Perkampungan Penulis Sarawak 2008

Lokasi: Auditorium Politeknik Mukah

Sesi Pertama

Kertas kerja pertama berjudul Memperkasa Makna Sejarah Membangkit Kesedaran Fungsi Intelektual Kaum Penulis Sarawak dibentangkan oleh mantan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Haji Hamzah Hamdani.

“Daripada pemerhatian dan penelitian terhadap karya sastera penulis generasi baru di Sarawak, saya mendapat kesan bahawa mereka memiliki kesedaran yang tinggi sebagai penulis yang serius.

“Di samping bakat alamiah, mereka memiliki ilmu bantu yang luas dan ketekunan berkarya serta rasa tanggungjawab kepada masyarakat dan Maha Pencipta Yang Esa.

“Jadi, dengan akar kesedaran yang kuat, sebagai manusia dan hamba Allah, dan rasa tanggungjawab kepada kualiti dan etika penulisan, maka cabaran sezaman, globalisasi umpamanyam tidak akan menggugah atau menghanyutkan dan nengikis jati diri mereka sebagai penulis di Sarawak di khasnya, dan Malaysia umumnya.”

Menurutnya, dalam menghadapi cabaran zaman globalisasi kini, golongan penulis harus berfikiran positif sebagai perisai mendepani godaan budaya global yang perlahan-lahan ditarik ke arah dominasi nilai-nilai hidup Barat, yang bertentangan dengan nilai-nilai agama dan moral dunia Timur.

“Kita harus menyusun strategi berkesan bagi memperkasa makna sastera dalam dunia persuratan di negara kita kerana hal tersebut akan mencerminkan kemampuan ketinggian tamadun kita. Dengan semangat intelektual dan kerja keras yang berwawasan, Insya-Allah, kita akan dapat merealisasikannya,” katanya.

Saie Driss yang bentangkan Menyusuri Perkembangan Sastera Sarawak Sepanjang 45 Tahun menjelaskan, tempoh 45 tahun lepas menyaksikan satu perkembangan cukup pesat dalam bidang sastera dan penulisan di Sarawak baik dalam bahasa Melayu atau bbahasa lain.

Bagaimanpun, dalam konteks kebangsaan dan antarabangsa pencapaian kita masih terlalu jauh dan masih perlukan anjakan dan stimuli serta orientasi semula agar tenaga kreatif dapat dimanfaatkan secara optimum.

“Untuk masa depan kita harus ada buku dalam format e-book ditulis oleh penulis Sarawak yang boleh diakses melalui internet dan dijual melalui media itu. Kita sekali gus tidak harus mengabaikan atau menyisihkan diri daripada perkembangan teknologi internet dan pengaruhnya terhadap kesusasteraan dan penulisan.

“Misalnya, setiap penulis harus ada laman web sendiri dengan curiculum vitae yang lengkap sebagaimana kumpulan CreeART dan AtrageouslyAsia, yang keanggotaannya terdiri daripada para pelukis Sarawak.”

Para penulis di Sarawak selepas ini juga harus sedar adanya media baru seperti buku pod dan buku dipamerkan dalam bentuk sistem pesanan ringkas (sms) di skrin telefon bimbit dan bersedia menyertai tren itu.


Sesi Soal Jawab

SOALAN

Dr. Jeniri Amir – Berkaitan Anugerah Sastera Negeri Sarawak (ASNS). Sekian lama telah terhenti. Apa agaknya sebab yang sebenarnya anugerah ini tidak dilanjutkan? Adakah liat gerakkan sastera dan bahasa? Sudah sampai masa untuk kita terus memberi rangsangan dan mengangkat martabat dan darjat penulis negeri ini dan bergerak ke nasional dan antarabangsa.

JAWAPAN:

Saiee Driss – Jawapan adalah di peringkat kerajaan negeri. Skim diragui oleh banyak penulis yang diberikan kepada orang yang lama meninggal dunia. Tidak ada peruntukan khusus untuk ASNS. Penulis tidak menajdi pendesak kuat. Terpulang kepada orang muda untuk memperjuangkan hal ini.

Jiso Rutan – Sebenarnya ASNS tidaklah diberhentikan secara rasmi. Projek ini banyak bergantung dari segi pembiayaan Kerajaan Negeri melalui KPUS. Setelah kami ‘berehat’ untuk beberapa tahun, tahun ini kami ada menerima peruntukan daripada KPSU tetapi tidak mengizinkan kami untuk melaksanakan anugerah itu seperti yang sudah-sudah. Tetapi kami akan melaksanakan anugerah itu ala Anugerah Satera Malaysia. Satu Anugerah Utama sahaja untuk tahun ini. Mungkin dalam bulan 10 atau 11.

Harapkan juga dalam menerusi acara ini (Perkampungan Penulis Sarawak) ada desakan daripada peserta bukan sahaja daripada DBP sahaja. Untuk mengharapkan DBP sahaja tidak cukup. Suara dari peserta juga penting. Terima kasih berikan sokongan kegiatan kita semua ini

Sesi Kedua:

Sazali Morshidi dan Hipani Alwi membentangkan Sejarah Perkembangan Puisi di Sarawak pula menjelaskan, variasi perkembangan puisi di Sarawak sejak zaman merdeka hingga ke hari ini telah memberi manfaat yang besar kepada pembangunan serta perkembangan sejarah sastera Melayu.

Idea dan pemikiran inovatif, kreatif dan intelektual yang diutarakan di dalam puisi-puisi para penyair sedikit-sebanyak mampu memberi perkembangan yang sihat dan bermakna terhadap tamadun warga manusia.

Katanya, apabila puisi-puisi ini dikupas dan dikritik agar khalayak yang lebih besar dapat membacanya, ia dapat memberi saranan kepada ketamadunan bangsa itu sendiri. Bentuk saranannya akan lebih jelas apabila ide-ide itu dibentukkan dalam kritikan atau kupasan para pengkritik.

“Sifat puisi ialah memberi makna kepada kehidupan denngan kata-kata yang puitik. Puisi perlu dilihat dari aspek isi dan teknik. Isi adalah fiikiran, fakta dan perasaan dan perlu dilepaskan secara yang halus (atau mmungkin juga kasar).

Ianya perlu dikawal dengan peraturan-peraturan tertentu dalam pembentukan sesebuah sajak. Puisi harus bersifat menerangi kehidupan kerana kebanyakan puisi-puisi besar dalam mendorong ke arah itu,” katanya.

Sesi Ketiga:

Sementara itu, Editor Eksekutif Utusan Sarawak yang juga penyair, William Chan yang membincangkan Media Massa Penyubur Minat Terhadap Kesusasteraan di Sarawak berkata, dalam menelusuri perkembangan kesusasteraan di Sarawak sepanjang 45 tahun dai 1963 hingga 2008, satu hal yang dapat dirumuskan ialah media massa berperanan penting dalam penyuburan minat di kalangan peminat, penikmat dan penggiat bidang penulisan.

Menurutnya, media massa akan terus berperanan penting dalam penyuburan kesusasteraan di Sarawak.

“Media cetak, elektronik dan maya siber akan terus menjadi pilihan. Walaupun ada kebimbangan dicetuskan tentang betapa generasi muda kini kurang rancak dalam gelanggang sastera, keadaan sebenarnya di Sarawak ini belum menampakkan trend itu.”

“Masih ramai generasi muda yang aktif dalam penulisan berkaitan sastera. Keadaan ini terus dipupuk oleh badan-badan penulis, institusi seperti DBP dan seumpamanya. Walaupun era globalisasi dikatakan banyak ‘meragut’ nilai-nilai murni manusia dan kemanusiaan saya yakin akan terus relevan dan peranan mdedia tidak akan terhakis.”

bersambung nanti...

150 sertai Perkampungan Penulis Sarawak 2008

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak telah wujud di negeri ini pada 1977. Kewujudannya telah mengambil alih peranan dan fungsi BBLB di Sarawak. Setelah 30 tahun menjalankan amanah dan tanggungjawabnya, DBP Cawangan Sarawak merasakan bahawa tahun ini harus dan wajar diadakan pertemuan di kalangan penulis.

Ini disesuaikan dengan 45 tahun Sarawak merdeka bersama Malaysia. Perkampungan Penulis Sarawak 2008 yang akan disertai 150 peserta di kalangan karyawan, penulis dan penggiat sastera, serta budayawan ini merupakan pertemuan yang ketiga.

Tahun 2008 dianggap tahun penilaian yang cukup tuntas bagi memperlihatkan kejayaan, kelemahan dan halangan dalam usaha memartabatkan sastera dan bahasa Melayu.

Perkampungan ini merupakan anjuran DBP Cawangan Sarawak, Pejabat Residen Bahagian Mukah, Politeknik Mukah Sarawak dan Badan Budaya Warisan Mukah dan akan diadakan bermula 27 hingga 29 Jun ini di Politeknik Mukah.

Selain diadakan bersempena ulang tahun ke-45 Sarawak dalam Malaysia, perkampungan ini turut diadakan dengan tujuan untuk mempertemukan pemikir, karyawan dan penggiat sastera di Sarawak.

Juga menjadi salah satu medan bertukar-tukar fikiran, pendapat, idea dan cadangan di kalangan pemikir, karyawan dan penggiat sastera Sarawak, di samping menjadi ruang untuk menilai dan meneliti kegiatan yang telah diadakan serta merangka dan merancang kegiatan sastera.

Perkampungan ini diharap dapat menjadi ruang bagi pemikir, karyawan dan penggiat sastera melakukan penilaian semula tentang kegiatan, sumbangan dan perkembangan sastera di Sarawak.

Di samping mengharapkan adanya cetusan idea yang mampu diketengahkan bagi menjadikan kegiatan, sumbangan dan perkembangan sastera di Sarawak lebih meriah, maju dan gemilang.

Antara kegiatan yang akan diadakan ialah Majlis Makan Malam Sambutan (Perasmian) di Tingkat 12, Menara Pehin Setia Raja serta Malam Simfoni WARISMU.

Sementara kertas kerja yang akan dibentangkan ialah “Sejarah Perkembangan Sastera di Sarawak” oleh Haji Hamzah Hamdani dan Saiee Driss yang akan dipengerusikan oleh Encik Hipani Alwi.

Tajuk yang sama untuk sesi kedua pula dibentangkan oleh Zaini Oje dan Haji Sajali Morshidi. Sesi ini dijangka dipengerusika oleh Nurhidayah Bujang.

Sementara kertas kerja berjudul “Masa Depan Sastera di Sarawak” pula akan dibentangkan oleh Hazami Jahari, William Chan dan Nik Mohd. Isnan. Sesi ini akan dipengerusikan oleh Ja’afar Haji Hamdan.

Program Sembang-Sembang Sastera yang membincangkan tajuk “Sastera Kebangsaan Dalam Arus Globalisasi” yang disertai oleh wakil Persatuan Penulis Johor (PPJ), Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA), Warisan Budaya Mukah (WARISMU), Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) dan Kumpulan Anak Seni Daro (KASDA).

Sementara sesi Diskusi Karya pula akan disertai oleh Profesor Madya. Dr. Hashim Ismail, Dr. Shaari Abdul Rahman, Jeniri Amir dan Abang Patdeli Abang Muhi.

(Utusan Sarawak, 26 JUN 2008)

Pandangan Pharo terhadap Bertandanglah Ke Dalam Hati

ANTOLOGI Puisi Bertandanglah Ke Dalam Hati nukilan Jais Sahok ini dihasilkan dengan penuh keinsafan tentang nasib segelintir masyarakat yang tidak begitu baik. Golongan yang daif tetapi mempunyai keinginan kental perlu mendapat pembelaan sewajarnya oleh semua pihak yang mendukung nilai-nilai kemanusiaan,” kata Pharo Abdul Hakim.

Membincangkan judul Risau Jais Terhadap Lantera Kemanusiaan Yang Kian Balam, Pharo menjelaskan, jejak langkah Jais Sahok memberi pembelaan terhadap golongan miskin dan kurang keupayaan harus menjadi contoh untuk diikuti dalam perjuangan para penyair.

“Untuk puisi menjadi sebuah puisi, ia harus melampaui kata-kata, dan untuk menjadi penyair, dia harus melampaui dirinya – menjangkau dan menjelajah jauh di sebalik kenyataan-kenyataan sosial, ekonomi dan politik di depan matanya,” kata Pharo memetik kata-kata Dato’ Dr. Baharuddin Zainal.

Katanya, atas desakan, tolakan dan kerisauan yang mengganggu fikiran, Jais bertungkus lumus menghasilkan sebuah antologi puisi kemanusiaan, Bertandanglah Ke Dalam Hati dan dengan dokongan teman-temannya, telah menerbit sendiri antologi ini untuk disampaikan kepada masyarakat betapa gelodak minda dan jiwanya melihat kemanusiaan tidak diberi pembelaan sewajarnya oleh golongan yang bernama manusia yang sepatutnya punya perasaan kemanusiaan.

“Apabila Jais memulakan usaha ini dengan menulis tentang kemanusiaan, kemudiannya hasil yang diperoleh daripada jualan antologi ini untuk tujuan kemanusiaan, beliau menghantar satu mesej jelas bahawa masih ada duka menyelubungi segelintir insan yang terperosok di sudut kota, di sebalik kemewahan yang melimpah ruah di negara tercinta.

“Ada insan yang menunggu ihsan belas manusia yang kaya dan berupaya. Jangan ketepikan masalah kemiskinan. Jangan perkecilkan derita manusia. Jangan ejek duka yang menyelubungi mereka dengan ucap kata yang berbisa. Jangan berlaku sombong dan menyalahgunakan kuasa yang ada.”

Kata Pharo, melalui antologi itu, Jais mengupas tema manusia dan kemanusiaan dalam cerita yang pelbagai. Baginya, puisi adalah suara hati budi dianyam menjadi nyanyi untuk dimengerti isi dan lontaran emosinya.

Puisi merupakan saluran bagi Jais meluahkan kepekaannya terhadap masalah masyarakat sekelilingnya, masalah sosio-politik dan ekonomi bangsanya.

“Sebagai seorang pendidik, Jais banyak terdedah kepada keadaan masyarakat sekelilingnya yang memberi beliau gambaran kepincangan sebahagian masyarakat Malaysia hari ini. Cerita luka dan duka, tangis dan hiba, lapar dan dahaga, terpinggir dan tercela, yang ditanggung oleh sebahagian pelajarnya ditatapi dan dihayati setiap ketika.

“…ini amat menginsafi dirinya, menjadi suatu rangsangan pada hatinya, lalu tercetus gambaran manusia yang ditemuinya yang menghadapi pelbagai jenis kesukaran,” tambahnya.

Pharo berkata, “…bukankah puisi itu ditulis untuk menceritakan kebenaran. Itu yang Jais lakukan. Bertandangkah Ke Dalam Hati merupakan luahan hati seorang penyair untuk membijaksanakan masyarakatnya. Seperti kata Robert Frost, puisi bermula dengan keseronokan berakhir dengan kebijaksanaan.”

Jais melalui antologi ini kata Pharo, berharap dapat memainkan peranan membina sebuah nusa untuk semua kaum yang mempamerkan masyarakat hidup dengan penuh keinsafan.

“Penyair hanya boleh meluahkan rasa kesal dan sayu hatinya melalui puisi. Tetapi untuk didengari adalah sesuatu yang sangat sukar. Mungkin pihak yang berkuasa lupa bahawa Tuhan itu wujud. Apa yang berlaku membuat Jais amat kedewa terhadap segala sengketa yang enggan reda.

“Seperti juga penyair lain, Jais cepat tersentuh oleh apa yang ditatapinya melalui mata zahir dan hatinya. Dia amat kecewa terhadap manusia yang tidak menghargai alam ciptaan Tuhan.

“Manusia juga tidak menghargai keistimewaan dan kekuasaan yang telah diberikan Tuhan kepada mereka. Manusia tidak melakukan pembelaan terhadap manusia dan kemanusiaan dan ini ditulis dengan bermetaforakan sungai Sarawak yang begiotu historis dan indah.”

Surat ini neng
untukmu sebatang sungai
bagai madah pujangga
seorang warga yang kecewa
dan terperosok lara
di hujung belantara
merintih dan kekadang sedih
tangisan di hujung suara anak merdeka.

Jais katanya, berharap “tangisan” akan merobah segala payah dan resah, semoga apa yang diluahkan melalui puisi dapat dimengerti oleh manusia yang berkuasa.

“Dengan memahami luahan hatinya, diharap manusia mengerti dan kemanusiaan boleh kembali segar di dalam kehidupan seharian kita.”

Menangislah neng, sayang
Agar titis air matamu
Aku bersahut madah simpati
Warga yang mudah mengerti.

(Utusan Sarawak, 26 JUN 2008)


Mengenali Sastera Rakyat

SASTERA rakyat atau sastera lisan merupakan bentuk kesusasteraan yang terawal lahir dalam semua kebudayaan manusia. Sebelum masyarakat Melayu/peribumi mengenali huruf, sastera yang berbentuk lisan telah berkembang dengan meluas dalam masyarakat Melayu/peribumi tradisional.

“Walaupun kemudiannya tulisan diperkenalkan, sastera lisan tetap berkembang dengan pesat dalam masyarakat Melayu/peribumi tradisional,” kata Abdul Rassid Haji Subet ketika membentangkan kertas kerja Menghayati Sebaginda Bujang dan Anak Cuik Keramat Melalui Pendekatan Moral pada Majlis Bicara Buku 2008 baru-baru ini.

Menurutnya, meskipun alam Melayu mengalami proses pemodenan, sastera lisan masih terpelihara dan dituturkan oleh masyarakat Melayu/peribumi yang menganggapnya sebagai warisan budaya bangsa yang tinggi nilainya.

Jelasnya, sastera rakyat atau sastera lisan ialah hasil-hasil sastera Melayu/peribumi lama yang disampaikan secara lisan iaitu dipertuturkan.

Sastera rakyat katanya, merupakan hasil sastera yang dimiliki oleh masyarakat Melayu/peribumi, disebarkan dan dituturkan daripada satu generasi ke satu generasi secara lisan.

“Masyarakat Melayu/peribumi yang menghasilkan sastera rakyat bersifat tradisional, ketinggalan dari segi teknologi, masih mengamalkan sistem sosial yang terikat dengan semangat kerjasama dan kolektif, masyarakat yang masih statik serta tidak banyak hubungan dengan masyarakat luar.

“Sastera rakyat merupakan hak milik bersama (kepunyaan) bangsa Melayu/peribumi. Ia hidup dalam masyarakat Melayu/peribumi tradisional secara lisan atau secara dituturkan. Sebab itulah sastera berbentuk lisan ini tidak diketahui nama pengarang atau penulisnya.

“Juga tidak diketahui bilakah ia dicipta. Sebagai sastera yang tersebar secara lisan, sastera rakyat banyak mengalami perubahan dan tokok-tambah serta penyesuaian. Tokok-tambah dan penyesuaian dilakukan bagi menyesuaikan cerita tersebut dengan situasi setempat,” katanya.

Perubahan masa dan zaman ujarnya, membawa perubahan kepada corak penyebaran secara lisan. Kini, hasil sastera lisan telah dibukukan, iaitu ditulis.

“Tradisi lisan yang mencirikan karya-karya sastera lisan telah menerima perubahan kepada bentuk bertulis.

“Sungguhpun masyarakat telah mengamalkan sistem tulisan, namun tradisi lisan tetap hidup di dalamnya,” katanya.

Sastera lisan tambah Abdul Rashid Subet, tetap merupakan sastera lisan sekalipun telah menjadi bahan bertulis.

Karya-karya sastera lisan yang telah dibukukan masih mengekalkan ciri-ciri kelisanannya, malah mempunyai ciri-ciri tersendiri.

“Kini, kita boleh membaca cerita-cerita rakyat ini melalui buku-buku yang dihasilkan dan melalui media lain seperti cakera padat video (vcd) dan sebagainya.”

Seperti di Semenanjung Malaysia, pertumbuhan sastera di Sarawak bermula dengan tradisi lisan; yang hidup di kalangan masyarakat dan diperturunkan daripada satu generasi kepada generasi kemudiannya.

Melalui bentuk sastera lisan ini kita dapat memahami pandangan dan proses pemikiran masyarakat Sarawak.

Tradisi itu jelas Rassid dikenali dalam bentuk mitos, legenda dan cerita rakyat (folktale). Dalam tradisi lisan ini, tercatat tentang kegiatan ekonomi, sejarah, sosial, etika, nilai, kepercayaan, aspirasi matlamat hidup dan pergerakan masyarakatnya.

“Pada masa sekarang warisan tradisi lisan ini sebahagiannya telah didokumentasikan dan diterbitkan, umpamanya dalam Sarawak Museum Journal dan Sarawak Gazzette. Biro kesusasteraan Borneo pula telah menerbitkan 65 buah cerita rakyat dalam bahasa setempat iaitu di dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris seperti majalah Dolphin, Pelita Pelajar, Nendak dan Perintis.

“Usaha mendokumentasikan karya ini diteruskan lagi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, melalui usaha pengumpulan, penterjemahan dan penerbitan dalam bahasa Melayu.

“Kegiatan pengumpulan tradisi lisan ini semakin penting pada masa kini, kerana tradisi ini kian pupus ditelan kepesatan zaman dan pewarisnya pula sudah ramai yang meninggal dunia tanpa ada penyambutnya.”

Ciri-ciri sastera rakyat


i. Penyebaran oleh pewarisnya dilakukan secara lisan walaupun ada sesetengah bahan kesusasteraan rakyat telah diterbitkan dalam bentuk tulisan, namun asal bahan tersebut tersebar di kalangan masyarakat menerusi lisan dan masih mengekalkan ciri kelisanannya. Ada juga hasil yang masih lagi tersebar secara lisan hingga kini walaupun sebahagian ceritanya telah dibukukan.

ii. Untuk mendapat bentuk yang mantap, kesusasteraan rakyat mesti hidup dalam masyarakatnya tidak kurang daripada dua generasi.

iii. Wujud dalam pelbagai versi. Oleh sebab disebarkan secara lisan, unsur tokok-tambah tidak dapat dielakkan, sehinggakan apa-apa yang dituturkan itu sudah menjadi satu versi yang tersendiri. Perbezaan versi ini hanya berlaku pada bahagian luarannya sahaja, namun inti patinya tetap kekal.

iv. Penciptanya tidak diketahui, penyebaran kesusasteraan rakyat boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Tidak ada halangan dan had untuk dituturkan. Penutur kesusasteraan juga bebas melakukan penambahan dan pengurangan atau melakukan penyesuaian jika mereka mahu. Kewujudan karya yang sentiasa berubah itu menyebabkan tidak diketahui siapa penciptanya yang sebenar.

v. Oleh sebab kesusasteraan rakyat wujud dalam bentuk tokok-tambah oleh penutur dan pendukungnya, karya tersebut sudah menjadi milik bersama masyarakatnya.

vi. Kesusasteraan rakyat yang menjadi milik bersama masyarakat secara tidak langsung juga menggambarkan segala pemikiran, perasaan, nilai dan falsafah hidup masyarakatnya. Penyataan tersebut mungkin dilahirkan secara terus terang atau secara tersirat.

vii. Oleh sebab kesusasteraan rakyat wujud dan berkembang melalui media lisan, penutur biasanya tidak berkesempatan menapis apa-apa yang dituturkan ketika berhadapan dengan pendengar atau khalayak. Oleh itu, sifatnya cukup sederhana dan seadanya, terlalu spontan dan kadangkala kelihatan kasar.

viii. Kesusasteraan rakyat juga wujud dalam bentuk tradisi tekal. Misalnya, cerita lipur lara mempunyai struktur plot yang sudah tetap seperti plot sebelum mengembara, semasa mengembara, sesudah mengembara dan pengakhiran yang menggembirakan.

ix. Kesusasteraan rakyat juga bersifat pralogis, iaitu mempunyai logika yang tersendiri yang mungkin tidak sesuai dengan logika umum. Oleh itu, pandangan dan tanggapan masyarakat lain tidak penting kepada pertumbuhan dan perkembangan kesusasteraan rakyat sesuatu masyarakat.

x. Kesusasteraan rakyat juga mempunyai kegunaan dalam kehidupan bersama dalam sesuatu masyarakat.

(Utusan Sarawak, 26 JUN 2008)

Anak Ruma’ Kadang penuh citra budaya


ANTARA buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) termasuk Anak Ruma’ Kadang yang dipamerkan sempena Majlis Bicara Buku 2008 anjuran DBP Cawangan Sarawak dengan kerjasama Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) baru-baru ini.

ANAK Ruma’ Kadang secara umumnya merupakan sebuah novel penuh citra budaya masyarakat Lun Bawang. Novel ini yang ditulis oleh Mohd Faizal Jamil menjadi cukup bermakna dalam arus sastera Sarawak kerana novel inilah yang pertama mengemukakan masyarakat Lun Bawang, selaku masyarakat minoriti.

Ja’afar Haji Hamdan menjelaskan, walaupun sudut pandangan dalam novel ini daripada seorang pengarang berbangsa Melayu, namun pegangan Mohd Faizal, iaitu buku Masyarakat Lun Bawang telah mampu memberi nilai makna yang sebenar tentang budaya masyarakat Lun Bawang.

“Novel ini mempunyai dimensi yang berbeza sekiranya diteliti melalui sudut teori yang lain. Sememangnya, pembicaraan buku ini hanya mengambil kira beberapa hal tentang budaya masyarakat Lun Bawang. Sedangkan 70 peratus novel ini amat berjaya memaparkan panorama serta keunikan masyarakat dari kaca mata sastera.”

Menurutnya, penelitian Anak Ruma’ Kadang hanya berpijak kepada nilai sastera karya novel tersebut dengan kaitan tuntutan studi budaya. Nilai sastera itu adalah pemikiran budayanya namun diteliti melalui etimologi studi budaya.

“Apabila membaca studi budaya dalam hubungan bagi memperlihatkan sastera dan budaya terhadap novel Anak Ruma’ Kadang, perkara pokoknya adalah ciri-ciri budaya tradisinya yang menjadi susur galur budaya kehidupan mereka.

“Setiap apa yang dilakukan memerlukan upaya adat tradisinya. Setiap keputusan memerlukan pertimbangan adat tradisi. Bahkan, soal-soal benar dan salah itu pun terungkap dalam adat tradisinya,” jelasnya.

Pegangan tradisi katanya, memberi kekuatan budaya sebagai pedoman kehidupan. Tanpa tradisi yang merangkumi budaya mereka, maka kehidupan mereka tidak memenuhi tuntutan turun-temurun budaya masyarakatnya.

“Hal ini cukup menarik diteliti dan ditekuni melalui studi budaya, kerana secara tidak langsung, soal-soal tersirat akan ditemui bagi memberi nilai-nilai hal yang tersurat. Pantang larang cukup menjadi persoalan yang amat berat dalam tradisi Lun Bawang. Namun, pantang larang yang dilanggar akan mengakibatkan satu malapetaka atau bencana terjadi.

“Hal ini disentuh dengan teliti oleh pengarang dalam novelnya. Walaupun hal sebegini turut menjadi pegangan beberapa etnik lain di Sarawak, namun dalam masyarakat Lun Bawang, si pelanggar pantang larang harus dihukum. Tetapi, dalam tangan Mohd Faizal (penulis), hukuman itu menjadi ringan melalui watak timbang tara ketua kaum.”

Melalui novel ini juga, pengarang turut menurunkan jampir tawar mengei bagi memanggil burung mengei. Upacara memanggil burung berkenaan penting bagi memberi petanda baik. Sekiranya burung berkenaan tidak muncul, maka mereka terpaksa membatalkan niat untuk membuak kawasan baru.

Selain itu pengarang kata Ja’afar juga memaparkan pantang larang mentertawakan benda pelik atau kecil, yang turut terdapat dalam masyarakat lain khususnya Melayu.

“Mengikut kepercayaan masyarakat Melayu, mentertawakan benda pelik dan kecil akan menyebabkan “kudik” atau “buak” yang berupa angin taufan dan akhirnya disumpah menjadi batu. Hal ini turut ada dalam masyarakat Lun Bawang.”

Kepercayaan tentang pantang larang di hutan dan sungai turut terdapat dalam novel tersebut yang cukup menarik diketahui sebagai mengenali kepercayaan masyarakat orang lain yang menjadi pengikat budaya mendisiplinkan masyarakatnya.

Jelas ja’afar, Mohd Faizal juga membuat perbandingan tentang persamaan dan kelainan masyarakat Melayu dan Lun Bawang bagi memberi tafsiran rumpun yang sama dan dibezakan oleh sedikit pengaruh mitos dan anutan.

Namun dari segi konsep sambutan dan perayaan, khususnya majlis perkahwinan, Mohd Faizal menperjelaskannya secara langsung tanpa membuat secara rinci.

Uniknya, majlis kenduri yang diadakan masyarakat Melayu mempunyai sedikit persamaan dengan majlis irau aweh yang diadakan di ruma’ kadang. Cuma upacara akad nikahnya saja yang berbeza.

Pesta Lun Bawang yang merupakan pesta tradisi masyarakat Lun Bawang diadakan sempena Hari Gawai Dayak. Dalam novel ini, pengarangnya memberi gambaran umum tentang pesta ini. Walaupun demikian, pengarang juga mengemukakan legenda Lun Bawang yang memungkinkan pesta ini diadakan.

Menurut legenda Lun Bawang, Diri Ulung didirikan selepas seorang pahlawan mencatat kemenangan dalam peperangan. Setelah semuanya didirikan, sekumpulan orang akan berarak mengelilinginya sambil menyanyi ukui yang bertujuan merayakan serta memuji pahlawan berkenaan.

“Sesungguhnya, novel ini mengisi khazanah sastera Sarawak dengan cukup makna. Kerana, kemunculan novel ini akan memperkayakan ‘novel budaya’ selain novel Kelingkang, Ngoncong, Pindah, Melati Sarawak, Ngesap dan sebagainya. Barangkali selepas ini, ada kajian yang akan memaktubkan bahawa novel budaya telah bertapak murni di bumi Kenyalang ini,” kata Ja’afar.
(Utusan Sarawak, 19 Jun 2008)

Kumpulan sajak Taufiq Firdausi

Cinta di jabal rahmah

Cinta dipertemukan di sini
Sehebat matahari menjalurkan sirna
Di sini sedatar Arafah

Melihat segala
Ke lubuk cinta paling jauh
Adam kau berlari membawa haus
Tatkala Hawa melambai sayu
Tangisan sekeliling kudengar
Kurasa
Dalam kecil seorang insan
Kulihat Tuhan dalam semua bahasa
Takut padaMu

Cinta Adam Hawa
Datang ke mari membawa rindu

Isteri dan anak-anakku
Di sini kubina kekuatan
Kuingin menjadi lelaki paling gagah
Sehabis tulus
Mendakap cintaMu

Arafah Mekah
Januari 2006

CINTA di jabal rahmah merupakan satu daripada 15 puisi tulisan dan karya Taufiq Firdausi yang dimuatkan dalam Kumpulan Sajak Taufiq Firdausi.

Kumpulan puisi setebal 24 halaman ini dengam nama Cinta Si Pemain Silat ini diterbitkan sendiri oleh Taufiq.

Antara puisi yang termuat dalam kumpulan ini ialah Sapu Tangan Hijau, Kasutku yang baru, Sibu, dalam diamku, kerdilku tidak pernah kecil, Mencipta bunga, Memakan kulit, Saat kehilangan, Cerita di sebalik kelambu, Puisiku tidak lagi abstraks, Mati di atas perut, Genderang bahasa, Cinta dari seekor kucing, Cinta di sepohon rending, Cinta di Jabal Rahmah, Seorang pesara yang berulang-alik dan Dia kian keras memicitkan kepalanya.

(Utusan Sarawak, 19 Jun 2008)

AJK PEKASA 2008/2009

KELIHATAN dalam gambar, Penung Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa), Datuk Hajah Salbiah Painah (duduk empat dari kiri)merakam gambar bersama-sama Ahli Jawatankuasa Pekasa Sesi 2008/2009 iaitu Ja’afar Hamdan, Bibi Sabariah, Pharo Abdul Hakim, Awang Kelana, Radin, Mohd Faizal Jamil, Ahmad Zaidi Nordin, Azman Alli Rajah dan Dayang Noorzen Abang Kaderi.

SETIAP ahli persatuan penulis harus memberikan keutamaan terhadap kepentingan persatuan berbanding perkara lain, jika mahu persatuan yang disertai oleh mereka (ahli) memberikan banyak manfaat.

Penaung Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa), Datuk Hajah Salbiah Painah berkata, oleh yang demikian, setiap ahli sama di peringkat jawatankuasa atau ahli biasa harus mengutamakan semangat kerjasama.

“Seperti yang kita ketahui sudah banyak wujud persatuan penulis di negeri ini sejak dahulu. Ada yang telah ‘mati’ selain ada yang kekal. Semua ini harus dijadikan pengajaran kepada kita agar perkara yang sama tidak berulang.

“Selanjutnya, perkara yang perlu diutamakan ialah jangan mengutamakan jawatan lebih-lebih lagi ketika pemilihan jawatankuasa baru. Jika perebutan berlaku kerana kepentingan sendiri, maka persatuan tersebut akan rosak,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Mesyuarat Agung Pekasa Ke-3 di Bilik Wacana Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak baru-baru ini.

Datuk Salbiah berharap setiap ahli jawatankuasa persatuan penulis dapat memberikan sumbangan terhadap usaha melahirkan lebih ramai kalangan penulis dari negeri ini yang kemudiannya dapat diketengahkan di peringkat yang lebih tinggi.

“Perkara ini yang harus diutamakan. Bukannya mengutamakan jawatan yang disediakan dalam mana-mana persatuan,” jelasnya.

Jika berlaku demikian (perebutan kuasa), maka segala perancangan yang direncana akan terganggu ataupun gagal ketika pelaksanaan, tambahnya.

Pada mesyuarat tersebut, Ja’afar Haji Hamdan diberikan kepercayaan sekali lagi menerajui Pekasa apabila dilantik semua sebagai Ketua Satu bagi sesi 2008/2009. Sementara itu, jawatan Ketua Dua disandang oleh Haji Mohd Taufek.

Seterusnya, Hajah Bibi Sabariah juga mengekalkan jawatan Setiausaha Satu, sementara jawatan Setiausaha Dua disandang oleh Dahiri Saini. Pharo Abdul Hakim turut mengekalkan jawatan Bendahari apabila menang tanpa bertanding.

Enam ahli jawatankuasa yang turut dilantik ialah Awang Kelana Awang Hassan, Radin Azhar Ahmad, Mohd Faizal Jamil, Ahmad Zaidi Nordin, Azman Alli Rajah dan Dayang Noorzen Abang Kaderi.

(Utusan Sarawak, 19 Jun 2008)


Seni SILAT dipentaskan

AMAT jarang melihat seni silat dipentaskan dalam pementasan teater secara menyeluruh. Jika adapun, cuma hanya beberapa babak yang mungkin melibatkan pertarungan antara watak baik dan watak jahat.

Pada 14 Jun ini di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, peminat seni silat pastinya berasa bertuah kerana akan dapat menyaksikan seni ini dipentaskan sebagai jalan utama kepada pementasan teater ‘Silat’.

Pementasan yang dilakukan oleh produksi teater Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) dan banyak menggumakan khidmat pesilat sekitar Kuching ini dari Rumpun Silat Sarawak (RSS) merupakan arahan Kelana Akira.

Teater ini bermula dengan cerita di sebuah daerah negeri Melayu di penghujung zaman penjajahan British. Di daerah ini terdapat sebuah perguruan silat yang tersembunyi pada awalnya.

Walau bagaimanapun, berita kewujudakn perguruan silat ini tersebar hingga ke Istana Sultan Darul Hana.

Sultan sendiri telah melihat betapa hebat silat rakyatnya sendiri dan mengharapkan agar pesilat ini dapat membantu mempertahankan negeri Darul Hana dari terus dijajah British.

Sultan telah diperlihatkan dengan pelbagai Jurus Perguruan seperti Silat Betawi, Silat Pukulan 12 atau spring 12, Silat Tai Pei, Silat Hai Lam Rompak, Silat Kuntau, Silat Sangga Bunuh, Silat Pukulan Paris Dendam dan Silat Pukulan Alun Tujuh Selendang Putih.

Guru Kelana Murba mempunyai seorang anak murid baru beranama Guntur dan bersahabat dengan Awangku Maulana.

Di negeri Darul Hana, British cuba mendapatkan negeri tersebut dengan pelbagai cara. Pada suatu hari, tali barut British membunuh Awangku Maulana tetapi serangan mereka dapat dipatahkan.

Malangnya, Guntur mati terbunuh waktu itu. Rasa dendam Awangku Maulana dan rakan seperguruan terbalas apabila tali barut British cuba menyerang Istana Darul Hana.

Pementasan teater tersebut merupakan anjuran Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Sarawak dengan kerjasama DBP Cawangan Sarawak di bawah program Pementasan Teater Berkala 2008.

(Utusan Sarawak, 12 Jun 2008)

Analisis Studi Budaya dalam Suara Dari Rimba

STUDI Budaya dirumuskan oleh Bennet dan diketengahkan oleh Abang Haliman Abang Julai sebagai satu arena interdisiplin, yakni perspektif daripada disiplin yang berlainan dapat diambil secara selektif bagi menguji hubungan antara kebudayaan dengan kekuasaan.

Bentuk kekuasaan yang diterokai oleh studi budaya beragam, termasuk gender, ras, kelas, kolonialisme dan lain-lain. Studi budaya juga merangkumi wilayah pendekatan kajian budaya seperti politik, ideologi, sosial dan sejarah.

Ini merupakan perkara yang dijadikan asas oleh Abang Haliman Abang Julai apabila membentangkan kertas kerja berjudul Suara Dari Rimba Zahirkan Suara Hati Kaum Penan: Analisis Studi Budaya pada Majlis Bicara Buku anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa).

Penelitiannya terhadap novel Suara Dari Rimba karya Jong Chian Lai, Abang Haliman mendapati, Jong mempunyia satu paradigma yang tekal apabila membicarakan permainan kuasa antara dua pihak, superior dan subordinate.

Menurutnya, persoalan Suara Dari Rimba berkisar tentang isu penentangan suku kaum Penan di belantara Sarawak terhadap usaha pembangunan dan pembalakan oleh pihak berkuasa dan golongan kapitalis.

“Penentangan Penan ini didalangi oleh seorang pencinta alam Swiss, Brueno Mansel yang sanggup mengabdikan diri di dalam belantara Sarawak demi membuktikan kesungguhannya membela kepentingan Penan.

“Misinya adalah untuk mempertahankan rimba dan cara hidup Penan yang kuno agar tidak dimusnahkan oleh kemasukan pembangunan dan perubahan cara hidup yang moden. Perjuangan lelaki asing berkulit putih ini kelihatan jujur kerana disertai alasan yang menyebelahi kehendak suku kaum Penan.”

Namun begitu katanya, dari sudut lain, misi itu dianggap mempunyai muslihat yang sebaliknya, iaitu mengekalkan kemunduran sebilangan kecil rakyat Malaysia sedangkan masyarakat lain sudah meninggalkan kehidupan kuno itu dan membangunkan tamadun yang lebih bermakna.

Jelasnya, James Rich seorang anak peribumi berketurunan Wales, Iban dan Cina menyedari muslihat Brueno Mansel. “Baginya, masalah ini mesti diatasi kerana masyarakat Penan juga perlu dibawa bersama menikmati pembangunan yang sudah lama dikecapi oleh masyarakat lain. James Rich berpendapat tanggungjawab membela nasib masyarakat Penan bukannya di tangan orang asing dan bukannya dengan cara orang asing.”

Katanya, “Daripada analisis Studi Budaya, dapat ditemukan pemikiran budaya yang dikemukakan oleh Jong Chian Lai melalui novel ini. Pemikiran itu tergambar dalam dunia representasi, bukannya yang sebenarnya berlaku. Jong mencipta permainan bahasa untuk mengolah sebuah citra yang dapat dijadikan nilai sepunya masyarakat, khususnya masyarakat Penan yang menjadi subjek cerita.”

Cakupan pemikiran pengarang katanya, ialah mengiktiraf golongan subaltern (kaum Penan). Bagi novel itu, golongan subaltern diwakili oleh beberapa pemuda Penan seperti Kurau Kusin, Pegak Beluluk, Along Sega dan Agan Polisi Jeluan yang menentang hegemoni kapitalis yang diwakili mandur Wong dan pemerintah.

“Bagaimanapun, kebencian dan kemarahan tidak seharusnya ditujukan kepada nilai baharu yang cuba mengubah tradisi. Di sebalik keburukan yang dilihat oleh golongan subaltern yang terasa tertindas oleh nilai baharu itu, dari perspektif lain ada manfaatnya yang wajar diterima.

“Perubahan corak hidup dibela dalam novel ini kerana kemajuan yang dinikmati negara memberikan kebaikan kepada taraf kehidupan, tetapi dalam masa yang sama pencerobohan secara tipu helah dan kekerasan tidak sepatutnya berlaku.

“Oleh itu, dalam novel ini terungkap pemikiran budaya bahawa pembangunan moden tetap datang juga tanpa dapat dielakkan. Kekerasan penentangan terhadap nilai moden itu hanya akan mengakibatkan kemusnahan, tambahan apabila melibatkan campur tangan atas hasutan pihak luar.”

Dalam menyampaikan pemikirannya itu, Jong telah memanfaatkan keanjalan dan wahana sastera yang indah. Jong bjiak menyampaikan idea budayanya itu tanpa mengatakannya secara terus terang tetapi membiarkan imej dan aksi watak bermain di pentas kreatif secara artistik.

Jong katanya, membiarkan pembaca menggunakan daya akal untuk mencari makna tanpa memberitahunya secara langsung dan dengan demikian menguji kebijaksanaan dan imaginasi pembaca.

“Jong berjaya menyampaikan mesej dengan lembut dan lincah kerana permainan bahasa dan pelukisan wataknya bersepadu dengan baik sekali. Menelurusi perjalanan watak-watak mengharungi kerancuan hidup masyarakat rimba seperti menyaksikan paparan aksi yang hidup pada skrin.

“Sosiobudaya kaum Penan diangkat dengan baik sekali di samping mengetengahkan suara mereka yang inginkan kedamaian dan kebebasan. Kekuatan penceritaannya menyeluruhi aksi dan latar dengan mempertentangkan golongan subaltern dan superior ini membawa pembaca ke dalam belantara yang mungkin tidak pernah dikunjunginya.”

Perjalanan imaginasi yang ditawarkan dalam novel ini merupakan satu pengalaman mental yang mengasyikkan. Penceritannya tambah meyakinkan dengan data dan fakta yang sebenar, bersumberkan bahan di luar teks yang dapat dikesan dan dipastikan kebenarannya.

“Hasil daripada penggabungan seluruh unsur tersebut memberikan kepuasan emosi, intelektual dan imaginasi kepada pembaca,” katanya.

(Utusan Sarawak, 12 Mei 2008)

Dua kumpulan puisi Yusuf Fansuri dilancarkan

DIA

dia bagai mimpi

memberi nafas

segenap rasa

dialah degup

dialah debar
dialah juita
untuk

selamanya
dialah dewi CINTA

dalam puisiku

TAWANAN

kita adalah tawanan

bila kuasa jadi rebutan

manusia serigala!

kita adalah tawanan
bila kita terbelenggu

jadi seekor lembu!


DIA merupakan salah satu judul puisi Yusuf Fansuri yang dijelmakan dalam kumpulan puisinya yang berjudul 10 Peluru, sementara TAWANAN pula adalah puisinya yang terhimpun dalam Romansa Pari-Pari Bisu yang juga salah satu kumpulan puisinya.

Kedua-dua kumpulan puisi ni yang memuatkan masing-masing 10 judul puisi dalam setiap kumpulan puisi ini telah dilancarkan dan dijual kepada rakan penulis yang terlibat dalam bidang kesusasteraan baru-baru ini.

Kedua-dua kumpulan puisi yang diterbitkan oleh Angkatan Pengkarya Indie ini merupakan rentetan kepada beberapa kumpulan puisi yang pernah dihasilkan oleh Yusuf Fansuri sebelum ini.

(Utusan Sarawak, 5 jun 2008)

Pengkisahan wanita dalam Naluri Hidayah dan Tirani

CANTIKNYA wanita dan citra feminisme merupakan antara perkara yang ditonjolkan dalam perbincangan dua novel yang dimakalahkan sempena Majlis Bicara Buku 2008 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa). Dua novel ini ialah Tirani yang dihasilkan oleh Beb Sabariah serta Naluri Hidayah oleh Allahyarham Sarimah Alit.

Sememangnya suasana dalam Balai Budaya DBP Cawangan Sarawak tempat berlangsungnya bicara buku ini bertukar sedih apabila mengenang penglibatan Sarimah Alit dalam dunia penulisan yang tidak putus-putus hingga ke akhir hayatnya. Novel ini (Naluri Hidayah) adalah karya terakhir Allahyarham sebelum kembali ke rahmatullah setahun yang lalu.

Menarik tentang kedua-dua novel ini, ia menceritakan tentang kehidupan wanita yang dapat dikesan oleh dua pemakalah, iaitu Hajijah Mainol yang mengutarakan ‘Citra Wanita Dalam Naluri Hidayah’ dan Rosani Hiplee yang mengupas ‘Cantiknya Wanita Dalam Novel Tirani, Citra Feminisme Yang Tegar’.

Pada penghujung makalah ini, Hajijah menjelaskan, Naluri Hidayah sebuah novel yang berjaya membawa nilai sebuah pemikiran yang kritis di samping mengangkat martabat seorang wanita dalam memperjuangkan masa depan bangsanya agar tidak terus tertindas.

“… juga menyediakan lapangan ilmu kepada pembaca untuk membuka pemikiran dan penyerlahan citra atau emosi dalam mentafsir dan menterjemah tentang nilai-niali kemanusiaan dan penyeralahan citra atau imej wanita,” katanya.

Pengarang (Allahyarham Sarimah Alit) ujarnya, berjaya dalam usahanya untuk mengikis imej ‘lemah dan air mata’ yang sering ditonjolkan oleh kebanyakan penulis terutamanya penulis lelaki dalam kebanyakan karya mereka.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita (penulis wanita) untuk menampilkan persoalan dan watak wanita yang lebih dinamik, proaktif, cekal dan paling penting ‘mengurangkan’ sikap kebergantungan terhadap kaum lelaki. Pengarang lelaki sememangnya kita sudah maklum bahawa mereka sering melakarkan imej wanita yang stereotaip dalam karya mereka,” katanya.

Menurut Hajijah, novel ini berupaya membawa pembaca mengimbau beberapa peristiwa penting yang mewujudkan dan mencetuskan persekitaran pahit sejarah tanah air, khususnya di Sarawak, semasa pemerintahan keluarga Brooke, penjajahan Inggeris dan pendudukan Jepun sebelum mencapai kemerdekaan.

“Naluri Hidayah pada dasarnya mengungkapkan nilai pemikiran baru dan berpandangan jauh seperti yang dikesan dalam watak Hidayah bagi membela nasib dan budaya hidup wanita Melayu semasa zaman penjajahan.

“Pengarang memberikan pakej citra wanita yang lengkap kepada watak Hidayah, yakni seorang wanita Melayu yang gigih lagi berani mendepani segala kemungkinan getir demi mencapai hasratnya untuk melihat tanah airnya bebas dari cengkaman penjajah.”

Sebagai individu, Hidayah kata Hajijah mempunyai sikap yang terbaik bagi seorang wanita iaitu cantik, berbudi bahasa, bersopan santun, berpendidikan, mempunyai prinsip hidup, bersemangat kental dan dihormati serta disanjungi bukan sahaja oleh penduduk kampung, malah musuh-musuhnya seperti Tuan Robinson, Chee dan Hishigawa.

“… Hidayah sememangnya citra seorang wanita yang telah menyimpang dari kelaziman budaya dan pemikiran bangsanya apabila mengambil keputusan berkahwin dengan Adrian yang bukan sebudaya dan segamanya. Namun begitu, dia mendapat restu daripada keluarganya.”

Itu antara perkara berkaitan wanita yang diketengahkan dalam Naluri Hidayah. Novel Tirani karya Beb Sabariah tidak terkecuali menbincangkan citra wanita. Rosani Hiplee menjelaskan, mambaca Tirani persis menaakul ke dunia psikologi wanita yang mahu mencapai kecantikan (kesempurnaan) menyeluruh dalam hidupnua.

“Wanita yang sentiasa gigih menongkah arus modenisasi dan futuristik. Malah, tetap bertekad memelihara dan melindungi segala peradaban dan susila budaya bangsanya walau berada di mana-mana sahaja. Pengarang mengaspirasikan suatu nilai yang cukup murni dan berjiwa dalam Tirani, khusus kepada kaum wanita masa kini.”

Pengarang jelasnya, meletakkan diri dan karyanya tidak hanya bergelut pada masalah wanita sahaja, tetapi turut berhubung dengan erti kecantikan sebenar dan citra feminisme yang tepat bagi seorang wanita yang sempurna.

“Selepas membaca Tirani, sejujurnya saya dibekasi oleh tiga tanda titik yang menjadi jeda bagi mentafsir erti tirani. Tirani yang pada konteks ertinya dalam Kamus Dewan edisi keempat ialah corak pemerintahan yang zalim (oleh pemimpin negara, puak dan lain-lain) yang menggunakan kekuasaan sesuka hati.

“Barangkali judul Tirani yang digarap oleh pengarangnya adalah suatu kesengajaan dalam memaknakan betapa tiraninya kecantikan itu jika tidak ditangani dengan sebaiknya. Dalam novel ini, nyata Waheeda (watak dalam novel) menjadi mangsa kuasa tirani yang ada pada kecantikan yang diciptanya melalui proses pembedahan kosmetik apabila gagal menikmati kebahagiaan sejati dalam perkahwinannya yang juga singkat usianya.”

Feminisme dan ideologi gender yang digarap oleh Beb Sabariah katanya, secara tidak langsung meminggirkan tanggapan tersebut dengan mengutarakan bahawa wanita tetap mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri dengan menguasai pelbagai bidang yang sebelum ini dimonopoli oleh lelaki.

Elemen feminisme dalam watak Waheeda sangat tinggi, dan persaingan yang wujud tidak mampu melemahkan semangat Waheeda dalam menempa kecemerlangan diri walaupun menyedari akan wujudnya persaingan yang hebat dalam perusahaannya.

“Terkadang realiti kehidupan sukar diterjah. Pengarang sengaja mengambil pendekatan kehambaan kepad-Nya dalam konteks memberi maaf kepada watak Waheeda memandangkan juga Izzati yang sedia memaafkan kekhilafan bapanya yang sudah menyesali segala perbuatan lalunya. Ia sebenarnya sebuah citra wanita yang cukup cantik dan penuh susila.”

Nyata, novel Tirani jelas Rosani mampu menyisihkan pencitraan wanita, dan Beb Sabariah benar-benar memberi pencitraan yang lain dalam novel ini. Watak-watak wanita seperti Raidah (ibu Waheeda) dan Bazilah (teman Waheeda) juga menepati citra wanita yang positif nilai feminismenya.

Tetap memiliki cantiknya wanita dalam konteks yang menarik dan tidak lagi seperti kenyataan Hajijah Jais dalam ‘Citra Wanita dalam Karya Penulis Sarawak’ iaitu “Penulis Sarawak juga masih memaparkan citra wanita stereotaip yang menjadikan mereka simbol seks, lambang keghairahan, konservatif, bersifat negatif, menjadi mangsa keadaan, angkuh dan sebagainya. Mengapa? Adakah kerana dalam realitinya wanita begitu? Adakah mereka membenarkan citra keanggunan, kejelitaan dan keghairahan yang seterusnya membawa kepada eksploitasi, aniaya, rogol dan sebagainya?”

(Utusan Sarawak, 5 JUN 2008)

Kalau saya pentas Jeda Nur Iman – Zaini Oje


“KALAU saya mementaskan skrip drama Jeda Nur Iman, yang pertama saya lakukan ialan interpretasi. Tidak semestinya interpretasi pertama itu betul. Selepas interpretasi, saya mementingkan kesan pada khalayak, atau penerimaan penonton. Barulah saya selepas itu memikirkan bagaimana secara teknisnya hendak membawanya ke pentas,” kata penggiat teater, Zaini Oje yang pernah mementaskan beberapa teater di negeri ini.

Dalam makalahnya, Kalau Saya Mementaskan Drama Jeda Nur Iman (Interpretasi Pertama), Zaini menjelaskan bahawa skrip drama itu sukar difahami. “Saya selaku pengarah sukar hendak memahaminya, apatah lagi khalayak nanti. Jadi, sebelum mementaskannya, saya hendak memastikan bahawa penonton faham akan cerita itu dan dapat mengikutinya, barulah ada kesannya.”

Katanya, bukan senang hendak memudahan pemahaman; kebanyakan penonton kini kritis dan mempunyai nilai seni yang tersendiri, kerana mereka didedahkan kepada saluran dan bentuk seni yang banyak. “Jadi, saya juga hendak memastikan bahawa penonton bukan sahaja faham akan cerita tetapi suka pada persembahan drama yang berkenaan.”

Beliau melihat drama itu boleh dibahagikan kepada lima bahagian atau peristiwa yang penting untuk pemahaman; realiti, imbasan kembali semasa menjumpai bayi, simulasi pada skrin, alam sesudah mati, dan peristiwa alternatif.

“Saya namakan peristiwa alternatif, adegan yang akhir ini sewaktu Nur Iman berusia 27 tahun dan Habikmiskin berusia 31 tahun, kalaulah Nur Iman tidak meninggal dunia sewaktu berusia 17 tahun dalam bias sejarah.

“Adegan akhir inilah yang sukar difahami, kerana jika Nur Iman telah meninggal pada umur 17 tahun, dan berada di alam berzakh lagi dengan Habilmiskin yang lahir kerana permanian beradas atau sebagai akibat hasil biosains, tidak mungkin mereka hidup lagi dalam adegan akhir..”

Baginya, Dahiri Saini (penulis Jeda Nur Iman) boleh menjadikannya sebagai peristiwa berasingan dengan watak yang sama, atau sebagai permulaan drama kedua dengan anggapan bahawa jika Nur Iman dan Habilmiskin tidak meninggal.

“Seingat saya, tidak ada penulis di Malaysia mengakhirkan drama dengan permulaan drama yang alternatif. Maknanya, kalau dimulakan drama dengan adegan akhir ini, lainlah sedikit ceritanya.

“Mungkin Nur Iman dan Habilmiskin tidak meninggal, dan tidak adalah adegan alam barzakh. Adegan yang akhir inilah yang menyebabkan keseluruhan drama itu sukar difahami oleh penonton.”

Kata Zaini, bahasa dalam adegan akhir juga dapat dikesani bahawa nada atau lenggoknya lain; lebih realistik, harian sifatnya, dan berunsur kekinian kecuali bahasa simulasi di skrin. Perbezaan adegan itu juga dari segi setnya yang dicadangkan oleh penulis (Dahiri) sendiri, “Ruang pentas diubah drastik menjadi satu ruang santai yang abstrak sifatnya.”

Zaini tidak mengubah babak ke babak dan adegan ke adegan, atau susunan peristiwanya walaupun ada lima bahagian kesemuanya. Hanya khalayak diberitahu dengan cara tertentu untuk membantu mereka memahami cerita.

“Saya melihat terdapat aspek yang tipikal yang boleh melemahkan hasrat untuk menontonnya dan melambatkan temponya, iaitu dialog yang panjang lebar terutama yang berbentuk senandika.

“Bagi drama seperti Jeda Nur Iman yang serius dan berfalsafah ini terasa bahawa temponya agak lambat. Ini ditambahkan lagi dengan satu lagi teknik yang tipikal iaitu suara latar atau ad lib dan skrin,” jelasnya.

Drama itu ujarnya, tidak berupa drama spektakular, dan wajar begitu kerana persoalannya berat; apatah lagi persoalannya tentang agama.

Terdapat juga bahagian yang dramatik, contohnya semasa Nur Iman dan Habilmiskin bercinta yang dibatasi oleh tirai yang memperlihatkan Habsilmiskin hampir histeria apabila soal agama ditimbulkan, dan beberapa adegan Nur Iman mencari titik, ujarnya.

Bahasa dalam hampir semua adegan tambah Zaini, bermetafora, dan sukar untuk penonton terus tangkap dan fahami, sehingga sifatnya sebagai seni evanescent kurang berfungsi.

“Jadi, saya selaku pengarah perlu memikirkan cara tertentu supaya dialog tidak berjela-jela. Satu daripada caranya mungkin mencantas dialog tersebut atau memecahkannya dan menggantikan kata yang sukar difahami denga yang sedang difahami.

“Misalnya, ungkapan seperti ‘Semuanya memerlukan penyatuan diri yang akrab dalam mendepani apa sahaja yang bernama kehidupan’, memang sukar difahami. Akan tetapi, drama ini dianggap sebagai puisi dalam gerak. Oleh itu, dialog amat penting bagi drama seperti ini. Semasa latihan nanti, saya perlu melihat keberkesananya.”

Mengulas lanjut, Zaini berkata, drama itu dapat dianggap sebagai komedi tinggi tetapi boleh juga dianggap tragedi kerana kematian Nur Iman, tetapi alam sesudah mati Nur Iman memberikan pengharapan baru.

“Bagaimanapun, jika saya mementaskan drama Dahiri Saini ini, saya tidak mengira komedi atau tragedi, kerana yang penting bagi saya ialah tercapainya hasrat saya pada penerimaan penonton.

“Saya perhatikan bahawa bukannya mudah untuk mementaskan drama seperti ini. Mood dan suasana drama ini seperti drama Yang Menjelma dan Yang Mengilang (Anwar Ridhwan) tetapi drama ini lebih dramatik lagi kalau dipentaskan.

“Kedua-duanya pada saya, mood dan suasana temaram sangat sesuai, kecuali bagi adegan tertentu seperti dalam adegan akhir yang terang cahayanya. Tata cahaya ini ada kaitan dengan komedi atau tragedi tadi, optimistik atau pesimistik kesannya.”

Sungguhpun pegangan Zaini Oje bahawa semua sastera bergenre drama untuk dipantaskan, namun dia menganggap ad ajuga pengarah yang tidak mahu mengambil risiko mementaskan drama tertentu.

“Dukacitanya, Jeda Nur Iman dalam kategori ini, tetapi untuk dibaca sahaja memang sesuai, apatah lagi dalamnya ada percampuran yang tradisional dan moden. Dahiri memasukkan elemen itu secara bersahaja dan tidak nampak. Cuma saya lihat, perlulah pihak yang menerbitkan karya ini mengedit.”

(Utusan Sarawak, 5 JUN 2008)

Bicara Buku perlukan masa yang lebih panjang

SEKALI lagi Majlis Bicara Buku berjaya dilaksakan. Tahniah kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak atas penganjuran program tersebut. Berbeza berbanding sebelum ini, kali ini Majlis Bicara Buku dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa).

Keseluruhannya, kehadiran audiens sebagai peserta juga memberangsangkan walaupun ada yang terpaksa balik awal kerana mungkin ada urusan lain yang mendesak. Bukan sahaja pelajar yang hadir, malah turut melibatkan ramai kalangan mereka yang terlibat secara langsung ataupun tidak dalam bidang kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan.

Hadir ke majlis bicara buku kali ini sememangnya menggembirakan. Banyak buku yang diteliti dan kemudian dikongsi bersama hasil penelitian tersebut. Malah, keberanian beberapa muka baru dalam bidang pembentangan kertas kerja juga begitu mengagumkan. Dengan idea berdasarkan panduan tersendiri, mereka berjaya mencungkil pelbagai kelebihan dan kekurangan dalam sesuatu karya.

Itu sudah dikira berjaya. Namun dari sudut peruntukan masa untuk pembengan kertas kerja memang memerlukan perubahan. Seingat penulis, sejak dahulu hingga kini (sepanjang menyertai program kebahasaan) sama ada di Semenanjung ataupun di Sarawak, tempoh yang diberikan kepada pembentang kerja kerja memang agak sedikit.

Sekitar 15 hingga 20 minit. Atas sebab peruntukan masa yang sedikit, kadang-kadang ada kalangan pembentang terpaksa mencuri masa pembentang lain selama lima hingga 10 minit. Tanpa teguran pemudah cara, mungkin berlanjuttan hingga 15 minit.

Biasanya, situasi ini akan menyebabkan pembentang berkata, "Disebabkan masa yang diperuntukkan sekitar 10 hingga 15 minit, maka saya berhenti di sini. Untuk selanjutnya, bacalah makalah saya ini di rumah."

Jika demikian, lebih baik membaca kertas kerja tersebut. Jika hadirpun, tidak semua akan dibincangkan. Malah, sesi soal jawab juga memerlukan hanya beberapa soalan sahaja dikemukakan. Dengan demikian, timbullah rasa tidak puas hati di kalangan audiens.

Oleh yang demikian, adalah wajar sekiranya masa untuk pembentangan sesuatu kertas kerja dilanjutkan. Seterusnya, menggunakan sepenuh hari untuk program berkenaan. Bukannya sekerat hari sahaja. Tidak cukup dengan itu, untuk satu sesi, hanya dua buku yang dibicangkan bagi memudahkan pemahaman audiens terhadap fokus perbincangan.