Dunia penyair kompleks di luar, dalam dirinya


“DUNIA penyair bukan sahaja dunia kompleks di dalam dirinya, tetapi dunia kompleks di luar dirinya,” kata Jeniri Amir membentangkan makalah Bunga Yang Menangis Dunia di dalam diri dan di luar diri penyair pada Perkampungan Penulis Sarawak 2008 di Mukah baru-baru ini.

Menurutnya, penyair yang peka dan berbakat bukan hanya cuba menyelam ke dalam lautan emosi di dalam dirinya, tetapi juga mengharungi alam raya yang luas terbentang di luar dirinya.

“Dia bukan hanya memperkatakan persoalan yang terlalu peribadi sifatnya, tetapi juga persoalan universal tentang manusia, alam, dan persekitarannya,” katanya.

Persoalan puisi jelasnya ialah renungan dan pemikiran tentag kehidupan dalam pelbagai bentuk, dengan pendekatan pelbagai dimensi: peribadi, kemasyarakatan atau universal.

“Justeru, dia tidak dapat membebaskan dirinya daripada memperkatakan tentang dirinya, manusia di sekitarnya, alamnya dan Penciptanya.

“Di tangan penyair yang peka dan kreatif, alam dan kehidupan ialah tema dan persoalan karya yang tanpa sempadan, tentang pelbagai pengalaman kemanusiaan, suka duka, jatuh bangun manusia, kegembiraan dan kesedihan.”

Penyair yang peka dan kreatif jelasnya, selalu dicabar oleh pergolakan dan perkembangan alam, manusia dan kemanusiaan di sekitarnya.

Ja’afar Haji Hamdan yang menghasilkan kumpulan Bunga Yang Menangis ujarnya ialah pemerhati yang tekun dan tajam, yang selalu cuba memanfaatkan pengalaman dan pemerhatiannya.

Beliau mengikuti perkembangan di persekitarannya dan juga kejadian kemanusiaan dengan prihatin, serta dengan rasa faham yang mendalam.

“Kita lihat karyanya lahir daripada pengalaman kemanusiaan yang penuh, panjang dan beraneka. Itulah sebabnya, sebagaimana sepatutnya, pengalaman puisi yang intens, inti pati daripada renungan dan pemikirannya tentang sesuatu yang menyentuh daya rasa dan fikirnya.

“Membaca puisi beliau menyebabkan kita masuk ke dalam diri penyair, menyelami segala pengalamannya yang kental. Pembaca diajak masuk ke dalam inti pemikiran dan perasaannya,” tambahnya.

Bagaimanapun penyair jelas Jeniri sedar akan hakikat betapa perlunya ia menyeimbangkan perasaan dengan pemikiran, kerana menyedari bahawa puisi yang baik ialah puisi yang turut menyerlahkan daya intelektualisme.

Bagi penyair, puisi yang hanya memberatkan perasaan, tidak akan banyak gunanya kepada pembaca, manakala karya yang terlalu memberatkan pemikiran akan menjadi kering dan kurang nilai estetikanya.

Bagi menyeimbangkan kedua-duanya, penyair kata Jeniri, turut cuba memanfaatkan aspek bahasa dengan sebaik-baiknya.

“Nilai estetika dan kesenian dimartabatkannya dengan mencuba melanggar segala kemungkinan sempadan bahasa. Licentia poetica dimanfaatkan dengan sebaik mungkin, dan bukan disalahgunakan,” katanya.

Sambungan minggu lepas

“DALAM puisi Ja’afar, terserlah percubaannya untuk menampilkan pemikiran yang serius tentang sesuatu isu yang mengganggunya. Di dalam puisinya, tema dan persoalan ditinjau dri pelbagai dimensi atau perspektif,” kata Jeniri Amir.

Tambahnya, “Dia masuk ke dalam dirinya, ke luar diri, ke wilayah jauh dan dekat, meliputi pelbagai persoalan seperti sosial, bahasa, budaya, agama dan seumpamanya. Beliau (Ja’afar) cuba menjawab pelbagai soalan meskipun jawapan yang diberi bukanlah mutlak.”

Menurutnya, Ja’afar seperti penyair terdahulu daripadanya, tidak dapat membebaskan diri daripada mengungkapkan persoalan tentang diri, hubungan manusia dengan manusia, manusia dengan alam, dan manusia denan Penciptanya.

Seperti seniman yang baiknya, jelasnya, Ja’afar dalam karyanya mencuba untuk mencari jawapan kepada masalah yang melingkari masyarakat dan bangsanya.

“Tugas ini bukannya mudah, kerana sebagaimana terpancar daripada karyanya dalam antologi ini, jelas memperlihatkan bahawa Ja’afar ialah seorang seniman yang selalu mahu mempersoalkan pelbagai isu, persoalan dan perkara.

“Kita perlu mengakui bahawa inilah yang membantu meningkatkan mutu dan karya beliau. Dengan membaca puisinya, kita bukan sahaja diajak mengintropeksi ke dalam diri, tetapi yang lebih penting, merenung dan memikirkan erti kehidupan dan kewujudan ini.

“Puisi beliau membantu kita memahami kehidupan yang kompleks dan kekompleksan di sekitarnya,” jelas Jeniri.

Tentang kemerdekaan, nasionalisme, budaya, bahasa dan bangsa terangkum dalam Bunga Merdeka, Ikrar Anak Merdeka, Getir Yang Mungkir, Sumpah Anak Pertiwi dan Bunga-bunga Kemerdekaan.

Dari sudut pascakolonialisme, penyair katanya mengajak pembaca menyedari dan menghargai perjuangan dan pengorbanan pejuang yang menuntut kemerdekaan tanah air.

Kehadiran tema dan persoalan tentang kemerdekaan dan nasionalisme dalam puisi-puisi Ja’afar ujarnya memperlihatkan persoalan tersebut masih lagi relevan pada alaf baharu.

Ja’afar menggunakan puisi sebagai alat pengucapan untuk menyuarakan kesedaran tentang nasib dan survival bangsa dan negara bangsa ketika mengharungi era globalisasi.

“Ja’afar menganggap bahawa persoalan nasionalisme dan kemerdekaan adalah masih relavan, dan perlu terus disuarakan melalui puisi. Kita Orang Melayu menggambarkan keprihatinan penyair terhadap nasib yang menimpa orang Melayu.

“Melayu yang berasal ‘dari pohon yang satu’ diharapkan agar tetap bersatu padu ketika berdepan dengan pelbagai cabaran. Dengan itu, bangsa Melayu akan dapat terus maju,” tambahnya.

Utusan Sarawak, 17 Julai 2008

No comments: