Penyertaan penulis kita dalam sastera siber

PENGAMAL media yang juga penyair, William Chan pada Perkampungan Penulis Sarawak 2008 di Mukah baru-baru ini ada menjelaskan, maya siber merupakan wadah terkini yang menambat penglibatan para penulis Sarawak mutakhir ini.

“Kini kita boleh melayari blog Jaya Ramba, Taufik Firdausi, Radin Azhar, Jeniri Amir, Dahiri Saini, Roslan Jomel, Pharo Abdul Hakim, Yusf Fansuri, Saiee Driss, Beb Sabariah dan ramai lagi.

“Pada ketika Sarawak sedang rancak membangunkan jalur lebar ke seluruh pelosok negeri ini, masa depan maya siber akan menyaksikan kerancakan penglibatan penulis melalui blog ini,” jelasnya,

Jurang digital antara desa dan kota katanya, akan mereka (penulis) manfaatkan sepenuhnya dan ini akan memberi warna ceria kepada perkembangan sastera di Sarawak.

Membenarkan lagi kenyataan ini, penulis yang tertumpu kepada berkarya di internet, Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub menjelaskan, dahulu, sekiranya penulis Sarawak ingin menghantar karya kepada akhbar atau majalah di Semenanjung, mereka terpaksa menunggu masa yang lama berbanding penulis di sana (Semenanjung).

“Sejak wujudnya internet, ruang dan peluang adalah sama sahaja. Selepas membuat penelitian rambang, penulis Sarawak turut terlibat dengan perbincangan di yahoo groups. Impaknya, penulis Sarawak dapat berinteraksi secara langsung dengan penulis di Semenanjung.

“Bagaimanapun, tidak ramai penulis Sarawak yang terlibat secara langsung dengan karya siber dalam konteks yang sebenarnya,” katanya.

Katanya, untuk memiliki laman web sastera persendirian, ia akan melibatkan sedikit kos dan kemahiran untuk membangunkan sesebuah tapak web.

“Mungkin inilah antara faktor mengapa penulis Sarawak (termasuk penulis di Semenanjung juga) tidak berminat untuk membangunkan laman web sastera persendirian. Alternatif yang boleh diambil ialah pembinaan blog peribadi.”

Setekat ini ujarnya, hanya beberapa kerat sahaja penulis Sarawak yang memiliki blog masing-masing.

Antara yang wajar yang disebut ialah

Beb Sabariah (http://bebsabariah.blogspot.com)
Jaya Ramba (http://jayaramba.blogspot.com)
Taufeq Firdausi (http://taufeq18.blogspot.com)
Saiee Driss (http://saieedriss.blogspot.com)
Roslan Jomel (http://roslanjomel.blogspot.com)
Dahiri Saini (http://dahirisaini.blogspot.com)

Daripada senarai itu kata Nik Mohd Iznan, antara yang paling aktif ialah blog (http://cetasasbuya.blogspot.com).

“Bagi yang ketinggalan maklumat sastera dan budaya, blog inilah pilihan terbaik untuk mengetahui akan perkembangan sastera dan budaya di Sarawak.

“Khalayak sastera di Semenanjung tentu sekali tidak tahu akan perkembangan sastera di Sarawak. Dengan adanya blog ini, segala maklumat yang diperlukan ada di hujung jari.

“Selain itu, penulis Sarawak dapat mempromosikan tulisan masing-masing sekali gus menjadikan mereka lebih dikenali,” katanya.

Mengambil contih luar negara, sebenarnya langganan karya sastera di internet bukanlah perkara baharu.

Malah, urus niaga yang dilakukan juga adalah melalui internet melibatkan penggunaan kad kredit atau perbankan elektronik.

“Sementara kegiatan sastera siber sedang panas dan rancak, penulis Sarawak seharusnya turut terjun supaya bergerak lebih seiring. Bukan hanya mengambil langkah tunggu dan lihat.

“Akhirnya, hanya bertindak sebagai pengikut sahaja. Jika demikian, penulis Sarawak akan ketinggalan dalam arus modenisasi atau dunia tanpa sempadan yang sedang hanya melanda sastera dunia,” katanya.

(Utusan Sarawak, 3 Julai 2008)

1 comment:

Anonymous said...

nice blog isnt it?


berto xxx