Masih banyak ruang tingkatkan puisi

MESKIPUN sudah menembusi media penanda aras utama dalam dunia kesusasteraan, namun berdasarkan pencapaian dari segi persoalan dan gaya, penyajak yang menenangi Hadiah Penulis Harapan Negeri Sarawak masih mempunyai ruang yang luas untuk meningkatkan sajak mereka supaya setidak-tidaknya dapat berdiri sama tinggi dengan penyair generasi baru yang lain di peringkat kebangsaan.

Penyair ini kata Jeniri Amir melalui makalahnya, Perkembangan Puisi Karya Penulis Harapan Sarawak Dalam Arus Sastera Kebangsaan, tidak harus sekadar berpuas hati dengan meletakkan hanya Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak dan hadiah-hadiah lain di peringkat negeri sebagai sasaran.

Menurutnya, mereka perlu melangkah lebih jauh dengan memasang keinginan untuk memenangi hadiah yang lebih mencabar dan berprestij di peringkat kebangsaan, seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, malah perlu pergi lebih jauh dengan mengimpikan untuk meraih SEA Write Award.

Untuk itu katanya, mereka perlu berusaha antara lain untuk menepati cirri-ciri yang pernah digariskan oleh Panel Hadiah Sastera Perdana 1996/1997 bagi kategori puisi ketika berkarya.

Laporan itu menyebut bahawa Petang Condong karya T. Alias Taib yang memenangi hadiah utama pada tahun tersebut menepati beberapa keistimewaan, katanya.

T. Alias mampu mengangkat pengalaman harian yang ditempuhinya ke taraf pengungkapan estetika yang tinggi mutunya, memiliki persepsi yang tajam dan menampilkan angle persoalan yang menarik, mempunyai daya kreativiti yang tinggi dengan bahasa yang menyegarkan, konsisten dari segi perkembangan dan pengucapan perpuisian, mengekalkan secara berimbang bagi setiap puisi yang ditampilkan dan mencapai citra dan jati diri tersendiri.

“Amatlah penting bagi mereka (penulis Sarawak) untuk terus komited terhadap genre yang diceburi, dengan giat menulis, memperjaham bakat dan menganjakkan mutu puisi supaya standing. Kalaupun tidak lebih baik daripada penyair mapan tanah air.

“Untuk itu, mereka hendaklah terus menghantar karya ke media arus perdana dan majalah-majalah di peringkat nasional agar ketajaman bakat mereka dapat dipertingkatkan.”

Dengan tersiarnya karya dalam media arus perdana itu, penyair bukan sahaja mendapat galakan dan keyakinan, tetapi karya ajan dibaca oleh khalayak yang lebih luas, dan diberi perhatian di peringkat kebangsaan, terutama oleh peneliti, sarjana dan pengkritik sastera yang berwibawa.

“Mereka perlu menerima hakikat bahawa dengan menyiarkan karya dalam media tempatan, hanya akan mempersempit gelanggang mereka. Mereka perlu mengelakkan diri daripada terperangkap dalam zon selesa,” tambahnya.

Sebagai penulis yang sudah diiktiraf di peringkat negeri, maka sewajarnya mereka berjuang di medan yang lebih luas dan mencabar. Perkara ini terbukti daripada penulis Sarawak yang telah mapan seperti Adi Badiozaman Tuah, Saiee Driss, Abizai Abi, Jong Chian Lai, Awangku Merali Pengiran Mohamed dan seumpamanya.

Karya mereka secara konsisten disiarkan dalam media kebangsaan sebelum akhirnya mencapai kejayaan besar, dan diiktiraf sebagai penulis, tambahnya.

“Inilah hakikat yang perlu diterima, dan sekali gus merupakan cabaran kepada mereka untuk terus memperbaiki kualiti puisi yang dihasilkan. Maksudnya, jika ingin terus mencapai kejayaan, mereka tidak mempunyai pilihan, melainkan berkarya secara konsisten, bukannya terperangkap dalam gejala ‘sekejap ada, sekejap tak ada’.

“Hanya penyair yang konsisten sahaja akhirnya akan dapat membina jati diri dan idiosinkrasi, hingga meninggalkan kesan besar dalam persada puisi tanah air,” ujarnya.

Hal itu jelas Jeniri semakin penting jika berpegang pada pendapat T. S. Eliot yang menyatakan bahawa kematangan seseorang penyair hanya akan jelas apabila ia telah menulis secara konsisten selama 25 tahun.

Untuk itu katanya, penyair perlu sentiasa ghairah untuk belajar dan membaiki diri serta mengelakkan diri daripada kejumudan dengan melakukan inovasi yang wajar ketika berkarya sejajar dengan prinsip licentia poetica yang ada pada mereka.

“Selain itu, mereka hendaklah akur kepada nasihat Ibnu Khaldun yang menganjurkan supaya penyair melalui latihan yang keras dan bersungguh-sungguh dengan ‘tenggelam’ bersama-sama bahasa masyarakatnya demi mencapai kefasihan dan keterampilan yang tinggi.

“Mereka perlu beranjak daripada sajak yang bersifar sederhana, langsung, literal, dan tidak kompeks kepada puisi yang digarap secara kreatif, inivatif, indah dan mengesankan dari segi persoalan, gaya, bentuk dan penampilan selari dengan peningkatan usia kepenyairan dan kematangan pengalaman.”

Kepenyairan, kreativiti dan kemungkinan perkembangan mereka pada masa depan bukan hanya bergantung pada bakat alam, tetapi yang tidak kurang pentingnya ialah keupayaan mereka mempertajam dan memanfaatkan bahasa kreatif, kemungkianan untuk melakukan inovasi, serta kesediaan untuk belajar daripada tradisi kesusasteraan yang agung.

“Dengan itu, mereka sewajarnya menerokai dimensi kreativiti berdasarkan ilmu, ketajaman pemikiran dan kepekaan, kemahiran dan penguasaan bahasa yang sentiasa digilap.

“Mereka seharusnya berusaha untuk membentuk peribadi sendiri berdasarkan bakat dan keyakinan mereka, serta berusaha untuk mengatasi segala kelemahan dan kekurangan dengan sentiasa belajar daripada penyair agung, alam dan persekitarannya.

“Sama ada mereka mampu untuk menganjak diri ke tahap yang lebih tinggi, dengan mampu menghasilkan karya yang berbobot, berseni dan universal sifatnya, dengan penampilan bahasa yang segar banyak bergantung pada pengalaman, idealisme, komitmen dan sikap mereka terhadap dunia perpuisian pada keseluruhannya.”

Dalam keadaan demikian ujarnya, mereka perlu menyingkirkan sikap tidak sabar atau gopoh dengan hanya mahu melihat karya diterbitkan, kerana ini akan menyebabkan sajak mereka tidak lebih sebagai coretan atau catatan kasar yang masih perlu dimurnikan, malah perlu melalui proses penghayatan dan pengolahan melalui renungan dan penggarapan yang lebih berseni.

Puisi yang indah dan bermutu tetap akan tahan diuji zaman manakala sajak yang mentah hanya meninggalkan kesan sementara, mentelahan puisi akan sekadar luahan emosi melulu, tetapi gabungan yang indah antara rasa halus ataupun ‘kemanusiaan’ dan perimbangan antara emosi dan intelek.

Kritikan feminisme berkembang sejak abad ke-8

KRITIKAN Feminisme mula berkembang di rantau Eropah dan Amerika sejak awal abad ke-18. Sejak itu, kritikan feminisme menular dalam disiplin ilmu khususnya dalam ilmu kesusasteraan sebagai teori yang cukup gamat dengan suara-suara lantang golongan wanita mengenai kedudukan dan peranan mereka dalam dunia penghasilan karya.

Dunia teori dan kritikan sastera telah ditemukan dengan tokoh-tokoh yang cukup menggemparkan dunia kritikan yang selama ini dikawal oleh lelaki sehingga disebut sebagai male critical theory, kata Dr. Siti Hajar Che Man menjelaskan dalam makalahnya, Teori dan Kritikan Feminisme Dalam Teks Sastera.

Katanya, “Untuk menyeimbangkan keadaan ini, pemikir dan golongan sarjana feminis telah mengemukakan dua bentuk dan gaya kritikan iaitu feminist critique dan gynocritism yang pernah dikemukakan oleh Elaine Showalter Kedua. Metod bacaan ii memfoluskan karya dan bacaan teks sastera dengan dua kaedah iaitu women as reader dan women as writer.”

Menurutnya, ekspresi pengalaman wanita amat penting tetapi kerap dipandang remeh dan kerana itu juga hasil karya-karya mengenai citra wnaita di tangan pengarang lelaki tidak tepat.

Namun katanya, persoalan pengalaman inilah yang akan membezakan antara karya-karya pengarang wanita dan lelaki.

“Walaupun pada hakikatnya akan terdapat beberapa idea dan bentuk selari tetapi pengalaman yang dicetuskan wanita lebih terasa kesensitifannya.

“Sebabnya ialah peristiwa yang dipotretkan melalui karya biasanya dialami oleh wanita itu sendiri. Justeru, pengalaman yang digambarkan lebih mendekati realiti sebenarnya. Apa yang menimbulkan rasa curiga dan prasangka di kalangan wanita dan pengkritik feminisme ialah bagaimana pengarang lelaki memotretkan citra wanita dari kaca mata mereka.”

Berbagai ragam dan gaya watak wanita dilakarkan secara rambang kerana mereka beranggapan wanita sebagai bahan karya. Wujudnya pandangan yang dipengaruhi dengan prasangka itulah, maka pengkritik feminis berusaha untuk membina semula satu bentuk wacana baru mengenai citra wanita yang sewajarnya dalam karya sastera.

“Jadi, apa pula tugas pengarang wanita mahupun pengkritik wanita dalam menangani persoalan ini? Menurut Showalter, mereka seharusnya mencari bahasa dan ungkapan yang baru dan cara serta kaedah baru membaca yang boleh menyatupadukan kecerdikan dan pengalaman, sebab-musabab, visi dan rasionaliti.

“Apa yang terjadi ialah wanita selama ini dipinggirkan. Pengalaman wanita tidak diendahkan tapi dinyahkan, suara wanita dibisukan dan aktiviti wanita dipenjara atau dikongkong mahupun ada waktunya disekat dari terus aktif atau berkembang,” tambahnya.

Salah seorang pengkritik feminis yang terkenal, Gayatri Chakraviorty katanya, telah menggunakan aliran dekonstruksi ini dalam membincangkan secara progresif mengenai politik, gender dan ras.

Katanya, akan tetapi kebanyakan analisis yang menggunakan aliran ini terutamanya dalam kritikan sastera di Amerika gagal untuk menyelesaikan persoalan mengenai konteks sosial yang membabitkan kuasa.

Walau bagaimanapun jelasnya, pemikir feminis seringkali menemui kebuntuan dalam usaha mereka untuk menjawab dan membuat pindaan terhadap pandangan dan hujah Freud mengenai system tanda dan tanggapan negative mengenai seksualiti wanita.

“Kebuntuan ini terjadi kerana penghujahan teori dan kritikan psikoanalisis Freud mengenai feminisme agak rumit. Freud bukan sahaja menyumbangkan aspek kefahaman psikologi wanita tetapi juga beliau memerikan wanita sebagai insan yang tidak lengkap atau tidak sempurna.

“Dalam konteks ini, psikoanalisis yang dipelopori Freud banyak memberi sumbangan kepada suatu tafsiran wanita yang berfokuskan kepada bahasa dan subjektiviti wanita,” katanya.

Kata Dr. Siti Hajar, dengan hasrat menentang Freud, Irigary dan Cixous telah mencadangkan supaya kesuburan dan kelimpahan jasad wanita dapat membuahkan seribu satu jenis keinginan.

Untuk itu, Cixous ujarnya, turut menggalakkan kaum wanita lain supaya menulis atas kesedaran tentang keistimewaan yang dimiliki oleh mereka.

“Dalam usaha mereka untuk melemah dan meruntuhkan kuasa lelaki, pengkritik feminis menggunakan berbagai cara. Cixous, Irigary, Kristeva dan Showalter, umpamanya telah meletakkan persoalan retorika kasih dan sayang secara bersisi-sisian. Kasih sayanglah yang memecahkan bendung prasangka dan hierarki sistem penandaan lelaki.

“Walaupun teofi falsafah dan psikologi amat penting kepada lelaki tetapi wacana mereka ini gagal untuk memotretkan wanita. Persoalan ini menjadi satu tugas sarjana feminis untuk membina definisi sendiri supaya istilah otherness itu benar-benar meneguhkan kekuasaan atau autonomi wanita.

“Golongan feminis ingin menyuarakan semua identity, jiwa dan sejarah wanita asli dengan menggunakan bahasa yang dapat menepati hasrat tersebut. Justeru, saranan Jocobus yang menyarankan bahawa usaha-usaha golongan feminis ini harus meliputi pencarian bahasa wanita yang bebas daripada gagasan dan saranan Freud harus diambilkira.”

Walau bagaimanapun penyelesaian untuk mencari, membina imej dan identiti wanita dengan menggunakan bahasa masih menimbulkan percanggahan yang timbul kerana pencapaian bahasa wanita ini masih menimbulkan polemik di kalangan sarjana dan pengkritik feminis.

“Oleh yang demikian, adalah lebih bermanfaat sekiranya bahasa wanita yang disarankan tidak dibekukan dengan diberi status takrif tetapi dianggap sebagai sebahagian daripada perbahasan mencari semula identiti wanita yang masih berterusan.”

Drama radio sebelum kemunculan tv di Sarawak

DRAMA radio yang pertama disiarkan di Sarawak ialah Sandiwara Radio dalam bahasa Melayu disiarkan oleh Radio Sarawak pada 24 Jun 1955, menurut Haji Awang Bujang Awang Hamdan.

Menurutnya, lakonan itu dilakukan oleh kumpulan dari luar iaitu dari Masjid Bintangor Haji Taha (MBHT), iaitu Salbiah Junaidi, Jamel Haji Busrah, Dayang Lela Zawawi, Abdul Karim Abol, Julaihi Musa, Hasbi Haji Busrah dan Julaohi Junaini.

Selepas itu katanya, Sandiwara Radio diterbitkan sendiri oleh kakitangan Radio Sarawak.

“Melalui Sandiwara Radio, para penerbit drama dan melui skrip masing-masing telah melahirkan pendekatan yang berbagai dengan membawa tema-tema yang sesuai dengan dasar kerajaan pada waktu tersebut.

“Melalui Sandiwara Radio juga dimasukkan unsure-unsur pembinaan minda pendengar kea rah kemajuan dan perpaduan Ummah. Rancangan ini disiarkan seminggu sekali.”

Katanya, Sandiwara Radio, Drama Dalam Syair dan Setitik Peluh di Bumi Bertuh adalah drama-drama yang popular dan ramai pendengarnya. Di antara pelakon drama radio yang menjadi idola para pendengarnya ialah Sepawi Hamdan, Roznee Chek, Muliadi M. Massino dan Ahmad Badui Narawi.

Pelakon Ali Razali sering melakonkan watak-watak jahat dan kerana itu menjadi ejekan pendengar serta digelar sebagai raja Pak Saok. Pelakon lain yang pernah berlakon ialah Haji Wan Hussain, Haji Yetni Haji Adenan, Sarbanun Daruk Haji Marikan, Sait Ahmad, Haji Kassaim Daud dan banyak lagi.

Skrip drama radio dihasilkan oleh beberapa penulis tempatan yang terkenal dan meningkat naik ketika itu. Antaranya, Haji Wan Hussain Syed Alwi, Datuk Hajah Salbiah Painah, A.B. Nor, Maliah Haji Shibli, Latifah Haji Shibli, Shazali Haji Mohamad, Awang Mostapha Awang Bakeri dan lain-lain.

Penulis-penulis tersebut melalui skrip masing-masing telah dapat melahirkan berbagai tema yang sesuai dengan rancangan yang ditetbitkan.

“Melalui naskhah drama ini, dijadikan modal dan asas untuk mendidik para pendengar ke arah kejayaan dalam membangun diri dan negara,” tambahnya.

Katanya, “Satu hakikat yang harus diterima ialah drama radio telah memainkan peranan penting dalam memupuk semangat jati diri, semangat berdikari dan semangat perpaduan di kalangan para pendengarnya.”

Drama radio secara sedar ataupun tidak, secara langsung atau tidak langsung adalah satu aspek bagi membina pendengar dengan ilmu pengetahuan, pendidikan moral dan sosial, ekonomi, budaya, agama, sejarah integrasi nasional, perkembangan minda kanak-kanak dan politik.

“Memanglah sebagai media rasmi kerajaan sebelum munculnya drama TV, drama radio adalah satu-satunya media yang popular dan berpengaruh untuk menyampai mesej dan maklumat umum.

“Sebagai media penting, orang mendengar radio di mana-mana. Di rumah, dalam perahu tambang, dalam bas, motor bot, ekspres, di rumah jaga dan di mana sahaja siaran radio itu boleh didengar, orang akan berhibur. Lebih-lebih lagi bila ada drama radio.”

Tetapi malang bagi drama radio sebaik sahaja munculnya drama TV di Bumi Kenyalang, sedikit demi sedikit pengaruh drama radio mula berkurangan.

“Tiada lagi suara manis Roznee Chek disebut, tiada lagi suara merdi Sapawi Hamdan diingati dan tiada lagi suara garang Ali Razali dibenci.

“Akhirnya, Bahagian Drama radio RMS juga menutup tirai taringnya pada awal 1990-an. Drama radio hanya tinggal kenang-kenangan dan menjadi nostalgia kepada yang telah melaluinya,” tambahnya.

Landas gerak, langkah penulis muda

PADA 31 Disember 1987, kerutinan sastera Melayu digegarkan oleh penyair, penyanyi, sasterawan dan budayawan dari seluruh pelosok tanah air mengisi program Perhimpunan Penulis Muda Malaysia (PPMM).

Kebangkitan PPMM dengan penuh semangat dan ghairah dalam menjayakan program tersebut menunjukkan bahawa penulis muda sebenarnya memerlukan paying untuk mereka berteduh dan mengembangkan bakat yang sekian lama terpinggir oleh arus prejudis serta peremehan individu yang sekian lama sudah stabil.

Mohamad Daud Mohamad yang membincangkan Landas Gerak Dan Langkah ke Hadapan Penulis Muda Malaysia di Kuching menjelaskan, untuk merealisasikan idea PPMM buat pertama kalinya, sekumpulan penulis muda telah berbincang di sudut kopi Pasar Budaya, Kuala Lumpur.

“Setelah mendapat mandat dan kata sepakat, penulis muda melalui media arus perdana dan tabloid telah memalukan canang ke seluruh pelosok negara memberitahu akan program PPMM.

“Dengan inisiatif ahli jawatankuasa ad hoc PPMM yang menjadi editor serta pembantu editor daripada pelbagai media dan juga majalah Dewan Sastera telah memainkan peranan penting bagi menjayakan program tersebut.

“Kesungguhan dan sumbangan daripada ahli jawatankuasa yang terlibat akhirnya PPMM berhasil menghimpun beratus penyair dan peminat sastera,” katanya.

Gerak landas PPM cukup jelas yang dimanifestasikan berdasarkan visi dan misi untuk menentukan hala tuju PPM dalam percaturan kepenyairan dan kretaiviti kreatif sebagai golongan pelapis dalam memartabatkan susastera Melayu.

Katanya, jika golongan ASAS 50 bergerak atas landasan “seni untuk masyarakat” dan kelompok pendukung Hamzah bertitik tolk atas “seni untuk seni”, PPM pula bergerak atas keyakinan “susastera untuk masa depan”.

Kebangkitan PPM juga katanya, bukan bertujuan untuk bersaing dengan golongan sasterawan yang sudah stabil, tetapi untuk meletakkan nafas baru dan susastera Melayu sejajar dengan evolusi iklim dan zaman yang berubah.

“Maksudnya, PPM menyedari akan keterpinggiran mereka dan golongan mereka dianggap sebagai golongan ekspiremental atau cuba mencari kelainan daripada lingkaran konvensional yang menjadi anutan sepanjang zaman semenjak penguasaan golongan ASAS 50 hingga dekad 1980-an.”

Menurutnya, fenomena penobatan segelintir penyair oleh kelompok penyair stabil tertentu memperkuatkan lagi azam kewujudan PPM.

“Menyedari sikap tersurat segelintir penulis stabil yang cuba terus-menerus meminggirkan penulis muda tanah air, PPM telah menentukan sikap untuk membuktikan bahawa mutu karya susastera yang dihasilkan oleh mereka standing dengan penulis yang sudah stabil dan malah ada yang lebih baik.”

“Dengan kesungguhan untuk membuktikan bahawa genre susastera yang dihasilkan mereka wajar mendapat tempat terutama di majalah susastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan antologi atau kumpulan genre susastera kreatif mereka diterbitkan, mereka terus menghasilkan karya susasterayang bermutu tinggi,” katanya.

Kelahiran penulis muda selepas itu katanya yang berbakat besar merupakan asset penting dalam dunia penulisan karya kreatif imaginative tanah air dan sekali gu sebagai penyumbang besar dalam dunia pemikiran bangsa.

Melalui polemik antara tokoh-tokoh pengamat kesusasteraan itu, mendukung lagi ketajaman sensitiviti penulis muda Malaysia dalam mengamati pelbagai peristiwa lahir dan batin dalam pergaduhan dan penghasilan karya kreatif mereka.

PPM muncul di tengah-tengah arus perkembangan pertembungan antara ilmu duniawi dan ukrawi yang hangat diperbincangkan.

“Dengan perkembangan arus ilmu dan keilmuan tersebut banyak membantu PPM memeprtajamkan intuisinya dalam menghasilkan genre susastera yang berbobot.

“Maka dengan perkembangan sedemikian, tidak hairanlah jika kita berdepan dengan cerpen-cerpen Mawar Shafie yang banyak menggunakan istilah-istilah sains dan kedoktoran.

“Kita juga berhadapan dengan pencarian diri dalam kekosongan yang sukar ditebak arah tujunya. Kita juga berhadapan dengan puisi-puisi himpunan rasa kata dan fikiran melihat diri dan kemanusiaan.

“Kesemua genre susastera ini menampakkan kepada kita betapa kekuatan ilmu dan keilmuan yang dikunyak oleh PPM dalam mengadun, mengolah dan mematangkan hasil penulisan mereka.

“Jadi, kita harus mengakui bahawa PPM bukan hasil daripada barang jadi, tetapi hasil daripada kesungguhan dan keyakinan diri untuk terus menghasilkan genre susastera yang bermutu dan standing dengan penulis besar lainnya.”

Mohamad Daud turut menjelaskan bahawa PPM juba bukan lahir daripada kebangkitan rasa tidak puas hati terhadap penjajahan baru atau sebagainya, tetapi mereka lahir daripada evolusi ilmu dan keilmuan yang berkembang di bawah langit terbuka.

Dalam menentukan jalurnya, PPM bukan merupakan satu gerakan yang menentang arus kestabilan dalam pembangunan susastera Melayu, malah merupakan kaderisasi daripada kekuatan penentuan perjalanan panjang susastera Melayu itu sendiri dalam menghadapi pengaruh kebudayaan dunia yang semakin mencabar kekuatan minda dan ilmu.

“Tanpa berani melakukan pembaharuan, sudah tentu penulis muda hanya dianggap sebagai golongan monotonis yang tidak memiliki akar tunjang yang kukuh.

“Oleh yang demikian, kesedaran di kalangan penulis muda melakukan pelbagai eksperimen yang bersifat positif tidak boleh dianggap sebagai suatu pemberontakan terhadap nilai-nilai penulisan genre sastera tradisi, tetapi sesuatu yang patut dibanggakan,” tambahnya.

Mantera genre puisi Melayu tradisional

MANTERA sebagai salah satu genre puisi Melayu tradisional adalah cerminan pemikiran dan kepercayaan masyarakat Melayu yang mempengaruhi mereka mengikut peredaran dan perubahan masa serta keadaan.


Kecenderungan masyarakat Melayu tradisional mengamalkan mantera juga berlandaskan kepentingannya yang dipercayai sebagai usaha dan ikhtiar ke arah kesempurnaan menjalani kehidupan.


Rosnani Ripin menjelaskan mahalahnya, Itertekstualiti Mantera Dan Puisi-Puisi Tradisional Suatu Gambaran Akar Umbi Pemikiran Melayu berkata, definisi mantera dari sudut karya kreatif, dengan merujuk kepada beberapa pendapat bahawa bentuk mantera adalah sama dengan puisi bebas yang lain.


“…khususnya talibun atau seromba, prosa berirama dan teromba malah bentuknya juga hampir tidak terikat. Sesebuah mantera dapat memenuhi maksudnya tanpa dibatasi oleh ukuran-ukuran tertentu, baik dari segi jumlah perkataan, baris dan rangkap, mahupun dari segi rima, rentak dan irama.”


Mantera katanya, bukan hanya sebagai satu cara untuk mengubati penyakit, pakaian diri, pembantu dalam pekerjaan, dalam ritual dan seumpamanya tetapi turut meneliti tentang kewujudan mantera dalam masyarakat Melayu dikatakan sebagai genre puisi yang paling awal dilahirkan oleh masyarakat.


“Hasil pengaplikasian teori intertekstualiti ke atas mantera yang dipilih, pengkaji dapat melihat hubungan mantera yang terdapat di dalam teks cerita lipur lara yang dikumpulkan oleh Haron Daud, Harun Mat Piah, Amran Kasimin dan informan berlakunya proses tranformasi, modifikasi, parallel dan ekspansi.


“Proses ini sudah dapat memperlihatkan berlakunya perubahan amalan hidup, pengaruh, sosio-budaya dan sosio-ekonomi sekali gus menggambarkan akar umbi pemikiran masyarakat Melayu yang mengalami perubahan dan perubahan minda mengikut perkembangan masa dan keadaan.”


Prinsip-prinsip intertekstualiti yang lain seperti haplologi, demitefikasi dan demifamiliarisasi tentu sahaja langsung menolak kehadiran mantera sebaliknya mewujudkan cara permohonan yang berbeza dan dengan cara baru iaitu doa yang berupa ikhtiar mengikut landasan Islam menggunakan akat suci al-Quran.


Penggunaan ayat-ayat al-Quran, kalimah yang memperlihatkan adanya pengaruh Islam seperti sebutan nama malaikat, sebutan nama-nama nabi, khalifah, kalimah berkat atau kalimah syahadah dalam jampi mantera sebenarnya tidak membuktikan bahawa amalan-amalan dan bacaan yang dituturkan itu sebahagaian daripada ajaran Islam.


“Walau bagaimanapun Amran Kasimin menyatakan penggunaan kalimah demikian bertujuan semata-mata membuktikan tentang adanya pengaruh Islam dalam pelbagai kegiatan masyarakat Melayu yang melibatkan rawatan tradisional, yang bercampur aduk dengan pengaruh animisme dan Hindu-Buddha.


“Selain itu, perubahan dan penggunaan kata-kata dalam ucapan mantera juga memperlihatkan perubahan keadaan sosio-budaya masyarakat Melayu yang mengikut peredaran masa dan keadaan.


“Perubahan yang ketara ialah dalam amalan budaya pekerjaan masyarakat dapat dikesan pada mantera dari cerita lipur lara dan mantera-mantera yang ditemui kemudiannya.


“Selain itu, dalam mantera juga memperlihatkan mantera itu dimiliki dan diamalkan oleh golongan tertentu yang mempunyai kehebatan dan kedudukan yang tinggi seperti raja, putera dan puteri raja dan kemudian menjadi amalan golongan rakyat biasa.”

Pemikiran Muhammad Rakawi Yusuf dalam Melati Sarawak

NOVEL Melati Sarawak karangan Sasterawan Negeri Sarawak kedua, Muhammad Rakawi Yusuf yang diterbitkan oleh The Sarawak Printing Company mengundang pelbagai telusuran minda dan fikiran yang mendalam terhadap pelbagai aspek pemikiran pengarangnya melalui mesej yang ingin disampaikannya kepada pembaca.

“Sekalipun kita tidak menggunakan apa-apa acuan kajian atau bahan uji tertentu untuk mewajarkan pemikiran Muhammad Rakawi Yusuf dalam novel ini, tetapi renungan semila terhadap beberapa perkara yang menjadi dasar atau pokok persoalan tema dan persoalan novelnya menjadi penting,” kata Jais Sahok.

Mengulas makalahnya Menelusur Pemikiran Muhammad Rakawi Yusuf Dalam Melati Sarawak, Jais berkata, perkara tersebut seiring dengan kenyataan Razali Haji Nawawi apabila beliau mencatatkan bahawa, “… Falsafah sebagai penjelasan hidup, kesusasteraan sebagai nyanyian hidup, kesenian sebagai perhiasan hidup dan tasauf sebagai instisari hidup! Kerana hidup yang tinggi dan panjang, ialah yang bernilai. Bahkan maut sendiri pun adalah pati hidup yang bernilai.”

Antara yang menarik ketika menelusur pemikiran Muhammad Rakawi Yusuf ialah kritikan beliau terhadap moraliti watak, khususnya watak Melayu – perempuan Melayu yang melambangkan penjajahan menyeluruh orang kulit putih terhadap orang dan alam Melayu.

Apakah kesan pergaulan bebas anak Melayu atau kesan pergaulan bebas itu sendiri ke atas anak Melayu? Ini satu persoalan yang besar yang diketengahkan oleh Muhammad Rakawi Yusuf.

“Bagi pengarang, pergaulan bebas di kalangan muda-mudi mengundang pelbagai musibah sosial dan ini termasuklah fitnah.”

Perkara lain yang tidak kurang menariknya adalah persoalan yang berkaitan dengan soalan haruskah budaya orang kaya disulami cirri-ciri budaya barat, seperti permainan, pakaian, percakapan seharian dan sebagainya?

“Mungkin kita dapat menafikan kepatutannya. Bagaimanapun asimilasi budaya kerana pertembungan dua masyarakat (Melayu-Barat) amatlah tinggi.

“Pakaian, gaya hidup, atau budaya itu sendiri keseluruhannya akan pengaruh-mempengaruhi. Inilah yang terjadi kepada budaya Melayu seperti yang ditonjolkan melalui beberapa watak dalam novel ini.”

Dipandang dari perspektif yang lain, Muhammad Rakawi Yusuf sebenarnya meletakkan hakikat bahawa orang Melayu memerlukan pihak tertentu membela mereka ketika itu.

“Dalam konteks sekarang, kita mungkin melihat peranan kerajaan tetapi pada masa itu, para penjajah tidak mungkin melakukan apa-apa untuk tujuan kebaikan orang Melayu.

“Ini bermakna, selain kritik sosial terhadap orang Melayu itu sendiri, pengarang turut melontarkan hakikat dan keadaan untuk membuka mata pembaca bahawa sesuatu amat perlu dilakukan untuk maruah orang Melayu.”

Dari aspek ekonomi, orang Melayu ciptaan Muhammad Rakawi Yusuf merupakan orang Melayu yang mewah, usahawan, kaya tetapi mempunyai dan mengalami beberapa kelemahan yang lain.

“Kebaikannya ialah kejayaan ekonomi mereka. Kelemahan orang Melayu ialah kepincangan sosial yang direfleksi melalui kesan langsung sebagai akibat kebebasan yang dimungkinkan oleh majlis gendang kampong.

“Orang Melayu tidak bergantung harap kepada makan gaji, berkuli atau bekerja dengan kerajaan sahaja untuk hidup. Ini dijelaskan melalui dua keluarga yang melatari dan mewataki novel ini.

“Bagaimanapun ada juga pekerja makan gaji seperti tukang kebun. Sekali gus rangkuman wakilan watak ini memenuhi tatatingkat sosial masyarakat Sarawak, khsusunya orang Melayu ketika itu.”

Itukah bayangan Muhammad Rakawi Yusuf terhadap orang Melayu atau memang begitu hakikat hidup mereka pada masa itu? Dalam masa yang sama, mungkinkah keadaan itu dapat dianggap hakikat kemewahan orang Melayu ketika penjajah datang (setelah hampir 100 tahun keluarga Brooke memerintah Sarawak)?

Jelas Jais, pembangunan material yang diperlihatkan dalam novel itu menampakkan beberapa perspektif ekonomi yang lain, khususnya rantaian kegiatan yang begitu banyak.

Kegiatan itu boleh sebesar-besar keusahawanan dan pembinaan dan sekecil-kecil penjualan bahan mentah seperti kulit kambing. Perusahaan juga menampakkan potensinya khusus yang berkaitan dengan perkembangan budaya setempat dan semasa.

Selain itu, Muhammad Rakawi Yusuf berpendapat bahawa kepentingan pendidikan mengatasi segala-gala kepentingan aspek sosial yang lain.

“Dalam masa yang sama, kita dapat melihat kenyataan hakikat bahawa jika kita mahu hidup sejahtera, wang ringgit bukanlah jawapannya yang unggul atau paski sekalipun wang ringgit merupakan keperluan. Inilah mesej dan amanat Muhammad Rakawi Yusuf yang besar dalam novel ini khususnya yang menjurus kepada bidang pendidikan.”

Muhammad Rakawi Yusuf berjaya mengajak pembacanya berfikir tentang sekian banyak perkara yang berkaitan sosio-ekonomi orang Melayu sezaman.

“Malah, melalui analisa kini, kita masih dapat membuat gambaran tentang beberapa perkara yang dapat ditonjolkan melalui pemikirannya sebagai antara pengarang novel yang paling awal di Sarawak.

“Apabila memperjuangkan kesedaran yang perlu ada di kalangan orang Melayu, musibah sosial yang digarap dalam karya yang serba sederhana ini berjaya mempertentangkan beberapa watak yang berkepentingan dan saling berkaitan dari segi peranan – sama ada mempunyai hubungan persaudaraan untuk saling menolong, hubungan cinta kasih untuk menimbulkan ketegangan tertentu dan sebagainya.”

Hakikat bahawa dirinya (Muhammad Rakawi Yusuf) sebagai pengusaha sebuah penerbitan atau syarikat percetakan di Kuching, tentulah perjuangan ekonominya lebih condong kepada keusahawanan.

“Ini tidak begitu menjadi kenyataan dalam masyarakat Melayu menjelang kemerdekaan kerana dalam pengisian keperluan kemerdekaan, pekerjaan sektor awam menjadi keutamaan bagi orang Melayu yang berpendidikan,” katanya.

(Utusan Sarawak, 4 September 2008)

Institusi sumbang perkembangan sastera, penulisan

SEPANJANG 45 tahun, telah wuud pelbagai institusi formal atau separa kerajaan yang turut menyumbang secara langsung dan tidak langsung kepada perkembangan bidang sastera dan penulisan, yang turut mempengaruhi bidang ini sepanjang kewujudannya.

Saiee Driss dalam melalui makalahnya Menyusuri Perkembangan Sastera Sarawak Sepanjang 45 Tahun menjelaskan, antaranya Biro Kesusasteraan Borneo (BLB) yang mula disaran pada akhir 1950-an untuk menjadi badan penerbit separa kerajaan sebagaimana Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Malaya ketika itu.

“…sempat melangkau tahun kemerdekaan dengan tujuan menggalakkan penulis tempatan memungut bahan-bahan yang sesuai untuk memenuhi keperluan tempatan dan menguruskan penerbitan dan penyebarannya,” katanya.

Jelasnya, biro yang dikongsi pembiayaannya dengan kerajaan Sabah bertujuan menolong perusahaan buku-buku tempatan terutama penjualan buku-buku dan memebri perkhidmatan kepada jabatan kerajaan yang ingin memerbitkan buku-buku teknikal, separuh teknikal dan buku pengajaran untuk rakyat di Sarawak dan Sabah.

Sepanjang 17 tahun kewujudannya, biro itu berjaya menerbitkan 386 buku pelbagai bahasa dengan kebanyakannya bahasa Iban dan Inggeris.

“Inilah agensi yang satu-satunya bertugas mengumpul, mencari dan membina judul untutk buku diterbitkan. Melaluinya, terbit novelette pertama iaitu Lima Sateria Di Hutan Belantara dan antologi puisi perseorangan Melayu pertama iaitu Yang Terpulas dan Terkandas oleh Madzhi Johari.

“Terbit juga kumpulan cerpen Melayu pertama di Pulau Borneo iaitu Debu Berterbangan karya Muslim Burmat. Selain itu, BLB juga menerbitkan majalah Nendak dalam bahasa Iban, Dolphin dalam bahasa Inggeris dan Cina dan Perintis dalam bahasa Melayu.”

“Menurut Hazami Jahari, dari 1964 hingga 1976, BLB telah menghasilkan enem novelet, tujuh kumpulan puisi, 14 kumpulan cerita pendek dan Sembilan buku cerita rakyat mencapai jumlah 36 buku semuanya dalam bahasa Melayu.”

BLB ujarnya, secara rasmi menjadi DBP Cawangan Sarawak pada 1976, dan penghasilan karya dalam bahasa Melayu di Sarawak dikatakan sebagai tahap perkembangan sastera yang amat memberangsangkan.

Perkembangan sastera di negeri ini dari 1977 hingga 1998 adalah tempoh kemuncak dengan beberapa aktiviti sastera yang penting berlangsung, lahirnya penulis muda yang prolific, dan terhasilnya beberapa karya yang bermutu.

Selain aktifnya beberapa persatuan penulis, wujud sokongan kerajaan yang cergas dalam bidang sastera sehingga pernah wujud Anugerah Sastera Negeri Sarawak (ASNS).

“Untuk mencapai matlamatnya, DBP Cawangan Sarawak melaksanakan beberapa program seperti peraduan penulisan sastera pelbagai genre, bengkel untuk pebagai genre, sudut penulis dan sebagainya.”

Perubahan jumlah penerbitan jelas Saiee, amat ketara apabila dalam tempoh 10 tahun (dari 1988 hingga 1998), DBP Cawangan Sarawak menghasilkan 94 judul buku.

“Kesan lain yang wujud ialah bahasa dasar menentukan DBP hanya menerbitkan buku kreatif dalam bahasa Melayu dan tidak dalam bahasa lain. Maka terhenti penerbitan buku dalam bahasa lain.

“Walau bagaimanapun, bahan daripada suku-suku yang ada diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan diterbitkan sebagai karya kebangsaan.”

Sementara itu, kewujudan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) katanya, memantapkan kegiatan dan makna penulisan di Sarawak dan mewujudkan secara jelas dimensi-dimensi yang lebih akademik dan serius dalam aktiviti dan isi kerja penulisan.

Unimas jelasnya, mempunyai beberapa program khas terutama di bawah Institusi Kajian Asia Timur yang menghasilkan aktiviti penyelidikan dan melahirkan laporan-laporan akademik.

Kerusi Pengajian Sino-Borneo katanya, ialah penyelidikan yang menyumbang kepada komuniti Cina di Sarawak yang kaya dan pelbagai keunikannya dari segi wilayah dan dialek, sumbangan terhadap kemajuan ekonomi dan politik kepada negeri dan negara sejak Perang Dunia Kedua.

Tumpuan juga jelasnya, terhadap dimensi antarabangsa dan perspektif global komuniti itu serta rangkaian yang diwujudkan dalam konteks peluasan kerjasama Malaysia ke wilayah serantau.

Kerusi Nusantara pula ujarnya, menyumbang kepada kajian serantau dan perbandingan yang termasuk hasil kajian yang menyumbang kepada pemerkasaan semula komuniti pesisiran, termasuk dalam konteks perkembangan politik yang menyatu, sekali gus memecahkan komuniti pesisiran.

“Penubuhan Pengajian Nusantara dilihat sebagai satu perangsang atau stimuli terhadap penyelidikan yang kritikal untuk memahami sejarah dan masa depan Sarawak dalam konteks Asia Timur.”

Selain BLB, DBP Cawangan Sarawak dan Unimas, Angkatan Zaman Mansang (AZAM) ditubuhkan pada 1983 hasil pemikiran Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan hasil beberapa pertemuan sekumpulan profesional khusus dari bidang swasta dan pegawai tadbir mahu mencari cara terbaik untuk golongan ini menyertai usaha pembangunan negeri Sarawak, terutama dalam menimbulkan kesedaran dan setia turut serta di kalangan rakyat.

“Apakah sumbangan AZAM kepada bidang penulisan di Sarawak? Mungkin tidak kepada bidang kreatif, tetapi AZAM ada program Hadiah Kewartawanan dan Penulisan Rencana dan Berita yang telah diadakan lebih sedekad.

“Hadiah ini menilai dan menghargai sumbangan para penulis tempatan dalam bentuk rencana dan berita dalam pelbagai bahasa disiar oleh mana-mana media di dalam dan luar negara.”

Dengan kata lain, sumbangan AZAM ialah memberi pengiktirafan kepada para penulis yang menghasilkan karya secara beas dan terbuka, dan tidak masuk campur dalam proses pembinaan judul atau tema, tetapi menghargai apa-apa karya yang dikira selari dengan hasrat pembangunan negeri.

“Lebih penting lagi ialah program tahunan itu mengambil kira karya semua kaum dan ditampakkan secara praktikal, iaitu penulis Sarawak sebenarnya ramai dan berwibawa. Hanya sumbangan mereka bukan kreatif dan bukan berdasarkan imaginasi,” jelasnya.

Utusan Sarawak, 4 September 2008