Blog media kontemporari papar karya


RADIN AZHAR AHMAD

KECENDERUNGAN ramai penulis karya kreatif terutama cerpen dan puisi ialah menggunakan blog sebagai medium terkini menyiarkan karya masing-masing. Dengan menaip alamat tertentu dengan melayari internet, pengunjung sudah boleh melayari blog tersebut.
Malah, ia menjadi sesuatu yang mudah. Penulis tidak lagi menunggu tempoh masa yang lama hanya untuk melihat karya mereka tersiar. Berbeza pula dengan media massa sedia ada, karya yang tersiar di blog boleh dibaca oleh sesiapa sahaja di seluruh dunia.
Tidak cukup dengan itu, penulis yang memiliki blog sendiri sudah boleh mewujudkan jaringan dengan penulis lain melalui blog mereka yang sedia ada.
Sebenarnya, blog merupakan media kontemporari yang dapat memberi ruang kepada para penulis memaparkan tulisan masing-masing.
Pada masa yang sama berpeluang menerima kritikan dan teguran. Ini antara kata Pharo Abdul Hakim ketika diminta pandangan tentang kegemaran penulis menggunakan blog sebagai media baru untuk memaparkan karya masing-masing.
Malah, Pharo sekali lagi menjelaskan, "Blog baik untuk demokrasi, begitu kata seorang blogger yang saya kutip bicaranya. Blog membolehkan pengaliran maklumat dan ide tanpa batas dan sekatan. Ada teman blogger berkata , blog ini pasar ide, yang memungkinkan kita menemui kebenaran."
Kata-kata Pharo ini walaupun ringkas tetapi memberikan penjelasana bahawa penulis sememangnya wajar menggunakan blog untuk menyiarkan karya mereka. Tujuannya ialah untuk mendapat perhatian pembaca, penggiat serta pengkritik sastera dari aspek penelitian terhadap karya yang mereka hasilkan.
Dengan ini, kesilapan terhadap karya tersebut dapat diperbaiki secara perbincangan maya. Biasanya, karya akan disiarkan di blog oleh penulis, kemudian dibaca oleh sesiapa sahaja yang mengunjungi blog tersebut.
Sekiranya terdapat pandangan ataupun teguran terhadap karya tersebut, pengunjung tadi secara terus boleh menyatakan pandangannya ataupun tegurannya di dalam blog yang sama. Tanpa perlu untuk menghubungi si penulis ataupun menghantar ke alamat e-mel penulis.
Semua ini begitu memudahkan. Sekiranya kedua-duanya – penulis dan pengunjung mengunjungi dan melayari blog yang sama, mereka boleh pula bernteraksi secara langsung melalui Cbox yang memudahkan perbincangan. Ia lebih kepada chatting iaitu perbualan dua hala. Ini mungkin lebih memudahkan.
Ini antara kelebihan blog yang sudah sedia ada. Sudah ramai penulis yang memiliki bog sedemikian yang memberikan banyak manfaat. Pembedahan karya boleh dilakukan melalui blog bagi mencari hasil yang lebih bermutu sebelum karya tersebut dihantar ke media massa.


(Utusan Sarawak, Khamis, 29 November 2007)

No comments: