Bahasa sebagai asas komuniti

KEPELBAGAIAN dalam masyarakat dari segi bahasa bermakna juga kepelbagaian dalam aspek-aspek budaya yang lain. Ini disebabkan setiap bahasa berasaskan sekumpulan orang yang menggunakannya sebagai alat berkomunikasi antara mereka dan alat melahirkan fikiran dan mewujudkan aspek-aspek budaya.

“Kumpulan orang yang seperti inilah yang kita namakan komuniti bahasa. Istilah komuniti bahasa (language community) juga membawa makna komuniti orang yang pada asasnya mempunyai cara hidup dan berbagai-bagai aspek budaya, yang bersifat kebendaan dan bukan kebendaan, yang sama.

“Secara am, kita menyebut komuniti yang berkenaan sebagai suku kaum. Dengan demikian, asas sesuatu kaum adalah bahasanya. Bertitik tolak dari bahasa, setiap suku kaum mempunyai aspek-aspek budaya sendiri,” kata Profesor Emeritus Dato' Dr. Asmah Haji Omar membentangkan Bahasa dan Sastera Sukuan Sebagai Sumbangan Peningkatan Penyatuan Masyarakat Pelbagai Kaum sempena Kolokium Bahasa dan Sastera Pelbagai Kaum 2010 baru-baru ini.

Menurutnya melalui bahasa juga, setiap suku kaum mempunyai cara mengungkapkan pengertian dan tafsirannya mengenai alam sekelilingnya dengan caranya sendiri, kerana bahasanya memungkinkan dia berbuat demikian.

Dengan itu, jelasnya, ahli-ahli sesuatu kaum dapat memberi gambaran tentang alam fizikal, yakni kawasan geografinya, dan juga gambaran tentang tingkah laku manusia dan cara berfikir mereka melalui bahasanya sendiri.

“Dengan begitu banyaknya komuniti bahasa, dan dengan itu suku kaum, yang ada di Malaysia, maka persepsi pertama yang ada pada sesiapa pun, terutama sekali yang belum pernah datang ke Malaysia, ialah perbezaan lahir yang nyata antara suku-suku kaum itu.

“Orang luar sering tertanya bagaimanakah suku-suku kaum ini berhubung dan dengan itu mendekati satu sama lain. Jawapan yang standard ialah kita mempunyai bahasa bersama, iaitu bahasa Melayu, yang dikenal juga sebagai bahasa Malaysia,” katanya.

Bahasa sebagai sumber sejarah budaya komuniti

Menurut Profesor Asmah, jika bahasa dianggap hanya sebagai alat berhubung satu sama lain, yakni alat komunikasi, maka komunikasilah sahaja fungsinya.

“Komunikasi bermakna menyampaikan maklumat dari penutur A kepada penutur atau kumpulan penutur B. Itulah makna komunikasi dan keperluannya kepada manusia. Komunikasi yang seperti itu merupakan hubungan luaran sahaja, seperti halnya kita berkomunikasi dengan komputer apabila kita melayari laman web.”

Katanya, dalam penyatuan masyarakat pelbagai kaum, komunikasi hendaklah lebih daripada setakat permukaan kulit. Komunikasi melalui bahasa hendaklah dapat membawa kepada hormat-menghormati antara suku kaum, dan sikap ini dapat dibina dengan menghormati budaya suku kaum lain yang hidup bersama dalam masyarakat yang besar. Budaya dan tradisi sesuatu suku kaum itu tersimpul dalam bahasanya.

Ujarnya, rekod bertulis yang memberi gambaran tentang sejarah komunikasi bahasa, terutama sekali dari segi alam lingkungan hidup ahli-ahlinya serta juga hidup serta hasil fikiran dan gambaran emosi mereka merupaskan kaedah yang baru dalam sejarah tamdun manusia.

“Apakah berlaku sebelum adanya rekod bertulis itu? Ketiadaan gambaran yang jelas mengenai keadaan komuniti bahasa sebelum adanya rekod bertulis juga berlaku pada komuniti bahasa bukan sahaja di Malaysia, bahkan juga di seluruh dunia.

“Bagaimanakah kita memperolehi pengetahuan tentang keadaan komuniti prasejarah tanpa rekod bertulis? Ada dua cara, iaitu melalui arkeologi dan bahasa. Tetapi arkeologi memberi maklumat yang terhad yang tergambar pada benda-benda konkrit yang merupakan peninggalan lama, seperti bangunan atau bahagian-bahagian bangunan dan artifak-artifak yang diperbuat daripada batu, tembaga dan sebagainya.”

Bahan-bahan itu katanya, tidak dapat menggambarkan aspek-aspek pemikiran, sususan masyarakat dan cara hidup orang yang terlibat lebih daripada apa-apa yang dapat dipandangan dengan mata.

“Dengan itu, kita tidak dapat beralih kepada cara yang kedua, iaitu bahasa. Dalam bahasalah tersimpulnya sejarah sesuatu komuniti itu dari awal hingga akhir. Melalui aspek-aspek dalam bahasalah kita dapat memperolehi sejarah perkembangan sesuatu komuniti itu, gambaran alam dan cara hidup serta perasaan dan emosi orang-orangnya sehingga kepada yang sehalus-halusnya, sistem kepercayaan dan hasil pemikiran yang bersifat falsafah hidup serta peraturan hidup mereka, dan sebagainya.”


Utusan Sarawak, 8 Januari 2011

Keserumpunan bahasa dan orangnya

PROFESOR Emeritus Dato' Dr. Asmah Haji Omar menjelaskan, lazimnya, apabila orang bercakap tentang keserumpunan bahasa, maksudnya terbatas kepada adanya persamaan antara bahasa yang dapat dilihat secara lahir.

Katanya, “Misalnya, ada persamaan antara bahasa Iban rumah dengan bahasa Melayu rumah, atau nama bahasa Iban panjai dengan bahasa Melayu panjang. Juga cara menghitung orang Iban sama dengan cara menghitung orang Melayu. Jika orang Melayu menghitung dari satu hinga kepada ribu, demikian juga halnya dengan orang Iban.”

Pada masa yang sama jelasnya, terdapat juga perbezaan antara kedua-dua bahasa ini, terutama sekali dalam kosa katanya. Berdasarkan hitungan leksikostatistik (yang dilakukan pada kosa kata asasi atau basic core vocabulary), antara bahasa Iban dengan bahasa Melayu terdapat kira-kira 65 peratus persamaan.

Persamaan ini jauh lebih tinggi daripada bahasa Iban, lebih dekat dengan bahasa Melayu dibandingkan dengan perkaitan antara bahasa Melayu dengan bahasa Jawa, katanya dan menambah, perbandingan yang seperti ini boleh dilakukan ke atas mana-mana bahasa yang berasal dari keluarga atau rumpun yang sama.

“Ciri-ciri persamaan antara bahasa merupakan petunjuk warisan bersama, yakni ada nenek moyang yang sama. Dalam jargon linguistik bahasa-bahasa itu berasal dari bahasa purba (proto-language) yang sama. Perbezaan pula menggambarkan perkembangan yang berlaku pada tiap-tiap bahasa itu mereka berpisah satu sama lain dan dengan demikian bermigrasi meninggalkan kawasan induk.

“Sebenarnya bahasa tidak berpisah dengan sendirinya. Yang berpisah itu adalah penuturnya. Mereka bermigrasi meninggalkan tempat asal dan mencari tempat kediaman yang lebih selesa bagi diri dan keluarga.

“Mereka keluar dari tempat asal secara berpuak-puak dan mendirikan komuniti bahasa yang baru di tempat lain. Perkaitan antar abahasa-bahasa serumpun bermakna bahawa pada suatu masa dahulu kala, bahasa-bahasa ini mempunyai bahasa induk yang sama,” katanya.

Kefahaman antara komuniti

Kata Asmah, “...para penyelidik lingustik berminat mengkaji bahasa-bahasa serumpun dari segi sistem bahasa: fonologi (bunyi), nahu, dan perbendaraan kata. Mereka menghasilkan penulisan yang lengkap (dalam bentuk tesis dan buku). Dari usaha mereka itu, timbullah hasil-hasil lain seperti kamus, buku-buku untuk pengajaran bahasa dalam kelas POL, dan juga lebiuh akademik, iaitu karya-karya perbandingan bahasa, yang juga meliputi rekonstruksi bahasa induk.”

Semuan hasil kajian jelasnya, memang baik dan membantu dalam memperkenalkan bahasa komuniti-komuniti serumpun kepada masyarakat Malaysia pada amnya. Usaha-usaha itu patut diteruskan, dan boleh dianggap sebagai usaha dalam kajian bahasa-bahasa serumpun di Malaysia.

“Kebanyakan ahli lingustik yang mengusahakan kajian yang seperti ini tidak memahami bahasa yang dikaji itu. Kepakaran mereka terletak pada pengetahuan tentang sistem dan struktur bahasa. Dari segi makna bahasa, barangkali mereka memahami perkataan-perkataan secara terpisah, dan luar dari konteks penggunaannya.

