Genre sastera Melayu dalam pertautan humaniora

RADIN AZHAR AHMAD

GENRE sastera Melayu dalam pertautan humaniora atau sosiolisasi nusantara atau bumintara (istilah Sutan Takdir Alisjahbana) yang berteraskan bahasa Melayu sudah lama diperbincangkan para sarjana sastera.

Namun, disebabkan fenomena geografi dan geopolitik yang dipecahbelahkan oleh kolonilisme lampau menyebabkan pertautan yang satu rumpun menjadi renggang.

Walauupun demikian, sejajar dengan geobudaya dan relativisme budaya yang berakarkan bahasa Melayu, maka sastera Melayu yang mengidektifikasikan jiwa ‘kemelayuan’ terus dapat hidup di beberapa wilayah Melayu seperti Selatan Thailand, Singapura, Brunei, Malaysia dan Indonesia.

“Dominasi geobudaya ‘kemelayuan’ itu menjadi faktor unggul bagi Malaysia, Indonesia (sewaktu Sumpah Pemuda 1928) masih menyebut bahasa Melayu dan kemudian disebut bahasa Indonesia), Singapura dan Brunei (bahasa Melayu Brunei) dalam mengembangkan sastera Melayu sebagai tali pertautan kemelayuan dan citra bangsa nusantara itu masih kekal dan dapat dipertahankan,” kata Mohamad Daud Mohamad.

Dengan kertas kerja Citra Bangsa dalam Sastera Nusantara, Mohamad Daud menjelaskan, pertautan bangsa Melayu dengan sastera nusantara tidak mungkin dapat dipisahkan dengan bahasa Melayu kerana bahasa Melayu ialah jiwa bangsa Melayu.

“Dengan terikat erat jiwa atau roh bahasa dan bangsa tersebut dengan sendirinya setiap kata yang diucap, dicatat, diluah dan digunapakai untuk penulisan genre sastera dengan sendirinya mencerminkan sikap, keperibadian, kebudayaan, pola hidup dan apa-apa sahaja yang bertemali dengan bangsanya.

“Selain itu, genre sastera dengan bahasanya bebas berbicara tentang apa-apa sahaja tanpa perlu terikat dengan peraturan-peraturan seni umumnya kerana genre sastera boleh memasuki alam ilmu pengetahuan, falsafat, psikologi, sosiologi, perniagaan, pembangunan dan lainnya yang berkaitan dengan manusia di sekitarnya dan alam ghaib.”

Oleh sebab itu katanya, terdapat ungkapan Melayu dulu-dulu yang mengingatkan kita bahawa hilang bahasa, lenyap bangsa.

“Jadi, peranan dan fungsi bahasa Melayu dalam menentukan citra bangsa Melayu atau bangsa nusantara yang tercerna dalam genre sastera nudantara dapat berpacaran dalam mata dan menjelma ke indah kata.

“Memaparkan citra atau gambaran atau imej atau wajah jiwa atau atau cermin atau identifikasi bangsa yang tampak dalam genre sastera nusantara, secara sedar kita aka melihat kepelbagaian citra kerana nusantara memiliki keragaman manusia dan budayanya atau dampak tradisi warisan yang berupa sistem sosiokultural yang beraneka.”

Katanya, keanekaragaan budaya yang terdapat di nusantara kerana pengaruh tiga kebudayaan yang kuat memasuki alam kehidupan masuyarakat nusantara di zaman awalnya – Hindu/Buddha, kebudayaan Islam dan kebudayaan Barat.

Ketiga-tiga kebudayaan itu jelasnya, telah merubah imej dan warna sastera nusantara daripada sastera yang berbentuk fiktif atau dongeng semata-mata kepada bentuk sastera yang romantis, realistik, idealis, agamis dan pelbagai elemen baru lainnya diterapkan dalam genre sastera nusantara.

Meskipun demikian, di zaman awal iaitu sebelum ada ke-19 atau bermula alat cetak, genre sastera Melayu di nusnatara masih lagi dibelenggu oleh fahaman feudal Dravidian atau kepercayaan yang berkaitan dengan fahaman anamisme, katanya.

“Jadi, wajarkah jika genre sastera Melayu yang dikenali dengan genre sastera tradisi sebelum kedatangan ajaran dan kebudayaan Islam berupa cerita lisan atau lipur lara tentang dunia fantasi dan dewa-dewa serta makhluk ghaib lainnya.

“Selain itu, genre sastera Melayu tradisi berupa tulisan seperti hikayat masih dipengaruhi oleh elemen feudal dengan kesaktian yang ditentukan oleh dewa-dewa dari dunia antas-berantas. Maka, tidak hairanlah jika dikatakan bahawa genre sastera Melayu nusantara pada zaman awalnya dibelenggu oleh fahaman anamisme, Dravidian dan sikretisme.”

Mohamad Daud menambah, setelah datangnya ajaran agama Islam yang sekali gus membawa fahaman kebudayaan Islam sekitar abad ke-13 di nusantara, genre sastera Melayu nusantara juga mengalami perubahan iaitu bertitik tolak daripada elemen realistik, rasional dan agamis.

“Maksudnya, genre sastera Melayu nusantara mulai mengalami perubahan melalui genre sastera Melayu tradisi berunsur anamisme dan Dravidian kepada genre sastera berunsur Islam seperti hikayat para pahlawan Islam, hikayat para nabi, syair, gurindam pantun, seloka, marhaban, zikir dan sebagainya."

Pertembungan nilai budaya antara kepercayaan Dravidian dan agama Islam ujarnya, menyedar masyarakat nusantara akan nilai moraliti, sikap, keyakinan, konsep, ilmu dan fahaman yang melibatkan minda masyarakat mula berubah, dan sekali gus mempengaruhi pengolahan literari oleh para pengarang.

Katanya, betapapun keragaman budaya wujud dalam masyarakat nusantara, kenyataannya bahawa dari aspek relativisme budaya didapati pola, permasalahan dan pengalaman hidup masyarakatnya masih tetap sama iaitu sama-sama mencari nafkah, menuntut ilmu, menyediakan tempat tinggal, memelihara tata susila, memilik pemimpin masyarakat, melaksanakan adat-istiadat dan lainnya yang diketahui serta tidak diketahui.

Dengan pula kehidupan yang sama dengan sendiri, fenomena yang terungkap dalam genre sastera pengarang mengenai masyarakat atau bangsanya sudah tentu tidak berbeza. “Yang berbeza hanya makna dari segi perkataan atau makna perkataan itu sendiri dan daya ucapnya.”

Persamaan sosiokultural secara fungsionalnya di nusantara bermula dari Pulau Rote, di Nustenggara Timur, Indonesia yang diwakili oleh Gerson Poyk melalui novelnya Guru sehingga ke Kelantan, di Timur Malaysia yang diwakili oleh Kadir Adabi melalui novelnya Melati Kota Bharu menampilkan citra yang sama iaitu sama-sama mengharungi fenomena dan pengakaman hidup sebagai manusia Timur yang dilingkari oleh ciri-ciri kebudayaan masyarakat Timur.

“Akan tetapi, dari segi semantik ternyata fenomena yang ditampilkan oleh setiap pengarang genre sastera memiliki gaya tersendiri dalam pengungkapan mengenai citra bangsanya sejajar dengan world view pengarang itu sendiri.

“Kewajaran pengungkapan ini, sejajar dengan peranan dan fungsi genre sastera sendiri yang mempunyai hubungan yang sangat erat dengan masyarakat dan sosiobudaya yang diungkapkannya. Maksudnya, genre sasrtera wajar jika dikatakan mewakili zamannya dan sebagai pancaran masyarakatnya sendiri sama ada berbentuk sederhana atau kompleks.

“Maka, tidak hairanlah jika Rene Wellek dan Austrin Warren yang memperkenalkan teori kesusasteraan melalui bukunya Theory of Literature menyatakan bahawa sastera tidak terpisah daripada masyarakat. Pendapat ini senada dengan pendapat William Henry Hudson dalam bukunya An Introduction to the Study Literature, Usman Awang dalam bukunya Tema dan Tugas Sasrera Melayu Moden, Eric Newton dalam bukunya The Meaning of Poetry dan lainnya.”

Berkaitan dengan persoalan yang sama juga tercermin dengan jelas dalam masyarakat tradisi di nusantara, yakni genre sastera ialah milik masyarakat umum tanpa perbezaan kasta atau keturunan.

Pada waktu itu kata Mohamad Daud Mohamad, genre sastera bukan sahaja berperanan sebagai alat hiburan, malah memberi semangat atau teladan, digunakan untuk berdakwah, mengeratkan tali silaturahim dan kesedaran tentang nilai-nilai kehidupan.

“Dalam dunia mutakhir iaitu apabila kebudayaan Barat memasuki bumi nusantara, genre sastera nusantara juga ikut berubah beredar bersama evolusi ilmu dan zaman yang berubah.

Kebudayaan barat yang membawa pola kehidupan realitik, meterialistik, individualistik dan kebebasan berfikir telah meresap dalam pemikiran para pengarang genre sastera nusantara seperti tergambar dalam genre sastera moden nusantara semenjak zaman Pujangga Baru tahun 1930-an di Indonesia, Angkatan 45 di Indonesia, ASAS 50 dan sebahagian genre sastera sebeleum di Malaysia/Singapura dan Brunei sekitar 1960-an.”

“Genre sastera di zaman mutakhir tidak lagi bertitik tolak ke dunia fantasi dan ilusi, tetapi mentranformasikan fenomena kehidupan masyarakat di alam realiti ke dalam bentuk kreatif-imajinatif.

“Pengarang genre sastera di zaman mutakhir melahirkan pandangan, idea, idealogi, falsafat, moraliti, pergolakan politik dan sebagainya yang melingkari kehidupan masyarakat di sekitarnya.

“Atau dengan kata lain, pengalaman lahiriah dan batiniah pengarang dalam manghayati kehidupan masyarakat baik masyarakat di pedalaman mahupun masyarakat kota yang kemudian ditranformasikan ke dalam genre sasteranya secara kreatif selari dengan lingkungan budaya yang melingkarinya.”

Tentang hubungan pengarang, genre sastera, bangsanya dan alam sekitarnya dapat diselidiki jika kita mengamati genre sastera secara lebih hati-hati dan teliti kerana pengarang selalu bergelut dengan obsesi dirinya serta fenomena manusia dan segala wilayah di lingkungannya yang mempengaruhi proses krativitinya.

(Utusan Sarawak, 6 Disember 2007)

No comments: