Mantera genre puisi Melayu tradisional

MANTERA sebagai salah satu genre puisi Melayu tradisional adalah cerminan pemikiran dan kepercayaan masyarakat Melayu yang mempengaruhi mereka mengikut peredaran dan perubahan masa serta keadaan.


Kecenderungan masyarakat Melayu tradisional mengamalkan mantera juga berlandaskan kepentingannya yang dipercayai sebagai usaha dan ikhtiar ke arah kesempurnaan menjalani kehidupan.


Rosnani Ripin menjelaskan mahalahnya, Itertekstualiti Mantera Dan Puisi-Puisi Tradisional Suatu Gambaran Akar Umbi Pemikiran Melayu berkata, definisi mantera dari sudut karya kreatif, dengan merujuk kepada beberapa pendapat bahawa bentuk mantera adalah sama dengan puisi bebas yang lain.


“…khususnya talibun atau seromba, prosa berirama dan teromba malah bentuknya juga hampir tidak terikat. Sesebuah mantera dapat memenuhi maksudnya tanpa dibatasi oleh ukuran-ukuran tertentu, baik dari segi jumlah perkataan, baris dan rangkap, mahupun dari segi rima, rentak dan irama.”


Mantera katanya, bukan hanya sebagai satu cara untuk mengubati penyakit, pakaian diri, pembantu dalam pekerjaan, dalam ritual dan seumpamanya tetapi turut meneliti tentang kewujudan mantera dalam masyarakat Melayu dikatakan sebagai genre puisi yang paling awal dilahirkan oleh masyarakat.


“Hasil pengaplikasian teori intertekstualiti ke atas mantera yang dipilih, pengkaji dapat melihat hubungan mantera yang terdapat di dalam teks cerita lipur lara yang dikumpulkan oleh Haron Daud, Harun Mat Piah, Amran Kasimin dan informan berlakunya proses tranformasi, modifikasi, parallel dan ekspansi.


“Proses ini sudah dapat memperlihatkan berlakunya perubahan amalan hidup, pengaruh, sosio-budaya dan sosio-ekonomi sekali gus menggambarkan akar umbi pemikiran masyarakat Melayu yang mengalami perubahan dan perubahan minda mengikut perkembangan masa dan keadaan.”


Prinsip-prinsip intertekstualiti yang lain seperti haplologi, demitefikasi dan demifamiliarisasi tentu sahaja langsung menolak kehadiran mantera sebaliknya mewujudkan cara permohonan yang berbeza dan dengan cara baru iaitu doa yang berupa ikhtiar mengikut landasan Islam menggunakan akat suci al-Quran.


Penggunaan ayat-ayat al-Quran, kalimah yang memperlihatkan adanya pengaruh Islam seperti sebutan nama malaikat, sebutan nama-nama nabi, khalifah, kalimah berkat atau kalimah syahadah dalam jampi mantera sebenarnya tidak membuktikan bahawa amalan-amalan dan bacaan yang dituturkan itu sebahagaian daripada ajaran Islam.


“Walau bagaimanapun Amran Kasimin menyatakan penggunaan kalimah demikian bertujuan semata-mata membuktikan tentang adanya pengaruh Islam dalam pelbagai kegiatan masyarakat Melayu yang melibatkan rawatan tradisional, yang bercampur aduk dengan pengaruh animisme dan Hindu-Buddha.


“Selain itu, perubahan dan penggunaan kata-kata dalam ucapan mantera juga memperlihatkan perubahan keadaan sosio-budaya masyarakat Melayu yang mengikut peredaran masa dan keadaan.


“Perubahan yang ketara ialah dalam amalan budaya pekerjaan masyarakat dapat dikesan pada mantera dari cerita lipur lara dan mantera-mantera yang ditemui kemudiannya.


“Selain itu, dalam mantera juga memperlihatkan mantera itu dimiliki dan diamalkan oleh golongan tertentu yang mempunyai kehebatan dan kedudukan yang tinggi seperti raja, putera dan puteri raja dan kemudian menjadi amalan golongan rakyat biasa.”

No comments: