Cerita rakyat sebagai hiburan dan pengajaran

CERITA-cerita lisan berbentuk prosa merupakan sebahagian daripada sastera tradisional atau sastera rakyat di samping sastera bertulis yang berkembang sesudah masyarakat Melayu mengenali tulisan.

Ia berperanan sebagai hiburan di samping mengandungi pengajaran dan pengetahuan seperti yang terdapat dalam cerita asal-usul, cerita megastua, cerita lucu atau jenaka, serta pelbagai metos dan lagenda.

Cerita asal-usul dianggap paling tertua lahir di kalangan masyarakat silam yang mengisahkan antara lain asal-usul nama sesuatu tempat atau negeri. Salah satu cerita jenis ini yang agak popular ialah memiliki bentuk bersambung atau berantai seperti juga dengan sastera berbingkai yang berkembang di negara Timur Tengah – Arab dan Parsi.

“Di Kedah, terdapat dua cerita menarik, misalnya persengketaan antara dua bisan iaitu Mat Raya dan Mat Cincang di Pulau Langkawi pada hari kenduri perkahwinan anak-anak mereka. Mat Cincang ditetak oleh Mat Raya dan mereka kemudiannya disumpah oleh ‘Sang Gedembai’ (Kelembai) menjadi Gunung Raya dan Gunung Mat Cincang.

“Pergelutan sengit di antara mereka itu juga menyebabkan lahir nama-nama tempat seperti Kuah, Belangan Pecah, Air hangat, Pulau Beras Basah dan lain-lain,” kata Dato’ Wan Shamsudin Mohd Yusof dalam Satu Pembicaraan Khusus Sekitar Fungsi Prosa dan Puisi Tradisional.

Kebiasaannya kata Wan Shamsudin, cerita-cerita asal usul dikaitkan dengan ‘Sang Kelembai’ sejenis makhluk yang akibat sumpahannya amat berkesan sehingga manusia bertukar menjadi batu, bukit, gunung, pulau dan sebagainya.

Di daerah Yan jelasnya, terdapat sederetan tuga pulau iaitu Pulau Bidan, Pulau Bunting dan Pulau Telor yang asal-usulnya manusia akibat kemarahan Sang Kelembai yang tidak dijemput bersama ketika ‘Mak Bidan’ sedang menjalankan upacara ‘melenggang perut’ kepada seorang gadis yang mengandung.

“Kisah-kisah kritikan mengenai anak muda yang derhaka terhadap ibu bapa amat lumrah berlaku di kalangan masyarakat silam. Kerana itu lahirlah cerita-cerita seumpama ini yang dikaitkan pula dengan padah yang diterima akibat sumpahan si ibu.

“Kebanyakan negeri-negeri di Nusantara terdapat cerita-cerita ini yang diperlihatkan pula bukti-bukti sumpahan ibu yang malang itu oleh masyarakat setempat.

“Misalnya, cerita Nakhoda Tenggang di Malaysia (Selangor), Malim Kundang di Indonesia (Padang, Sumetare Barat) dan Jong Batu di Brunei Darussalam.”

Di Kedah jelasnya, terdapat kisah lagenda – sejarah yang berkisar kepada puteri berdarah putih seperti cerita Puteri Lindungan Bulan dan Mahsuri. Ada kalangan pengkaji budaya mentafsirkan darah putih itu sebagai simbol kesucian di samping kecantikan.

“Kalau cerita Puteri Lindungan Bulan dalam tradisi lisan dikaitkan dengan sebab-sebab serangan armada Aceh ke Kedah dalam tahun 1619, yang dipimpin oleh Iskandar Muda Mahkota Alam, maka cerita Mahsuri pula dikaitkan dengan sebab-sebab Pulau Langkawi tidak aman sehingga tujuh keturunan akibat sumpahan puteri itu termasuklah peristiwa serangan armada Siam pada tahun 1821.

“Terdapat banyak lagi kisah-kisah wanita seperti ini dalam sastera Nusantara yang memiliki sifat-sifat kelebihan tertentu misalnya Puteri Hijau di zaman Kesultanan Deli di Indonesia, Puteri Saadung dan Cik Siti Wan Kembang dalam sejarah Kesultanan Kelantan.”

Katanya, penampilan kaum wanita sebagai watak utama berlanjutan sehingga ke zaman masyarakat Melayu menerima arus pemodenan terutama apabila wanita bangun bertindak memperjuangkan hak-hak kebebasan kaum sejenisnya yang terbelenggu.

Dengan itu, dalam tahap awal bermulanya era pemodenan di Nusantara ini, lahirlah tokoh-tokoh emansipasi wanita seperti yang digambarkan dalam novel-novel Hikayat Faridah Hanum karya Syed Syeikh Al-Hadi (1925), Iakah Salmah karya Ahmad Rashidi Talu (19280 dan Layar Terkembang (1936) oleh Sultan Takdir Alishahbana di Indonesia.

Antara abad ke-16 dan ke-19, hampir seluruh negeri-negeri di Nusantara pernah berada di bawah belenggu penjajahan Barat dan Timur. Pahit, getir, azab dan sengsara rakyat di negeri-negeri yang terjajah ini menyebabkan munculnya kebangkitan gerakan nasionalisme, dan berkembangnya semangat anti penjajahan dan semangat juang sehingga tercetus pemberontakan dan peperangan.

Suasana sedemikian sering dipaparkan dalam penulisan atau karya-karya berbentuk puisi (syair) bersifat historiografi atau sastera-sejarah. Antaranya, Syair Sultan Maulana yang terhasil di Kedah, Syair Perang Menteng dari Palembang dan Syair Rakis daru Brunei Darussalam.

Wan Shamsudin menjelaskan, salah satu kesan yang manarik mengenai ketiga-tiga karya tersebut ialah keprihatinan penyair terhadap kekejaman penjajah dan rasa bencinya terhadap sifat-sifat penjajah yang berlawanan dengan Islam.

“Penyair berjaya mengungkapkan beberapa ciri tentang isi sebagaimana yang lumrah terdapat pada karya-karya syair silam lainnya yang berunsur dan bernilai sejarah. Di sebalik kata-kata lucu lazimnya terselit pula unsur-unsur sinis dan pengajaran moral.”

Dalam Syair Perang Menteng penyair mengutuk sikap Komisaris Muntinghe dalam perang merebut kembali Kota Palembang pada tahun 1821 dengan berkata:

“Jenderal kafir yang laknat
meriam diisi peluru gurnat
disangkanya benteng hancur dan lumat
pelurunya jatuh tidak selamat.”

Dalam syair Sultan Maulana (1812) ketika armada Kedah berada di Salang (Phuket), Thailand atas permintaan Siam untuk menentang armada Burma yang menduduki pulau itu, penyair memuji kekukuhan perahu perang Kedah dan Telibung yang serba lengkap dengan senjata dan lain-lain peralatan sambil mencemuh perahu perang Siam yang kekurangan serba-serbi.

Perahu Melayu Telibung Kedah
Lima puluh dibilang sudah
Lainnya Siam haram zadah
Perahu tiada memberi faedah.

Sikap perahunya tiada terkira
Kurung seperti rumah kera
Tiang seperti jeremang para
Layarnya tikar bercemara.

Dalam tahun 1845, seorang penyair Diraja Brunei Darussalam dalam karyanya ‘Syair Rakis’ ternyata mempunyai pandangan jauh tentang muslihat politik Inggeris di Brunei dengan menyatakan:

Inggeris datang dari England
Pulau Labuan jadi pengkalan
Jikalau jauhari kurang handalan
Di sanalah ia berbuat jalan.

“Puisi-puisi syair untuk menyampaikan mesej ringkas berkaitan kejayaan umat Islam di Semenanjung dalam peperangan mementang penjajah pernah dirakamkan pada laras-laras meriam, panji-panji dan batu nisan. Di Kedah setakat ini terdapat dua artifak penting yang merupakan bahan peninggalan sejarah silam.

“Sehelai panji-panji perang berukuran 178 x 81 sentimeter dicipta khusus untuk memperingati kejayaan armada Langkawi Datuk Pekerma Ali bersama-sama ribuan pejuang lain diterajui Tunku Muhammad Saad Tunku Daud yang berjaya mengundurkan tentera Siam dari bumi Kedah, kini dapat dilihat di Muzium Negeri Kedah.

“Perkara yang sama dirakamkan pada sebatang nisan yang ditemui di pusara lama di Kampung Seberang Tok Soh, dalam daerah Kualam Muda. Di samping catatan ayat al-Quran, surah al-Fath terdapat pula ayat 13 dari surah al-Saf yang bermaksud: “Pertolongan dari Allah dan saat kemenangan akan tiba, dan sampaikanlah berita kegembiraan ini kepada orang-orang yang beriman.”

Wan Shamsudin berkat, “… saya ingin sentuh keperihalan masyarakat kita di zaman silam dengan memilih satu aspek yang agak penting untuk dibicarakan. Hal ini berkaitan dengan adat kebiasaan sesetengah mereka yang suka merantau atau mengembara ke negeri orang dan sanggup meninggalkan kampung halamannya kerana pelbagai tujuan atau maksud.”

Antaranya, untuk menuntut ilmu pengetahuan sama ada dunia atau akhirat dan ada pula bertujuan mempertaruhkan nasib di negeri orang untuk mengumpul wang atau harta yang bakal dibawa pulang sebagai persediaan berumahtangga kelak.

Dalam masa berada di perantauan sudah pasti mereka menempuh pelbagai pengalaman, hidup susah dan senang, merasai rindu terhadap keluarga dan kampung halaman yang lama ditinggalkan.

Hal-hal yang sebegini yang sering dapat kita ikuti dalam beberapa karya berupa prosa atau puisi. Dalam pantun misalnya lahirlah cetusanrasa antara lain berbunyi:

Singkarak kotanya tinggi,
Asam pauh dari seberang,
Awan berarak ditangisi,
Badan jauh dirantau orang.

(Utusan Sarawak, 13 Disember 2007)







1 comment:

wannie_annie said...

Hm...bley request? Adakan cerita2 rakyat secara penuh. Macam contohnya Sumpahan Sang Kelembai (Gedembai, tak byk budak muda zaman sekarang yg xtahu cerita asalnya... Maklumlah..buku cerita rakyat yg negara kita pya x se-famous cerita dongeng mat saleh. Inilah masalahnya.. bila disuruh buat projek mgunakan kisah rakyat kita, mula la terkapai2 nak cari...