SIFAR johan Festival Teater Malaysia 2008

Persatuan Seni Persembahan Sifar merakam gambar setelah diumumkan johan Festival Teater Malaysia 2008 Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

SETELAH sedekad lamanya (1998 – 2008) selepas Grup Teater Ngoncong menjadi johan, akhirnya Persatuan Seni Persembahan Sifar (SIFAR) berjaya membawa kembali gelaran Juara Festival Teater ke negeri Sarawak. Kemenangan Sarawak kali ini telah mencipta sejarah baru dalam dunia pertandingan teater tanah air.

Kemenangan yang disifatkan oleh juri dan aktivis teater di Semenanjung sebagai besar ini telah berjaya memenangi lima dari lapan anugerah yang dipertandingkan.

Antara anugerah yang berjaya dimenangi ialah'

i. Johan (SIFAR)
ii. Pengarah Terbaik (Suffian Haji Jalet)
iii. Pelakon Lelaki Terbaik (Malek Hassan)
iv. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Hassan Ahmad)
v. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Serivina Sanina)
vi. Pelakon Harapan Lelaki (Alik Hassan).

Satu kebanggaan kepada Serivina Sanina pelajar Tingkatan 1 dari Sekolah Seni Kuching yang telah berjaya meraih anugerah pelakon pembantu wanita terbaik yang hanya menjalani latihan dalam masa tidak sampai dua bulan.

Lakonan yang telah ditunjukkan oleh Serivina sewaktu pementasan di MATIC, Kuala Lumpur begitu mencuit serta menyentuh hati penonton.

Apa yang menarik disini ialah majoriti pelakon-pelakon dalam produksi Tukang Ensera ini terdiri daripada anak-anak muda yang sebelum ini tidak pernah kenal erti teater.

Namun satu pujian harus diberikan kepada mereka kerana berjaya mementaskan lakonan yang cukup menarik.

Makanya bakat yang sudah terpahat dalam diri mereka haruslah sentiasa diasah dan digilap semoga akan kekal dalam diri mereka.

Sejajar dengan visi dan misi SIFAR antaranya untuk memberi pendedahan dunia kesenian dalam jiwa anak-anak muda semoga satu hari nanti dapat bercambah menjadi sesuatu yang sebati dalam jiwa telah berjaya direalisasikan untuk produksi mereka yang pertama ini.

Semoga produksi-produksi yang bersifat kesenian yang dikelolakan oleh SIFAR di masa yang akan datang dapat meneruskan lagi niat murni ini.

Festival Teater Malaysia 2008 berlangsung di MTC (Malaysian Tourism Centre), Jalan Ampang, Kuala Lumpur menampilkan enam kumpulan teater yang terbaik dari seluruh Malaysia yang telah dipilih oleh juri profesional.

Kumpulan tersebut ialah Kumpulan Ruang Damai Sdn. Bhd. dari Negeri Sembilan yang mementaskan Hamletmaschine, Pertubuhan Pentas Lakon UM (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) mementaskan Tengku Kudin, The Art Stage Club (Negeri Selangor) mementaskan Wajah Lumpur, Persatuan Penggerak Warisan Budaya (AKRAB) dari Kedah mementaskan Hamlet, Anak Seni Pendidikan Kelantan (ASPEK) mementaskan Dilema Baginda Sultan dan Persatuan Seni Persembahan SIFAR (Sarawak) mementaskan Tukang Ensera.

Senarai Johan Pekan Teater Kebangsaan/Festival Teater Malaysia

Tahun 1991
Nama Kumpulan: Kelab Seni Universiti Sains Malaysia (USM)
Negeri:Pulau Pinang
Skrip/Karya: Tanah Bernanah (Albert S. Florentino)

Tahun 1992
Nama Kumpulan: Teater Suria Johor Bahru
Negeri: Johor
Skrip/Karya: Ayang-ayang Purwo (Shukor Mohd. Nor)

Tahun 1993
Nama Kumpulan: Grup Teater Kolektif
Negeri: Sabah
Skrip/Karya: Tukang (Dr. Hatta Azad Khan)

Tahun 1994
Nama Kumpulan: Angkasaran, USM
Negeri: Pulau Pinang
Skrip/Karya: Kena Main (Khalid Salleh)

Tahun 1995
Nama Kumpulan: Kelompok Sanggar Teater
Negeri: Terengganu
Skrip/Karya: Mayat (Dr. Hatta Azad Khan)

Tahun 1996
Nama Kumpulan: Gabungan Anak Seni Teater UiTM Cawangan Perak
Negeri: Perak
Skrip/Karya: Kerusi (Dr. Hattan Azad Khan)

Tahun 1997
Nama Kumpulan: Grup Teater Artis Kreatif
Negeri: Wilayah Persekutuan
Skrip/Karya: Peran (Datp’ Nordin Hassan)

Tahun 1998
Nama Kumpulan: Grup Teater Ngoncong
Negeri: Sarawak
Skrip/Karya: Sawo (S..M. Noor)

Tahun 1999
Nama Kumpulan: Grup Teater Badan Kebudayaan dan Kesenian Yayasan
Negeri: Johor
Skrip/Karya: Pentas Opera (Zakaria Ariffin)

Tahun 2000
Nama Kumpulan: Kelab Teater Rimba UKM
Negeri: Selangor
Skrip/Karya: Patung-patung (Dr. Hatta Azad Khan)

Tahun 2001
Nama Kumpulan: AKRAB
Negeri: Kedah
Skrip/Karya: Monolog (Rosnan Nordin)

Tahun 2002
Anugerah Khas Juri
Johor, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Kelantan

Tahun 2003
Nama Kumpulan: Angkatan Budaya Daerah Balik Pulau
Negeri: Pulau Pinang
Skrip/Karya: MISI (Faisal Tehrani)

Tahun 2004
Nama Kumpulan: Fuzzy Logic Entertainment
Negeri: Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Skrip/Karya: Tat Nenas (Shahredza Minhat)

Tahun 2006
Nama Kumpulan: Kubas
Negeri: Kedah
Skrip/Karya: Angin Kering (Datuk Johan Jaafar)

Tahun 2008
Nama Kumpulan: Persatuan Persembahan Sifar
Negeri: Sarawak
Skrip/Karya: Tukang Ensera (Awangku Merali Pangeran Mohamed)

Utusan Sarawak, 31 Julai 2008

1 comment:

Mr J@cK said...

ooooooo...haa

thniah ntok kontijen srwak...
geng ASPEK xmng pe2 pn thn nih,sdey jer,aku yg jd crew pn mnanggung sdey same....

plakon hrapan wanita ingt kne 2kar la,plakon kanak2 harapan....