Ketua I Persatuan Penulis Utara Sarawak (Putera), Abizai Abi mencadangkan agar Perkampungan Penulis Sarawak diadakan secara dwitahunan.
"Wujud jarak yang agak panjang selepas perkampungan yang sama pada 2002. Sepatutnya diadakan dengan lebih kerap. Paling kurang pun sekali dalam tempoh dua tahunan."
Seterusnya, Abizai menjelaskan, perkampungan kali ini kurang melihat sumbangan penulis baru.
"Jika boleh, ada kertas kerja khas yang melihat sumbangan dan penilaian karya penulis muda secara rinci. Banyak sangat sejarah diceritakan. Masa depan sastera kita kurang disentuh."
Beliau turut mencadangkan agar seorang tokoh khas diketengahkan dalam perkampungan sedemikian untuk meningkatkan semangat menulis di kalangan penulis muda.
"Penulis kita seperti Jong Chian Lai harus memberi ucap utama ataupun membentangkan satu kertas kerja khas tentang penglibatannya dalam penulisan kreatif hingga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa."
Kenyataan ini disokong oleh Bendahari Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Haji Hamzah Hamdani, yang menyatakan bahawa penulis seperti Jong Chian Lai harus ditonjolkan dalam program berkenaan.
"Dia adalah salah seorang penulis prolifik dan berterusan menulis. Jarang ada penulis yang dapat mengekalkan kualiti penulisan secara berterusan.
"Penulis yang mampu bertahan tidak ramai. Berikan kepada dia satu ruang untuk membentangkan kertas kerja tentang pengalamannya."
Mengenai keseluruhan perkampungan itu, Hamzah berkata, tidak ramai penulis yang biasa menulis hadir berbanding perkampungan sama yang diadakan di Miri pada 2002.
Pun demikian, Hamzah melihat ramainya penulis baru yang diharapkan menjadi generasi pelapis yang boleh menulis dengan baik.
"Juga ada kesepaduan di kalangan jabatan kerajaan dan bukan kerajaan. Perubahan yang berlaku dalam dunia penulisan sebab kita bukan bercakap tentang sastera perse tetapi secara menyeluruh.
"Orang melihat selepas Pilihan Raya Ke-12, ada perubahan dan kebebasan. Ini adalah kesempatan kepada penulis. Sejauh mana kita melihat batas-batas kebebasan itu.
"Sebabnya, dalam penulisan kita memang selalu mencari kebebasan tetapi sejauh mana kita dapat mengenalpasti tahap kebebasan itu," tambahnya.
Beliau mengharapkan agar penulis mengetahui tentang kebebasan dan bagaimana mencipta karya dari segi persoalan dan teknik.
"Saya selalu menekankan ideologi. Maksudnya falsafah. Saya nampak yang kurangnya kita adalah dari segi fahaman, ideologi pengarang, iaitu memahami masyarakat ada perjuangan.
"Kita kekurangan perjuangan dalam karya. Misalnya, watak-watak yang berjuang. Barangkali ini satu kesempatan untuk kita meningkat lagi di Sarawak," jelasnya.
No comments:
Post a Comment