Kematangan Jong Chian Lai

RADIN AZHAR AHMAD

JONG Chian Lai, pemenang S.E.A. Write Award 2006 merupakan penulis yang cukup menonjol melalui cerpen dan novel. Mula menulis awal 1980-an, dan aktif hingga kini. Ketika itu, dia melukiskan permasalahan masyarakat Iban yang terhimpit oleh arus pembangunan Sarawak.

Awal 1990-an, dia meninggalkan soal keruntuhan budaya masyarakat Iban. Sebaliknya, menjalar ke permasalahan yang lebih menyeluruh; mencakupi orang Melayu, Cina dan Inggeris. Dalam novel Pemberontakan, dia lebih terbuka – tidak memihak serta lebih berani menyatakan kecurangan dan kelemahan orang Melayu, Iban dan Cina.

“Dia mengangkat masalah yang lebih besar, soal maruah bangsa dan negara, iaitu persoalan kedaulatan dan martabat bangsa dan negara. Paling mengesankan ialah keupayaan Jong Chian Lai memindahkan pengalaman, pemikiran dan sejarah lampau ke dalam dunia kreatif (novel) menampakkan kematangannya sebagai penulis.

“Dia mampu menyelami pergelutan fikiran setiap watak dan dapat pula melukiskannya secara segar kepada pembaca. Pembaca akan terasa jerit rasa, marah benci dan muram durja watak yang ditampilkan. Sekali gus, pemikiran dan tanggapan pengarang lewat sejarah Sarawak dapat ditafsirkan,” kata Hazami Jahari.

Katanya, keseluruhan novel Pemberontakan diceritakan dengan teliti, menyelami secara mendalam setiap watak dan perjuangan mereka. Tafsiran baru dari dimensi penulis tempatan terhadap sejarah negeri Sarawak memberi ruang memahami perjuangan perlombongan Cina semasa pemerintahan James Brooke.

Tafsiran dan dimenasi barat (penjajah) tidak semestinya betul dan tepat. Dalam hal ini, lewat Pemberontakan, Jong Chian Lai begitu berani dan berjaya mencuba.

“Makna di sebalik kisah sejarah dalam Pemberontakan ialah kesetiaan kepada bangsa dan negara adalah amat penting untuk kekuatan bangsa dan negara itu sendiri. Perjuangan tidak akan terhasil jika ada yang belot dan sanggup melihat bangsa sendiri tertindas.”

(Utusan Sarawak, 27 Disember 2007)

No comments: