RADIN AZHAR AHMAD
SETELAH 15 tahun diwujudkan, Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak (seterusnya HPPS) dilihat telah melahirkan agak ramai penulis dalam empat genre utama iaitu cerpen, puisi, skrip drama dan esei kritikan. Walaupun demikian, agak jarang HPPS dibincangkan terutama dari aspek pemikiran yang cuba diketengahkan dalam karya tersebut. Seterusnya, mewujudkan persoalan; adakah karya tersebut juga mempunyai nilai/mutu setanding dengan karya penulis di Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Mungkin untuk menjawab persoalan tersebut, bersempena HPPS 2006, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak menganjurkan juga Diskusi 15 tahun HPPS, yang memberikan ruang dan peluang kepada Dato’ Anwar Ridhwan, Dr Sakinah Abu Bakar, Haji Hamzah Hamdani dan Dr. Shahri Abdul Rahman meneliti, mengupas dan seterusnya membincangkan karya-karya HPPS sehingga melayakkan karya tersebut menerima hadiah penghargaan.
Cerpen
Memulakan diskusi Dato’ Dr. Anwar Ridhwan yang membentangkan kertas kerja Aspek Pemikiran Dalam Cerpen-cerpen HPPS (1995-2006) menjelaskan, setiap cerpen yang menerima Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak (seterusnya HPPS) mengandungi pemikiran yang sesuai dengan latar masyarakat, budaya, politik, dan zamannya.
Menrutunya, para penulis (pemenang HPPS) tampaknya cuba mengetengahkan pelbagai pemikiran untuk direnungi, ditafsirkan atau dianalisis oleh khayalak pembaca.
"Tiada sebuah cerpen pun yang semata-mata dicipta sebagai karya seni tanpa sebarang amanat atau pemikiran. Setiap karya, dalam batas serta keupayaan masing-masing, berusaha menyampaikan pemikiran – secara halus atau berterus-terang – tentang pelbagai isu dalam masyarakat.
"Karya-karya tersebut merupakan karya sastera dalam genre cerpen yang bermutu. Para pengarangnya telah menggunakan strategi naratif untuk memberikan koheran kepada bahan-bahannya dan makna kepada peristiwa-peristiwa," jelasnya.
Dalam makalah itu Anwar Ridhwan menjelaskan, membaca 58 cerpen penerima HPPS, dia menemui aspek pemikiran penulis Sarawak yang merupakan aspek yang penting dalam karya kesusasteraan. "Karya kreatif tanpa aspek pemikiran hanya merupakan tulisan hiburan ringan."
Antara perkara utama yang ditemuinya dalam cerpen penenang HHPS ialah idea tentang autentik yang membawa makna boleh dipercayai, betul, sah, benar atau membawa pengetian kebenaran, ketulenan dan kesahan.
Selain itu, idea tentang diaspora (melibatkan perjalanan – meninggalkan tanah asal leluhur), idea tentang emosi – sedih, gembira, takut, idea tentang etnik, idea tentang globalisasi, idea tentang feminine – konsep gender (lelaki atau wanita), dan, idea tentang intertekstualiti – pengisahan godaan asmara yang melanda diri watak.
Idea lain yang dinilai ialah tentang masyarakat sivil – turut disentuh dalam studi budaya, idea tentang paradigma – dalam skala dan situasi yang agak berbeza, idea tentang pascamodernisme – gelombang fenomena pemikiran yang berlaku setelah modernisme, idea tentang politik, idea tentang ruang, pembangunan serakah, perubahan budaya/nilai, mengembangkan persona sejarah, pembaharuan pemikiran serta idea tentang hidup tanpa kepastian.
Puisi
Sementara dalam genre puisi pula, sebanyak 55 puisi daripada 33 penulis disenaraikan sebagai pemenang HPPS dalam tempoh 11 tahun – bermula 1995 hingga 2006. "Kemenangan yang diraih berulang kali oleh beberapa penyair adalah bukti komitmen yang tinggi. Yang pasti, mereka berkarya bukan semata-mata hadiah. Fenomena ini merupakan suatu petanda yang amat memberangsangkan dan amat membanggakan. Kewujudan sayembara itu sendiri pasti dinanti dan menjadi faktor penggalak yang amat berkesan," kata Dr. Sakinah Abu Bakar.
