50 sertai Bengkel Kepimpinan Penulisan Kreatif Berunsur Islam

PESERTA dibantu oleh fasilitator di kalangan ahli Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) berbincang untuk menghasilkan puisi yang berunsur Islam.

KHUSYUK… Peserta tekun mendengar ceramah yang disampaikan.

DISKUSI… Dari kiri, Ustaz Dahlan Daut, Ustaz Haji Hazarudin Haji Baharudin, Hajah Bibi Sabariah dan Ustaz Mohd. Faizal Jamel membincangkan Karyawan Cemerlang, Negara Terbilang.

SERAMAI 50 penulis karya kreatif baru dihimpunkan di Pusat Latihan Sarawak (PLS), Telaga Air bagi menghadiri Bengkel Kepimpinan Penulisan Kreatif Berunsur Islam selama tiga hari dua malam.

Bengkel yang julung kali diadakan dan akan menjadi kegiatan tahunan itu merupakan anjuran Unit Sekolah Pembangunan Sahsiah, PLS Jabatan Kemauan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sarawak.

Selain itu, bengkel tersebut juga dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak.

Antara lain objektif bengkel tersebut ialah untuk mendedahkan konsep kepimpinan menurut Islam kepada para karyawan.

Kedua, memberikan kefahaman tentang metode dakwah melalui penulisan, serta ketiga, memgukuhkan modal insan melalui aktiviti penulisan.

Sebanyak tiga sesi ceramah diadakan iaitu Konsep Kepimpinan Karyawan Menurut Islam oleh Haji Abg. Ismawi Abg. Muhi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang Jaya, Menjana Potensi Insan Ke Arah Karyawan Cemerlang, Gemilang dan Terbilang oleh Pensyarah Pusat Latihan Sarawak, Ustaz Karia Haji Rahmat.

Ceramah ketiga pula disampaikan oleh Penolong Pegawai Pengembangan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Ja’afar Haji Hamdan yang juga Ketua I Pekasa. Dia membicarakan tajuk Metode Dakwah Melalui Penulisan.

Selain ceramah, peserta turut dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk membincangkan penulisan puisi yang berunsur Islam.

Seterusnya, menyertai Diskusi dengan tajuk Karyawan Cemerlang, Negara Terbilang. Tiga ahli panel ialah Pengetua Pusat Latihan Sarawak, Ustaz Haji Hazarudin Haji Baharudin, Setiausaha I Pekasa, Hajah Bibi Sabariah dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pekasa, Ustaz Mohd. Faizal Jamel, dan dipengerusikan oleh Ustaz Dahlan Daut.

(Utusan Sarawak, 6 Disember 2007)

No comments: