Drama radio sebelum kemunculan tv di Sarawak

DRAMA radio yang pertama disiarkan di Sarawak ialah Sandiwara Radio dalam bahasa Melayu disiarkan oleh Radio Sarawak pada 24 Jun 1955, menurut Haji Awang Bujang Awang Hamdan.

Menurutnya, lakonan itu dilakukan oleh kumpulan dari luar iaitu dari Masjid Bintangor Haji Taha (MBHT), iaitu Salbiah Junaidi, Jamel Haji Busrah, Dayang Lela Zawawi, Abdul Karim Abol, Julaihi Musa, Hasbi Haji Busrah dan Julaohi Junaini.

Selepas itu katanya, Sandiwara Radio diterbitkan sendiri oleh kakitangan Radio Sarawak.

“Melalui Sandiwara Radio, para penerbit drama dan melui skrip masing-masing telah melahirkan pendekatan yang berbagai dengan membawa tema-tema yang sesuai dengan dasar kerajaan pada waktu tersebut.

“Melalui Sandiwara Radio juga dimasukkan unsure-unsur pembinaan minda pendengar kea rah kemajuan dan perpaduan Ummah. Rancangan ini disiarkan seminggu sekali.”

Katanya, Sandiwara Radio, Drama Dalam Syair dan Setitik Peluh di Bumi Bertuh adalah drama-drama yang popular dan ramai pendengarnya. Di antara pelakon drama radio yang menjadi idola para pendengarnya ialah Sepawi Hamdan, Roznee Chek, Muliadi M. Massino dan Ahmad Badui Narawi.

Pelakon Ali Razali sering melakonkan watak-watak jahat dan kerana itu menjadi ejekan pendengar serta digelar sebagai raja Pak Saok. Pelakon lain yang pernah berlakon ialah Haji Wan Hussain, Haji Yetni Haji Adenan, Sarbanun Daruk Haji Marikan, Sait Ahmad, Haji Kassaim Daud dan banyak lagi.

Skrip drama radio dihasilkan oleh beberapa penulis tempatan yang terkenal dan meningkat naik ketika itu. Antaranya, Haji Wan Hussain Syed Alwi, Datuk Hajah Salbiah Painah, A.B. Nor, Maliah Haji Shibli, Latifah Haji Shibli, Shazali Haji Mohamad, Awang Mostapha Awang Bakeri dan lain-lain.

Penulis-penulis tersebut melalui skrip masing-masing telah dapat melahirkan berbagai tema yang sesuai dengan rancangan yang ditetbitkan.

“Melalui naskhah drama ini, dijadikan modal dan asas untuk mendidik para pendengar ke arah kejayaan dalam membangun diri dan negara,” tambahnya.

Katanya, “Satu hakikat yang harus diterima ialah drama radio telah memainkan peranan penting dalam memupuk semangat jati diri, semangat berdikari dan semangat perpaduan di kalangan para pendengarnya.”

Drama radio secara sedar ataupun tidak, secara langsung atau tidak langsung adalah satu aspek bagi membina pendengar dengan ilmu pengetahuan, pendidikan moral dan sosial, ekonomi, budaya, agama, sejarah integrasi nasional, perkembangan minda kanak-kanak dan politik.

“Memanglah sebagai media rasmi kerajaan sebelum munculnya drama TV, drama radio adalah satu-satunya media yang popular dan berpengaruh untuk menyampai mesej dan maklumat umum.

“Sebagai media penting, orang mendengar radio di mana-mana. Di rumah, dalam perahu tambang, dalam bas, motor bot, ekspres, di rumah jaga dan di mana sahaja siaran radio itu boleh didengar, orang akan berhibur. Lebih-lebih lagi bila ada drama radio.”

Tetapi malang bagi drama radio sebaik sahaja munculnya drama TV di Bumi Kenyalang, sedikit demi sedikit pengaruh drama radio mula berkurangan.

“Tiada lagi suara manis Roznee Chek disebut, tiada lagi suara merdi Sapawi Hamdan diingati dan tiada lagi suara garang Ali Razali dibenci.

“Akhirnya, Bahagian Drama radio RMS juga menutup tirai taringnya pada awal 1990-an. Drama radio hanya tinggal kenang-kenangan dan menjadi nostalgia kepada yang telah melaluinya,” tambahnya.

1 comment:

yms said...

Saya juga banyak menulis skrip drama radio untuk RTM, Sarawak, iaitu sebanyak lebih 300 buah (Setitik Peluh Di Bumi Bertuah, Sandiwara Radio dan Rumpun Kelana. Mungkin saudara Awang Bujang tercicir nama saya, Yusuf Mustanir