KRITIKAN Feminisme mula berkembang di rantau Eropah dan Amerika sejak awal abad ke-18. Sejak itu, kritikan feminisme menular dalam disiplin ilmu khususnya dalam ilmu kesusasteraan sebagai teori yang cukup gamat dengan suara-suara lantang golongan wanita mengenai kedudukan dan peranan mereka dalam dunia penghasilan karya.
Dunia teori dan kritikan sastera telah ditemukan dengan tokoh-tokoh yang cukup menggemparkan dunia kritikan yang selama ini dikawal oleh lelaki sehingga disebut sebagai male critical theory, kata Dr. Siti Hajar Che Man menjelaskan dalam makalahnya, Teori dan Kritikan Feminisme Dalam Teks Sastera.
Katanya, “Untuk menyeimbangkan keadaan ini, pemikir dan golongan sarjana feminis telah mengemukakan dua bentuk dan gaya kritikan iaitu feminist critique dan gynocritism yang pernah dikemukakan oleh Elaine Showalter Kedua. Metod bacaan ii memfoluskan karya dan bacaan teks sastera dengan dua kaedah iaitu women as reader dan women as writer.”
Menurutnya, ekspresi pengalaman wanita amat penting tetapi kerap dipandang remeh dan kerana itu juga hasil karya-karya mengenai citra wnaita di tangan pengarang lelaki tidak tepat.
Namun katanya, persoalan pengalaman inilah yang akan membezakan antara karya-karya pengarang wanita dan lelaki.
“Walaupun pada hakikatnya akan terdapat beberapa idea dan bentuk selari tetapi pengalaman yang dicetuskan wanita lebih terasa kesensitifannya.
“Sebabnya ialah peristiwa yang dipotretkan melalui karya biasanya dialami oleh wanita itu sendiri. Justeru, pengalaman yang digambarkan lebih mendekati realiti sebenarnya. Apa yang menimbulkan rasa curiga dan prasangka di kalangan wanita dan pengkritik feminisme ialah bagaimana pengarang lelaki memotretkan citra wanita dari kaca mata mereka.”
Berbagai ragam dan gaya watak wanita dilakarkan secara rambang kerana mereka beranggapan wanita sebagai bahan karya. Wujudnya pandangan yang dipengaruhi dengan prasangka itulah, maka pengkritik feminis berusaha untuk membina semula satu bentuk wacana baru mengenai citra wanita yang sewajarnya dalam karya sastera.
“Jadi, apa pula tugas pengarang wanita mahupun pengkritik wanita dalam menangani persoalan ini? Menurut Showalter, mereka seharusnya mencari bahasa dan ungkapan yang baru dan cara serta kaedah baru membaca yang boleh menyatupadukan kecerdikan dan pengalaman, sebab-musabab, visi dan rasionaliti.
“Apa yang terjadi ialah wanita selama ini dipinggirkan. Pengalaman wanita tidak diendahkan tapi dinyahkan, suara wanita dibisukan dan aktiviti wanita dipenjara atau dikongkong mahupun ada waktunya disekat dari terus aktif atau berkembang,” tambahnya.
Salah seorang pengkritik feminis yang terkenal, Gayatri Chakraviorty katanya, telah menggunakan aliran dekonstruksi ini dalam membincangkan secara progresif mengenai politik, gender dan ras.
Katanya, akan tetapi kebanyakan analisis yang menggunakan aliran ini terutamanya dalam kritikan sastera di Amerika gagal untuk menyelesaikan persoalan mengenai konteks sosial yang membabitkan kuasa.
Walau bagaimanapun jelasnya, pemikir feminis seringkali menemui kebuntuan dalam usaha mereka untuk menjawab dan membuat pindaan terhadap pandangan dan hujah Freud mengenai system tanda dan tanggapan negative mengenai seksualiti wanita.
“Kebuntuan ini terjadi kerana penghujahan teori dan kritikan psikoanalisis Freud mengenai feminisme agak rumit. Freud bukan sahaja menyumbangkan aspek kefahaman psikologi wanita tetapi juga beliau memerikan wanita sebagai insan yang tidak lengkap atau tidak sempurna.
“Dalam konteks ini, psikoanalisis yang dipelopori Freud banyak memberi sumbangan kepada suatu tafsiran wanita yang berfokuskan kepada bahasa dan subjektiviti wanita,” katanya.
Kata Dr. Siti Hajar, dengan hasrat menentang Freud, Irigary dan Cixous telah mencadangkan supaya kesuburan dan kelimpahan jasad wanita dapat membuahkan seribu satu jenis keinginan.
Untuk itu, Cixous ujarnya, turut menggalakkan kaum wanita lain supaya menulis atas kesedaran tentang keistimewaan yang dimiliki oleh mereka.
“Dalam usaha mereka untuk melemah dan meruntuhkan kuasa lelaki, pengkritik feminis menggunakan berbagai cara. Cixous, Irigary, Kristeva dan Showalter, umpamanya telah meletakkan persoalan retorika kasih dan sayang secara bersisi-sisian. Kasih sayanglah yang memecahkan bendung prasangka dan hierarki sistem penandaan lelaki.
“Walaupun teofi falsafah dan psikologi amat penting kepada lelaki tetapi wacana mereka ini gagal untuk memotretkan wanita. Persoalan ini menjadi satu tugas sarjana feminis untuk membina definisi sendiri supaya istilah otherness itu benar-benar meneguhkan kekuasaan atau autonomi wanita.
“Golongan feminis ingin menyuarakan semua identity, jiwa dan sejarah wanita asli dengan menggunakan bahasa yang dapat menepati hasrat tersebut. Justeru, saranan Jocobus yang menyarankan bahawa usaha-usaha golongan feminis ini harus meliputi pencarian bahasa wanita yang bebas daripada gagasan dan saranan Freud harus diambilkira.”
Walau bagaimanapun penyelesaian untuk mencari, membina imej dan identiti wanita dengan menggunakan bahasa masih menimbulkan percanggahan yang timbul kerana pencapaian bahasa wanita ini masih menimbulkan polemik di kalangan sarjana dan pengkritik feminis.
“Oleh yang demikian, adalah lebih bermanfaat sekiranya bahasa wanita yang disarankan tidak dibekukan dengan diberi status takrif tetapi dianggap sebagai sebahagian daripada perbahasan mencari semula identiti wanita yang masih berterusan.”
No comments:
Post a Comment