Perkembangan sastera di Sarawak

RADIN AZHAR AHMAD

TRADISI penulisan di Sarawak bermula hampir serentak dengan perkembangan sastera di Semenanjung iaitu pada 1930-an. "Ingatkah kepada Al-Marhum Muhammad Rakawi Yusof, Haji Muhammad Bujang, Haji Mohammad Daud Abdul Ghani, Mohamad Johari Awang, Muhammad Awi Anang yang sama-sama mengusahakan penerbitan akhbar Fajar Sarawak, iaitu akhbar Melayu terawal di Sarawak?," tanya Dr. Sakinah Abu Bakar Dr. Sakinah Abu Bakar pada Diskusi 15 tahun HPSS di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak baru-baru ini.

Membicarakan ‘Puisi Sebagai Jalur Komunikasi: Meneroka Pemikiran Penyair Sarawak’, Dr. Sakinah menjelaskan, Haji Muhammad Bujang yang menggunakan nama samaran Melati Sarawak banyak menulis dalam Warta Melayu pada 1930-an dalam genre puisi, cerpen dan renacana.

Menurutnya, banyak karyanya dimusnahkan oleh penjajah Jepun kerana menyuarakan pandangan mengenai masa depan orang Melayu Sarawak.

"Bolhassan Matasip turut aktif dalam zaman penerbitan Fajar Sarawak. Beliau menulis rencana, cerpen, noveket dan pengajaran agama Islam. Antara buku tulisannya ialah Sinaran Jasa (1955), Kebahagiaan Cinta dan Kejurusan Ke Alam Bahagia.

"Manakala Haji Mohammad Tahir Abdul Ghani menulis roman sejarah Hikayat Datuk Merpati tentang tokoh awal penduduk Melayu Sarawak. Beliau turut menulis syair. Dalam era yang sama, beberapa penulis lain menyemarakkan dunia politik Sarawak yang sedang bergolak, mereka ialah penulis muda seperti Hanis Mahdi, Haji Wasli Abu Talip, Othman Abang The, Kaderi Wai, Osman Zainuddin dan Ajibah Abol."

Penerbitan akhbar itu jelasnya, dikatakan terhenti lanjutan penerbitan akhbar Singapura iaitu Dunia Melayu dan Saudara di Semenanjung. Antara sebab terhentinya penerbitan akhbar tersebut ialah kerana wujudnya penggunaan bahasa yang mencampuradukkan antara bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan bahasa Arab, sehingga menjadikannya begitu komunikatif.

Katanya, Hikayat Panglima Nikosa yang dihasilkan oleh Allahyarham Ahmad Syawal Abdul Hamid, kini tersimpan di Rhodes House Library, Oxford dianggap sebagai dokumen sahaja.

"Tarikh penerbitannya sama dengan tarikh terbitnya akhbar mingguan Jawi Perakanan di Singapura. 60 tahun kemudian, Muhammad Rakawi Yusof melalui Sarawak Printing Company berjaya menerbitkan dua karya dalam tulisan jawi berjudul Hikayat Sarawak dalam dua jilis iaitu mengenai sejarah Sarawak dan Melati Sarawak yang dianggap sebagai novel Melayu pertama Sarawak."

Melati Sarawak tambahnya, dikatakan mempunyai banyak persamaan dengan gaya penyampaian dan sudut pandangan dengan novel Iakah Salmah (1929) karya Ahmad Haji Muhammad Rashid Talu.

Perkembangan selepas Perang Dunia Ke-2 menyaksikan penubuhan Anggota Semangat Anak Negeri Sarawak (ASAS) yang menerbitkan Utusan Asas (1947 hingga 1949). Antara pengarang yang bertanggungjawab ialah Abang Ikhwan Zaini dan Abdullah Bokhari.

Pada 1949, Utusan Asas digantikan dengan Utusan Sarawak dan diterbitkan secara mingguan. Penerbitan harian dilaksanakan sebaik sahaja Jamil Haji Busrah mengambilalih tampuk pengurusan.

Pada 1950-an menyaksikan pula penubuhan Biro Kesusasteraan Borneo dan pada 1856, DBP ditubuhkan di Semenanjung. Antara karya penulis Sarawak yang diterbitkan dalam perkembangan awal tersebut ialah Menunggu Esok iaitu noveket karya Salbiah Painah, sebuah antologi sajak berjudul Kembang Setangkai Lambang di Tugu (Latifah Haji Shebli dan Maliah Haji Shebli.

Selain itu, antologi sajak Madzhi Johari atau Hayam Wuruk (Yang Terputus dan Terkandas) dan antologi cerpen Warung Pak Hitam. Pada 1962, Angkatan Sasterawan Sarawak ditubuhkan dan dikenali sebagai Annbar yang diterajui oleh Abdul Taib Mahmud.

Walaupun dibubarkan selepas itu namun Annsar berjaya menghimpunkan beberapa penulis berwibawa seperti Kaderi Wai, Hanis Mahli, Mortadza Haji Daud dan Dayang Sastuyah. Sepuluh tahun selepas itu, perkembangan sastera sarawak dikatakan bergerak perlahan.

"Penubuhan GAPENA pada 1970 merancakkan semula perjuangan penulis Sarawak. Pada tahun yang sama PEBAS iaitu Persatuan Bahasa dan Sastera Malaysia Sarawak ditubuhkan yang kemudiannya bergabung dengan GAPENA ke arah perjuangan sastera yang lebih meluas," katanya.

Disiarkan di Utusan Sarawak, Khamis, 20 September 2007

2 comments:

Saiee Driss said...

Tahniah. Hasil penyelidikan yang baik dan mengandungi banyak maklumat. Teruskan usaha anda.

Salak said...

Mohd Hasbie Sulaiman Hj#, ("Perjuangan Anti-Cession Sarawak", Cetakan Kedua 31 Ogos, 2004, PGI Cipta Sdn Bhd, Johor Bahru) mencatit mengenai Dayang Shahada, isteri Datuk Bandar Kassim (ketika pentadbiran Charles Brooke, 1880'an) yang telah menulis "Hikayat Sarawak".

Tiada makluman mengenai naskhah yang masih wujud. Besar kemungkinan ia juga telah musnah dalam hanyutan zaman.

# http://openlibrary.org/b/OL1386133M/Perjuangan_anti-cession_Sarawak