Mengulas tentang ‘Puisi Sebagai Jalur Komunikasi: Meneroka Pemikiran Penyair Sarawak’, katanya, analisis terhadap 33 puisi tidak sekadar memperlihatkan kekuatan dan beberapa kekurangan kecil sebagai bentuk seni yang bermakna yang mewujudkan komunikasi antara penyair dan khayalak.
"Hal ini kerana secara umumnya fungsi sastera versifat dua hala; yang menjelaskan kedudukan penyair dan khalayak yang sama-sama dapat mengetengahkan keintelektualan, menyuburkan minda dan memperkayakan idea dan wawasan.
"Fungsi yang bersifat timbal balik ini bersesuaian dengan penegasan Laurie E. dalam bukunya How to Interpret Poetry (1978) yang mengatakan bahawa puisi dihasilkan untuk meringankan pendengaran, minda dan jiwa sesuai pula dengan sifat puisi yang menyajikan keindahan muzik bahasa," jelasnya.
Penelitiannya menemui puisi-puisi yang bersifat santai dan jernih, dengan paparan langsung dan bersahaja, tetapi bersifat asosiatif iaitu membangkitkan kesedaran dan yang ditampilkan dengan keindahan bahasa, teknik dan isi.
Hal itu katanya, kerana pemikiran penyairnya dikemukakan daripada asosiasi seorang individu yang penuh kepekaan.
"Khayalak menimba pengalaman daripada pengalaman pengarang. Pengarang menimba pengalaman daripada pelbagai saluran, fizikal dan mental kerana mereka dianugerahkan bakat, kreativiti dan sesnsitiviti yang tajam."
Menurutnya, kenyataan bahawa pengalaman seseorang merupakan ciri semula jadi yang menjalinkan aspirasi, imaginasi dan kreativiti terbukti menerusi penelitian terhadap puisi-puisi penyair Sarawak.
Skrip drama pentas
Agak bertuah bagi Dahiri Saini, penulis skrip drama kelahiran Kota Samarahan apabila dua skripnya, Cintakan Tanah Air dan Kembali Kepada Allah menerima HPPS 2004 dan HPPS 2006. Mengulas tentang dua skrip drama tersebut, Haji Hamzah Hamdani menjelaskan, dua skrip drama pentas itu menyerlahkan bakat Dahiri Saini yang berpotensi dalam genre drama.
"… sumbangan beliau dalam genre drama pentas lebih bermakna dan menyerlah seandainya ia dapat diterjemahkan ke dunia pentas. Pada tahap sekarang kita hanya dapat menikmatinya sebagai teks sastera, iaitu kepada aspek pemikiran sahaja. Apabila diterjemahkan ke pentas, khayalaknya lebih real kerana akan melibatkan aspek pengarahan, lakonan, latar pentas, pencahayaan dan sebagainya, yang akan menambah nilai pada kualiti drama ini."
Kata Hamzah, walaupun HPPS telah lama dianjurkan oleh DBP Cawangan Sarawak, namun pemberian hadiah kepada penulis genre drama pentas hanya beberapa tahun kebekalangan ini sahaja diadakan.
Usaha itu tambahnya wajar menjadi tenaga pendorong kepada penciptaan dan penerbitan skrip drama pentas yang berkualiti.
"Oleh kerana drama pentas dikaitkan dengan kegiatan pementasan teater, maka usaha lebih ditumpukan kepada pementasan. Banyak skrip drama ditulis untuk tujuan pementasan, dan aspek penerbitannya, sama ada dalam majalah ataupun buku, terabai."
Apabila skrip drama pentas tampil sebagai teks di majalah, maka perhatian pembaca terteumpu kepadanya sebagai teks karya sastera.
"Seandainya ia dipentaskan, nilainya akan bergantung kepada kekuatan pengarahan, lakonan latar pentas dan sebagainya. Perhatian kepada teks, iaitu kekuatan pemikiran pengarangnya, sering tidak diberikan perhatian. Sebagai karya sastera, perhatian kita hanya tertumpu kepada teks sahaja."
Disiarkan di Utusan Sarawak, Khamis, 13 September 2007
No comments:
Post a Comment