Sasterawan Negara S. Othman Kelantan meninggal dunia

HARI ini, 31 Julai 2008, dunia sastera dikejutkan dengan berita kembalinya Sasterawan Negara, S. Othman Kelantan ke Rahmatullah tengah malam tadi akibat serangan sakit jantung. Al-Fatihah. Anak Allahyarham, S.M. Zakir berkata, jenazah ayahnya akan dikebumikan pada pukul 11.30 pagi ini.

"Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pangkas, Bangi, Selangor,'' katanya.

Biodata S Othman Kelantan

S OTHMAN KELANTAN atau nama sebenarnya Syed Othman bin Syed Omar (al-Yahya) dilahirkan pada 13 November 1938, di Tebing Tinggi, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan.

Beliau memperoleh Sarjana Muda Sastera (1979) dan Sarjana Sastera (1982/83) dari Universiti Sains Malaysia. Kemudian pada tahun 1994/95 beliau memperoleh Ph.D dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Setelah lulus Ijazah Sarjana, S Othman berkhidmat dengan Universiti Sains Malaysia selama dua tahun. Mulai tahun 1983, beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pensyarah di fakulti Pendidikan/ATMA.

Jawatan terakhirnya yang disandang ialah Profesor Madya hingga beliau bersara pada tahun 1997. Kemudian beliau berkhidmat sebagai karyawan tamu di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1997-1999). Kini beliau menjadi pensyarah sambilan di Pujangga Management Institute (Francais UUM).

S Othman Kelantan aktif menulis puisi, cerpen, novel serta esei/kritikan. Sehingga kini S Othman telah menghasilkan lebih 182 buah cerpen. Beliau gemar meneroka persoalan yang mencakupi soal-soal kemasyarakatan, politik, agama, dan falsafah. Novel yang dihasilkannya ialah 12 buah novel dewasa dan empat buah novel remaja.

Antara novel beliau yang terkenal ialah Pengertian (1966), Pertentangan (1967), Angin Timur Laut (1969), Perjudian (1973), Juara (1973), Perwira (1980), Ruang Perjalanan (1989), Wajah Seorang Wanita (1990), Ustaz (1991), Nagogho Astana (1997), dan Orang Kota Bharu (2003. Beliau juga menghasilkan lima buah antologi cerpen persendirian.

Cerpen dan novel beliau pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis, Jepun, Inggeris, Rusia, Thai, Vietnam dan Cina.

Sebagai seorang sarjana sastera, beliau telah menghasilkan banyak buku-buku akademik yang berkaitan tentang kesusasteraan.

Selain menulis cerpen dan novel, S Othman Kelantan turut menghasilkan esei dan kertas-kertas kerja untuk beberapa pertemuan penulis baik pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan sebanyak 364 buah esei/kritikan.

Di samping berkecimpung dalam dunia penulisan sastera, beliau turut terlibat dalam kegiatan persatuan penulis. Beliau pernah menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK) (1973-1976), Persatuan Penulis Nasional, Penasihat PPK, dan Penasihat Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (Puspa).
Kesungguhannya menghasilkan karya dan mengabdikan dirinya dalam dunia kesusasteraan mewajarkan beliau dipilih untuk menerima hadiah seperti Hadiah Peraduan Mengarang Novel DBP 1962, Pelangi (sagu hati), Hadiah Sastera Malaysia 1972, 1973, 1974 (cerpen) dan 1984 (esei), S.E.A. Write Awards (1990), Pingat Bakti (PB) oleh DYMM Sultan Kelantan (1973), Pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N.) oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong (1974), Anugerah Tokoh Sastera Negeri Kelantan (2003), dan Anugerah Sastera Negara (2003).

SIFAR johan Festival Teater Malaysia 2008

Persatuan Seni Persembahan Sifar merakam gambar setelah diumumkan johan Festival Teater Malaysia 2008 Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

SETELAH sedekad lamanya (1998 – 2008) selepas Grup Teater Ngoncong menjadi johan, akhirnya Persatuan Seni Persembahan Sifar (SIFAR) berjaya membawa kembali gelaran Juara Festival Teater ke negeri Sarawak. Kemenangan Sarawak kali ini telah mencipta sejarah baru dalam dunia pertandingan teater tanah air.

Kemenangan yang disifatkan oleh juri dan aktivis teater di Semenanjung sebagai besar ini telah berjaya memenangi lima dari lapan anugerah yang dipertandingkan.

Antara anugerah yang berjaya dimenangi ialah'

i. Johan (SIFAR)
ii. Pengarah Terbaik (Suffian Haji Jalet)
iii. Pelakon Lelaki Terbaik (Malek Hassan)
iv. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Hassan Ahmad)
v. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Serivina Sanina)
vi. Pelakon Harapan Lelaki (Alik Hassan).

Satu kebanggaan kepada Serivina Sanina pelajar Tingkatan 1 dari Sekolah Seni Kuching yang telah berjaya meraih anugerah pelakon pembantu wanita terbaik yang hanya menjalani latihan dalam masa tidak sampai dua bulan.

Lakonan yang telah ditunjukkan oleh Serivina sewaktu pementasan di MATIC, Kuala Lumpur begitu mencuit serta menyentuh hati penonton.

Apa yang menarik disini ialah majoriti pelakon-pelakon dalam produksi Tukang Ensera ini terdiri daripada anak-anak muda yang sebelum ini tidak pernah kenal erti teater.

Namun satu pujian harus diberikan kepada mereka kerana berjaya mementaskan lakonan yang cukup menarik.

Makanya bakat yang sudah terpahat dalam diri mereka haruslah sentiasa diasah dan digilap semoga akan kekal dalam diri mereka.

Sejajar dengan visi dan misi SIFAR antaranya untuk memberi pendedahan dunia kesenian dalam jiwa anak-anak muda semoga satu hari nanti dapat bercambah menjadi sesuatu yang sebati dalam jiwa telah berjaya direalisasikan untuk produksi mereka yang pertama ini.

Semoga produksi-produksi yang bersifat kesenian yang dikelolakan oleh SIFAR di masa yang akan datang dapat meneruskan lagi niat murni ini.

Festival Teater Malaysia 2008 berlangsung di MTC (Malaysian Tourism Centre), Jalan Ampang, Kuala Lumpur menampilkan enam kumpulan teater yang terbaik dari seluruh Malaysia yang telah dipilih oleh juri profesional.

Kumpulan tersebut ialah Kumpulan Ruang Damai Sdn. Bhd. dari Negeri Sembilan yang mementaskan Hamletmaschine, Pertubuhan Pentas Lakon UM (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) mementaskan Tengku Kudin, The Art Stage Club (Negeri Selangor) mementaskan Wajah Lumpur, Persatuan Penggerak Warisan Budaya (AKRAB) dari Kedah mementaskan Hamlet, Anak Seni Pendidikan Kelantan (ASPEK) mementaskan Dilema Baginda Sultan dan Persatuan Seni Persembahan SIFAR (Sarawak) mementaskan Tukang Ensera.

Senarai Johan Pekan Teater Kebangsaan/Festival Teater Malaysia

Tahun 1991
Nama Kumpulan: Kelab Seni Universiti Sains Malaysia (USM)
Negeri:Pulau Pinang
Skrip/Karya: Tanah Bernanah (Albert S. Florentino)

Tahun 1992
Nama Kumpulan: Teater Suria Johor Bahru
Negeri: Johor
Skrip/Karya: Ayang-ayang Purwo (Shukor Mohd. Nor)

Tahun 1993
Nama Kumpulan: Grup Teater Kolektif
Negeri: Sabah
Skrip/Karya: Tukang (Dr. Hatta Azad Khan)

Tahun 1994
Nama Kumpulan: Angkasaran, USM
Negeri: Pulau Pinang
Skrip/Karya: Kena Main (Khalid Salleh)

Tahun 1995
Nama Kumpulan: Kelompok Sanggar Teater
Negeri: Terengganu
Skrip/Karya: Mayat (Dr. Hatta Azad Khan)

Tahun 1996
Nama Kumpulan: Gabungan Anak Seni Teater UiTM Cawangan Perak
Negeri: Perak
Skrip/Karya: Kerusi (Dr. Hattan Azad Khan)

Tahun 1997
Nama Kumpulan: Grup Teater Artis Kreatif
Negeri: Wilayah Persekutuan
Skrip/Karya: Peran (Datp’ Nordin Hassan)

Tahun 1998
Nama Kumpulan: Grup Teater Ngoncong
Negeri: Sarawak
Skrip/Karya: Sawo (S..M. Noor)

Tahun 1999
Nama Kumpulan: Grup Teater Badan Kebudayaan dan Kesenian Yayasan
Negeri: Johor
Skrip/Karya: Pentas Opera (Zakaria Ariffin)

Tahun 2000
Nama Kumpulan: Kelab Teater Rimba UKM
Negeri: Selangor
Skrip/Karya: Patung-patung (Dr. Hatta Azad Khan)

Tahun 2001
Nama Kumpulan: AKRAB
Negeri: Kedah
Skrip/Karya: Monolog (Rosnan Nordin)

Tahun 2002
Anugerah Khas Juri
Johor, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Kelantan

Tahun 2003
Nama Kumpulan: Angkatan Budaya Daerah Balik Pulau
Negeri: Pulau Pinang
Skrip/Karya: MISI (Faisal Tehrani)

Tahun 2004
Nama Kumpulan: Fuzzy Logic Entertainment
Negeri: Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Skrip/Karya: Tat Nenas (Shahredza Minhat)

Tahun 2006
Nama Kumpulan: Kubas
Negeri: Kedah
Skrip/Karya: Angin Kering (Datuk Johan Jaafar)

Tahun 2008
Nama Kumpulan: Persatuan Persembahan Sifar
Negeri: Sarawak
Skrip/Karya: Tukang Ensera (Awangku Merali Pangeran Mohamed)

Utusan Sarawak, 31 Julai 2008

Teater Muzikal Putera Semandin 9 Ogos



SEBAHAGIAN daripada pelakon Teater Muzikal Putera Semandin yang akan dipentaskan oleh Kumpulan Teater Art of Saramart pada Pementasan Teater Berkala 2008 di Auditorium Tun Ahmad Zaidi, Institut Perguruan Batu Lintang (IPBL) pada 9 Ogos depan.




SETELAH
beberapa kali kisah Puteri Santubong diangkat ke pentas teater, kisah lagenda ini tetap juga menjadi pilihan oleh pengarah teater di negeri ini. Untuk itu, Pengarah Teater Muzikal Putera Semandin, Mohd Ghazali Jeman melalui Art of Saramart akan mementaskan teater tersebut pada 9 Ogos di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce, Institut Perguruan Batu Lintang (MPBL).

Ghazali yang ditemui baru-baru ini menjelaskan, teater muzikal yang dipentaskan sempena Program Pementasan Teater Berkala itu merupakan cetusan semula kisah Puteri Santubong.

“Dalam teater ini, Sang Putera Semandin diceritakan turun ke bumi tanpa pengetahuan kayangan untuk mencari kekasihnya, Puteri Santubong. Banyak dugaan yang dihadapinya sebelum berjumpa Puteri Santubong,” katanya.

Katanya, lagenda Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang dalam teater muzikal itu mempunyai nafas perbezaan dari kisah asal.

Kisah percintaan tiga segi dan sengketa akibat perebutan seorang putera satria yang bernama Putera Sang Semandin (Abang Patah) menjadi latar untuk membangkitkan drama dan pengkisahan yang tragis antara tiga watak (orang bunian) dalam kisah ini.

Putera Semandin membangkit sengketa lama antara Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang apabila Putera Sang Semandin tidak dapat menahan rindu di hati lalu turun ke bumi untuk mencari Puteri Santubong yang dikukurng di puncak gunung Santubong.

Puteri Sejinjang amat marah apabila mengetahui tentang hal tersebut. Kisah lama terungkit kembali. Santubong dan Sejinjang berkelahi lagi di bumi.

Apakah yang akan terjadi kepada Putera Sang Semandin? Berjayakah Putera Sang Semandin bertemu kekasihnya, Santubong? Berjayakah Puteri Sejinjang membalas dendamnya kepada Puteri Santubong? Dan, ke manakah hilangnya Puteri Santubong?

Watak Putera Semandin dilakonkan oleh Mohd Ghazali Jeman, Bujang (Abdul Rahman Yan), Jaon (Tajol Ashikin), Puteri Santubong (Siti Azizah), Puteri Sejinjang (Hasanah Hashim), Kijang Putih (Azizah), Menaol Hitam (Hilda Donna), Narator (Ferrazilla dan Ernie Dorris) dan 15 penari.

Menurutnya, cerita tersebut merupakan idea asalnya dan diterjemahkan oleh Zakaria Hassan dalam bentuk skrip drama.

Katanya, sebanyak lima lagu telah dicipta oleh Azwandy Suhaimi atau Ajai Sarawak khusus untuk teater tersebut.

Ghazali pernah memenangi Pengarah Terbaik Festival Teater Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2003 dan 2004 masing-masing melalui teater Mati dan Sesat.

(Utusan Sarawak, 24 Julai 2008)



Persidangan Para Setan


Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara, Negeri Sarawak dengan kerjasama Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sarawak dan Medan Teater Sarawak (MANTERA) baru-baru ini menghidangkan sebuah pementasan teater sempena Program Teater Berkala Sarawak 2008.

Kali ini, giliran Kumpulan Teater Sanggar Creative Production mempersembahkan sebuah naskhah yang diadaptasi dari karya Joko Umbaran yang bertajuk Persidangan Para Setan.

Persidangan Para Setan mengungkap tentang kehidupan manusia yang semakin lupa dan alpa dengan tanggungjawab yang telah diberikan ketika mereka dilahirkan ke dunia.

Perdebatan dan pembentangan usul dalam persidangan yang dihadiri oleh para setan sarat dengan mesej yang mengingatkan kita kepada tanggungjawab sebagai manusia.

Pada pementasan kali ini, sekali lagi Sanggar Creative Production mengambil pendekatan mengetengahkan bakat baru dan digabungkan dengan yang berpengalaman dalam menjayakan objektif pihak Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara, Negeri Sarawak untuk membangunkan teater negeri Sarawak.

(Utusan Sarawak, 17 Julai 2008)

Penceritaan Bara Yang Menyala menghiburkan


Profesor Madya Hashim Ismail (kanan sekali) bersama-sama Dr. Jeniri Amir (tengah) dan Haji Hamzah Hamdani (kiri sekali) ketika menyertai Perkampungan Penulis Sarawak 2008 di Mukah, baru-baru ini.

PENGALAMAN membaca novel Bara Yang Menyala, karya Jaya Ramba memberikan kesan pembacaan dari segi struktur penceritaan yang banyak boleh dibincangkan, kata Profesor Madya Hashim Ismail ketika membicarakan buku tersebut pada Diskusi Karya sempena Perkampungan Penulis Sarawak 2008 di Mukah, baru-baru ini.

Seterusnya katanya, persoalan dendam dan kasih sayang dalam sebuah keluarga yang dilatari dunia peniagaan, dan kesan penulisan yang berlatarbelakangkan sebuah kebudayaan masyarakat Cina.

Menurutnya, Dari segi naratif, penstrukturan cerita di dalam novel tersebut didapati disusun secara kronologi, dan perkembangan peristiwa berlaku sekitar empat tahun dan berlatar belakangkan daerah Miri, Sarawak.

Jika berdasarkan teori naratif jelasnya, dua perkara yang penting dalam hukum sebab akibat untuk sesebuah peristiwa berkembang.

"Secara umum, didapati pengarang menyusun ceritanya secara rapi untuk dikembangkan dari satu peristiwa ke satu peristiwa. Walau bagaimanapun, terdapat gangguan ketara pada teknik susunan peristiwa.

"Proses kemerosotan yang dilihat untuk mencapai fungsi cerita telah menyebabkan proses pembacaan menjadi hambar kerana terlalu banyak unsur kebetulan yang digunakan.

"Dan ia menjadikan cerita hambar dari segi darjah kelogikan bercerita. Terdapat sekurang-kurangnya sepuluh teknik kebetulan yang digunakan oleh pengarang sepanjang perjalanan peristiwa," katanya.

Unsur kebetulan jelasnya, merupakan satu teknik paksaan yang jika dielakkan atau dikurangkan akan menjadikan pembacaan novel tersebut lebih menarik.

Jika berpandukan unsur konflik yang digunakan dalam novel itu, beliau mendapati proses kesejahteraan dan proses kemerosotan akan menampakkan fungsi cerita yang dapat dibahagikan mengikut kelompok watak.

Katanya, epsetemologi Bara Yang Menyala dengan asas kata "Dendam" menjadikan watak di dalam novel tersebut diberikan imej dendam yang berpanjangan.

"Hasil daripada konflik yang diwujudkan dalam cerita. Watak-watak berikut berhadapan dengan krisis emosi masing-masing. Ini membuktikan bahawa mengikut teori naratif, kemungkinan objektif akan menyokong tema naratif yang disampaikan."

Hasil analisis teori naratif juga menunjukkan bahawa keseluruhan novel itu lebih menekankan proses kesejahteraan berbanding proses kemerosotan.

"Apakah kelebihan novel ini? Proses pembacaan membawa motif positif dari segi persoalan yang dibawa.

"Walaupun konflik yang berlaku hanya dalam sebuah keluarga dan konflik tersebut tidak membawa kesan-kesan pemikiran yang besar, namun sebagai pembagai kita akan melalui satu proses moral tentang budaya etika dalam satu keluarga kecil masyarakat Cina. Berbagai kemungkinan boleh berlaku untuk merasionalkannya."

Kelebihan novel itu jelas Profesor Madya Hashim Ismail terletak pada selok-belok sikap tegas dalam keluarga Cina.

"Ini kelebihan yang jarang kita temui dalam karya-karya lain di Malaysia. Jarang sekali pengarang kita sanggup meneroka satu kemelut yang berlaku dalam masyarakat Cina.

"Walaupun novel ini merupakan sebuah fiksyen tetapi sebagai satu wacana teks yang berpusat keseluruhannya kepada keluarga Cina, kita dapat andaikan bahawa novel ini boleh mewakili satu persoalan sikap yang berlaku dalam masyarakat CIna.

"Budaya etika, perasaan, emosi dan tindakan watak-watak dalam novel ini menunjukkan perasaan dendam boleh menjadi satu wabak kepada konflik yang berterusan."

Katanya, kesan sampingan untuk pembaca memahami bahawa mesej novel itu ialah pembaca dihidangkan dengan penggunaan gaya bahasa yang tidak stabil.

Pada peringkat awal pembacaan novel itu jelasnya, penggunaan bahasa pada halaman 1 dan 2 dikesan bersifat imaginatif dan mencapai tahap keupayaan seorang pengarang yang baik dalam metafora berbahasa.

Namun demikian, keupayaan bahasa menjadi terganggu pada bab-bab seterusnya terutama di bahagian akhir cerita yang menampakkan kelonggaran dalam penggunaan bahasa, katanya.

Walaupun pengarang ujarnya, mementingkan elemen dramatik dalam bentuk naratifnya, namun keupayaan berbahasa yang lebih bersifar dimaginatif dapat meningkatkan kualiti keindahan sastera ataupun kesan estetika bahasa dalam novel tersebut.

"Penggunaan bahasa yang tepat dan baik akan melancarkan lagi proses pembacaan novel ini. Penyusunan episod juga didapati lebih cepat dan bertingkah dengan jalan cerita yang cepat berubah atau berpindah dari satu episod ke satu episod.

"Kesannya, proses pembacaan novel ini membentuk proses pembacaan yang tersekat-sekat. Penggunaan dialog yan banyak dalam setiap episod memberikan kesan dramatik."

Aksi-aksi sedemikian jelasnya, banyak ditunjukkan melalui gaya penceritaan yang menjadi dasar atau paksi setiap peristiwa. Kaedah naratif sedemikian adalah sesuai jika difilemkan dan kaedah judstaposisi dan kaedah kolaj jika perlu ditingkatkan sebagai sebuah hasil naratif yang lebih baik.

(Utusan Sarawak,17 Julai 2008)

Dunia penyair kompleks di luar, dalam dirinya


“DUNIA penyair bukan sahaja dunia kompleks di dalam dirinya, tetapi dunia kompleks di luar dirinya,” kata Jeniri Amir membentangkan makalah Bunga Yang Menangis Dunia di dalam diri dan di luar diri penyair pada Perkampungan Penulis Sarawak 2008 di Mukah baru-baru ini.

Menurutnya, penyair yang peka dan berbakat bukan hanya cuba menyelam ke dalam lautan emosi di dalam dirinya, tetapi juga mengharungi alam raya yang luas terbentang di luar dirinya.

“Dia bukan hanya memperkatakan persoalan yang terlalu peribadi sifatnya, tetapi juga persoalan universal tentang manusia, alam, dan persekitarannya,” katanya.

Persoalan puisi jelasnya ialah renungan dan pemikiran tentag kehidupan dalam pelbagai bentuk, dengan pendekatan pelbagai dimensi: peribadi, kemasyarakatan atau universal.

“Justeru, dia tidak dapat membebaskan dirinya daripada memperkatakan tentang dirinya, manusia di sekitarnya, alamnya dan Penciptanya.

“Di tangan penyair yang peka dan kreatif, alam dan kehidupan ialah tema dan persoalan karya yang tanpa sempadan, tentang pelbagai pengalaman kemanusiaan, suka duka, jatuh bangun manusia, kegembiraan dan kesedihan.”

Penyair yang peka dan kreatif jelasnya, selalu dicabar oleh pergolakan dan perkembangan alam, manusia dan kemanusiaan di sekitarnya.

Ja’afar Haji Hamdan yang menghasilkan kumpulan Bunga Yang Menangis ujarnya ialah pemerhati yang tekun dan tajam, yang selalu cuba memanfaatkan pengalaman dan pemerhatiannya.

Beliau mengikuti perkembangan di persekitarannya dan juga kejadian kemanusiaan dengan prihatin, serta dengan rasa faham yang mendalam.

“Kita lihat karyanya lahir daripada pengalaman kemanusiaan yang penuh, panjang dan beraneka. Itulah sebabnya, sebagaimana sepatutnya, pengalaman puisi yang intens, inti pati daripada renungan dan pemikirannya tentang sesuatu yang menyentuh daya rasa dan fikirnya.

“Membaca puisi beliau menyebabkan kita masuk ke dalam diri penyair, menyelami segala pengalamannya yang kental. Pembaca diajak masuk ke dalam inti pemikiran dan perasaannya,” tambahnya.

Bagaimanapun penyair jelas Jeniri sedar akan hakikat betapa perlunya ia menyeimbangkan perasaan dengan pemikiran, kerana menyedari bahawa puisi yang baik ialah puisi yang turut menyerlahkan daya intelektualisme.

Bagi penyair, puisi yang hanya memberatkan perasaan, tidak akan banyak gunanya kepada pembaca, manakala karya yang terlalu memberatkan pemikiran akan menjadi kering dan kurang nilai estetikanya.

Bagi menyeimbangkan kedua-duanya, penyair kata Jeniri, turut cuba memanfaatkan aspek bahasa dengan sebaik-baiknya.

“Nilai estetika dan kesenian dimartabatkannya dengan mencuba melanggar segala kemungkinan sempadan bahasa. Licentia poetica dimanfaatkan dengan sebaik mungkin, dan bukan disalahgunakan,” katanya.

Sambungan minggu lepas

“DALAM puisi Ja’afar, terserlah percubaannya untuk menampilkan pemikiran yang serius tentang sesuatu isu yang mengganggunya. Di dalam puisinya, tema dan persoalan ditinjau dri pelbagai dimensi atau perspektif,” kata Jeniri Amir.

Tambahnya, “Dia masuk ke dalam dirinya, ke luar diri, ke wilayah jauh dan dekat, meliputi pelbagai persoalan seperti sosial, bahasa, budaya, agama dan seumpamanya. Beliau (Ja’afar) cuba menjawab pelbagai soalan meskipun jawapan yang diberi bukanlah mutlak.”

Menurutnya, Ja’afar seperti penyair terdahulu daripadanya, tidak dapat membebaskan diri daripada mengungkapkan persoalan tentang diri, hubungan manusia dengan manusia, manusia dengan alam, dan manusia denan Penciptanya.

Seperti seniman yang baiknya, jelasnya, Ja’afar dalam karyanya mencuba untuk mencari jawapan kepada masalah yang melingkari masyarakat dan bangsanya.

“Tugas ini bukannya mudah, kerana sebagaimana terpancar daripada karyanya dalam antologi ini, jelas memperlihatkan bahawa Ja’afar ialah seorang seniman yang selalu mahu mempersoalkan pelbagai isu, persoalan dan perkara.

“Kita perlu mengakui bahawa inilah yang membantu meningkatkan mutu dan karya beliau. Dengan membaca puisinya, kita bukan sahaja diajak mengintropeksi ke dalam diri, tetapi yang lebih penting, merenung dan memikirkan erti kehidupan dan kewujudan ini.

“Puisi beliau membantu kita memahami kehidupan yang kompleks dan kekompleksan di sekitarnya,” jelas Jeniri.

Tentang kemerdekaan, nasionalisme, budaya, bahasa dan bangsa terangkum dalam Bunga Merdeka, Ikrar Anak Merdeka, Getir Yang Mungkir, Sumpah Anak Pertiwi dan Bunga-bunga Kemerdekaan.

Dari sudut pascakolonialisme, penyair katanya mengajak pembaca menyedari dan menghargai perjuangan dan pengorbanan pejuang yang menuntut kemerdekaan tanah air.

Kehadiran tema dan persoalan tentang kemerdekaan dan nasionalisme dalam puisi-puisi Ja’afar ujarnya memperlihatkan persoalan tersebut masih lagi relevan pada alaf baharu.

Ja’afar menggunakan puisi sebagai alat pengucapan untuk menyuarakan kesedaran tentang nasib dan survival bangsa dan negara bangsa ketika mengharungi era globalisasi.

“Ja’afar menganggap bahawa persoalan nasionalisme dan kemerdekaan adalah masih relavan, dan perlu terus disuarakan melalui puisi. Kita Orang Melayu menggambarkan keprihatinan penyair terhadap nasib yang menimpa orang Melayu.

“Melayu yang berasal ‘dari pohon yang satu’ diharapkan agar tetap bersatu padu ketika berdepan dengan pelbagai cabaran. Dengan itu, bangsa Melayu akan dapat terus maju,” tambahnya.

Utusan Sarawak, 17 Julai 2008

Perkampungan penulis dwitahunan...

Ketua I Persatuan Penulis Utara Sarawak (Putera), Abizai Abi mencadangkan agar Perkampungan Penulis Sarawak diadakan secara dwitahunan.

"Wujud jarak yang agak panjang selepas perkampungan yang sama pada 2002. Sepatutnya diadakan dengan lebih kerap. Paling kurang pun sekali dalam tempoh dua tahunan."

Seterusnya, Abizai menjelaskan, perkampungan kali ini kurang melihat sumbangan penulis baru.

"Jika boleh, ada kertas kerja khas yang melihat sumbangan dan penilaian karya penulis muda secara rinci. Banyak sangat sejarah diceritakan. Masa depan sastera kita kurang disentuh."

Beliau turut mencadangkan agar seorang tokoh khas diketengahkan dalam perkampungan sedemikian untuk meningkatkan semangat menulis di kalangan penulis muda.

"Penulis kita seperti Jong Chian Lai harus memberi ucap utama ataupun membentangkan satu kertas kerja khas tentang penglibatannya dalam penulisan kreatif hingga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa."

Kenyataan ini disokong oleh Bendahari Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Haji Hamzah Hamdani, yang menyatakan bahawa penulis seperti Jong Chian Lai harus ditonjolkan dalam program berkenaan.

"Dia adalah salah seorang penulis prolifik dan berterusan menulis. Jarang ada penulis yang dapat mengekalkan kualiti penulisan secara berterusan.

"Penulis yang mampu bertahan tidak ramai. Berikan kepada dia satu ruang untuk membentangkan kertas kerja tentang pengalamannya."

Mengenai keseluruhan perkampungan itu, Hamzah berkata, tidak ramai penulis yang biasa menulis hadir berbanding perkampungan sama yang diadakan di Miri pada 2002.

Pun demikian, Hamzah melihat ramainya penulis baru yang diharapkan menjadi generasi pelapis yang boleh menulis dengan baik.

"Juga ada kesepaduan di kalangan jabatan kerajaan dan bukan kerajaan. Perubahan yang berlaku dalam dunia penulisan sebab kita bukan bercakap tentang sastera perse tetapi secara menyeluruh.

"Orang melihat selepas Pilihan Raya Ke-12, ada perubahan dan kebebasan. Ini adalah kesempatan kepada penulis. Sejauh mana kita melihat batas-batas kebebasan itu.

"Sebabnya, dalam penulisan kita memang selalu mencari kebebasan tetapi sejauh mana kita dapat mengenalpasti tahap kebebasan itu," tambahnya.

Beliau mengharapkan agar penulis mengetahui tentang kebebasan dan bagaimana mencipta karya dari segi persoalan dan teknik.

"Saya selalu menekankan ideologi. Maksudnya falsafah. Saya nampak yang kurangnya kita adalah dari segi fahaman, ideologi pengarang, iaitu memahami masyarakat ada perjuangan.

"Kita kekurangan perjuangan dalam karya. Misalnya, watak-watak yang berjuang. Barangkali ini satu kesempatan untuk kita meningkat lagi di Sarawak," jelasnya.

(Utusan Sarawak, 10 Julai 2008)

Patut banyak bincang penjanaan ekonomi penulis

TERLALU banyak makalah tentang sejarah perkembangan sastera termasuk genre kreatif dan tiada tokoh khas yang diketengahkan antara perkara yang mendapat perhatian daripada banyak pihak yang menempuh perjalanan yang jauh bagi menyertai Perkampungan Penulis Sarawak 2008 baru-baru ini.

Untuk pengetahuan, perkampungan tersebut yang kali ketiga diadakan, berlangsung selama tiga hari di bahagian Mukah. Sekitar 150 peserta dari seluruh Sarawak termasuk penyertaan daripada Persatuan Penulis Johor menyertai perkampungan tersebut.

Untuk itu, beberapa tokoh sastera yang ditemui Utusan Sarawak memberikan cadangan agar makalah sedemikian dikurangkan, tetapi memberikan penambahan kepada sesuatu yang lebih bermakna.

Pensyarah dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Jeniri Amir menyatakan beliau melihat terlalu banyak kertas kerja yang memperkatakan tentang sejarah perkembangan sastera dan genre, yang sudah berulang-ulang kali dibincangkan pada setiap pertemuan.

"Untuk pertemuan macam ini, memadai satu kertas kerja sejarah perkembangan untuk menyingkap susur galur perkembangan. Kita harus melihat ke depan dan saya fikir, satu kertas yang yang perlu ditulis dan dibentangkan dalam setiap perhimpunan ialah kerta kerja sumbangan penulis di sesuatu tempat.

"Misalnya, perkampungan kali ini diadakan di Mukah. Maka, dicadangkan satu kertas kerja yang menggarap sumbangan penulis di kawasan ini. Jika diadakan pula di Sibu, maka penulis di Sibu kita bincangkan.

"Ini dapat mengangkat suara penulis di tempat itu dan secara tidak langsung dapat memberi rangsangan kepada penulis lain terutama penulis muda di kawasan itu. Kita boleh memperkatakan penulis yang berjaya di sesuatu kawasan itu yang merupakan ikon di tempat tersebut," katanya.

Seterusnya, Jeniri turut mencadangkan agar program serupa pada masa depan perlu memperkatakan persoalan tentang penulisan dan penerbitan buku dan bagaimana penulisan dan penerbitan buku dapat menjana pendapatan.

"Tidak salah kita bercakap tentang bagaimana penulisan dan sastera dapat memberikan sumbangan terhadap perkembangan budaya. Dalam realiti kehidupan, ini harus dikaitkan bagaimana sumbangan kita dalam bidang penulisan sastera dan bahasa dapat menyumbang dari segi ekonomi penulis ini."

Dengan demikian katanya, ini dapat memberi rangsangan lebih banyak kepada penulis muda, iaitu peluang yang dapat diberikan kepada bidang penulisan terhadap ekonomi seseorang (menjana pendapatan).

Jeniri berharap perkara tersebut dapat diambil kira sambil menjelaskan Perkampungan Penulis Sarawak telah memperlihatkan kerjasama yang amat baik Dewan Bahasa dan Pustaka dengan pelbagai agensi kerajaan tempatan serta persatuan kebudayaan atau penulis.

Beliau menyatakan bahawa penyertaan Persatuan Penulis Johor dalam perkampungan tersebut dapat mewujudkan perpaduan dalam kalangan penulis dan bersetuju dengan cadangan mewujudkan antologi bersama penulis Sarawak dan penulis Johor.

Dalam hal demikian, Ketua I Persatuan Penulis Johor, Amirudin Md Ali Hanafiah yang turut ditemui menjelaskan, "... kita sedang merancang untuk menerbitkan antologi bersama anyara penulis Johor dan Sarawak. Pada masa yang sama kita mungkin secara bergilir membincangkan karya-karya penulis Johor dan Sarawak."

Menurutnya, kerjasama itu wujud ekoran keakraban yang telah lama terjalin antara penulis dari kedua-dua negeri.

"Keakraban ini perlu diteruskan. Saya akrab dengan rakan penulis dari Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) dan Persatuan Penulis Utara Sarawak (Putera). Kita saling berhubung dan bertukar-tukar pendapat."

Mengenai penulis Sarawak, Amirudin berpendapat, penulis negeri ini makin maju, namun dalam beberapa hal mereka seolah-olah terpinggir.

"Ramai penulis Sarawak selari dengan perkembangan sastera di Malaysia. Tetapi, kalau dibiarkan sahaja (dalam lingkungan Sarawak), mereka akan terpinggir.

"Sepatutnya penulis Sarawak tidak mengadakan batasan atau sepmadan untuk mereka bergerak lebih ke hadapan.

"Itulah sebabnya apabila ada anugerah, kita jangan meletakan ini dari Sarawak tetapi anugerah Malaysia. Itu yang kita mahukan," katanya.

(Utusan Sarawak, 10 Julai 2008)

Penyertaan penulis kita dalam sastera siber

PENGAMAL media yang juga penyair, William Chan pada Perkampungan Penulis Sarawak 2008 di Mukah baru-baru ini ada menjelaskan, maya siber merupakan wadah terkini yang menambat penglibatan para penulis Sarawak mutakhir ini.

“Kini kita boleh melayari blog Jaya Ramba, Taufik Firdausi, Radin Azhar, Jeniri Amir, Dahiri Saini, Roslan Jomel, Pharo Abdul Hakim, Yusf Fansuri, Saiee Driss, Beb Sabariah dan ramai lagi.

“Pada ketika Sarawak sedang rancak membangunkan jalur lebar ke seluruh pelosok negeri ini, masa depan maya siber akan menyaksikan kerancakan penglibatan penulis melalui blog ini,” jelasnya,

Jurang digital antara desa dan kota katanya, akan mereka (penulis) manfaatkan sepenuhnya dan ini akan memberi warna ceria kepada perkembangan sastera di Sarawak.

Membenarkan lagi kenyataan ini, penulis yang tertumpu kepada berkarya di internet, Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub menjelaskan, dahulu, sekiranya penulis Sarawak ingin menghantar karya kepada akhbar atau majalah di Semenanjung, mereka terpaksa menunggu masa yang lama berbanding penulis di sana (Semenanjung).

“Sejak wujudnya internet, ruang dan peluang adalah sama sahaja. Selepas membuat penelitian rambang, penulis Sarawak turut terlibat dengan perbincangan di yahoo groups. Impaknya, penulis Sarawak dapat berinteraksi secara langsung dengan penulis di Semenanjung.

“Bagaimanapun, tidak ramai penulis Sarawak yang terlibat secara langsung dengan karya siber dalam konteks yang sebenarnya,” katanya.

Katanya, untuk memiliki laman web sastera persendirian, ia akan melibatkan sedikit kos dan kemahiran untuk membangunkan sesebuah tapak web.

“Mungkin inilah antara faktor mengapa penulis Sarawak (termasuk penulis di Semenanjung juga) tidak berminat untuk membangunkan laman web sastera persendirian. Alternatif yang boleh diambil ialah pembinaan blog peribadi.”

Setekat ini ujarnya, hanya beberapa kerat sahaja penulis Sarawak yang memiliki blog masing-masing.

Antara yang wajar yang disebut ialah

Beb Sabariah (http://bebsabariah.blogspot.com)
Jaya Ramba (http://jayaramba.blogspot.com)
Taufeq Firdausi (http://taufeq18.blogspot.com)
Saiee Driss (http://saieedriss.blogspot.com)
Roslan Jomel (http://roslanjomel.blogspot.com)
Dahiri Saini (http://dahirisaini.blogspot.com)

Daripada senarai itu kata Nik Mohd Iznan, antara yang paling aktif ialah blog (http://cetasasbuya.blogspot.com).

“Bagi yang ketinggalan maklumat sastera dan budaya, blog inilah pilihan terbaik untuk mengetahui akan perkembangan sastera dan budaya di Sarawak.

“Khalayak sastera di Semenanjung tentu sekali tidak tahu akan perkembangan sastera di Sarawak. Dengan adanya blog ini, segala maklumat yang diperlukan ada di hujung jari.

“Selain itu, penulis Sarawak dapat mempromosikan tulisan masing-masing sekali gus menjadikan mereka lebih dikenali,” katanya.

Mengambil contih luar negara, sebenarnya langganan karya sastera di internet bukanlah perkara baharu.

Malah, urus niaga yang dilakukan juga adalah melalui internet melibatkan penggunaan kad kredit atau perbankan elektronik.

“Sementara kegiatan sastera siber sedang panas dan rancak, penulis Sarawak seharusnya turut terjun supaya bergerak lebih seiring. Bukan hanya mengambil langkah tunggu dan lihat.

“Akhirnya, hanya bertindak sebagai pengikut sahaja. Jika demikian, penulis Sarawak akan ketinggalan dalam arus modenisasi atau dunia tanpa sempadan yang sedang hanya melanda sastera dunia,” katanya.

(Utusan Sarawak, 3 Julai 2008)

Resolusi Perkampungan Penulis Sarawak 2008

i. Menyeru agar penulis Sarawak berusaha menghasilkan karya yang mengemukakan tema dan persoalan kerencaman budaya etnik untuk mewujudkan kefahaman dan perpaduan masyarakat.
ii. Menyeru agar penulis Sarawak berusaha menghasilkan karya yang dapat memaparkan persoalan berkaitan pembangunan negeri secara positif bagi membantu menyedarkan masyarakat mengubah sikap dan pemikiran selari dengan perkembangan semasa.
iii. Menyeru agar penganjuran bengkel, diskusi atau seminar di Sarawak pada masa depan menekankan aspek falsafah dan ideologi untuk menggalakkan penghasilan karya yang mampu menjana minda masyarakat.
iv. Menyeru agar DBP, persatuan penulis dan pihak yang berkaitan mengadakan kegiatan diskusi, randau dan seminar secara lebih kerap bagi meluaskan horizon pengetahuan dan pemikiran penulis.
v. Menyeru agar media massa terutamanya akhbar terus memberikan ruang kepada penulis untuk menyiarkan karya bagi merancakkan perkembangan sastera di Sarawak
vi. Menyeru agar kerajaan menggiatkan usaha memartabatkan kembali bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang benar-benar berperanan sebagai lambang jati diri bangsa.
vii. Menyeru agar penulis di Sarawak mengaplikasikan penggunaan teknologi maklumat (ICT) terkini seperti penggunaan blog supaya penyebaran karya mereka lebih luas dan terbuka.
viii. Menyeru agar DBP, persatuan penulis dan pihak yang berkaitan berusaha meningkatkan jumlah penerbitan karya penulis Sarawak dalam bentuk buku untuk menggalakkan perkembangan sastera yang lebih menyeluruh.
ix. Menyeru agar persatuan penulis memantapkan kepimpinan, perancangan dan kegiatan agar dapat memainkan peranan sebagai payung kepada penulis.
x. Menyeru agar DBP berusaha memantapkan kembali Anugerah Sastera Negeri Sarawak (ASNS) sebagai wadah penghargaan dan pengiktirafan yang berprestij di Sarawak.

Kejayaan, kelemahan, halangan memartabatkan sastera Melayu

SETELAH tahun 1996 dan tahun 2002, Perkampungan Penulis Sarawak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak sekali lagi berjaya diadakan. Dua kali diadakan di bahagian Miri dengan kerjasama Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA), kali ini perkampungan yang sama diadakan pula di Bahagian Mukah yang dikendalikan bersama Badan Budaya Warisan Mukah (Waris Mu) dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Mukah dan Politeknik Mukah.

Perkampungan tiga hari ini berjaya mengumpul 150 peserta dari seluruh negeri Sarawak untuk menyertai tiga sesi pembentangan kerja dengan judul “Sejarah Perkembangan Sastera di Sarawak” oleh mantan Haji Hamzah Hamdani (Bendahari Gabungan Persatuan Penulis Nasional, Saiee Driss (penyair), Zaini Oje (mantan Pengarah DBP Cawangan Sarawak), dan Haji Sajali Morshidi (Ketua 1 Waris Mu).

Sementara judul “Masa Depan Sastera di Sarawak” pula dibentangkan oleh Hazami Jahari (Ketua Unit Pengembangan Sastera DBP Cawangan Sarawak), William Chan (Editor Eksekutif Utusan Sarawak) dan Nik Mohd Isnan (Politeknik Mukah).

Sementara Sembang-sembang Sastera pula memperlihatkan Profesor Madya Dr. Hashim Ismail, Dr. Shaari Abdul Rahman, Jeniri Amir dan Abg Patdeli Abg Muhi. Sesi Diskusi Buku pula mengetengahkan Poul Nanggang yang mewakili Persatuan Penulis Utara, Mohd Faizal Jamil (Persatuan Karyawan Sastera Sarawak), Hipani Alwi (Waris Mu) dan Amiruddin (Persatuan Penulis Johor).

Perkampungan yang disesuaikan dengan sambutan 45 tahun Sarawak merdeka dalam Malaysia ini dianggap penilaian yang cukup tuntas bagi memperlihatkan kejayaan, kelemahan dan halangan dalam usaha memartabatkan sastera dalam bahasa Melayu.

Empat objektif didasarkan, iaitu;

i. Aktiviti sempena ulang tahun ke-45 tahun Sarawak dalam Malaysia;
ii. Mempertemukan pemikir, karyawan dan penggiat sastera di Sarawak;
iii. Menjadi salah satu medan bertukar-tukar fikiran, pendapat, idea dan cadangan dalam kalangan pemikir, karyawan dan penggiat sastera Sarawak; dan,
iv. Menjadi ruang untuk menilai dan meneliti kegiatan yang telah diadakan serat merangka dan merancang kegiatan sastera.

Kertas kerja berjudul Memperkasa Makna Sejarah Membangkit Kesedaran Fungsi Intelektual Kaum Penulis Sarawak yang dibentangkan oleh mantan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Haji Hamzah Hamdani memperjelaskan, “Daripada pemerhatian dan penelitian terhadap karya sastera penulis generasi baru di Sarawak, saya mendapat kesan bahawa mereka memiliki kesedaran yang tinggi sebagai penulis yang serius.

Di samping bakat alamiah, mereka (penulis Sarawak) kata Hamzah, memiliki ilmu bantu yang luas dan ketekunan berkarya serta rasa tanggungjawab kepada masyarakat dan Maha Pencipta Yang Esa.

“Jadi, dengan akar kesedaran yang kuat, sebagai manusia dan hamba Allah, dan rasa tanggungjawab kepada kualiti dan etika penulisan, maka cabaran sezaman, globalisasi umpamanya tidak akan menggugah atau menghanyutkan dan mengikis jati diri mereka sebagai penulis di Sarawak di khasnya, dan Malaysia umumnya.”

Menurutnya, dalam menghadapi cabaran zaman globalisasi kini, golongan penulis harus berfikiran positif sebagai perisai mendepani godaan budaya global yang perlahan-lahan ditarik ke arah dominasi nilai-nilai hidup Barat, yang bertentangan dengan nilai-nilai agama dan moral dunia Timur.

“Kita harus menyusun strategi berkesan bagi memperkasa makna sastera dalam dunia persuratan di negara kita kerana hal tersebut akan mencerminkan kemampuan ketinggian tamadun kita. Dengan semangat intelektual dan kerja keras yang berwawasan, Insya-Allah, kita akan dapat merealisasikannya,” katanya.

Zaini Oje yang juga mantan Pengarah DBP Cawangan Sarawak membentangkan Sejarah Perkembangan Sastera di Sarawak. Berdasarkan penelitiannya, beliau melihat penulis Sarawak serius dalam berkarya, bukannya sekadar mahukan nama (dikenali).

“Sudah ramai penulis dari negeri ujarnya mampu berada di peringkat yang tinggi. Terkini, Jong Chian Lai telah dianugerahkan S.E.A. Write Award. Pun demikian, harapan kita (penulis di Sarawak) agar sastera kita dikanunkan, iaitu dikaji di peringkat universiti.

Sementara itu, penyair Sarawak, Saie Driss yang membentangkan Menyusuri Perkembangan Sastera Sarawak Sepanjang 45 Tahun menjelaskan, tempoh 45 tahun lepas menyaksikan satu perkembangan cukup pesat dalam bidang sastera dan penulisan di Sarawak baik dalam bahasa Melayu atau bahasa lain.

“Bagaimanapun, dalam konteks kebangsaan dan antarabangsa,, pencapaian kita masih terlalu jauh dan masih perlukan anjakan dan stimuli serta orientasi semula agar tenaga kreatif dapat dimanfaatkan secara optimum.

“Untuk masa depan, kita harus ada buku dalam format e-book ditulis oleh penulis Sarawak yang boleh diakses melalui internet dan dijual melalui media itu. Kita sekali gus tidak harus mengabaikan atau menyisihkan diri daripada perkembangan teknologi internet dan pengaruhnya terhadap kesusasteraan dan penulisan.

“Misalnya, setiap penulis harus ada laman web sendiri dengan curiculum vitae yang lengkap sebagaimana kumpulan CreeART dan AtrageouslyAsia, yang keanggotaannya terdiri daripada para pelukis Sarawak.”

Para penulis di Sarawak selepas ini ujarnya, harus sedar adanya media baru seperti buku pod dan buku dipamerkan dalam bentuk sistem pesanan ringkas (sms) di skrin telefon bimbit dan bersedia menyertai trend itu.

Mengulas tentang media massa dalam dunia sastera, Editor Eksekutif Utusan Sarawak yang juga penyair, William Chan Khun Neng yang membincangkan Media Massa Penyubur Minat Terhadap Kesusasteraan di Sarawak berkata, dalam menelusuri perkembangan kesusasteraan di Sarawak sepanjang 45 tahun (dari tahun 1963 hingga tahun 2008), satu hal yang dapat dirumuskan ialah media massa berperanan penting dalam penyuburan minat di kalangan peminat, penikmat dan penggiat bidang penulisan.

Menurutnya, media massa – cetak, elektronik dan maya siber akan terus berperanan penting dalam penyuburan kesusasteraan di Sarawak – terus menjadi pilihan. Walaupun ada kebimbangan dicetuskan tentang betapa generasi muda kini kurang rancak dalam gelanggang sastera, keadaan sebenarnya di Sarawak ini belum menampakkan trend itu.

“Masih ramai generasi muda yang aktif dalam penulisan berkaitan sastera. Keadaan ini terus dipupuk oleh badan-badan penulis, institusi seperti DBP dan seumpamanya. Walaupun era globalisasi dikatakan banyak ‘meragut’ nilai-nilai murni manusia dan kemanusiaan, saya yakin akan terus relevan dan peranan media tidak akan terhakis.”

Alasan William Chan, ketika negeri Sarawak sedang rancak membangunkan jalur lebar ke seluruh pelosok negeri, kini masa depan maya siber akan menyaksikan kerancakan penglibatan penulis melalui blog.

“Jurang digital antara desa dan kota akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh penulis, dan ini akan memberi warna ceria kepada perkembangan sastera di Sarawak.”

Seterusnya, penulis yang menyiarkan karya di maya siber, Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub mengutarakan, dahulu, sekiranya penulis Sarawak ingin menghantar karya kepada akhbar atau majalah di Semenanjung, mereka terpaksa menunggu masa yang lama berbanding penulis di sana (Semenanjung).

Katanya, “Sejak wujudnya internet, ruang dan peluang adaah sama sahaja. Selepas membuat penelitian rambang, penulis Sarawak turut terlibat dengan perbincangan di yahoo groups. Impaknya, penulis Sarawak dapat berinteraksi secara langsung dengan penulis di Semenanjung.

Langganan karya sastera di internet jelasnya bukanlah perkara baharu, malah, urus niaga yang dilakukan juga adalah melalui internet melibatkan penggunaan kad kredit atau perbankan elektronik.

“Sementara kegiatan sastera siber sedang panas dan rancak, penulis Sarawak seharusnya turut terjun supaya bergerak lebih seiring. Bukan hanya mengambil langkah tunggu dan lihat, yang akhirnya hanya bertindak sebagai pengikut sahaja.

“Jika demikian, penulis-penulis di Sarawak akan ketinggalan dalam arus modenisasi atau dunia tanpa sempadan yang hangat melanda sastera dunia. Jatuh bangun sastera di Sarawak adalah bertunjangkan kepada adunan tunas-tunas generasi baharu yang akan menjadi induk perkembangan susastera yang gemilang.”

Semua pihak uajrnya, harus berganding bahu dalam mengapresikan wahana untuk membangunkan bakat-bakat baharu. Justeru, tanggungjawab ini tidak seharusnya diletakkan di bahu DBP Cawangan Sarawak sahaja.

“Pelbagai pelan tindakan penerapan perlu direncanakan bagi menjayakan aspirasi ini. Ia perlu melibatkan beberapa kementerian lain dan agensi dii samping badan lain seperti NGO, sektor swasta dan lain-lain.

“Sekiranya Sarawak sudah ada penerima Anugerah Sastera Perdana dan S.E.A. Write Award, kita mengharapkan akan muncul pula penerima Anugerah Sastera Mastera, Anugerah Tokoh Sastera Nusantara, Anugerah Kencana MABBIM dan Anugerah Sastera Negara di kalangan penulis Sarawak.

Ketua Unit Pengembangan Sastera DBP Cawangan Sarawak, Hazami Jahari pula memberitahu, badan berkenaan telah menyediakan banyak kemudahan kepada badan penulis dan penulis sendiri termasuk ruang untuk menerbitkan karya sama ada di akhbar, majalah atau menerbitkan buku.

Menurutnya, usaha DBP Cawangan Sarawak menyediakan prasarana kesusasteraan serta penglibatan aktif penulis sendiri untuk memajukan bidang sastera adalah adunan yang ampuh.

Bahkan, dengan wujudnya persatuan penulis yang dipimpin oleh kalangan penulis yang berwibawa, tidak syak lagi sastera kebangsaan di Sarawak akan terus maju, mencapai kecemerlangan.

“Persatuan dan penulis dibantu. Selebihnya tanggungjawab penulis untuk meningkatkan diri. DBP sudah menyediakan prasarana yang cukup banyak. Apakah hanya dengan ini dapat membina ke arah perkembangan sastera? Selebihnya kepada penulis.

“Apabila DBP mengadakan program pembinaan penulis, masa depan di negeri ini turut menjanjikan kecerahan tetapi yang lebih penting ialah kualiti berbanding kuantiti. Kita tidak lagi bercakap tentang sastera untuk orang Sarawak sahaja tetapi di arena kebangsaan, nusantara.

Sebahagian besar penulis Sarawak jelasnya, tidak dapat menghasilkan buku. Sudah sampai masa bagaimana kita mengumpul karya dan dibukukan. Pemikiran mereka tidak ada dalam bentuk buku, ini menimbulkan masalah.

(Utusan Sarawak, 3 Julai 2008)