Pengantarabangsaan Bahasa dan Kesusasteraan Nusantara

RADIN AZHAR AHMAD

"GERAKAN membangunkan sesuatu peradaban bangsa yang tahan diuji pastinya mempunyai sejarah dan latar perencanaan yang kukuh meskipun bebeda," kata Dato' A. Aziz Deraman membentangkan 'Pengantarabangsaan Bahasa dan Kesusasteraan Nusantara: Isu dan Masalah" pada Pertemuan Sasterawan Nusantara di Kedah Darul Aman baru-baru ini.

Menurutnya, forum yang diiktiraf wacananya merupakan tapak tempat benih pemikiran disemai dan idea bercambah.

"Maka, untuk itu forum di pelbagai peringkat untuk mencanai dan melestari idea daripada para pemimpin ilmu, cendekiawan dan karyawan sentiasa diperlukan.

"Idea hendaklah didukung dan disokong oleh idealisme. Mereka berunding dan bertukar-tukar pandangan untuk merancang dan merangka strategi pengembangan bahasa dan persuratan Melayu."

Katanya, kecemerlangan bahasa, sastera dan budaya Melayu sebagai pancaran peradaban bangsa dan manusia serumpun pada alaf ini sekadar harus berlegar di kalangan umat berbahasa Melayu di rantau Asia Tenggara sahaja.

Malah jelasnya, menuntut kesediaan umatnya melangkahi sempadan yang lebih luas, hinggalah mencakupi segala usaha bersepadu untuk meletakkannya di pentas dunia.

"Segala macam isu dan masalahnya hendaklah diselesaikan dengan bijak dan penuh komitmen. Arah sikap baru yang kini sedang meminggirkan golongan budayawan dan cendekiawan, khususnya di Malaysia akan hanya merugikan masa depan pembangunan negara dan pembinaan bangsa," jelasnya.

Kepantasan perkembangan kemajuan dunia jelasnya, sepatutnya menyegerakan kebangkitan umat Melayu besar.

Kemajuan dan kepesatan perkembangan ekonomi yang berlaku di kebanyakan negara bebahasa Melayu merupakan kesempatan ke arah mendorongkan kemajuan peradabannnya.

"Dinamika baru Asia Tenggara tidak mungkin terpinggir dari kebangkitan dan pembaharuan Asia dan dinamika itu amat memerlukan keseimbangan pengisian kemajuan kerohanian, antara lainnya melalui ketinggian pemikiran bahasa dan persuratannya.

"Bangsa serumpun Melayu boleh menjadi salah satu kabilah dunia yang ikut disegani dengan kehadirannya dalam politik dan peranan ekonomi antarabangsa dan menjadi lebih wajar sekiranya diiringi dengan mendukung bersamanya cita-cita pengembangan kebudayaan terutama pengajian bahasa dan persuratan melayu besar.

"Gerakan ini perlu dilakukan dengan keazaman politik, sedar dan secara langsung," jelasnya.

Disiarkan di Utusan Sarawak, Khamis, 30 Ogos 2007

No comments: