Melayu Sarawak yang pelbagai harus bijak diadun agar mampu berkekalan sampai bila-bila.

UTUSAN SARAWAK, 20 MAC 2009

ULASAN BUKU: Pergolakan hidup Umar Al-Khattab

Judul buku: Umar Al-Khattab Reformis Dunia Islam
Pengarang: Abdul Latip Talib
Genre: Novel Sejarah Islam
Penerbit: PTS Millennia Sdn. Bhd. (www.pts.com.my)
Halaman: 324
ISBN: 978-983-3603-32-9

NOVEL sejarah Islam berjudul Umar Al-Khattab Reformis Dunia Islam oleh Abdul Latip Talib terbit dalam pasaran ketika masyarakat terutama generasi muda terdedah luas dengan pelbagai budaya barat.

Mungkin ada yang mengenali pahlawan Islam atau sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW tetapi tidak ramai yang tahu akan sejarah hidup dan cabaran yang terpaksa ditempuhinya.

Adalah wajar novel seumpama ini muncul di pasaran untuk mendedahkan generasi muda kepada keberanian pahlawan Islam.

Selain kuat fizikal, pahlawan tersebut juga sanggup berjuang habis-habisan demi agama Islam yang dianutnya.

Apa juga rintangan yang dihadapi ketika memperjuangkan Islam, tidak pernah membuatkan pahlawan-pahlawan ini gentar untuk bertarung.

Kegigihan dan kekuatan inilah yang perlu dicontohi dan boleh diaplikasi dalam bentuk lain, misalnya, pelajaran atau pekerjaan.

Justeru ibu bapa atau penjaga, terutamanya, perlu mendedahkan generasi muda kepada novel seumpama ini yang mungkin akan membina kekuatan dalam diri mereka pula.

Pengarang memulakan kisahnya dengan detik awal kelahiran Khalifah Umar al-Khattab. Tidak ramai yang tahu ibu Umar, Hantamah mengalami kesukaran untuk melahirkannya.

Ia dikatakan mungkin disebabkan dosa-dosa yang dilakukan suaminya. Apalagi al-Khattab seorang yang keras hati, bertabiat buruk, susah diajar dan mempunyai pergaulan yang buruk dengan sesiapa sahaja yang berurusan dengannya.

Bagi memudahkan kelahirannya, al-Khattab kemudian berlembut hati ke Kaabah dan memohon keampunan atas segala dosa yang telah dilakukan hingga memudahkan kelahiran Umar.

Zaman kanak-kanak Umar juga tidak mudah. Ini kerana bapanya mahu Umar dididik dengan keras dan kasar supaya apabila dewasa dia menjadi seorang pahlawan. Kerana itu Umar telah ditugaskan untuk mengembala unta dan kambing.

Pada mulanya Umar menentang ajaran Nabi Muhammad SAW sehinggakan beliau sanggup memukul hambanya, Labinah hingga pengsan semata-mata kerana Labinah menjadi pengikut Nabi Muhammad.

Kemudian adiknya Fatimah dan suaminya, memeluk Islam hingga membuatkan Umar cukup marah. Umar membelasah adik iparnya dan menampar Fatimah. Tetapi kemudian Umar sendiri berasa kasihan dan meminta untuk melihat lembaran ayat al-Quran.

Sebaik sahaja membaca ayat-ayat suci itu, hati Umar mula terbuka untuk memeluk Islam.

Setelah itu Umar menjadi pencetus zaman keemasan negara Islam yang mendapat penghormatan dan sanjungan sepanjang zaman.

Beliau manusia berbakat dan pintar menjadi lambang kejayaan bangsa Arab dan umat Islam. Dalam masa 10 tahun 6 bulan beliau memerintah, seluruh empayar Rom dan Parsi tunduk di bawah kuasa pemerintahan Islam.

Selain sebagai penakluk Umar al-Khattab juga berjaya menyusun pentadbiran yang berkesan dan teratur. Beliau pengasas sistem politik Islam, pelaksana undang-undang syariah dalam negara dan berjaya membentuk sebuah negara Islam baru.

Bukan itu sahaja, Umar al-Khattab mahir dalam ilmu fikah dan seorang pemidato yang hebat. Beliau seorang ahli gusti dan penunggang kuda yang cekap. Walaupun berada di tampuk kekuasaan, pencetus zaman keemasan negara Islam ini hidup sederhana mencontohi Rasulullah.

Dalam bidang keselamatan dalam negeri, beliau menubuhkan pasukan polis. Bagi mengukuhkan sistem pertahanan, beliau membina penempatan tentera serta pelabuhan bagi pembinaan kapal laut.

Pahlawan yang berjaya menundukkan Parsi dan Rom ini turut mengasaskan bandar-bandar baru bagi mengembangkan kebudayaan Islam. Selain itu beliau juga memajukan bidang pertanian dan mengasaskan sistem pelajaran Islam.

Sebenarnya buku-buku yang bercerita tentang pahlawan Islam seumpama ini sudah diketengahkan di pasaran tetapi kebijakan pengarang ini menampilkan novel sejarah Islam ini cukup menarik sehingga memungkinkan sesiapa sahaja akan tergerak untuk membacanya.

UTUSAN SARAWAK, 14 MAC 2009

SBMS Ke-5 sempena 45 tahun Sarawak Maju dalam Malaysia

SEMPENA dengan perayaan ulang tahun ke-45 Sarawak Maju dalam Malaysia, masyarakat Melayu Sarawak (MMS), seperti juga masyarakat lain di negeri ini diminta untuk bersama-sama menyumbang dalam merealisasikan semangat dan aspirasi Simposium Budaya Sarawak.

Tiga matlamat yang digariskan ialah mengupas kembali nikmat keunikan dan kekayaan budaya bersama; mengingatkan generasi muda kepentingan hidup bersama dalam suasana kepelbagaian budaya dan masyarakat; dan memperkukuhkan silaturahim, kefahaman dan toleransi pelbagai budaya.

Sehubungan itu, dicadangkan agar masyarakat Melayu Sarawak memanfaatkan kesempatan ini untuk mengenengah, menampil dan memperlihatkan betapa penting dan signifikannya sumbangan meka melalui aspek budayanya membentuk wajah dan imej Sarawak.

Penampilan ini perlu dibuat secara menyeluruh dan bersepadu, terbuka dan teratur agar dapat dikenali, difahami, dinilai dan dihayati kelainan dalam persamaan antara masyarakat Melayu Sarawak dengan masyarakat Melayu di Semenanjung, dan dengan masyarakat suku kaum dan etnik Bumiputera lain dalam rumpun Melayu di rantau ini.

Satu daripada pendekatan yang diambil untuk merealisasikan perkara ini ialah dengan mengadakan Seminar Budaya Melayu Sarawak (SBMS) Ke-5. Pelbagai aktiviti pengisiannya memungkinkan setiap aspek penting Budaya Melayu Sarawak diketahui, difahami, dihayati, diiktiraf dan dihargai.

SBMS Ke-5 bertujuan menyediakan ruang dan peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat Melayu Sarawak dari seluruh negeri berjumpa dan menyelusuri sejarah, cabaran, menilai pencapaian dan merangka aspirasi budaya bangsanya.

Melalui kesempatan itu, mereka akan lebih memahami dan dapat menghayati, dan kemudiannya lebih bersedia untuk memaklumi, menghargai dan mengiktiraf kebermaknaan peranan dan sumbangan masyarakatnya dalam pembentukan jati diri sebuah negara bangsa yang merdeka.

Pada masa yang sama, seminar tu juga bertujuan menyediakan wadah kepada mereka untuk mempamer dan show-case pelbagai aspek budaya yang mencirikan keunikan dan kehebatan masyarakat Melayu Sarawak.

Secara khusus SBMS Ke-5 bertujuan membincang dan menilai secara kritis sejarah kemajuan dan perkembangan MMS dalam bidang-bidang pendidikan, keagamaan, ekonomi, sosio-budaya, kesenian dan politik yang dianggap penting dalam pembentukan sejarah dan pembentukan lanskap sosio-budaya dan politik negeri Sarawak.

Selain itu, mengenalpasti dan menetapkan dengan penuh rasa yakin kebermaknaan dan kepentingan sumbangan MMS dalam pembentukan jati diri bangsa Malaysia amnya, dan wajah serta imej anak Sarawak khasnya; dan menampil dan mempamerkan pelbagai aspek kesenian, keadatan dan kebudayaan MMS yang unik dan bernilai budaya yang tinggi.

Dengan tema Budaya Melayu Sarawak – Mutiara di Samudera Luas, antara kegiatan seminar ialah Majlis Ilmu merangkumi forum, bengkel, sembang, ceramah, dan seminar.

Seterusnya, pameran artifak kesenian dan budaya; demonstrasi penghasilan kraftangan, hasil seni, makanan, persembahan acara kesenian dan keadatan; bazarnita menjual produk asli MMS; dan Majlis Penghargaan dan Pengiktiran Budaya.

UTUSAN SARAWAK, 14 MAC 9009

Jadual Aktiviti Minggu Budaya Melayu Sarawak

15 Mac (Ahad)
Masa: Petang
Aktiviti: Pendaftaran
Lokasi: Kompleks Pelancongan Sarawak

Masa: Malam
Aktiviti: Perasmian Minggu Budaya Melayu Sarawak
Lokasi: Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri

16 Mac (Isnin)
Masa: Pagi - petang
Aktiviti: Bazarnita
Lokasi: Kompleks Pelancongan Sarawak

Masa: Pagi - petang
Aktiviti: Pameran
Lokasi: Muzium Textile

Masa: 8.00 pagi – 1.00 petang
Aktiviti: Forum Keilmuan/Melayu
Lokasi: Kompleks Pelancongan Sarawak

Masa: 8.30 – 10.00 malam
Aktiviti: Malam Muzik dan Nyanyian
Lokasi: Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri

17 Mac (Selasa)
Masa: Pagi – Petang
Aktiviti: Bengkel Budaya I – IV
Lokasi: Kompleks Pelancongan Sarawak

Masa: 8.30 – 10.00 malam
Aktiviti: Malam Tarian Melayu
Lokasi: Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri

18 Mac (Rabu)
Masa: Pagi – Petang
Aktiviti: Ceramah Tokoh
Lokasi: Kompleks Pelancongan Sarawak

Masa: 8.30 – 10.00 malam
Aktiviti: Puisi dan Lagu Rakyat
Lokasi: Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri

19 Mac (Khamis)
Masa: 8.00 pagi – 12.30 Tengahari
Aktiviti: Sembang-sembang Warga Emas
Lokasi: Kompleks Pelancongan Sarawak

Masa: 11.00 pagi – 1.00 petang
Aktiviti: Pendaftaran Seminar Budaya Melayu Sarawak V
Lokasi: Kompleks Pelancongan Sarawak

Masa: 1.00 petang – 5.00 petang
Aktiviti: Seminar Budaya Melayu Sarawak V
Lokasi: Kompleks Pelancongan Sarawak

Masa: 8.30 malam – 10.00 malam
Aktiviti: Kesenian Budaya Melayu Sarawak
Lokasi: Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri

20 Mac (Jumaat)
Masa: 8.30 pagi – 5.00 petang
Aktiviti: Seminar Budaya Melayu Sarawak V
Lokasi: Kompleks Pelancongan Sarawak

Masa: 8.30 malam – 10.00 malam
Aktiviti: Bangsawan Melayu Sarawak
Lokasi: Auditorium TAZA Institut Perguruan Batu Lintang

21 Mac (Sabtu)
Masa: 8.30 pagi – 1.00 petang
Aktiviti: Seminar Budaya Melayu Sarawak V
Lokasi: Kompleks Pelancongan Sarawak

Masa: 8.30 malam – 11.00 malam
Aktiviti: Majlis Penghargaan dan Pengiktirafan dan Majlis Penutupan
Lokasi: Dewan Santapan Kompleks Pelancongan Sarawak

Malam muzik dan nyanyian 16 Mac ini

BERSEMPENA Minggu Budaya Melayu Sarawak, Malam Muzik dan Nyanyian yang bertemakan Mutiara Yang Tetap Berharga: Sepanjang Jalan Kenangan akan diadakan pada 16 Mac ini, jam 8.30 malam di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Penyelaras Produksi, Zamhari Haji Mostapha berkata, Malam Muzik dan Nyanyian itu merupakan persembahan secara pakej selama 90 minit merangkumi empat segmen – setiap satunya mencerminkan kehebatan dan kewibawaan penyanyi di zaman yang berbeza dengan nyanyian pelbagai jenis lagu ciptaan anak-anak Melayu Sarawak.

“Bersesuaian dengan tema utama kita, persembahan ini bertujuan memberitahu betapa kaya dan indahnya khazanah seni budaya kita serta betapa gigihnya perjuangan seni anak-anak Melayu kita yang berjaya di zaman silam dan kini.

“Di samping itu, meransang dan mencabar semangat jati diri generasi muda kita agar berminat, sekali gus menyahut cabaran melibatkan diri dalam memastikan bidang ini dan khazanah kita akan terus berkembang cemerlang sampai bila-bila.”

Menurutnya, segmen pertama iaitu “Bintang Terbilang – Mutiara Yang Tetap Berharga” didahului dengan lagu pembukaan.

“Kita dihiburkan oleh beberapa penyanyi terkenal di masa lalu yang akan menyanyikan lagu-lagu gubahan pencipta tempatan atau lagu yang pernah menjulang nama mereka di persada seni.”

Segmen kedua iaitu “Bintang Gemilang – Mutiara Yang Bersinar” pula menampilkan penyanyi-penyanyi yang pernah mengharumkan nama Sarawak dalam pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Mereka juga katanya, akan menyanyikan lagu-lagu ciptaan tempatan yang pernah terkenal suatu ketika dahulu.

Sementara segmen seterusnya, “Bintang Cemerlang – Mutiara Yang Gemerlapan” diabadikan kepada artis dan kumpulan artis yang pernah mencipta nama dari dahulu hingga kini yang sedang meniti kejayaan.

Segmen “Bintang Harapan – Mutiara Yang Sedang Digilap” akan menampilkan beberapa penyanyi kanak-kanak dan remaja yang berbakat yang sudah mula mendapat perhatian, sama ada pernah memenangi pertandingan seni suara atau sedang giat berkecimpung dalam bidang seni suara.

Zamhari menjelaskan, persembahan akan dilakukan secara santai tanpa banyak hebahan, sementara lagu-lagu disusun dan dinyanyikan mengikut kesesuaian merentasi keempat-empat segmen.

“Maklumat penyanyi, kumpulan dan pencipta lagu akan ditayangkan pada skrin layar untuk makluman penonton sepanjang persembahan.

“Seterusnya, dua kumpulan muzik iaitu kumpulan lagu asli daripada Yayasan Budaya Melayu Sarawak (YBMS) dan daripada Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) akan mengiringi persembahan,” tambahnya.

UTUSAN SARAWAK, 14 MAC 2009

"Online dengan Tuhan" tingkatkan iman

Tajuk: Online dengan Tuhan
Penulis: Zulkifli Khair
Tahun Terbit: 2009
Jumlah Bab: 33 bab
Jumlah Halaman: 114 halaman
Harga Sabah/Sarawak: RM15

Buku ”Online dengan Tuhan” karya Zulkifli Khair membicarakan tentang hubungan makhluk dengan Khalik yang sepatutnya lebih hebat melampaui teknik hubungan secara teknologi online yang wujud kini.

Penulis menggarap tajuk dan isi dalam buku ini menggunakan analogi peralatan perhubungan zaman moden umpamanya internet, komputer, telefon genggam – yang menakjubkan manusia ­­– padahal secara ironinya juga peralatan ini adalah makhluk dan hubungan secara wayarles dengan Pencipta sebenarnya sudah wujud, lebih awal semenjak zaman Nabi Adam.

Justeru, tidak ada asas bagi manusia terpegun seterusnya lalai dengan kecanggihan peralatan moden yang sepatutnya hanya menjadi kemudahan membantu manusia mendekatkan hubungannya dengan Pencipta.

Lebih penting lagi, dengan melihat kepada segala kemudahan dan kemajuan teknologi yang juga merupakan anugerah daripada Pencipta, pembaca buku ini khususnya remaja yang gemar melayari internet serta aktif menggunakan peralatan teknologi moden sebagai alat perhubungan dan mengakses maklumat, cerdik memanfaatkan teknologi yang ada.

Teknologi digunakan untuk kebaikan serta meningkatkan iman bukan untuk menyusutkan iman apatah lagi digunakan untuk menambah maksiat. Bagi ibu bapa yang mahu melihat iman anak-anak meningkat melalui membaca, buku ini salah satu daripada buku yang mempunyai pendekatan tersendiri sesuai dibaca oleh anak-anak.

Buku setebal 114 halaman ini mempunyai 33 bab. Bahasa yang digunakan mudah difahami melalui persoalan yang berkait rapat dengan kehidupan seharian kita khususnya berkaitan teknologi maklumat dan kehebatan Pencipta mengatasi peralatan ciptaan manusia ini.

Dalam tajuk ”Wahyu Tanpa Wayar” misalnya penulis mengandaikan manusia pasti takjub pada kuasa internet tanpa wayar yang dapat berkata-kata sesama makhluk, padahal kata-kata Allah tanpa wayar jika manusia mahu mendapatkannya, dapatkan naskhah al-Quran. Kata-kata Allah tanpa wayar sudah termaktub lama dalam hidup manusia.

Dalam tajuk ”Sekiranya Tuhan Keluarkan Bil” amat menginsafkan kerana membayar bil internet rumah kita sahaja, kita sudah mengeluh. Kita boleh bankrap sekiranya Tuhan juga mengeluarkan bil menuntut bayaran bagi harga kehidupan yang dilalui sekarang ini. Misalnya mampukah kita membayar harga bil bagi oksigen yang kita sedut! ”Terlalu banyak perkara yang Tuhan berikan secara percuma” tulis penulis buku ini.

Dalam tajuk ”Macam-Macam Ada dalam Internet” penulis membuat perumpaan internet seumpama pisau, boleh diguna untuk kebaikan dan pisau juga boleh meluka tuannya atau mengorbankan jiwa. Dalam bab ”Katakan ’Tak Nak’ Untuk Porno” jelas, penulis mengajak pelayar internet mengelakkan menjadikan internet bak pisau yang menghiris diri atau mengorbankan jiwa.

Antara peringatan penting yang juga dimuatkan dalam buku ini adalah di bawah tajuk ”Zionis dan Perang Siber” – yang mengingatkan ”serangan” Zionis berterusan yang dilancarkan ke atas umat Islam termasuk menggunakan media dan hiburan. Salah satu media yang berkesan ialah internet!

Tajuk lain yang menarik dibaca ialah ”Hantu Internet vs Hantu Perempuan”, ”Internet Sebagai Media Dajal”, ”Anut Islam Selepas Chatting”, ”Berjalanlah Menuju Tuhan, Tuhan Datang dengan Berlari”, ”Klik Connect untuk Cinta”, ”Ayahku Penjenayah, Bagaimana Diriku?”, ”Apabila Rasa Susah, Ramai yang Lebih Susah” dan sebagainya.

Setiap bab ditulis sekitar tiga hingga empat halaman buku, ringkas, padat tetapi mampu menambah ketebalan iman dan mengungkit kesedaran pada kewujudan serta kebesaran Tuhan.

Buku ”Online dengan Tuhan” memuatkan isu dan persoalan daripada tema-tema ilmu ketauhidan tetapi dipersembahkan secara mudah sesuai dengan cara pemikiran semasa, yang mahu bergerak cepat.

Setiap satu bab, penulisannya ringkas dan bersahaja tetapi serius jika difikirkan dan direnungi mendalam. Paling penting daripada isi buku ini ialah bagaimana penulis dapat mencetuskan rasa berfikir di kalangan manusia agar menginsafi kewujudan Tuhan di sisinya, saat susah atau senangnya! Sebelum dan selepas hidupnya. Ketika zaman yang dianggap moden atau edan mahupun jahiliah...

Bahagian Penerbitan DBP jumpa penulis

ANTARA ahli Kelab Penggiat Sastera Sarikei (Kepessa) yang hadir pada perjumpaan dengan Bahagian Penerbitan DBP.


PENERBIT pergi kepada penulis. Ini adalah antara satu usaha yang dilaksanakan oleh Bahagian Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur dan DBP Cawangan Sarawak untuk memperoleh sebanyak mungkin karya untuk diterbitkan dalam majalah terbitan DBP.

Untuk itu, rombongan ini telah mengadakan perjumpaan dengan penulis di setiap bahagian di Sarawak. Baru-baru ini, perjumpaan tersebut diadakan di Bahagian Sarikei.

Perjumpaan dengan ahli Kelab Penggiat Seni Sarikei (Kepessa) itu diadakan pada sebelah malam, yang banyak membincangkan tentang penghasilan karya yang bermutu untuk diterbitkan.

Ketua Bahagian Penerbitan DBP Kuala Lumpur, Padilah Haji Ali, Editor Dewan Siswa, Zaiton Abu Samad dan Ketua Unit Pengembangan Sastera DBP Cawangan Sarawak, Dewan Abang Patdeli Abang Muhi turtu.

Turut serta ialah Editor Wadah Bahasa dan Sastera, Awang Zaidel Awang Jamil yang mewakili Ketua Unit Penerbitan DBP Cawangan Sarawak, dan pihak Dawama Sdn Bhd.

Dalam pertemuan itu, Padilah Haji Ali banyak membincangkan tentang penerbitan, yang merangkumi prosedur karya-karya yang layak untuk diterbitkan dalam majalah-majalah terbitan DBP.

Seterusnya, Zaiton Abu Samad yang juga seorang penulis menjelaskan tentang cara-cara menulis atau berkarya terutama bagi pelajar yang kemudian akan diterbitkan dalam majalah Dewan Siswa, Dewan Pelajar dan sebagainya.

Abang Patdeli Abang Muhi sendiri pula memberikan penjelasan berkaitan karya-karya bermutu yang diterbitkan oleh DBP Cawangan Sarawak.

Dalam penjelasan itu, dia turut memberitahu tentang prosedur sesebuah kumpulan karya yang dihantar untuk diantologikan melalui proses penilaian dan kemudiannya diterbitkan.

Perjumpaan tersebut lebih kepada bual bicara serta soal jawab berkaitan kemusykilan berkenaan penerbitan sesebuah karya.

Diadakan secara santai namun, perjumpaan itu padat dengan perkongsian ilmu antara panel dan peserta yang hadir.

Perjumpaan seperti itu harus dilanjutkan kerana memberi banyak impak pengetahuan berkaitan penerbitan karya-karya di majalah terutama kepada para pelajar dan guru-guru yang turut hadir pada perjumpaan itu.

UTUSAN SARAWAK, 7 FEBRUARI 2009

Ikrar Termuzi perkasakan bahasa kebangsaan

WALAUPUN dicap oleh sesetengah pihak sebagai ‘pegawai kitar semula’, tidak sedikitpun mematahkan semangat Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka yang baru, Dato’ Haji Termuzi Haji Abdul Aziz untuk menjadikan DBP sebagai badan yang memperkasakan bahasa Kebangsaan.

Pada masa yang sama, walaupun baru sebulan memegang jawatan Ketua Pengarah DBP, Dato’ Termuzi berkata, “Walaupun ada yang mengatakan saya ini sebagai ‘pegawai kitar semula’, saya berjanji untuk menjadikan untuk memperkasakan DBP, seterusnya memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

Pada usia 64 tahun dan kembali setelah bersara, beliau mensasarkan agar DBP menerbitkan 700 judul buku untuk tahun 2009.

“Sasaran sekarang ialah menerbitkan 700 judul buku setahun. Jika mencapai 500 judul untuk tahun ini, saya rasakan ia sudah menunjukkan kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama-sama kerabat DBP Cawangan Sarawak, di salah sebuah hotel terkemuda di sini malam kelmarin.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Johan Jaafar, Ahli Lembaga Pengelola DBP, Datu Haji Adi Badiozaman Tuah, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Jiso Rutan, Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian Negara Negeri Sarawak, Saini Lihi, mantan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Zaini Oje turut hadir.

Untuk menjadikan DBP sebagai badan yang memperkasakan bahasa Kebangsaan, beliau menjelaskan pihaknya akan menghadapi beberapa kekangan terutama dari segi peruntukan tahunan.

“Kita mengakui ada kekangan dari segi peruntukan. Untuk itu, kita akan memastikan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan dahulu. Ini mungkin menyebabkan ada pihak yang kurang senang, dan tidak dapat memuaskan kehendak semua.

“Misalnya, jika ada pihak yang berkehendakkan bengkel penulisan ataupun kursus yang mungkin terpaksa kita tolak. Ini kerana mungkin ada program yang lebih awal yang perlu kita utamakan dahulu.

“Seterusnya, mungkin aka nada manuskrip penulis terpaksa ditolak. Bukannya karya itu tidak bermutu, sebaliknya kita tidak diberikan keutamaan. Kita mengutamakan giliran dan keutamaan,” katanya.

Tindakan tersebut jelasnya, bukan untuk mencari alasan, sebaliknya ia satu hakikat dan tidak akan mematahkan semangat semua pihak.

Beliau mengajak semua pihak agar bersama-sama mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

“Satunya ialah jika diadakan bengkel, kita di pihak DBP akan menyediakan tenaga pemimbing. Pihak lain pula menyediakan tempat, peserta termasuk makan minum. Jadi, kita mengharapkan kerjasama tersebut,” tambahnya.

Beliau menjelaskan, hadirnya beliau ke Sarawak diharapkan dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan mengukuhkan kerjasama dengan penulis, jabatan kebudayaan dalam menjayakan misi DBP.

Beliau menyuarakan rasa bangga kerana Majlis Ramah Mesra itu turut dihadiri oleh wakil Sekolah Persendirian Cina.

“Untuk itu, saya meminta kaum Tinghua agar dapat bersama-sama membantu kita memperkasakan bahasa Kebangsaan. Ini kerana tugas tersebut bukannya tugas orang Melayu sahaja, sebaliknya tugas semua rakyat Malaysia.

“Bagi saya, sesiapa sahaja yang mengakui dirinya adalah warganegara Malaysia, dia sepatutnya memperkasana bahasa Melayu. Jati diri itu penting.

“Misalnya, orang Indonesia bangga dengan bahasa mereka. Jika itu adalah jati diri mereka, maka kita jugaharus demikian. Jika itu menandakan kita adalah orang Malaysia, maka kita harus bangga dengan bahasa kita,’ katanya.

Beliau turut mengulangi DBP mengharapkan sokongan dan kerjasama yang berterusan sampai bil-bila.

Tugas mengembangkan bahasa Melayu ujarnya, bukan setakat dilaksanakan oleh DBP Kuala Lumpur, tetapi memerlukan sokongan DBP Cawangan Sarawak dan mana-mana cawangan DBP.

“Dengan kerjasama penduduk Sarawak, usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan akan dapat dilakasanakan dengan jaya.

“Ini akan memberikan kesan kepada kelicinan kerja dan tidak tidak ada masalah untuk mengembangkan bahasa, sastera, penerbitan di seluruh Sarawak.

“Kami perlukan sokongan semua. Tanpa sokongan ini, sukar untuk kita melaksanakan tugas sebaik mungkin,” katanya.

UTUSAN SARAWAK, 7 FEBRUARI 2009

Seminar Budaya Melayu 15-21 Mac

SEMINAR Budaya Melayu akan diadakan di Kuching bermula 15 hingga 21 Mac di dua tempat iaitu Kompleks Pelancongan Sarawak dan Kompleks Dewan Undangan Negeri.

Seminar anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak itu diadakan bersempena sambutan 45 tahun Sarawak maju dalam Malaysia.

Bertemakan “Budaya Melayu Sarawak – Mutiara di Samudera Luas”, seminar itu turut dibantu oleh pelbagai jabatan kerajaan, agensi-agensi serta pertubuhan bukan kerajaan.

Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dijangka merasmikan seminar sementara majlis penutupan dijangka dilakukan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri.

Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber dan Kemudahan Awam, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan merupakan salah seorang penasihat Jawatankuasa Pengelola Seminar Kebudayaan Melayu, mempengerusikan mesyuarat terakhir persediaan seminar.

Pengerusi penganjur ialah Profesor Madya Datu Haji Sanib Haji Said dibantu oleh Datu Haji Adi Badiizaman Tuah.

Budaya merangkumi pelbagai dimensi warisan yang ketara, tak ketara dan intelektual.

Menyedari hakikat itu, jawatankuasa penganjur seminar dibahagi kepada beberapa komponen agar mencapai apresiasi dan pemahaman yang mendalam tentang kekayaan budaya Melayu Sarawak oleh masyarakat umum dan pakar.

Seminar itu bertujuan untuk mengupas isu-isu berkaitan pencapaian kaum Melayu dalam bidang pendidikan, agama, akonomi, sosiobudaya, kesenian dan politik; mengenalpasti dan mempromosi peranan budaya Melayu dalam dalam pembentukan identiti negeri dan negara; dan mengetengahkan pelbagai bentuk budaya Melayu.

Komponen pertama seminar pameran gambar, artifak dan demonstrasi. Bazarnita dan Pertunjukan Fesyen Wanita Melayu bertujuan untuk menghargai penyertaan wanita Melayu Sarawak. Ini akan diadakan di Kompleks Pelancongan pada 16 hingga 21 Mac dan terbuka kepada umum. Kemasukan adalah percuma.

Komponen kedua seminar ini ialah persembahan kesenian merangkumi tarian, nyanyian dan puisi yang akan dipersembahkan pada sebelah malam pada 16 hingga 21 Mac di Kompleks Dewan Undangan Negeri.

Juga persembahan bangsawan tentang sejarah Sharip Masahor menentang penjajahan koloni pada abad ke-19. persembahan ini akan diadakan pada 20 Mac di Auditorium Tun Ahmad Zaidi, Institut Perguruan Batu Lintang. Kemasukan juga adalah percuma.

Komponen ketiga seminar ialah pembentangan 20 kertas kerja tentang intelektual Melayu Sarawak daripada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaya dan Universiti Brunei Darussalam bermula 19 hingga 21 Mac di Kompleks Pelancongan.

Pada masa yang sama, diadakan juga forum dan dialog bersama pemimpin Melayu dan belia yang terbuka kepada badan bukan kerajaan, ahli perniagaan, jabatan pekerjaan dan agensi serta individu yang berminat.

Resolusi seminar akan dibawa ke Simposium Kebudayaan Sarawak yang akan diadakan di Kuching pada 19 dan 20 Jun.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Sharina Mohamed Hussain melalui emel akybmsarawak@yahoo.com atau melayari laman web http://yayasanbudayamelayu.blogspot atau menghubungi talian 082-239460.

UTUSAN SARAWAK, 7 FEBRUARI 2009