Pengkisahan wanita dalam Naluri Hidayah dan Tirani

CANTIKNYA wanita dan citra feminisme merupakan antara perkara yang ditonjolkan dalam perbincangan dua novel yang dimakalahkan sempena Majlis Bicara Buku 2008 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa). Dua novel ini ialah Tirani yang dihasilkan oleh Beb Sabariah serta Naluri Hidayah oleh Allahyarham Sarimah Alit.

Sememangnya suasana dalam Balai Budaya DBP Cawangan Sarawak tempat berlangsungnya bicara buku ini bertukar sedih apabila mengenang penglibatan Sarimah Alit dalam dunia penulisan yang tidak putus-putus hingga ke akhir hayatnya. Novel ini (Naluri Hidayah) adalah karya terakhir Allahyarham sebelum kembali ke rahmatullah setahun yang lalu.

Menarik tentang kedua-dua novel ini, ia menceritakan tentang kehidupan wanita yang dapat dikesan oleh dua pemakalah, iaitu Hajijah Mainol yang mengutarakan ‘Citra Wanita Dalam Naluri Hidayah’ dan Rosani Hiplee yang mengupas ‘Cantiknya Wanita Dalam Novel Tirani, Citra Feminisme Yang Tegar’.

Pada penghujung makalah ini, Hajijah menjelaskan, Naluri Hidayah sebuah novel yang berjaya membawa nilai sebuah pemikiran yang kritis di samping mengangkat martabat seorang wanita dalam memperjuangkan masa depan bangsanya agar tidak terus tertindas.

“… juga menyediakan lapangan ilmu kepada pembaca untuk membuka pemikiran dan penyerlahan citra atau emosi dalam mentafsir dan menterjemah tentang nilai-niali kemanusiaan dan penyeralahan citra atau imej wanita,” katanya.

Pengarang (Allahyarham Sarimah Alit) ujarnya, berjaya dalam usahanya untuk mengikis imej ‘lemah dan air mata’ yang sering ditonjolkan oleh kebanyakan penulis terutamanya penulis lelaki dalam kebanyakan karya mereka.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita (penulis wanita) untuk menampilkan persoalan dan watak wanita yang lebih dinamik, proaktif, cekal dan paling penting ‘mengurangkan’ sikap kebergantungan terhadap kaum lelaki. Pengarang lelaki sememangnya kita sudah maklum bahawa mereka sering melakarkan imej wanita yang stereotaip dalam karya mereka,” katanya.

Menurut Hajijah, novel ini berupaya membawa pembaca mengimbau beberapa peristiwa penting yang mewujudkan dan mencetuskan persekitaran pahit sejarah tanah air, khususnya di Sarawak, semasa pemerintahan keluarga Brooke, penjajahan Inggeris dan pendudukan Jepun sebelum mencapai kemerdekaan.

“Naluri Hidayah pada dasarnya mengungkapkan nilai pemikiran baru dan berpandangan jauh seperti yang dikesan dalam watak Hidayah bagi membela nasib dan budaya hidup wanita Melayu semasa zaman penjajahan.

“Pengarang memberikan pakej citra wanita yang lengkap kepada watak Hidayah, yakni seorang wanita Melayu yang gigih lagi berani mendepani segala kemungkinan getir demi mencapai hasratnya untuk melihat tanah airnya bebas dari cengkaman penjajah.”

Sebagai individu, Hidayah kata Hajijah mempunyai sikap yang terbaik bagi seorang wanita iaitu cantik, berbudi bahasa, bersopan santun, berpendidikan, mempunyai prinsip hidup, bersemangat kental dan dihormati serta disanjungi bukan sahaja oleh penduduk kampung, malah musuh-musuhnya seperti Tuan Robinson, Chee dan Hishigawa.

“… Hidayah sememangnya citra seorang wanita yang telah menyimpang dari kelaziman budaya dan pemikiran bangsanya apabila mengambil keputusan berkahwin dengan Adrian yang bukan sebudaya dan segamanya. Namun begitu, dia mendapat restu daripada keluarganya.”

Itu antara perkara berkaitan wanita yang diketengahkan dalam Naluri Hidayah. Novel Tirani karya Beb Sabariah tidak terkecuali menbincangkan citra wanita. Rosani Hiplee menjelaskan, mambaca Tirani persis menaakul ke dunia psikologi wanita yang mahu mencapai kecantikan (kesempurnaan) menyeluruh dalam hidupnua.

“Wanita yang sentiasa gigih menongkah arus modenisasi dan futuristik. Malah, tetap bertekad memelihara dan melindungi segala peradaban dan susila budaya bangsanya walau berada di mana-mana sahaja. Pengarang mengaspirasikan suatu nilai yang cukup murni dan berjiwa dalam Tirani, khusus kepada kaum wanita masa kini.”

Pengarang jelasnya, meletakkan diri dan karyanya tidak hanya bergelut pada masalah wanita sahaja, tetapi turut berhubung dengan erti kecantikan sebenar dan citra feminisme yang tepat bagi seorang wanita yang sempurna.

“Selepas membaca Tirani, sejujurnya saya dibekasi oleh tiga tanda titik yang menjadi jeda bagi mentafsir erti tirani. Tirani yang pada konteks ertinya dalam Kamus Dewan edisi keempat ialah corak pemerintahan yang zalim (oleh pemimpin negara, puak dan lain-lain) yang menggunakan kekuasaan sesuka hati.

“Barangkali judul Tirani yang digarap oleh pengarangnya adalah suatu kesengajaan dalam memaknakan betapa tiraninya kecantikan itu jika tidak ditangani dengan sebaiknya. Dalam novel ini, nyata Waheeda (watak dalam novel) menjadi mangsa kuasa tirani yang ada pada kecantikan yang diciptanya melalui proses pembedahan kosmetik apabila gagal menikmati kebahagiaan sejati dalam perkahwinannya yang juga singkat usianya.”

Feminisme dan ideologi gender yang digarap oleh Beb Sabariah katanya, secara tidak langsung meminggirkan tanggapan tersebut dengan mengutarakan bahawa wanita tetap mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri dengan menguasai pelbagai bidang yang sebelum ini dimonopoli oleh lelaki.

Elemen feminisme dalam watak Waheeda sangat tinggi, dan persaingan yang wujud tidak mampu melemahkan semangat Waheeda dalam menempa kecemerlangan diri walaupun menyedari akan wujudnya persaingan yang hebat dalam perusahaannya.

“Terkadang realiti kehidupan sukar diterjah. Pengarang sengaja mengambil pendekatan kehambaan kepad-Nya dalam konteks memberi maaf kepada watak Waheeda memandangkan juga Izzati yang sedia memaafkan kekhilafan bapanya yang sudah menyesali segala perbuatan lalunya. Ia sebenarnya sebuah citra wanita yang cukup cantik dan penuh susila.”

Nyata, novel Tirani jelas Rosani mampu menyisihkan pencitraan wanita, dan Beb Sabariah benar-benar memberi pencitraan yang lain dalam novel ini. Watak-watak wanita seperti Raidah (ibu Waheeda) dan Bazilah (teman Waheeda) juga menepati citra wanita yang positif nilai feminismenya.

Tetap memiliki cantiknya wanita dalam konteks yang menarik dan tidak lagi seperti kenyataan Hajijah Jais dalam ‘Citra Wanita dalam Karya Penulis Sarawak’ iaitu “Penulis Sarawak juga masih memaparkan citra wanita stereotaip yang menjadikan mereka simbol seks, lambang keghairahan, konservatif, bersifat negatif, menjadi mangsa keadaan, angkuh dan sebagainya. Mengapa? Adakah kerana dalam realitinya wanita begitu? Adakah mereka membenarkan citra keanggunan, kejelitaan dan keghairahan yang seterusnya membawa kepada eksploitasi, aniaya, rogol dan sebagainya?”

(Utusan Sarawak, 5 JUN 2008)

1 comment:

Saiee Driss said...

Terima kasih kerana menyiarkan bahan ini.

Saya kebetulan akan membentangkan sebuah kertas dalam sesi pada 7 Jun 2008 di DBP sempena pelancaran buku itu.

Bahannya sudah dihantar kepadaq Cikgu Beb dan DBP Isnin lepas.