Ikrar Termuzi perkasakan bahasa kebangsaan

WALAUPUN dicap oleh sesetengah pihak sebagai ‘pegawai kitar semula’, tidak sedikitpun mematahkan semangat Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka yang baru, Dato’ Haji Termuzi Haji Abdul Aziz untuk menjadikan DBP sebagai badan yang memperkasakan bahasa Kebangsaan.

Pada masa yang sama, walaupun baru sebulan memegang jawatan Ketua Pengarah DBP, Dato’ Termuzi berkata, “Walaupun ada yang mengatakan saya ini sebagai ‘pegawai kitar semula’, saya berjanji untuk menjadikan untuk memperkasakan DBP, seterusnya memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

Pada usia 64 tahun dan kembali setelah bersara, beliau mensasarkan agar DBP menerbitkan 700 judul buku untuk tahun 2009.

“Sasaran sekarang ialah menerbitkan 700 judul buku setahun. Jika mencapai 500 judul untuk tahun ini, saya rasakan ia sudah menunjukkan kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama-sama kerabat DBP Cawangan Sarawak, di salah sebuah hotel terkemuda di sini malam kelmarin.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Johan Jaafar, Ahli Lembaga Pengelola DBP, Datu Haji Adi Badiozaman Tuah, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Jiso Rutan, Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian Negara Negeri Sarawak, Saini Lihi, mantan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Zaini Oje turut hadir.

Untuk menjadikan DBP sebagai badan yang memperkasakan bahasa Kebangsaan, beliau menjelaskan pihaknya akan menghadapi beberapa kekangan terutama dari segi peruntukan tahunan.

“Kita mengakui ada kekangan dari segi peruntukan. Untuk itu, kita akan memastikan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan dahulu. Ini mungkin menyebabkan ada pihak yang kurang senang, dan tidak dapat memuaskan kehendak semua.

“Misalnya, jika ada pihak yang berkehendakkan bengkel penulisan ataupun kursus yang mungkin terpaksa kita tolak. Ini kerana mungkin ada program yang lebih awal yang perlu kita utamakan dahulu.

“Seterusnya, mungkin aka nada manuskrip penulis terpaksa ditolak. Bukannya karya itu tidak bermutu, sebaliknya kita tidak diberikan keutamaan. Kita mengutamakan giliran dan keutamaan,” katanya.

Tindakan tersebut jelasnya, bukan untuk mencari alasan, sebaliknya ia satu hakikat dan tidak akan mematahkan semangat semua pihak.

Beliau mengajak semua pihak agar bersama-sama mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

“Satunya ialah jika diadakan bengkel, kita di pihak DBP akan menyediakan tenaga pemimbing. Pihak lain pula menyediakan tempat, peserta termasuk makan minum. Jadi, kita mengharapkan kerjasama tersebut,” tambahnya.

Beliau menjelaskan, hadirnya beliau ke Sarawak diharapkan dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan mengukuhkan kerjasama dengan penulis, jabatan kebudayaan dalam menjayakan misi DBP.

Beliau menyuarakan rasa bangga kerana Majlis Ramah Mesra itu turut dihadiri oleh wakil Sekolah Persendirian Cina.

“Untuk itu, saya meminta kaum Tinghua agar dapat bersama-sama membantu kita memperkasakan bahasa Kebangsaan. Ini kerana tugas tersebut bukannya tugas orang Melayu sahaja, sebaliknya tugas semua rakyat Malaysia.

“Bagi saya, sesiapa sahaja yang mengakui dirinya adalah warganegara Malaysia, dia sepatutnya memperkasana bahasa Melayu. Jati diri itu penting.

“Misalnya, orang Indonesia bangga dengan bahasa mereka. Jika itu adalah jati diri mereka, maka kita jugaharus demikian. Jika itu menandakan kita adalah orang Malaysia, maka kita harus bangga dengan bahasa kita,’ katanya.

Beliau turut mengulangi DBP mengharapkan sokongan dan kerjasama yang berterusan sampai bil-bila.

Tugas mengembangkan bahasa Melayu ujarnya, bukan setakat dilaksanakan oleh DBP Kuala Lumpur, tetapi memerlukan sokongan DBP Cawangan Sarawak dan mana-mana cawangan DBP.

“Dengan kerjasama penduduk Sarawak, usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan akan dapat dilakasanakan dengan jaya.

“Ini akan memberikan kesan kepada kelicinan kerja dan tidak tidak ada masalah untuk mengembangkan bahasa, sastera, penerbitan di seluruh Sarawak.

“Kami perlukan sokongan semua. Tanpa sokongan ini, sukar untuk kita melaksanakan tugas sebaik mungkin,” katanya.

UTUSAN SARAWAK, 7 FEBRUARI 2009

No comments: