Bicara Buku perlukan masa yang lebih panjang

SEKALI lagi Majlis Bicara Buku berjaya dilaksakan. Tahniah kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak atas penganjuran program tersebut. Berbeza berbanding sebelum ini, kali ini Majlis Bicara Buku dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa).

Keseluruhannya, kehadiran audiens sebagai peserta juga memberangsangkan walaupun ada yang terpaksa balik awal kerana mungkin ada urusan lain yang mendesak. Bukan sahaja pelajar yang hadir, malah turut melibatkan ramai kalangan mereka yang terlibat secara langsung ataupun tidak dalam bidang kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan.

Hadir ke majlis bicara buku kali ini sememangnya menggembirakan. Banyak buku yang diteliti dan kemudian dikongsi bersama hasil penelitian tersebut. Malah, keberanian beberapa muka baru dalam bidang pembentangan kertas kerja juga begitu mengagumkan. Dengan idea berdasarkan panduan tersendiri, mereka berjaya mencungkil pelbagai kelebihan dan kekurangan dalam sesuatu karya.

Itu sudah dikira berjaya. Namun dari sudut peruntukan masa untuk pembengan kertas kerja memang memerlukan perubahan. Seingat penulis, sejak dahulu hingga kini (sepanjang menyertai program kebahasaan) sama ada di Semenanjung ataupun di Sarawak, tempoh yang diberikan kepada pembentang kerja kerja memang agak sedikit.

Sekitar 15 hingga 20 minit. Atas sebab peruntukan masa yang sedikit, kadang-kadang ada kalangan pembentang terpaksa mencuri masa pembentang lain selama lima hingga 10 minit. Tanpa teguran pemudah cara, mungkin berlanjuttan hingga 15 minit.

Biasanya, situasi ini akan menyebabkan pembentang berkata, "Disebabkan masa yang diperuntukkan sekitar 10 hingga 15 minit, maka saya berhenti di sini. Untuk selanjutnya, bacalah makalah saya ini di rumah."

Jika demikian, lebih baik membaca kertas kerja tersebut. Jika hadirpun, tidak semua akan dibincangkan. Malah, sesi soal jawab juga memerlukan hanya beberapa soalan sahaja dikemukakan. Dengan demikian, timbullah rasa tidak puas hati di kalangan audiens.

Oleh yang demikian, adalah wajar sekiranya masa untuk pembentangan sesuatu kertas kerja dilanjutkan. Seterusnya, menggunakan sepenuh hari untuk program berkenaan. Bukannya sekerat hari sahaja. Tidak cukup dengan itu, untuk satu sesi, hanya dua buku yang dibicangkan bagi memudahkan pemahaman audiens terhadap fokus perbincangan.

No comments: