AMAT jarang melihat seni silat dipentaskan dalam pementasan teater secara menyeluruh. Jika adapun, cuma hanya beberapa babak yang mungkin melibatkan pertarungan antara watak baik dan watak jahat.
Pada 14 Jun ini di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, peminat seni silat pastinya berasa bertuah kerana akan dapat menyaksikan seni ini dipentaskan sebagai jalan utama kepada pementasan teater ‘Silat’.
Pementasan yang dilakukan oleh produksi teater Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) dan banyak menggumakan khidmat pesilat sekitar Kuching ini dari Rumpun Silat Sarawak (RSS) merupakan arahan Kelana Akira.
Teater ini bermula dengan cerita di sebuah daerah negeri Melayu di penghujung zaman penjajahan British. Di daerah ini terdapat sebuah perguruan silat yang tersembunyi pada awalnya.
Walau bagaimanapun, berita kewujudakn perguruan silat ini tersebar hingga ke Istana Sultan Darul Hana.
Sultan sendiri telah melihat betapa hebat silat rakyatnya sendiri dan mengharapkan agar pesilat ini dapat membantu mempertahankan negeri Darul Hana dari terus dijajah British.
Sultan telah diperlihatkan dengan pelbagai Jurus Perguruan seperti Silat Betawi, Silat Pukulan 12 atau spring 12, Silat Tai Pei, Silat Hai Lam Rompak, Silat Kuntau, Silat Sangga Bunuh, Silat Pukulan Paris Dendam dan Silat Pukulan Alun Tujuh Selendang Putih.
Guru Kelana Murba mempunyai seorang anak murid baru beranama Guntur dan bersahabat dengan Awangku Maulana.
Di negeri Darul Hana, British cuba mendapatkan negeri tersebut dengan pelbagai cara. Pada suatu hari, tali barut British membunuh Awangku Maulana tetapi serangan mereka dapat dipatahkan.
Malangnya, Guntur mati terbunuh waktu itu. Rasa dendam Awangku Maulana dan rakan seperguruan terbalas apabila tali barut British cuba menyerang Istana Darul Hana.
Pementasan teater tersebut merupakan anjuran Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Sarawak dengan kerjasama DBP Cawangan Sarawak di bawah program Pementasan Teater Berkala 2008.
(Utusan Sarawak, 12 Jun 2008)
No comments:
Post a Comment