DADANG Supardan menyingkap pendapat Blum bahawa multibudaya meliputi sebuah pemahaman, penghargaan dan penilaian atas budaya seseorang, dan sebuah penghormatan dan keinginan mengetahui tentang budaya etnik orang lain.
"Ia meliputi penilaian terhadap kebudayaan orang lain, bukan dalam erti menyetujui seluruh aspek dari kebudayaan tersebut, melainkan mencuba melihat bagaimana kebudayaan tertentu dapat mengekspresikan nilai bagi anggotanya sendiri," kata Mohamed Pitchay Gani Mohamed Abdul Aziz dari Angkatan Sasterawan ’50.
Mengulas ‘Mereka Semula Citra Mahawangsa Dalam Orde Dunia Baru’, Mohamed Pitchay menjelaskan, Kymlicka dan Harjanto berpendapat bahawa multibudaya adalah perkembangan multiculturalism nationalism yang dapat memelihara dan mengembangkan integrasi bangsa yang lebih handal.
"… kerana ia menciptakan masyarakat yang berkeadilan sosial yang dipersatukan oleh nilai-nilai bersama, menghargai keragaman etnik serta komitmen terhadap kesamaan antara kelompok yang memungkinkan wujudnya suatu persatuan bangsa yang menghargai perbezaan.
"Stavenhagen pula merumuskan bahawa multibudaya telah diangkat sebagai suatu keyakinan, ideologi, sikap mahupun kebijaksanaan yang menghargai pluralisme etnik dan budayanya sebagai sesuatu yang berharga, berpotensl, yang harus dipelihara dan dikembangkan," katanya.
Katanya, perbincangan mengenai konsep multibudaya atau multikulturalisme menunjukkan bahawa konsep tersebut dapat mencerakinkan kewujudan sesebuah badan atau institusi di dalam sebuah negara yang mempunyai ideologi sendiri tanpa mengenepikan budaya etnik lain.
"… tetapi tetap menilai budayanya sebagai bahan berharga dan penuh potensi daam masa yang sama mengambil kesempatan daripada kelebihan budaya lain untuk membangunkan etniknya.
"Ia juga sewajarnya inginkan agar budayanya dipelihara dan dikembangkan kepada generasi dan zaman selanjutnya. Ini dilakukan dengan budaya ekspresi yang menghargai keragaman etnik serta komitmen terhadap kesamaan antara kelompok yang memungkinkan wujudnya suatu persatuan bangsa yang menghargai perbezaan.
"Justeru, konsep multikulturalisme merupakan asas bagi mencerakinkan rangka kerja pertubuhan Asas ’50 dalam konteks zaman kontemporari ini sejajar dengan orde dunia baru," jelasnya.
Orde dunia baru jelasnya, diterjemahkan sebaga satu usaha ke arah satu penguasa mutlak dalam pelbagai aspek. Secara tidak langsung ia menjadi budaya barat seperti lebih menonjol.
Namun demikian, Francis Fukuyama dalam buku ‘The Changing Global Order’ menekankan bahawa tidak semua budaya akan tampil di bawah sebuah rejim global.
Hanya budaya yang mempunyai kesatuan sosial dengan kadar kepercayaan sosial yang tinggi akan dapat menyesuaikan kewujudannya dan tidak berpecah balah dalam orde baru yang penuh dengan penaklukan ideologi media dan tekanan persaingan hebat ekonomi.
"Kenyataan ini jelas sekali menekankan kepentingan kesatuan sosial dengan kadar kepercayaan sosial yang tinggi demi memastikan pengekalan atau pengembalian citra mahawangsa dalam dunia yang kian dibelenggu pengglobalan ideologi dan teknologi.
"Hanya bangsa yang mampu menguasai media dan ekonomi yang akan terserlah dan berkuasa. Ini sudah jelas terbukti dengan penguasaan beberapa negara besar Asia yang berjaya bersatu dalam menjana pembudayaan sosial yang tinggi di kalangan rakyat mereka sehingga mampu membudayakan dunia global," jelasnya.
ASAS ’50 katanya merupakan sebuah pertubuhan sastera mapan di Malaya selepas perang merupakan pertubuhan sastera yang bersifat kemasyarakatan dan menggunakan bahan sastera sebagai wadah mencapai kemerdekaan untuk Malaya pada 1957.
"Bertunjangkan prinsip ‘Seni untuk Masyarakat’, Asas ’50 merupakan agen pencorak perkembangan sastera Melayu moden."
Kesusasteraan dunia katanya berkembang dengan ledakan ilmu-ilmu baharu yang dimanfaatkan oleh para cendekiawan atau penulis yang menggabungkan inisiatif baharu agar lahir bentuk genre terkini dalam dunia persuratan seperti novel grafik, misalnya langsung menghidupkan lagi dunia kesusasteraan.
"Pendekatan baru seperti historisme baru, meta-histpgrafi, meta fiksyen dan lain-lain lagi menambahkan kematangan dari segi pendekatan dalam penghasilan dan pengapresiasian karya," tambahnya.
Perubahan seperti itu katanya, ketara di barat kerana penulis sering bereksperimen. Di Malaysia dan Indonesia juga tidak ketinggalan dengan lebih banyak karya-karya pasca moden yang dihasilkan.
Perkembangan seumpama itu merupakan satu keperluan dalam usaha memahatkan kedudukan bangsa dalam persuratan antarabangsa.
"Bangsa Melayu di Malaysia dan Indonesia memang terkenal dengan karya-karya agung dan para penulis agung. Karya-karya mereka diterima alam Melayu dan antarabangsa. Penulis seperti Pramoedya, Goenawan Mohamed, dan Rendra dari Indonesia dan Shahnon Ahmad, Keris Mas dan Usman Awang dari Malaysia memang terbilang dan ramai pengikutnya.
"Mereka meletakkan semacam landasan bagi permulaan dunia persuaratan sekali gus menyuburinya dengan karya dan tenaga mereka. Namun demikian, negara seperti Singapura dan Brunei Darussalam masih muda dalam dunia persuaratan mereka.
"Ini tidak dapat dinafikan. Kedua-dua negara mempunyai beberapa tokoh persuratan agung yang boleh dihitung dengan jari seperti Masuri SN, Suratman Markasan dan Mohamad Katiff Mohamad dari Singapura serta Muslim Burmat, Baharuddin H.O. dan Sawal Rajab dari Brunei Darussalam.
"Ini juga tidak menghairankan kerana persekitaran politik kedua-dua negara ini amat berkaitan dengan alam Melayu sebagai alam minoriti di Singapura dan budaya persuratan moden di Brunei pula agak konservatif dari segi perealisasiannya."
Pitchay menjelaskan, bahasa peribumi sebenarnya tidak selemah yang ditanggapi apabila berbanding dengan bahasa global seperti bahasa Inggeris. Bahasa peribumi juga berkemampuan untuk inovasi.
Jumlah kosa kata dalam takungan bahasa itu menjadi ukuran. Lebih banyak kosa kata lebih baik kemampuannya. Negara Cina, Korea dan Jepun misalnya telah menunjukkan peningkatan dalam pembelian buku bahasa Inggeris sebanyak 10 peratus.
"Namun demikian, jumlah buku yang dihasilkan oleh negara-negara tersebut dalam bahasa peribumi mereka meningkat sebanyak 300 peratus. Ini membuktikan bahawa perlunya ada buku-buku baru bagi masyarakat pembaca dalam bahasa mereka sendiri yang sesuai dengan zaman mereka agar pemikirna mereka juga berkembang dengan arus maklumat baru yang dihasilkan.
"Ini juga membuktikan bahawa negara-negara tersebut mempunyai sikap proaktif terhadap kemampuan bahasa mereka dan sentiasa cuba menjana bahasa melalui penulisan dan penerbitan. Ternyata, mereka juga menggunakan bahasa asing untuk kepentingan bahasa mereka sendiri, bukan sebaliknya."
Pengalaman negara seperti Norway, Finland, Cina, Korea dan Jepun membuktikan bahawa sikap terhadap bahasa mesti jelas jika ingin mencapai kemajuan. Bahasa asing seharusnya digunakan untuk mengukuhkan bahasa peribumi bukan untuk mencemarkannya kerana bahasa yang kukuh bakal mengukuhkan tamadun bangsa manakala bahasa yang tercemar bakal mencemarkan harapan dan tamadun bangsa.
Usaha meningkatkan kepustakaan Melayu sedang giat dijalankan dengan terkumpulnya khazanah persuratan dalam bahasa Melayu dan penghasilan ‘Kamus Nusantara’ yang terisi dengan daftar kata daripada bahasa Brunei, Indonesia dan Malaysia.
Ia merupakan projek pertama serumpun dikendalikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei. Selain itu terdapat juga usaha mewajibkan pengajaran dan pembelajaran penulisan akademik memandangkan ia dapat menyumbang kepada kepustakaan. Penulisan bentuk ini juga mampu menambah takungan kosa kata bahasa Melayu secara formal.
Bahasa Melayu jelasnya perlu fungsional tetapi tidak semestinya menjejas kesetiaan penutur terhadap bahasanya iaitu perlu juga ada rasa memiliki terhadap bahasa tersebut agar ia tidak mudah dicemari atau pupus.
"Maka, pembakuan bahasa menjadi lebih penting terutama sekali dalam zaman dunia tanpa sempadan. Fenomena globalisasi menjadi mangkin kepada keperluan bahasa baku di bumi Melayu ini.
"Pembakuan juga akan dapat menangani pencemaran bahasa terutama di media cetak dan elektronik yang perlu diambil perhatian kerana ini akan menggugat kualiti dan keperkasaan sesuatu bahasa.
"Selain itu, penggunaan bahasa ini akan menggugat kualiti dan keperkasaan bahasa. Selain itu, penggunaan bahasa Melayu di media cetak dan elektronik juga perlu dipertingkatkan. Penggunaan bahasa Inggeris harus dihadkan selaku pendukung sahaja, bukan pentadbir bahasa dan bangsa Melayu."
(Utusan Sarawak, Khamis, 29 November 2007)