Masih banyak ruang tingkatkan puisi

MESKIPUN sudah menembusi media penanda aras utama dalam dunia kesusasteraan, namun berdasarkan pencapaian dari segi persoalan dan gaya, penyajak yang menenangi Hadiah Penulis Harapan Negeri Sarawak masih mempunyai ruang yang luas untuk meningkatkan sajak mereka supaya setidak-tidaknya dapat berdiri sama tinggi dengan penyair generasi baru yang lain di peringkat kebangsaan.

Penyair ini kata Jeniri Amir melalui makalahnya, Perkembangan Puisi Karya Penulis Harapan Sarawak Dalam Arus Sastera Kebangsaan, tidak harus sekadar berpuas hati dengan meletakkan hanya Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak dan hadiah-hadiah lain di peringkat negeri sebagai sasaran.

Menurutnya, mereka perlu melangkah lebih jauh dengan memasang keinginan untuk memenangi hadiah yang lebih mencabar dan berprestij di peringkat kebangsaan, seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, malah perlu pergi lebih jauh dengan mengimpikan untuk meraih SEA Write Award.

Untuk itu katanya, mereka perlu berusaha antara lain untuk menepati cirri-ciri yang pernah digariskan oleh Panel Hadiah Sastera Perdana 1996/1997 bagi kategori puisi ketika berkarya.

Laporan itu menyebut bahawa Petang Condong karya T. Alias Taib yang memenangi hadiah utama pada tahun tersebut menepati beberapa keistimewaan, katanya.

T. Alias mampu mengangkat pengalaman harian yang ditempuhinya ke taraf pengungkapan estetika yang tinggi mutunya, memiliki persepsi yang tajam dan menampilkan angle persoalan yang menarik, mempunyai daya kreativiti yang tinggi dengan bahasa yang menyegarkan, konsisten dari segi perkembangan dan pengucapan perpuisian, mengekalkan secara berimbang bagi setiap puisi yang ditampilkan dan mencapai citra dan jati diri tersendiri.

“Amatlah penting bagi mereka (penulis Sarawak) untuk terus komited terhadap genre yang diceburi, dengan giat menulis, memperjaham bakat dan menganjakkan mutu puisi supaya standing. Kalaupun tidak lebih baik daripada penyair mapan tanah air.

“Untuk itu, mereka hendaklah terus menghantar karya ke media arus perdana dan majalah-majalah di peringkat nasional agar ketajaman bakat mereka dapat dipertingkatkan.”

Dengan tersiarnya karya dalam media arus perdana itu, penyair bukan sahaja mendapat galakan dan keyakinan, tetapi karya ajan dibaca oleh khalayak yang lebih luas, dan diberi perhatian di peringkat kebangsaan, terutama oleh peneliti, sarjana dan pengkritik sastera yang berwibawa.

“Mereka perlu menerima hakikat bahawa dengan menyiarkan karya dalam media tempatan, hanya akan mempersempit gelanggang mereka. Mereka perlu mengelakkan diri daripada terperangkap dalam zon selesa,” tambahnya.

Sebagai penulis yang sudah diiktiraf di peringkat negeri, maka sewajarnya mereka berjuang di medan yang lebih luas dan mencabar. Perkara ini terbukti daripada penulis Sarawak yang telah mapan seperti Adi Badiozaman Tuah, Saiee Driss, Abizai Abi, Jong Chian Lai, Awangku Merali Pengiran Mohamed dan seumpamanya.

Karya mereka secara konsisten disiarkan dalam media kebangsaan sebelum akhirnya mencapai kejayaan besar, dan diiktiraf sebagai penulis, tambahnya.

“Inilah hakikat yang perlu diterima, dan sekali gus merupakan cabaran kepada mereka untuk terus memperbaiki kualiti puisi yang dihasilkan. Maksudnya, jika ingin terus mencapai kejayaan, mereka tidak mempunyai pilihan, melainkan berkarya secara konsisten, bukannya terperangkap dalam gejala ‘sekejap ada, sekejap tak ada’.

“Hanya penyair yang konsisten sahaja akhirnya akan dapat membina jati diri dan idiosinkrasi, hingga meninggalkan kesan besar dalam persada puisi tanah air,” ujarnya.

Hal itu jelas Jeniri semakin penting jika berpegang pada pendapat T. S. Eliot yang menyatakan bahawa kematangan seseorang penyair hanya akan jelas apabila ia telah menulis secara konsisten selama 25 tahun.

Untuk itu katanya, penyair perlu sentiasa ghairah untuk belajar dan membaiki diri serta mengelakkan diri daripada kejumudan dengan melakukan inovasi yang wajar ketika berkarya sejajar dengan prinsip licentia poetica yang ada pada mereka.

“Selain itu, mereka hendaklah akur kepada nasihat Ibnu Khaldun yang menganjurkan supaya penyair melalui latihan yang keras dan bersungguh-sungguh dengan ‘tenggelam’ bersama-sama bahasa masyarakatnya demi mencapai kefasihan dan keterampilan yang tinggi.

“Mereka perlu beranjak daripada sajak yang bersifar sederhana, langsung, literal, dan tidak kompeks kepada puisi yang digarap secara kreatif, inivatif, indah dan mengesankan dari segi persoalan, gaya, bentuk dan penampilan selari dengan peningkatan usia kepenyairan dan kematangan pengalaman.”

Kepenyairan, kreativiti dan kemungkinan perkembangan mereka pada masa depan bukan hanya bergantung pada bakat alam, tetapi yang tidak kurang pentingnya ialah keupayaan mereka mempertajam dan memanfaatkan bahasa kreatif, kemungkianan untuk melakukan inovasi, serta kesediaan untuk belajar daripada tradisi kesusasteraan yang agung.

“Dengan itu, mereka sewajarnya menerokai dimensi kreativiti berdasarkan ilmu, ketajaman pemikiran dan kepekaan, kemahiran dan penguasaan bahasa yang sentiasa digilap.

“Mereka seharusnya berusaha untuk membentuk peribadi sendiri berdasarkan bakat dan keyakinan mereka, serta berusaha untuk mengatasi segala kelemahan dan kekurangan dengan sentiasa belajar daripada penyair agung, alam dan persekitarannya.

“Sama ada mereka mampu untuk menganjak diri ke tahap yang lebih tinggi, dengan mampu menghasilkan karya yang berbobot, berseni dan universal sifatnya, dengan penampilan bahasa yang segar banyak bergantung pada pengalaman, idealisme, komitmen dan sikap mereka terhadap dunia perpuisian pada keseluruhannya.”

Dalam keadaan demikian ujarnya, mereka perlu menyingkirkan sikap tidak sabar atau gopoh dengan hanya mahu melihat karya diterbitkan, kerana ini akan menyebabkan sajak mereka tidak lebih sebagai coretan atau catatan kasar yang masih perlu dimurnikan, malah perlu melalui proses penghayatan dan pengolahan melalui renungan dan penggarapan yang lebih berseni.

Puisi yang indah dan bermutu tetap akan tahan diuji zaman manakala sajak yang mentah hanya meninggalkan kesan sementara, mentelahan puisi akan sekadar luahan emosi melulu, tetapi gabungan yang indah antara rasa halus ataupun ‘kemanusiaan’ dan perimbangan antara emosi dan intelek.

1 comment:

MARSLI N.O said...

Sdr Radin Azhar: Baru ini ketemu blog milik Sdr. Banyak mutiara dan intan di sini. Saya membuat linknya.

Marsli N.O