Untuk pengetahuan, perkampungan tersebut yang kali ketiga diadakan, berlangsung selama tiga hari di bahagian Mukah. Sekitar 150 peserta dari seluruh Sarawak termasuk penyertaan daripada Persatuan Penulis Johor menyertai perkampungan tersebut.
Untuk itu, beberapa tokoh sastera yang ditemui Utusan Sarawak memberikan cadangan agar makalah sedemikian dikurangkan, tetapi memberikan penambahan kepada sesuatu yang lebih bermakna.
Pensyarah dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Jeniri Amir menyatakan beliau melihat terlalu banyak kertas kerja yang memperkatakan tentang sejarah perkembangan sastera dan genre, yang sudah berulang-ulang kali dibincangkan pada setiap pertemuan.
"Untuk pertemuan macam ini, memadai satu kertas kerja sejarah perkembangan untuk menyingkap susur galur perkembangan. Kita harus melihat ke depan dan saya fikir, satu kertas yang yang perlu ditulis dan dibentangkan dalam setiap perhimpunan ialah kerta kerja sumbangan penulis di sesuatu tempat.
"Misalnya, perkampungan kali ini diadakan di Mukah. Maka, dicadangkan satu kertas kerja yang menggarap sumbangan penulis di kawasan ini. Jika diadakan pula di Sibu, maka penulis di Sibu kita bincangkan.
"Ini dapat mengangkat suara penulis di tempat itu dan secara tidak langsung dapat memberi rangsangan kepada penulis lain terutama penulis muda di kawasan itu. Kita boleh memperkatakan penulis yang berjaya di sesuatu kawasan itu yang merupakan ikon di tempat tersebut," katanya.
Seterusnya, Jeniri turut mencadangkan agar program serupa pada masa depan perlu memperkatakan persoalan tentang penulisan dan penerbitan buku dan bagaimana penulisan dan penerbitan buku dapat menjana pendapatan.
"Tidak salah kita bercakap tentang bagaimana penulisan dan sastera dapat memberikan sumbangan terhadap perkembangan budaya. Dalam realiti kehidupan, ini harus dikaitkan bagaimana sumbangan kita dalam bidang penulisan sastera dan bahasa dapat menyumbang dari segi ekonomi penulis ini."
Dengan demikian katanya, ini dapat memberi rangsangan lebih banyak kepada penulis muda, iaitu peluang yang dapat diberikan kepada bidang penulisan terhadap ekonomi seseorang (menjana pendapatan).
Jeniri berharap perkara tersebut dapat diambil kira sambil menjelaskan Perkampungan Penulis Sarawak telah memperlihatkan kerjasama yang amat baik Dewan Bahasa dan Pustaka dengan pelbagai agensi kerajaan tempatan serta persatuan kebudayaan atau penulis.
Beliau menyatakan bahawa penyertaan Persatuan Penulis Johor dalam perkampungan tersebut dapat mewujudkan perpaduan dalam kalangan penulis dan bersetuju dengan cadangan mewujudkan antologi bersama penulis Sarawak dan penulis Johor.
Dalam hal demikian, Ketua I Persatuan Penulis Johor, Amirudin Md Ali Hanafiah yang turut ditemui menjelaskan, "... kita sedang merancang untuk menerbitkan antologi bersama anyara penulis Johor dan Sarawak. Pada masa yang sama kita mungkin secara bergilir membincangkan karya-karya penulis Johor dan Sarawak."
Menurutnya, kerjasama itu wujud ekoran keakraban yang telah lama terjalin antara penulis dari kedua-dua negeri.
"Keakraban ini perlu diteruskan. Saya akrab dengan rakan penulis dari Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) dan Persatuan Penulis Utara Sarawak (Putera). Kita saling berhubung dan bertukar-tukar pendapat."
Mengenai penulis Sarawak, Amirudin berpendapat, penulis negeri ini makin maju, namun dalam beberapa hal mereka seolah-olah terpinggir.
"Ramai penulis Sarawak selari dengan perkembangan sastera di Malaysia. Tetapi, kalau dibiarkan sahaja (dalam lingkungan Sarawak), mereka akan terpinggir.
"Sepatutnya penulis Sarawak tidak mengadakan batasan atau sepmadan untuk mereka bergerak lebih ke hadapan.
"Itulah sebabnya apabila ada anugerah, kita jangan meletakan ini dari Sarawak tetapi anugerah Malaysia. Itu yang kita mahukan," katanya.
(Utusan Sarawak, 10 Julai 2008)
No comments:
Post a Comment