Menguak kepahlawanan Syaikh Siti Jenar

RADIN AZHAR AHMAD

BERBICARA tentang Syaikh Siti Jenar adalah berbicara soal tabir sejarah yang kontoversi. Dalam trilogi novel Agus Sunyoto, Syaikh Siti Jenar diungkapkan sebagai satu majlis wali songo yang sesungguhnya memiliki pemikiran yang lebih dibandingkan dengan para wali pada zamannya.

“Dalam trilogi ini, kita diketengahkan warna lain dari Syaikh Siti Jenar dengan berbagai karektor menarik untuk diteladani. Semacam pahlawan yang sederhana, ikhlas, dna tidak mahu disanjungi.

“Pemahaman demikian dapat diikuti dari penelusuran tokoh Raden Ketib yang mencuba menjejak Syaikh Siti Jenar melalui pengikut dan keluarganya,” kata Profesor Dr. Setya Yuwana Sudikan dari Dewan Kesenian Jawa Timur, Indonesia pada Pertemuan Sasterawan Nusantara di Kedah baru-baru ini.

Dr. Setya berkata, “Dan semakin ditelusuri semakin ditemukan keanehan dari jejak yang ditinggalkan Syaikh Datuk Abdul Jalil (Syaikh Siti Jenar). Para sahabat karibnya yang sudah meninggal dunia, misalnya tidak satupun diketahui di mana kuburnya. Pihak keluarga yang ditanya ketidaklaziman itu umumnya hanya memberi penjelasan bahawa para sahabat dan murid Syaikh Datuk Abdul Jalil jika akan meninggal dunia selalu akan meninggalkan wasiat yang menyatakan bahawa kubur mereka hendaknya tidak diberi batu nisan atau apapun. Alasannya, mereka tidak mahu diberhalakan oleh anak cucunya.”

Katanya, konsep pembaharuan yang dibawa oleh Syaikh Siti Jenar adalah bagaimana pemujaan berlebihan terhadap manusia tidak berlangsung terus-menerus.

“Akulturasi kehidupan beragama, tampaknya dalam sejarah di Bumi Pasundan tidak dapat dihindarkan. Hal ini dilatari oleh realita menonjol di Kutha Caruban tempat pengembaraan Abdul Jalil. Ditemui bagaimana kentalnya pemujaan dewa-dewa yang pada hakikatnya pemujaan para dewa tetapi sebenarnya pada roh leluhur mereka.

“Di sinilah kekhuatiran (perjuangan Abdul Jalil) sehingga dia memperjuangkan bagaimana agama Islam dapat terhindar dari realiti yang dialami oleh pengikut Hindu Buddha. Para pengikut mereka tidak lagi memuja dewa tetapi memuja para leluhurnya dengan berbagai simbol para dewa. Realiti ini kemudian memancing Abdul Jalil untuk membersihkan kecenderungan yang demikian.

“Hal ini dapat dilihat dalam dialog Abdul Jalil dengan Sri Mangana iaitu, ‘saya khuatir, jangan-jangan ajaran Agama Islam pun pada akhirnya akan mengalami nasib yang sama seperti Hindu dan Budha, iaitu menjadi agama yang memuja kubur raja-raja Muslim.”

Dalam trilogi Agus Sunyoto, Syaikh Siti Jenar dimetaforakan sebagai burung. Ahmad Munir Mulkhan dalam buku Makrifat Burung dan Ilmu Kasampurnan mengungkapkan bahawa burung syurga mewakili seekor burung yang disebut Burung Bayan sebagai aktor utama dalam kitab Bayan Budiman yang bertindak sebagai penyampai ajaran kesempurnaan.

“Dalam trilogi terakhir, diungkapkan bagaimana Syaikh Siti Jenar hakikatnya adalah burung kesempurnaan. Dengan berbagai sebutan yang melekat padanya, dalam sebuah percakapan Raden Ketib dan Raden Sahid, mengiring pada metafora bahawa Syaikh Siti Jenar adalah pahlawan kemanusiaan.”

Trilogi Syaikh Siti Jenar katanya, tidak sahaja sebuah keindahan sastera tetapi juga memberikan manfaat.

“Akhrirnya, kita sepakat dengan apa yang diungkapkan oleh Rendra bahawa sasterawan merupakan agen konremplasi kehidupan.

“Maka, trilogi Syaikh Siti Jenar sesungguhnya adalah hasil kesedaran penulisnya meliputi agama, adat, dan naluri alam semesta. Sehingga, trilogi itu juga mengandungi rahsia alam ghaib, kesucian agama, dan alam.

“Dalam konteks mutakhir, seniman dalam kesedaran kontemplasi juga harus mengenal dimensi politik, sosial, ekonomi dan kekuasaan. Semuanua terdapat dalam trilogi Syaikh Siti Jenar dengan naratif, simbolik, metafora, dan sejarah,” katanya.

(Utusan Sarawak, 20 Disember 2007)

1 comment:

thrasher115 said...

Syaikh Sidi Jinnar,satu nama yang cukup gah dalam hal sejarah indonesia yang melibatkan unsur agama,kebatinan terutama unsur kejawen itu sendiri yang menerap kepada kebanyaakan besar rakyat di sana terutama masyarakat Jawa.Sidi Jinnar itu sendiri bermaksud (Sidi=Tuan ,Jinnar=Api) tuan kepada api.Sementara ajarannya yang paling cukup terkenal ialah Mandugiling Kuwalo Gusti yang bermaksud wihdayatulWujud.

di indonesia sendiri ramai yang menentang ajaran syeikh sidi jinnar manakala masih ada juga yang tetap menyokong idea idea syeih sidi jinnar ini.