Pandangan Pharo terhadap Bertandanglah Ke Dalam Hati

ANTOLOGI Puisi Bertandanglah Ke Dalam Hati nukilan Jais Sahok ini dihasilkan dengan penuh keinsafan tentang nasib segelintir masyarakat yang tidak begitu baik. Golongan yang daif tetapi mempunyai keinginan kental perlu mendapat pembelaan sewajarnya oleh semua pihak yang mendukung nilai-nilai kemanusiaan,” kata Pharo Abdul Hakim.

Membincangkan judul Risau Jais Terhadap Lantera Kemanusiaan Yang Kian Balam, Pharo menjelaskan, jejak langkah Jais Sahok memberi pembelaan terhadap golongan miskin dan kurang keupayaan harus menjadi contoh untuk diikuti dalam perjuangan para penyair.

“Untuk puisi menjadi sebuah puisi, ia harus melampaui kata-kata, dan untuk menjadi penyair, dia harus melampaui dirinya – menjangkau dan menjelajah jauh di sebalik kenyataan-kenyataan sosial, ekonomi dan politik di depan matanya,” kata Pharo memetik kata-kata Dato’ Dr. Baharuddin Zainal.

Katanya, atas desakan, tolakan dan kerisauan yang mengganggu fikiran, Jais bertungkus lumus menghasilkan sebuah antologi puisi kemanusiaan, Bertandanglah Ke Dalam Hati dan dengan dokongan teman-temannya, telah menerbit sendiri antologi ini untuk disampaikan kepada masyarakat betapa gelodak minda dan jiwanya melihat kemanusiaan tidak diberi pembelaan sewajarnya oleh golongan yang bernama manusia yang sepatutnya punya perasaan kemanusiaan.

“Apabila Jais memulakan usaha ini dengan menulis tentang kemanusiaan, kemudiannya hasil yang diperoleh daripada jualan antologi ini untuk tujuan kemanusiaan, beliau menghantar satu mesej jelas bahawa masih ada duka menyelubungi segelintir insan yang terperosok di sudut kota, di sebalik kemewahan yang melimpah ruah di negara tercinta.

“Ada insan yang menunggu ihsan belas manusia yang kaya dan berupaya. Jangan ketepikan masalah kemiskinan. Jangan perkecilkan derita manusia. Jangan ejek duka yang menyelubungi mereka dengan ucap kata yang berbisa. Jangan berlaku sombong dan menyalahgunakan kuasa yang ada.”

Kata Pharo, melalui antologi itu, Jais mengupas tema manusia dan kemanusiaan dalam cerita yang pelbagai. Baginya, puisi adalah suara hati budi dianyam menjadi nyanyi untuk dimengerti isi dan lontaran emosinya.

Puisi merupakan saluran bagi Jais meluahkan kepekaannya terhadap masalah masyarakat sekelilingnya, masalah sosio-politik dan ekonomi bangsanya.

“Sebagai seorang pendidik, Jais banyak terdedah kepada keadaan masyarakat sekelilingnya yang memberi beliau gambaran kepincangan sebahagian masyarakat Malaysia hari ini. Cerita luka dan duka, tangis dan hiba, lapar dan dahaga, terpinggir dan tercela, yang ditanggung oleh sebahagian pelajarnya ditatapi dan dihayati setiap ketika.

“…ini amat menginsafi dirinya, menjadi suatu rangsangan pada hatinya, lalu tercetus gambaran manusia yang ditemuinya yang menghadapi pelbagai jenis kesukaran,” tambahnya.

Pharo berkata, “…bukankah puisi itu ditulis untuk menceritakan kebenaran. Itu yang Jais lakukan. Bertandangkah Ke Dalam Hati merupakan luahan hati seorang penyair untuk membijaksanakan masyarakatnya. Seperti kata Robert Frost, puisi bermula dengan keseronokan berakhir dengan kebijaksanaan.”

Jais melalui antologi ini kata Pharo, berharap dapat memainkan peranan membina sebuah nusa untuk semua kaum yang mempamerkan masyarakat hidup dengan penuh keinsafan.

“Penyair hanya boleh meluahkan rasa kesal dan sayu hatinya melalui puisi. Tetapi untuk didengari adalah sesuatu yang sangat sukar. Mungkin pihak yang berkuasa lupa bahawa Tuhan itu wujud. Apa yang berlaku membuat Jais amat kedewa terhadap segala sengketa yang enggan reda.

“Seperti juga penyair lain, Jais cepat tersentuh oleh apa yang ditatapinya melalui mata zahir dan hatinya. Dia amat kecewa terhadap manusia yang tidak menghargai alam ciptaan Tuhan.

“Manusia juga tidak menghargai keistimewaan dan kekuasaan yang telah diberikan Tuhan kepada mereka. Manusia tidak melakukan pembelaan terhadap manusia dan kemanusiaan dan ini ditulis dengan bermetaforakan sungai Sarawak yang begiotu historis dan indah.”

Surat ini neng
untukmu sebatang sungai
bagai madah pujangga
seorang warga yang kecewa
dan terperosok lara
di hujung belantara
merintih dan kekadang sedih
tangisan di hujung suara anak merdeka.

Jais katanya, berharap “tangisan” akan merobah segala payah dan resah, semoga apa yang diluahkan melalui puisi dapat dimengerti oleh manusia yang berkuasa.

“Dengan memahami luahan hatinya, diharap manusia mengerti dan kemanusiaan boleh kembali segar di dalam kehidupan seharian kita.”

Menangislah neng, sayang
Agar titis air matamu
Aku bersahut madah simpati
Warga yang mudah mengerti.

(Utusan Sarawak, 26 JUN 2008)


No comments: