Seminar Budaya Melayu 15-21 Mac

SEMINAR Budaya Melayu akan diadakan di Kuching bermula 15 hingga 21 Mac di dua tempat iaitu Kompleks Pelancongan Sarawak dan Kompleks Dewan Undangan Negeri.

Seminar anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak itu diadakan bersempena sambutan 45 tahun Sarawak maju dalam Malaysia.

Bertemakan “Budaya Melayu Sarawak – Mutiara di Samudera Luas”, seminar itu turut dibantu oleh pelbagai jabatan kerajaan, agensi-agensi serta pertubuhan bukan kerajaan.

Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dijangka merasmikan seminar sementara majlis penutupan dijangka dilakukan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri.

Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber dan Kemudahan Awam, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan merupakan salah seorang penasihat Jawatankuasa Pengelola Seminar Kebudayaan Melayu, mempengerusikan mesyuarat terakhir persediaan seminar.

Pengerusi penganjur ialah Profesor Madya Datu Haji Sanib Haji Said dibantu oleh Datu Haji Adi Badiizaman Tuah.

Budaya merangkumi pelbagai dimensi warisan yang ketara, tak ketara dan intelektual.

Menyedari hakikat itu, jawatankuasa penganjur seminar dibahagi kepada beberapa komponen agar mencapai apresiasi dan pemahaman yang mendalam tentang kekayaan budaya Melayu Sarawak oleh masyarakat umum dan pakar.

Seminar itu bertujuan untuk mengupas isu-isu berkaitan pencapaian kaum Melayu dalam bidang pendidikan, agama, akonomi, sosiobudaya, kesenian dan politik; mengenalpasti dan mempromosi peranan budaya Melayu dalam dalam pembentukan identiti negeri dan negara; dan mengetengahkan pelbagai bentuk budaya Melayu.

Komponen pertama seminar pameran gambar, artifak dan demonstrasi. Bazarnita dan Pertunjukan Fesyen Wanita Melayu bertujuan untuk menghargai penyertaan wanita Melayu Sarawak. Ini akan diadakan di Kompleks Pelancongan pada 16 hingga 21 Mac dan terbuka kepada umum. Kemasukan adalah percuma.

Komponen kedua seminar ini ialah persembahan kesenian merangkumi tarian, nyanyian dan puisi yang akan dipersembahkan pada sebelah malam pada 16 hingga 21 Mac di Kompleks Dewan Undangan Negeri.

Juga persembahan bangsawan tentang sejarah Sharip Masahor menentang penjajahan koloni pada abad ke-19. persembahan ini akan diadakan pada 20 Mac di Auditorium Tun Ahmad Zaidi, Institut Perguruan Batu Lintang. Kemasukan juga adalah percuma.

Komponen ketiga seminar ialah pembentangan 20 kertas kerja tentang intelektual Melayu Sarawak daripada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaya dan Universiti Brunei Darussalam bermula 19 hingga 21 Mac di Kompleks Pelancongan.

Pada masa yang sama, diadakan juga forum dan dialog bersama pemimpin Melayu dan belia yang terbuka kepada badan bukan kerajaan, ahli perniagaan, jabatan pekerjaan dan agensi serta individu yang berminat.

Resolusi seminar akan dibawa ke Simposium Kebudayaan Sarawak yang akan diadakan di Kuching pada 19 dan 20 Jun.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Sharina Mohamed Hussain melalui emel akybmsarawak@yahoo.com atau melayari laman web http://yayasanbudayamelayu.blogspot atau menghubungi talian 082-239460.

UTUSAN SARAWAK, 7 FEBRUARI 2009

No comments: