Kejayaan, kelemahan, halangan memartabatkan sastera Melayu

SETELAH tahun 1996 dan tahun 2002, Perkampungan Penulis Sarawak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak sekali lagi berjaya diadakan. Dua kali diadakan di bahagian Miri dengan kerjasama Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA), kali ini perkampungan yang sama diadakan pula di Bahagian Mukah yang dikendalikan bersama Badan Budaya Warisan Mukah (Waris Mu) dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Mukah dan Politeknik Mukah.

Perkampungan tiga hari ini berjaya mengumpul 150 peserta dari seluruh negeri Sarawak untuk menyertai tiga sesi pembentangan kerja dengan judul “Sejarah Perkembangan Sastera di Sarawak” oleh mantan Haji Hamzah Hamdani (Bendahari Gabungan Persatuan Penulis Nasional, Saiee Driss (penyair), Zaini Oje (mantan Pengarah DBP Cawangan Sarawak), dan Haji Sajali Morshidi (Ketua 1 Waris Mu).

Sementara judul “Masa Depan Sastera di Sarawak” pula dibentangkan oleh Hazami Jahari (Ketua Unit Pengembangan Sastera DBP Cawangan Sarawak), William Chan (Editor Eksekutif Utusan Sarawak) dan Nik Mohd Isnan (Politeknik Mukah).

Sementara Sembang-sembang Sastera pula memperlihatkan Profesor Madya Dr. Hashim Ismail, Dr. Shaari Abdul Rahman, Jeniri Amir dan Abg Patdeli Abg Muhi. Sesi Diskusi Buku pula mengetengahkan Poul Nanggang yang mewakili Persatuan Penulis Utara, Mohd Faizal Jamil (Persatuan Karyawan Sastera Sarawak), Hipani Alwi (Waris Mu) dan Amiruddin (Persatuan Penulis Johor).

Perkampungan yang disesuaikan dengan sambutan 45 tahun Sarawak merdeka dalam Malaysia ini dianggap penilaian yang cukup tuntas bagi memperlihatkan kejayaan, kelemahan dan halangan dalam usaha memartabatkan sastera dalam bahasa Melayu.

Empat objektif didasarkan, iaitu;

i. Aktiviti sempena ulang tahun ke-45 tahun Sarawak dalam Malaysia;
ii. Mempertemukan pemikir, karyawan dan penggiat sastera di Sarawak;
iii. Menjadi salah satu medan bertukar-tukar fikiran, pendapat, idea dan cadangan dalam kalangan pemikir, karyawan dan penggiat sastera Sarawak; dan,
iv. Menjadi ruang untuk menilai dan meneliti kegiatan yang telah diadakan serat merangka dan merancang kegiatan sastera.

Kertas kerja berjudul Memperkasa Makna Sejarah Membangkit Kesedaran Fungsi Intelektual Kaum Penulis Sarawak yang dibentangkan oleh mantan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Haji Hamzah Hamdani memperjelaskan, “Daripada pemerhatian dan penelitian terhadap karya sastera penulis generasi baru di Sarawak, saya mendapat kesan bahawa mereka memiliki kesedaran yang tinggi sebagai penulis yang serius.

Di samping bakat alamiah, mereka (penulis Sarawak) kata Hamzah, memiliki ilmu bantu yang luas dan ketekunan berkarya serta rasa tanggungjawab kepada masyarakat dan Maha Pencipta Yang Esa.

“Jadi, dengan akar kesedaran yang kuat, sebagai manusia dan hamba Allah, dan rasa tanggungjawab kepada kualiti dan etika penulisan, maka cabaran sezaman, globalisasi umpamanya tidak akan menggugah atau menghanyutkan dan mengikis jati diri mereka sebagai penulis di Sarawak di khasnya, dan Malaysia umumnya.”

Menurutnya, dalam menghadapi cabaran zaman globalisasi kini, golongan penulis harus berfikiran positif sebagai perisai mendepani godaan budaya global yang perlahan-lahan ditarik ke arah dominasi nilai-nilai hidup Barat, yang bertentangan dengan nilai-nilai agama dan moral dunia Timur.

“Kita harus menyusun strategi berkesan bagi memperkasa makna sastera dalam dunia persuratan di negara kita kerana hal tersebut akan mencerminkan kemampuan ketinggian tamadun kita. Dengan semangat intelektual dan kerja keras yang berwawasan, Insya-Allah, kita akan dapat merealisasikannya,” katanya.

Zaini Oje yang juga mantan Pengarah DBP Cawangan Sarawak membentangkan Sejarah Perkembangan Sastera di Sarawak. Berdasarkan penelitiannya, beliau melihat penulis Sarawak serius dalam berkarya, bukannya sekadar mahukan nama (dikenali).

“Sudah ramai penulis dari negeri ujarnya mampu berada di peringkat yang tinggi. Terkini, Jong Chian Lai telah dianugerahkan S.E.A. Write Award. Pun demikian, harapan kita (penulis di Sarawak) agar sastera kita dikanunkan, iaitu dikaji di peringkat universiti.

Sementara itu, penyair Sarawak, Saie Driss yang membentangkan Menyusuri Perkembangan Sastera Sarawak Sepanjang 45 Tahun menjelaskan, tempoh 45 tahun lepas menyaksikan satu perkembangan cukup pesat dalam bidang sastera dan penulisan di Sarawak baik dalam bahasa Melayu atau bahasa lain.

“Bagaimanapun, dalam konteks kebangsaan dan antarabangsa,, pencapaian kita masih terlalu jauh dan masih perlukan anjakan dan stimuli serta orientasi semula agar tenaga kreatif dapat dimanfaatkan secara optimum.

“Untuk masa depan, kita harus ada buku dalam format e-book ditulis oleh penulis Sarawak yang boleh diakses melalui internet dan dijual melalui media itu. Kita sekali gus tidak harus mengabaikan atau menyisihkan diri daripada perkembangan teknologi internet dan pengaruhnya terhadap kesusasteraan dan penulisan.

“Misalnya, setiap penulis harus ada laman web sendiri dengan curiculum vitae yang lengkap sebagaimana kumpulan CreeART dan AtrageouslyAsia, yang keanggotaannya terdiri daripada para pelukis Sarawak.”

Para penulis di Sarawak selepas ini ujarnya, harus sedar adanya media baru seperti buku pod dan buku dipamerkan dalam bentuk sistem pesanan ringkas (sms) di skrin telefon bimbit dan bersedia menyertai trend itu.

Mengulas tentang media massa dalam dunia sastera, Editor Eksekutif Utusan Sarawak yang juga penyair, William Chan Khun Neng yang membincangkan Media Massa Penyubur Minat Terhadap Kesusasteraan di Sarawak berkata, dalam menelusuri perkembangan kesusasteraan di Sarawak sepanjang 45 tahun (dari tahun 1963 hingga tahun 2008), satu hal yang dapat dirumuskan ialah media massa berperanan penting dalam penyuburan minat di kalangan peminat, penikmat dan penggiat bidang penulisan.

Menurutnya, media massa – cetak, elektronik dan maya siber akan terus berperanan penting dalam penyuburan kesusasteraan di Sarawak – terus menjadi pilihan. Walaupun ada kebimbangan dicetuskan tentang betapa generasi muda kini kurang rancak dalam gelanggang sastera, keadaan sebenarnya di Sarawak ini belum menampakkan trend itu.

“Masih ramai generasi muda yang aktif dalam penulisan berkaitan sastera. Keadaan ini terus dipupuk oleh badan-badan penulis, institusi seperti DBP dan seumpamanya. Walaupun era globalisasi dikatakan banyak ‘meragut’ nilai-nilai murni manusia dan kemanusiaan, saya yakin akan terus relevan dan peranan media tidak akan terhakis.”

Alasan William Chan, ketika negeri Sarawak sedang rancak membangunkan jalur lebar ke seluruh pelosok negeri, kini masa depan maya siber akan menyaksikan kerancakan penglibatan penulis melalui blog.

“Jurang digital antara desa dan kota akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh penulis, dan ini akan memberi warna ceria kepada perkembangan sastera di Sarawak.”

Seterusnya, penulis yang menyiarkan karya di maya siber, Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub mengutarakan, dahulu, sekiranya penulis Sarawak ingin menghantar karya kepada akhbar atau majalah di Semenanjung, mereka terpaksa menunggu masa yang lama berbanding penulis di sana (Semenanjung).

Katanya, “Sejak wujudnya internet, ruang dan peluang adaah sama sahaja. Selepas membuat penelitian rambang, penulis Sarawak turut terlibat dengan perbincangan di yahoo groups. Impaknya, penulis Sarawak dapat berinteraksi secara langsung dengan penulis di Semenanjung.

Langganan karya sastera di internet jelasnya bukanlah perkara baharu, malah, urus niaga yang dilakukan juga adalah melalui internet melibatkan penggunaan kad kredit atau perbankan elektronik.

“Sementara kegiatan sastera siber sedang panas dan rancak, penulis Sarawak seharusnya turut terjun supaya bergerak lebih seiring. Bukan hanya mengambil langkah tunggu dan lihat, yang akhirnya hanya bertindak sebagai pengikut sahaja.

“Jika demikian, penulis-penulis di Sarawak akan ketinggalan dalam arus modenisasi atau dunia tanpa sempadan yang hangat melanda sastera dunia. Jatuh bangun sastera di Sarawak adalah bertunjangkan kepada adunan tunas-tunas generasi baharu yang akan menjadi induk perkembangan susastera yang gemilang.”

Semua pihak uajrnya, harus berganding bahu dalam mengapresikan wahana untuk membangunkan bakat-bakat baharu. Justeru, tanggungjawab ini tidak seharusnya diletakkan di bahu DBP Cawangan Sarawak sahaja.

“Pelbagai pelan tindakan penerapan perlu direncanakan bagi menjayakan aspirasi ini. Ia perlu melibatkan beberapa kementerian lain dan agensi dii samping badan lain seperti NGO, sektor swasta dan lain-lain.

“Sekiranya Sarawak sudah ada penerima Anugerah Sastera Perdana dan S.E.A. Write Award, kita mengharapkan akan muncul pula penerima Anugerah Sastera Mastera, Anugerah Tokoh Sastera Nusantara, Anugerah Kencana MABBIM dan Anugerah Sastera Negara di kalangan penulis Sarawak.

Ketua Unit Pengembangan Sastera DBP Cawangan Sarawak, Hazami Jahari pula memberitahu, badan berkenaan telah menyediakan banyak kemudahan kepada badan penulis dan penulis sendiri termasuk ruang untuk menerbitkan karya sama ada di akhbar, majalah atau menerbitkan buku.

Menurutnya, usaha DBP Cawangan Sarawak menyediakan prasarana kesusasteraan serta penglibatan aktif penulis sendiri untuk memajukan bidang sastera adalah adunan yang ampuh.

Bahkan, dengan wujudnya persatuan penulis yang dipimpin oleh kalangan penulis yang berwibawa, tidak syak lagi sastera kebangsaan di Sarawak akan terus maju, mencapai kecemerlangan.

“Persatuan dan penulis dibantu. Selebihnya tanggungjawab penulis untuk meningkatkan diri. DBP sudah menyediakan prasarana yang cukup banyak. Apakah hanya dengan ini dapat membina ke arah perkembangan sastera? Selebihnya kepada penulis.

“Apabila DBP mengadakan program pembinaan penulis, masa depan di negeri ini turut menjanjikan kecerahan tetapi yang lebih penting ialah kualiti berbanding kuantiti. Kita tidak lagi bercakap tentang sastera untuk orang Sarawak sahaja tetapi di arena kebangsaan, nusantara.

Sebahagian besar penulis Sarawak jelasnya, tidak dapat menghasilkan buku. Sudah sampai masa bagaimana kita mengumpul karya dan dibukukan. Pemikiran mereka tidak ada dalam bentuk buku, ini menimbulkan masalah.

(Utusan Sarawak, 3 Julai 2008)

No comments: