Pekasa pentas Sidang Hantu-Hantu

HANTURISME adalah judul asal kepada teater Sidang Hantu-Hantu yang dipentaskan di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak pada 29 Disember ini. Skrip drama ini mengisahkan keluarga hantu yang kehilangan tempat kediaman mereka kerana manusia sudah tidak takut lagi dengan mereka.

Kediaman mereka tidak dipedulikan sehingga menimbulkan pelbagai telatah lucu keluarga hantu tersebut dalam dilema untuk berpindah atau tidak. Antara hendak mempertahankan hak dan maruah mereka dalam keadaan tertekan atau terpaksa melupakan terus kediaman mereka bagi memberi peluang kepada manusia yang menjadikan tempat mereka sebagai tempat penagihan dadah.

Isetan tidak mahu keluarga mereka berpindah kerana hutan yang mereka tuju juga sudah dibangunkan dengan arus pembangunan. Jalan terbaik keluarga mereka terpaksa menerima apa saja perubahan zaman yang serba maju. Isetan berjanji kepada dirinya, dia akan memperbaiki pemikiran generasi mereka daripada kepupusan kerana ledakan arus global.

Skrip yang ditulis oleh Dahiri Saini akan dipentaskan oleh Kumpulan Teater Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) dan merupakan arahan Awang Kelana pada Sabtu ini, bermula pukul 8.00 malam. Masuk adalah percuma.

Dahiri menjelaskan, “Syabas Produksi Sidang Hantu-Hantu. Sebagai penulis naskhah ini, saya berasa akan tempiasnya apa yang bakal berlaku pada 29 Disember di DBP nanti. Semoga Sidang Hantu-Hantu menjadi ikon baru dalam memicu arus perdana teater di Sarawak. Terima kepada Pekasa, produksinya. Semoga impian kita bersama melihat senario pementasan sebagai aras yang terus berkembang dan sukses.”

(Utusan Sarawak, 27 Disember 2007)

No comments: