Aidiladha pupuk pengorbanan masyarakat


RADIN AZHAR AHMAD
HARI ini, umat Islam seluruh dunia merayakan Hari Raya Aidiladha, atau juga dikenali sebagai Hari Raya Haji ataupuun Hari Raya Korban. Bermula hari ini (10 Zulhijah) selama tiga hari berturut-turut, umat Islam melaksanakan tuntutan agama menyembelih ternakan sebagai ibadah korban. Kemudian daging sembelihan (di Malaysia: kambing dan lembu) akan diagih-agihkan kepada fakir miskin dan kepada sesiapa sahaja umat Islam.

Pada masa yang sama, 26 ribu jemaah haji Malaysia bersama-sama hampir 3 juta umat Islam dari seluruh dunia mengerjakan ibadah haji di Mekah, ibadah yang telah dirintis oleh Nabi Ibrahim beserta puteranya Nabi Ismail.

Kita mengetahui kisah Nabi Ibrahim meninggalkan isterinya Siti Hajar dan puteranya Ismail yang masih bayi di suatu lembah tandus. Juga kisah Siti Hajar mencari air untuk menghilangkan dahaga dirinya dan anaknya. Kemudian terpancar sumber mata air zam-zam. Kemudian Nabi Ibrahim diuji untuk menyembelih anaknya atas perintah Allah SWT.

Sejarah itu yang cuba kita hayati dengan melakukan ibadah korban dan ibadah haji. Ibadah haji diwajibkan kepada mereka yang mampu untuk mengerjakannya sekali seumur hidup.

Jika belum berkesempatan mengerjakan haji, umat Islam di Malaysia akan megerjakan ibadah korban. Biasanya, waktu pagi kaum lelaki akan berarak ke masjid atau surau untuk menunaikan solat sunat Aidiladha dan mendengar khutbah raya. Selepas itu, masing-masing akan kembali ke rumah untuk bersama-sama keluarga.

Kesempatan ini digunakan untuk menjamu selera bersama ahli keluarga. Biasanya makanan yang dihidangkan berupa makanan tradisional. Lemang dan ketupat menjadi kemestian selain nasi himpit. Kemudian, lauk adalah rendang, daging atau ayam masak kari serta kuih-muih.

Inilah masa yang dilihat dapat memupuk semangat kekeluargaan ekoran sebelum ini sibuk dengan kerja masing-masing. Selepas itu, ada juga yang membawa keluarga masing-masing menziarah kubur ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Sekali gus mendidik tentang mengingati alam kematian.

Setelah selesai semua ini, umat Islam terutama kaum lelaki (dewasa, remaja dan kanak-kanak) sekali akan berkunjung ke masjid atau surau untuk melaksanakan ibadah korban – menyembelih ternakan; lembu dan kambing.

Di sinilah dapat diperhatikan penduduk yang hadir bekerjasama melaksanakan ibadah itu sejak mula, iaitu ketika merebahkan lembu atau kambing, kemudian menyembelih dan seterusnya melapah kulit serta memotong daging dan dibungkuskan dengan berat sekilogram.

Setelah selesai, daging yang telah dibungkus akan diagih-agihkan kepada fakir miskin, juga kepada seluruh penduduk yang beragama Islam. Tidak kurang pula yang memasak terus daging tersebut untuk dimakan bersama-sama selepas majlis ibadah korban.

Perkara utama yang dilihat pada ibadah korban ialah kita diperintahkan untuk selalu mengambil berat terhadap fakir miskin, dan semangat berkorban. Apabila sifat ini (berkorban) ini meresapi jiwa umat Islam pasti akan mewujudan ketenangan dan kedamainan dalam masyarakat. Dan, merapatkan jurang antara yang kaya dengan yang miskin.
(Utusan Sarawak, 20 Disember 2007)

No comments: