150 sertai Perkampungan Penulis Sarawak 2008

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak telah wujud di negeri ini pada 1977. Kewujudannya telah mengambil alih peranan dan fungsi BBLB di Sarawak. Setelah 30 tahun menjalankan amanah dan tanggungjawabnya, DBP Cawangan Sarawak merasakan bahawa tahun ini harus dan wajar diadakan pertemuan di kalangan penulis.

Ini disesuaikan dengan 45 tahun Sarawak merdeka bersama Malaysia. Perkampungan Penulis Sarawak 2008 yang akan disertai 150 peserta di kalangan karyawan, penulis dan penggiat sastera, serta budayawan ini merupakan pertemuan yang ketiga.

Tahun 2008 dianggap tahun penilaian yang cukup tuntas bagi memperlihatkan kejayaan, kelemahan dan halangan dalam usaha memartabatkan sastera dan bahasa Melayu.

Perkampungan ini merupakan anjuran DBP Cawangan Sarawak, Pejabat Residen Bahagian Mukah, Politeknik Mukah Sarawak dan Badan Budaya Warisan Mukah dan akan diadakan bermula 27 hingga 29 Jun ini di Politeknik Mukah.

Selain diadakan bersempena ulang tahun ke-45 Sarawak dalam Malaysia, perkampungan ini turut diadakan dengan tujuan untuk mempertemukan pemikir, karyawan dan penggiat sastera di Sarawak.

Juga menjadi salah satu medan bertukar-tukar fikiran, pendapat, idea dan cadangan di kalangan pemikir, karyawan dan penggiat sastera Sarawak, di samping menjadi ruang untuk menilai dan meneliti kegiatan yang telah diadakan serta merangka dan merancang kegiatan sastera.

Perkampungan ini diharap dapat menjadi ruang bagi pemikir, karyawan dan penggiat sastera melakukan penilaian semula tentang kegiatan, sumbangan dan perkembangan sastera di Sarawak.

Di samping mengharapkan adanya cetusan idea yang mampu diketengahkan bagi menjadikan kegiatan, sumbangan dan perkembangan sastera di Sarawak lebih meriah, maju dan gemilang.

Antara kegiatan yang akan diadakan ialah Majlis Makan Malam Sambutan (Perasmian) di Tingkat 12, Menara Pehin Setia Raja serta Malam Simfoni WARISMU.

Sementara kertas kerja yang akan dibentangkan ialah “Sejarah Perkembangan Sastera di Sarawak” oleh Haji Hamzah Hamdani dan Saiee Driss yang akan dipengerusikan oleh Encik Hipani Alwi.

Tajuk yang sama untuk sesi kedua pula dibentangkan oleh Zaini Oje dan Haji Sajali Morshidi. Sesi ini dijangka dipengerusika oleh Nurhidayah Bujang.

Sementara kertas kerja berjudul “Masa Depan Sastera di Sarawak” pula akan dibentangkan oleh Hazami Jahari, William Chan dan Nik Mohd. Isnan. Sesi ini akan dipengerusikan oleh Ja’afar Haji Hamdan.

Program Sembang-Sembang Sastera yang membincangkan tajuk “Sastera Kebangsaan Dalam Arus Globalisasi” yang disertai oleh wakil Persatuan Penulis Johor (PPJ), Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA), Warisan Budaya Mukah (WARISMU), Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) dan Kumpulan Anak Seni Daro (KASDA).

Sementara sesi Diskusi Karya pula akan disertai oleh Profesor Madya. Dr. Hashim Ismail, Dr. Shaari Abdul Rahman, Jeniri Amir dan Abang Patdeli Abang Muhi.

(Utusan Sarawak, 26 JUN 2008)

No comments: