AJK PEKASA 2008/2009

KELIHATAN dalam gambar, Penung Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa), Datuk Hajah Salbiah Painah (duduk empat dari kiri)merakam gambar bersama-sama Ahli Jawatankuasa Pekasa Sesi 2008/2009 iaitu Ja’afar Hamdan, Bibi Sabariah, Pharo Abdul Hakim, Awang Kelana, Radin, Mohd Faizal Jamil, Ahmad Zaidi Nordin, Azman Alli Rajah dan Dayang Noorzen Abang Kaderi.

SETIAP ahli persatuan penulis harus memberikan keutamaan terhadap kepentingan persatuan berbanding perkara lain, jika mahu persatuan yang disertai oleh mereka (ahli) memberikan banyak manfaat.

Penaung Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa), Datuk Hajah Salbiah Painah berkata, oleh yang demikian, setiap ahli sama di peringkat jawatankuasa atau ahli biasa harus mengutamakan semangat kerjasama.

“Seperti yang kita ketahui sudah banyak wujud persatuan penulis di negeri ini sejak dahulu. Ada yang telah ‘mati’ selain ada yang kekal. Semua ini harus dijadikan pengajaran kepada kita agar perkara yang sama tidak berulang.

“Selanjutnya, perkara yang perlu diutamakan ialah jangan mengutamakan jawatan lebih-lebih lagi ketika pemilihan jawatankuasa baru. Jika perebutan berlaku kerana kepentingan sendiri, maka persatuan tersebut akan rosak,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Mesyuarat Agung Pekasa Ke-3 di Bilik Wacana Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak baru-baru ini.

Datuk Salbiah berharap setiap ahli jawatankuasa persatuan penulis dapat memberikan sumbangan terhadap usaha melahirkan lebih ramai kalangan penulis dari negeri ini yang kemudiannya dapat diketengahkan di peringkat yang lebih tinggi.

“Perkara ini yang harus diutamakan. Bukannya mengutamakan jawatan yang disediakan dalam mana-mana persatuan,” jelasnya.

Jika berlaku demikian (perebutan kuasa), maka segala perancangan yang direncana akan terganggu ataupun gagal ketika pelaksanaan, tambahnya.

Pada mesyuarat tersebut, Ja’afar Haji Hamdan diberikan kepercayaan sekali lagi menerajui Pekasa apabila dilantik semua sebagai Ketua Satu bagi sesi 2008/2009. Sementara itu, jawatan Ketua Dua disandang oleh Haji Mohd Taufek.

Seterusnya, Hajah Bibi Sabariah juga mengekalkan jawatan Setiausaha Satu, sementara jawatan Setiausaha Dua disandang oleh Dahiri Saini. Pharo Abdul Hakim turut mengekalkan jawatan Bendahari apabila menang tanpa bertanding.

Enam ahli jawatankuasa yang turut dilantik ialah Awang Kelana Awang Hassan, Radin Azhar Ahmad, Mohd Faizal Jamil, Ahmad Zaidi Nordin, Azman Alli Rajah dan Dayang Noorzen Abang Kaderi.

(Utusan Sarawak, 19 Jun 2008)


No comments: