Teater Muzikal Putera Semandin 9 Ogos



SEBAHAGIAN daripada pelakon Teater Muzikal Putera Semandin yang akan dipentaskan oleh Kumpulan Teater Art of Saramart pada Pementasan Teater Berkala 2008 di Auditorium Tun Ahmad Zaidi, Institut Perguruan Batu Lintang (IPBL) pada 9 Ogos depan.




SETELAH
beberapa kali kisah Puteri Santubong diangkat ke pentas teater, kisah lagenda ini tetap juga menjadi pilihan oleh pengarah teater di negeri ini. Untuk itu, Pengarah Teater Muzikal Putera Semandin, Mohd Ghazali Jeman melalui Art of Saramart akan mementaskan teater tersebut pada 9 Ogos di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce, Institut Perguruan Batu Lintang (MPBL).

Ghazali yang ditemui baru-baru ini menjelaskan, teater muzikal yang dipentaskan sempena Program Pementasan Teater Berkala itu merupakan cetusan semula kisah Puteri Santubong.

“Dalam teater ini, Sang Putera Semandin diceritakan turun ke bumi tanpa pengetahuan kayangan untuk mencari kekasihnya, Puteri Santubong. Banyak dugaan yang dihadapinya sebelum berjumpa Puteri Santubong,” katanya.

Katanya, lagenda Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang dalam teater muzikal itu mempunyai nafas perbezaan dari kisah asal.

Kisah percintaan tiga segi dan sengketa akibat perebutan seorang putera satria yang bernama Putera Sang Semandin (Abang Patah) menjadi latar untuk membangkitkan drama dan pengkisahan yang tragis antara tiga watak (orang bunian) dalam kisah ini.

Putera Semandin membangkit sengketa lama antara Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang apabila Putera Sang Semandin tidak dapat menahan rindu di hati lalu turun ke bumi untuk mencari Puteri Santubong yang dikukurng di puncak gunung Santubong.

Puteri Sejinjang amat marah apabila mengetahui tentang hal tersebut. Kisah lama terungkit kembali. Santubong dan Sejinjang berkelahi lagi di bumi.

Apakah yang akan terjadi kepada Putera Sang Semandin? Berjayakah Putera Sang Semandin bertemu kekasihnya, Santubong? Berjayakah Puteri Sejinjang membalas dendamnya kepada Puteri Santubong? Dan, ke manakah hilangnya Puteri Santubong?

Watak Putera Semandin dilakonkan oleh Mohd Ghazali Jeman, Bujang (Abdul Rahman Yan), Jaon (Tajol Ashikin), Puteri Santubong (Siti Azizah), Puteri Sejinjang (Hasanah Hashim), Kijang Putih (Azizah), Menaol Hitam (Hilda Donna), Narator (Ferrazilla dan Ernie Dorris) dan 15 penari.

Menurutnya, cerita tersebut merupakan idea asalnya dan diterjemahkan oleh Zakaria Hassan dalam bentuk skrip drama.

Katanya, sebanyak lima lagu telah dicipta oleh Azwandy Suhaimi atau Ajai Sarawak khusus untuk teater tersebut.

Ghazali pernah memenangi Pengarah Terbaik Festival Teater Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2003 dan 2004 masing-masing melalui teater Mati dan Sesat.

(Utusan Sarawak, 24 Julai 2008)



3 comments:

Zaid@Zaidel said...

Salam...maklumat yang menarik untuk di kongsi rakan jauh yang tidak dapat akses kepada akhbar Utusan Sarawak.

" S E M A N D I N " said...

Tahniah Lee, usaha yg bagus. Semoga anda dan rakan2 berjaya. Salam buat semua.TQ Radin.

" S E M A N D I N " said...

Tahniah Lee, usaha yg bagus. Semoga anda dan rakan2 berjaya. Salam buat semua.TQ Radin.