Pemikiran Muhammad Rakawi Yusuf dalam Melati Sarawak

NOVEL Melati Sarawak karangan Sasterawan Negeri Sarawak kedua, Muhammad Rakawi Yusuf yang diterbitkan oleh The Sarawak Printing Company mengundang pelbagai telusuran minda dan fikiran yang mendalam terhadap pelbagai aspek pemikiran pengarangnya melalui mesej yang ingin disampaikannya kepada pembaca.

“Sekalipun kita tidak menggunakan apa-apa acuan kajian atau bahan uji tertentu untuk mewajarkan pemikiran Muhammad Rakawi Yusuf dalam novel ini, tetapi renungan semila terhadap beberapa perkara yang menjadi dasar atau pokok persoalan tema dan persoalan novelnya menjadi penting,” kata Jais Sahok.

Mengulas makalahnya Menelusur Pemikiran Muhammad Rakawi Yusuf Dalam Melati Sarawak, Jais berkata, perkara tersebut seiring dengan kenyataan Razali Haji Nawawi apabila beliau mencatatkan bahawa, “… Falsafah sebagai penjelasan hidup, kesusasteraan sebagai nyanyian hidup, kesenian sebagai perhiasan hidup dan tasauf sebagai instisari hidup! Kerana hidup yang tinggi dan panjang, ialah yang bernilai. Bahkan maut sendiri pun adalah pati hidup yang bernilai.”

Antara yang menarik ketika menelusur pemikiran Muhammad Rakawi Yusuf ialah kritikan beliau terhadap moraliti watak, khususnya watak Melayu – perempuan Melayu yang melambangkan penjajahan menyeluruh orang kulit putih terhadap orang dan alam Melayu.

Apakah kesan pergaulan bebas anak Melayu atau kesan pergaulan bebas itu sendiri ke atas anak Melayu? Ini satu persoalan yang besar yang diketengahkan oleh Muhammad Rakawi Yusuf.

“Bagi pengarang, pergaulan bebas di kalangan muda-mudi mengundang pelbagai musibah sosial dan ini termasuklah fitnah.”

Perkara lain yang tidak kurang menariknya adalah persoalan yang berkaitan dengan soalan haruskah budaya orang kaya disulami cirri-ciri budaya barat, seperti permainan, pakaian, percakapan seharian dan sebagainya?

“Mungkin kita dapat menafikan kepatutannya. Bagaimanapun asimilasi budaya kerana pertembungan dua masyarakat (Melayu-Barat) amatlah tinggi.

“Pakaian, gaya hidup, atau budaya itu sendiri keseluruhannya akan pengaruh-mempengaruhi. Inilah yang terjadi kepada budaya Melayu seperti yang ditonjolkan melalui beberapa watak dalam novel ini.”

Dipandang dari perspektif yang lain, Muhammad Rakawi Yusuf sebenarnya meletakkan hakikat bahawa orang Melayu memerlukan pihak tertentu membela mereka ketika itu.

“Dalam konteks sekarang, kita mungkin melihat peranan kerajaan tetapi pada masa itu, para penjajah tidak mungkin melakukan apa-apa untuk tujuan kebaikan orang Melayu.

“Ini bermakna, selain kritik sosial terhadap orang Melayu itu sendiri, pengarang turut melontarkan hakikat dan keadaan untuk membuka mata pembaca bahawa sesuatu amat perlu dilakukan untuk maruah orang Melayu.”

Dari aspek ekonomi, orang Melayu ciptaan Muhammad Rakawi Yusuf merupakan orang Melayu yang mewah, usahawan, kaya tetapi mempunyai dan mengalami beberapa kelemahan yang lain.

“Kebaikannya ialah kejayaan ekonomi mereka. Kelemahan orang Melayu ialah kepincangan sosial yang direfleksi melalui kesan langsung sebagai akibat kebebasan yang dimungkinkan oleh majlis gendang kampong.

“Orang Melayu tidak bergantung harap kepada makan gaji, berkuli atau bekerja dengan kerajaan sahaja untuk hidup. Ini dijelaskan melalui dua keluarga yang melatari dan mewataki novel ini.

“Bagaimanapun ada juga pekerja makan gaji seperti tukang kebun. Sekali gus rangkuman wakilan watak ini memenuhi tatatingkat sosial masyarakat Sarawak, khsusunya orang Melayu ketika itu.”

Itukah bayangan Muhammad Rakawi Yusuf terhadap orang Melayu atau memang begitu hakikat hidup mereka pada masa itu? Dalam masa yang sama, mungkinkah keadaan itu dapat dianggap hakikat kemewahan orang Melayu ketika penjajah datang (setelah hampir 100 tahun keluarga Brooke memerintah Sarawak)?

Jelas Jais, pembangunan material yang diperlihatkan dalam novel itu menampakkan beberapa perspektif ekonomi yang lain, khususnya rantaian kegiatan yang begitu banyak.

Kegiatan itu boleh sebesar-besar keusahawanan dan pembinaan dan sekecil-kecil penjualan bahan mentah seperti kulit kambing. Perusahaan juga menampakkan potensinya khusus yang berkaitan dengan perkembangan budaya setempat dan semasa.

Selain itu, Muhammad Rakawi Yusuf berpendapat bahawa kepentingan pendidikan mengatasi segala-gala kepentingan aspek sosial yang lain.

“Dalam masa yang sama, kita dapat melihat kenyataan hakikat bahawa jika kita mahu hidup sejahtera, wang ringgit bukanlah jawapannya yang unggul atau paski sekalipun wang ringgit merupakan keperluan. Inilah mesej dan amanat Muhammad Rakawi Yusuf yang besar dalam novel ini khususnya yang menjurus kepada bidang pendidikan.”

Muhammad Rakawi Yusuf berjaya mengajak pembacanya berfikir tentang sekian banyak perkara yang berkaitan sosio-ekonomi orang Melayu sezaman.

“Malah, melalui analisa kini, kita masih dapat membuat gambaran tentang beberapa perkara yang dapat ditonjolkan melalui pemikirannya sebagai antara pengarang novel yang paling awal di Sarawak.

“Apabila memperjuangkan kesedaran yang perlu ada di kalangan orang Melayu, musibah sosial yang digarap dalam karya yang serba sederhana ini berjaya mempertentangkan beberapa watak yang berkepentingan dan saling berkaitan dari segi peranan – sama ada mempunyai hubungan persaudaraan untuk saling menolong, hubungan cinta kasih untuk menimbulkan ketegangan tertentu dan sebagainya.”

Hakikat bahawa dirinya (Muhammad Rakawi Yusuf) sebagai pengusaha sebuah penerbitan atau syarikat percetakan di Kuching, tentulah perjuangan ekonominya lebih condong kepada keusahawanan.

“Ini tidak begitu menjadi kenyataan dalam masyarakat Melayu menjelang kemerdekaan kerana dalam pengisian keperluan kemerdekaan, pekerjaan sektor awam menjadi keutamaan bagi orang Melayu yang berpendidikan,” katanya.

(Utusan Sarawak, 4 September 2008)

2 comments:

Entan Maleena said...

apakah maksud Majlis Gendang Kampung.Mengapakan elemen ini diulangkan beberapa kali dalam novel ini. Adakah elemen ini memberi impak positif atau negatif kepada orang Melayu secara umum?

Unknown said...

Al Fatihah buat arwah nenek.