“Jika mereka dapat bercakap dalam bahasa yang dikaji, pengetahuan bahasa hanya sekadar menggunakan ayat-ayat mudah dalam pertuturan sahaja. Kefahaman yang lebih mendalam tentang cara berfikir, perasaan dan emosi, dan juga aspek-aspek yang halus dalam budaya komuniti yang dikaji itu tidak ada, disebabkan mereka tidak betul-betul mencuba mendalami bahasa komuniti berkenaan,” jelasnya.

Utusan Sarawak, 8 Januari 2011

Menilik proses pengukuhan budaya

TERDAPAT tiga mekanisme utama bagaimana pemartabatan bahasa dan sastera dapat meningkatkan keutuhan budaya se-Malaysia. Pertama, menerusi kewujudan citra perpaduan yang dipupuk natijah daripada penggunaan bahasa komunikasi sepunya, iaitu bahasa Melayu. Kedua, menerusi penerapan jati diri hasil daripada penghayatan sejarah dan nilai ketatanegaraan dalam komponen sastera kebangsaan.

Dr. Ramzah Dambul pada Kolokium Bahasa dan Sastera Pelbagai Kaum 2010 baru-baru ini menjelaskan, tatkala kedua-dua aspek tersebut berjaya diolah, maka akan terbitlah mekanisme ketiga iaitu penataran semangat patriotisme susulan daripada percikan kombinasi rasa kekitaan dan kebanggaan pada identiti asli milik mereka.

Menurutnya, konsep negara-bangsa, yang mula terbit dalam wacana siasah antarabangsa pada beberapa dasawarsa terakhir abad ke-20, merupakan satu manifestasi pengukuhan budaya bangsa sesebuah negara.

“Konsep ini menggagaskan bahawa kumpulan rakyat sesebuah pemerintahan mempunyai satu bentuk ketaatan yang saling mengikat antara stau sama lain, realtif kepada identiti negara yang dihuni. Ini berbeza dengan zaman sebelum negara-bangsa, yang memperlihatkan kepelbagaian ragam ketaatan rakyat sesbeuah wilayah.

“Bukti kepada kejayaan ini dapat dilihat kepada keutuhan tamadun Jepun yang terpupuk dan terpelihara sejak zaman Meiji, kegemilangan kesatuan negara China yang telah merentas pelbagai dinasti, serta keutuhan beberapa contoh kerajaan Barat yang berjaya memacu tamadun fizikalnya dengan efektif, mislanya Great Britain yang memulakan revolusi industri dan resolusi hijau pada penghujung abad ke-19.

“Salah satu kunci yang menunjangi pencapaian-pencapaian tersebut ialah kerana wujudnya dasar bahasa dan sastera sepunya di peringkat nasional. Ia sekali gus boleh mencatu pemikiran dan jalur idealisme sekalian warga untuk berpusat kepada satu hala yang sama,” katanya.

Justeru jelasnya, pemartabatan satu skema bahasa dan sastera kebangsaan yang homogen boleh merintis kepada pemgukuhan pelbagai cabang dan dimensi budaya sesebuah negara, yang merangkumi aspek politik, sosioekonomi dan sosiobudaya.

“Bagaimanakah pula tiga mekanisme tersebut dapat dioperasikan secara tuntas supaya dapat menatar matlamat budaya yang disasarkan? Ia dapat dilaksanakan menerusi dasar pendidikan dan iltizam politik, kerana kedua-dua aspek ini adalah teras kepada hala tuju sesebuah negara.”

Tambahnya, pendidikan berfungsi untuk melentur dan membentuk generasi muda supaya kelak membesar sebagai warga yang ampuh dengan elemen-elemen budaya seperti gagasan Kroeber dan Kluckhon.

Manakala, iltizam politik daripada penguas apemerintahan (sama da di peringkat persekutuan, negeri, mahupun unit-unit pentadbiran yang lebih kecil) akan mengolah dan memurnikan dasar-dasar penting negara.

“Inilah yang bakal mencorakkan kesepaduan arah tuju kurikulum dan modus pendidikan. Dalam hal ini, pendidikan adalah faktor perantara kepada matlamat yang ingin dicapai. Manakala, ilrizam politik adalah prasyarat yang bertindak sebagai faktor pencetus yang memulakan proses dan modus operasi. Kedua-dua faktor haruslah wujud serentak, dan saling mendokong antara stau sama lain.”

Bahasa dan sastera kebangsaan dalam konteks Memartabatkan Bahasa dan Sastera Kebangsaan dalam Upaya Mempertingkat Ketahanan Budaya se-Malaysia merujuk kepada bahasa Melayu sebagai paksi.

Bahasa ini telah lama tumbuh dalam diri warga Malaysia dan subur berfungsi sebagai alat pemikiran rakyat Malaysia dalam pelbagai aspek kehidupan. Ini merujuk kepada elemen kedua dan ketiga bagi definisi budaya (Kroeber dan Kluckhon, 1952).

Tiga landasan lazim yang boleh mengungkap pengertian budaya oleh Kroeber dan Kluckhon ialah pertama, cita rasa yang anggun terhadap bidang kesenian halus dan kemanusiaan (juga dikenali sebagai budaya tinggi).

Kedua, satu bentuk integrasi di antara ilmu, kepercayaan dan tingkah laku yang terhasil daripada kapasiti pemikiran simbolik serta pembelajaran sosial.

Ketiga, satu aset perkongsian bersabit dengan sikap, nilai, matlamat dan amalan yang dipegang bersama oleh sesebuah institusi, organisasi atau kumpulan.

“Berdasarkan rumusan dua sarjana ini, konteks budaya secara amnya merangkumi cita rasa estetik dan kemanusiaan, ilmu dan pemikiran, serta norma dan etika kehidupan. Maksudnya, budaya adalah satu dimensi yang lengkap untuk menggambarkan ketamadunan sesebuah komuniti dan negara.

“Keraguan yang berbangkit – bolehkah elemen bahasa dan sastera menjadi tunjang pengangkat bagi satu aspek segadang budaya? Atau, dalam konteks spesifik, mampukah bahasa dan sastera kebangsaan mempertingkat budaya se-Malaysia?,” ujarnya.

Utusan Sarawak, 1 Januari 2011





Bicara Eksekutif 2010: Kebudayaan dan Kesusasteraan Dalam Pembangunan Modal Insan

DATO' A. Aziz Deraman (duduk tengah) bersama-sama isteri (dua dari kiri),
Jiso Rutan (kiri sekali),Haji Saini Lihi (dua dari kanan)
dan Dr. Awang Azman Awang Pawi (kanan sekali).


RENCANA I: Kebudayaan, kesusasteraan khazanah pembangunan modal insan

RADIN AZHAR HAJI AHMAD


KETERPINGGIRAN kebudayaan dan kesusasteraan – dua khazanah yang merupakan asas pembangunan sesebuah peradaban kian terasa. Mungkin kerana kefahaman sempit konsepnya masih wujud atau sikap semula jadi manusia yang tidak mahu mengukuhkan tradisi keilmuan dan pemikiran. Setelah 50 tahun mereka, masyarakat masih menganggap kebudayaan dan kesusasteraan sinonim dengan seni.

Tokoh Budayawan, Dato' A. Aziz Deraman berkata, “Kita sedang berhadapan dengan krisis keyakinan dan terkikisnya kekuatan jati diri terhadap tradisi kebudayaan yang besar yang kita miliki dan betapa banyaknya pedoman pembinaan modal insan di dalam menjadi terbiar. Di Malaysia, gagasan 1Malaysia menuntut perspektif kebudayaan secara menyeluruh.”

Menurutnya, dalam kebudayaan, falsafah dan pemikiran merupakan salah satu aspek yang penting dan di situ terletaknya kedudukan bahasa dan sastera – alat pembinaan tamadun atau peradaban.

“Peradaban sesuatu bangsa tidak boleh dibina melalui bahasa asing kerana itulah jalan pilihan yang snagat lemah. Bahasa asing bukan segala-galanya untuk pengisian peradaban sendiri. Kalau bahasa lemah, segala ilmu ikut lemah dan apabila ilmu lemah, peradaban bangsa akan ikut menjadi lemah.

“Upaya perlu digerakkan ke arah pemasyarakatan dan pembudayaan yang lebih berkesan. Semua sektor, pihak dan lapisan masyarakat perlu dihayati. Kita ada agenda membina bangsa khususnya membentuk generasi muda yang mempunyai nilai-nilai budaya yang tinggi sebagai teras ke arah melahirkan modal insan cemerlang. Sekali gus peradaban bangsa,” katanya.

Dato' A. Aziz Deraman berkata demikian dalam ceramahnya berjudul Kebudayaan dan Kesusasteraan Dalam Pembangunan Modal Insan pada Bicara Eksekutif 2010 sempena Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak baru-baru ini. Ahli Lembaga Pengelola DBP, Datu Haji Adi Badiozaman Tuah, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Juso Rutan, Pemangku Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Warisan Negara, Sarawak, Haji Saini Lihi dan Dr. Awang Azman Awang Pawi turut hadir.

RENCANA II: Transformasi Sosio-Budaya

Katanya, transformasi sosio-budaya dalam pembangunan modal insan bukan mudah dicapai. Manusia mungkin berjaya mendapat latihan di bidang profesionalisme, ilmu pengetahuan, kemahiran teknikal dan sebagainya tetapi faktor dalaman yang bersifat rohani akan menentukan sikap, pendangan dan perilaku seseorang.

“Nilai-nilai sosio-budaya pula bersifat abstrak meskipun mudah disebut. Walaupun demikian, kefahaman dan amalan boleh ditingkatkan melalui perancangan dan pelaksanaan program yang tersusun dengan pendekatan dan strategi yang diatur mengikut sesuatu kelompok khalayak itu.”

Di Malaysia jelasnya, kepelbagaian masyarakatnya dengan kehidupan budaya, adat resam, bahasa masing-masing boleh mengakibatkan masalah sosial di kalangan generasi muda. Jadi, pendekatan membangunkan modal insan cemerlang itu tentu menuntut pendekatanyang lebih komprehensif.

“Jika mungkin struktur politik, pengurusan tadbir urus kerajaan hendaklah kekal berjiwa rakyat dan sikap keprihatinan pula dibentuk untuk penghayatan di semua peringkat. Peradaban bangsa Malaysia akan kukuh terbina dengan jaminan dasar yang berteraskan semangat Perlembagaan, Rukun Negara, matlamat ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan perubahan strategi mengikut masa dan kelompok.

“Dalam keadaan bagaimana sekalipun, modal insan tetap bergantung kepada tahap budaya ilmu yang diperoleh. Kuasa abad ke-21 dikatakan sebagai kekuasaan terhadap kekayaan harta, kekuatan perang dan keganasan dan kuasa juga terletak kepada ilmu pengetahuan,” jelasnya.

Ujarnya, nilai dan sikap juga ditandai keprihatinan terhadap kecergasan fizikal seseorang individu misalnya kuat kerja, kerajinan, ketekunan melakukan sesuatu, kemajuan minda, intelektual, anjakan pemikiran dan nilai rohaniah terutama di kalangan generasi baru Malaysia yang terdidik di bawah sistem pendidikan.

Sikap memandang ke hadapan atau pandang keluar, kukuh bersaing, menjalin kesepakatan, mandiri, pedoman dari kejayaan orang lain, ketahanan, inisiatif dan sikap mahu melangkah ke hadapan dengan mendukung nilai tempatan berakarkan Malaysia dan pandangan luas berakalkan antarabangsa serta sedar akan cabaran global.

“Sesungguhnya peringkat perubahan budaya itu boleh kita lihat pada individu, keluarga dan masyarakat keseluruhannya. Di peringkat individu dengan dengan adanya program bina insan yang baik membolehkan timbulnya disiplin, setiakawan, jihad nafsu, menghargai masa, baik tingkah laku, berilmu, berdikari, sihat, mulia akhlak dan nilai-nilai kesempurnaan seorang insan.”

Keluarga pula katanya, terbentuk dari isntitusi perkahwinan dengan segala adat dan adabnya dan banyak terjadi proses pendidikan tidak rasmi dalam lingkungan komuniti. Pemasyarakatan dan pembudayaan yang lazimnya dilalui sesebuah masyarakat tetap mempengaruhi sikap dan pandangan individu.

“Jika lebih banyak ditonjolkan persamaan, maka perbezaan akan semakin terketepi. Kepelbagaian di Malaysia memerlukan kedua-dua proses tersebut dilakukan dengan bijak agar faham perkauman dapat dikikiskan.

“Kita juga memerlukan gerak inisiatif masyarakat yang berupaya membawa pembaharuan dan perubahan, antaranya inisiatif yang mengubah minda dan sikap yang sentiasa mengejar kecemerlangan, amalan etika luhur dan nilai murni, tenaga manusia yang dilengkapkan pengetahuan dan kemahiran, budaya kerja berlandaskan prestasi atau pencapaian dan kepemimpinan,” tambahnya.

RENCANA 2 - Kebudayaan dalam pembangunan sosial

KEBUDAYAAN dan kesusasteraan laksana perbendaharaan tersembunyi dalam peradaban sesuatu bangsa dan umat manusia yang mencitrakan cernaan kemajuan minda dan tahap pemikiran mereka.

“Kebudayaan dan manusia atau masyarakatnya tidak boleh dipisahkan kerana tanpa masyarakat, tidak akan ada budaya.

Di Malaysia, matlamat utama pembinaan kebudayaan kebangsaan ialah perpaduan bangsa dan negara, selain pembinaan keperibadian kebangsaan atau jati diri dan keseimbangan pembangunan sosio-ekonomi dengan aspek kerohanian dan kemanusiaan,” kata Tokoh Budayawan, Dato' Haji A. Aziz Deraman.

Menurutnya, istilah kebudayaan kerap dikelirukan sehingga digunakan secara bertindih atau disamakan dengan kesenian. Ada ratusan takrif kebudayaan dan puluhan cabang kesenian yang merupakan sebahagian daripada kebudayaan.

Kebudayaan jelasnya, membawa makna atau merujuk kepada keseluruhan cara hidup meliputi segala aspek, sama ada berbentuk kebendaan atau bukan kebendaan.

Bidang-bidangnya ialah falsafah dan pemikiran (bahasa, sastera, kepercayaan), nilai, norma (adat resam, istiadat, nilai sosio-budaya), kesenian (seni persembahan, seni tampak) dan aspek kebendaan (bangunan, rumah, istana, peralatan hidup, warisan fizikal sesuatu bangsa).

Katanya, “Kesemuanya berkait dengan manusia dan bagaimana penciptaan atau proses kreatif dan inovatifnya ditentukan akal budi (minda) dan keupayaan modal insannya. Dalam aspek kebudayaan, banyak yang boleh dipelajari dari tradisi falsafah, kesenian dan aspek-aspek kebendaanya.”

“Kerajinan, ketekunan, kesabaran dan banyak nilai terpuji terselit dalam kebudayaan selagi kita tahu memberikan makna dan menghayatinya secara mendalam bahkan boleh membawa kepada seseorang insan itu lebih cemerlang,” katanya.

Dato' A. Aziz Deraman berkata, penekanan pembangunan bukan semata-mata bermaksud pembangunan ekonomi bagi tujuan kesejahteraan hidup sebagai aspek luaran kehidupan kemanusiaan, tetapi juga penekanan membina jiwa dan semangat yang tidak kosong, termasuk semangat kenegaraan, kesatuan, patriotisme dan sebagainya.

“Pembangunan kebudayaan mengisi kekosongan jiwa dengan memenuhi keperluan pembinaan negara dengan penyuburan nilai-nilai budaya positif. Gagasan 1Malaysia tidak dapat dijayakan tanpa perkongsian nilai dan norma yang sama dalam kehidupan berbangsa seperti kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, kesetiaan dan sebagainya.

“Teras-teras perpaduannya terletak kepada penerimaan kepelbagaian kita, prinsip-prinsip kenegaraan yang berteraskan Perlembagaan dan Rukun Negara dan keadilan sosial,” katanya.

Pembangunan ekonomi ujarnya, perlu diimbangi dengan pembinaan nilai-nilai budaya dari sudut kemanusiaan, rohaniah dan kebangsaan kesatuan dan perpaduan dalam kehidupan sosial.

“Untuk melahirkan modal insan cemerlang, selain sistem dan dasar pendidikan moden, tujuan pendidikan sepanjang hayat, formal dan tidak formal boleh dicapai sekalipun melalui kesenian yang tercerna dalam bermacam bentuk.

“Misalnya, kesenian etnik atau klasik, kesenian rakyat atau tradisional dan kesenian sezaman termasuk seni bina, muzik, teater, seni lukis, seni kraftangan), kegiatan bahasa, sastera, bengkel keilmuan,” tambahnya.

Di Malaysia, katanya, ikatan kenegaraan dan kebangsaan dikanunkan dalam perlembagaan sebagai tonggak bangsa iaitu tentang status bahasa Melayu sebagai bahasa negara, institusi kesultanan (konsep ketua negara atau ketua negeri), Islam sebagai agama rasmi, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera, kewarganegaraan, hak asasi, dan dasar-dasar nasional dalam sistem pendidikan, kebudayaan dan sosial.

“Sifat-sifat negara bangsa adalah berasaskan perkongsian persamaan nilai-nilai umum, bukannya perbezaan, keperibadian bangsa atau negara, kesetiaan politik, keyakinan diri, nilai-nilai akhlak, moral, etika yang kukuh, demokratis, adil, saksama, progresif, makmur, daya saing, daya tahan, tangkas dan dinamis,” jelasnya.

Utusan Sarawak, 16 Oktober 2010

BUDAYA MENCAKUPI SELURUH GAYA HIDUP


SASTERAWAN Sarawak, Datu Haji Adi Badiozaman Tuah (kanan) memberikan penerangan tentang Tokoh Budayawan, Dato' Haji A. Aziz Deraman yang membicarakan Kebudayaan dan Kesusasteraan Dalam Pembangunan Modal Insan pada Bicara Eksekuitif 2010 sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak di sini, hari ini.


MATLAMAT
utama pembinaan kebudayaan kebangsaan ialah perpaduan bangsa dan negara, selain pembinaan keperibadian kebangsaan atau jati diri dan keseimbangan pembangunan sosio-ekonomi dengan aspek kerohanian dan kemanusiaan.

Tokoh Budayawan, Dato' Haji A. Aziz Deraman berkata, istilah kebudayaan kerap dikelirukan sehingga digunakan secara bertindih atau disamakan dengan kesenian.

Menurutnya, ada ratusan takrif kebudayaan dan puluhan cabang kesenian yang merupakan sebahagian daripada kebudayaan.

“Kebudayaan membawa makna atau merujuk kepada keseluruhan cara hidup meliputi segala aspek, sama ada berbentuk kebendaan atau bukan kebendaan.

“Bidang-bidangnya ialah falsafah dan pemikiran (bahasa, sastera, kepercayaan), nilai, norma (adat resam, istiadat, nilai sosio-budaya), kesenian (seni persembahan, seni tampak) dan aspek kebendaan (bangunan, rumah, istana, peralatan hidup, warisan fizikal sesuatu bangsa).

“Kerajinan, ketekunan, kesabaran dan banyak nilai terpuji terselit dalam kebudayaan selagi kita tahu memberikan makna dan menghayatinya secara mendalam bahkan boleh membawa kepada seseorang insan itu lebih cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Bicara Eksekutif 2010 berjudul Kebudayaan dan Kesusasteraan Dalam Pembangunan Modal Insan sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak yang dipengerusikan oleh Datu Haji Adi Badiozaman Tuah di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, di sini hari ini.

Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Jiso Rutan, Pemangku Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian Negara, Sarawak, Haji Saini Lihi dan Dr. Awang Azman Awang Pawi turut hadir.

Dato' A. Aziz Deraman berkata, penekanan pembangunan bukan semata-mata bermaksud pembangunan ekonomi bagi tujuan kesejahteraan hidup sebagai aspek luaran kehidupan kemanusiaan, tetapi juga penekanan membina jiwa dan semangat yang tidak kosong, termasuk semangat kenegaraan, kesatuan, patriotisme dan sebagainya.

“Pembangunan kebudayaan mengisi kekosongan jiwa dengan memenuhi keperluan pembinaan negara dengan penyuburan nilai-nilai budaya positif. Gagasan 1Malaysia tidak dapat dijayakan tanpa perkongsian nilai dan norma yang sama dalam kehidupan berbangsa seperti kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, kesetiaan dan sebagainya.

“Teras-teras perpaduannya terletak kepada penerimaan kepelbagaian kita, prinsip-prinsip kenegaraan yang berteraskan Perlembagaan dan Rukun Negara dan keadilan sosial,” katanya.

Pembangunan ekonomi ujarnya, perlu diimbangi dengan pembinaan nilai-nilai budaya dari sudut kemanusiaan, rohaniah dan kebangsaan kesatuan dan perpaduan dalam kehidupan sosial.

“Untuk melahirkan modal insan cemerlang, selain sistem dan dasar pendidikan moden, tujuan pendidikan sepanjang hayat, formal dan tidak formal boleh dicapai sekalipun melalui kesenian yang tercerna dalam bermacam bentuk.

“Misalnya, kesenian etnik atau klasik, kesenian rakyat atau tradisional dan kesenian sezaman termasuk seni bina, muzik, teater, seni lukis, seni kraftangan), kegiatan bahasa, sastera, bengkel keilmuan,” tambahnya.

Di Malaysia, katanya, ikatan kenegaraan dan kebangsaan dikanunkan dalam perlembagaan sebagai tonggak bangsa iaitu tentang status bahasa Melayu sebagai bahasa negara, institusi kesultanan (konsep ketua negara atau ketua negeri), Islam sebagai agama rasmi, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera, kewarganegaraan, hak asasi, dan dasar-dasar nasional dalam sistem pendidikan, kebudayaan dan sosial.

“Sifat-sifat negara bangsa adalah berasaskan perkongsian persamaan nilai-nilai umum, bukannya perbezaan, keperibadian bangsa atau negara, kesetiaan politik, keyakinan diri, nilai-nilai akhlak, moral, etika yang kukuh, demokratis, adil, saksama, progresif, makmur, daya saing, daya tahan, tangkas dan dinamis,” jelasnya.


Utusan Sarawak, 9 Oktober 2010

RUANG PENULIS SIMUNJAN BERKARYA

PERSATUAN Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) Simunjan ditubuhkan dengan harapan untuk mewujudkan ruang dan peluang kepada penulis di daerah berkenaan untuk melibatkan diri secara aktif dalam bidang penulisan pelbagai genre.

Ketua 1 Pekasa Simunjan, Kemeri Jalani menjelaskan bahawa mungkin melalui persatuan itu, mereka (masyarakat penulis) di Simunjan akan lebih nberani dan giat untuk berkarya.

“Dengan adanya persatuan ini, secara langsung menggambarkan kegiatan kesusasteraan turut menular dan berkembang di Simunjan,” katanya.

Sebelum ini jelas Kemeri, tidak ada persatuan penulis yang ditubuhkan secara rasmi, namun penggiat-penggiat sastera tetap aktif walupun bergerak sendirian.

“Sebab itu, kegiatan kesusasteraan di sini (Simunjan) seperti tidak ada,” katanya dan menambah, umumnya masyarakat penulis dan peminat sastera berminat menyertai Pekasa Simunjan.

Katanya, “Sebahagian besar mereka berharap dengan adanya Pekasa Simunjan, kegiatan kesusasteraan di sini (Simunjan) akan semakin berkembang. Mereka juga berharap persatuan ini akan memberi banyak manfaat dan ruang kepada mereka untuk berkarya dengan lebih terbuka.”

Mengenai sasaran Pekasa Simunjan, Jelas Kemeri, untuk jangka pendek, ahli jawatankuasa yang dipilih berusaha untuk memantapkan persatuan berkenaan dalam aspek dalaman (pengurusan).

“Dengan pengurusan yang sistematik, persatuan akan menjadi kuat. Untuk jangka panjang, kita berusaha untuk menambah keahlian kepada khalayak yang lebih terbuka.

“Pada masa yang sama, kita akan merancang beberapa aktiviti dengan tujuan untuk mengumpul dana bagi pengurusan persatuan dengan lebih berkesan,” tambahnya.

Beliau berharap dengan adanya Pekasa Simunjan, semua pengiat sastera di daerah berkenaan berganding bahu untuk menghidup dan menggiatkan lagi aktiviti kesusasteraan dan kebahasaan di Simunjan.

“Saya juga berharap setiap aktiviti yang akan diadakan mendapat sokongan padu daripada para pemimpin (Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri), peminpin tempatan, masyarakat penulis, masyarakat umum dan sesiapa sahaja,” katanya.

Bagi menyokong aktiviti yang dianjurkan oleh Pekasa Simunjan, Ahli Parlimen Batang Sadong, Hajah Nancy Syukri membiayai sepenuhnya Bengkel Penulisan Kreatif yang diadakan di daerah berkenaan baru-baru ini.

Bengkel dua hari yang dikendalikan oleh Hajah Zaharah Nawawi itu merupakan aktiviti pertama dilaksanakan oleh Pekasa Simunjan sejak ditubuhkan dua bulan lalu.

Kata Kemeri, bengkel itu bertujuan untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada ahli tentang ilmu penulisan kreatif.

Bengkel tersebut dijalankan di bilik Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Abang Man, Simunjan. Seramai 25 peserta mengambil bahagian.

Peserta yang hadir terdiri daripada ahli Pekasa Simunjan dan individu yang berminat dari Simunjan, Samarahan dan Kuching.

Di samping ceramah, para peserta dilibatkan dengan sesi editing, mengarang dan memberikan pendapat.

“Kita berharap para peserta mampu menghasilkan karya-karya bermutu dan ilmiah,” kata Kemeri.

AJK Pekasa Simunjan

Ketua 1 : Kemeri Jalani
Setiausaha 1 : Dayang Sabrina Abang Masra
Setiausaha 2 : Hetty Afzan Fadil
Bendahari : Aminah Haji Ismail
Ahli Jawatankuasa Kerja
: Nur Rahimah
: Askaimi
: Jemali Mantali
: Sanisah Haji Bujang
: Awang Jamaludin Awang Hanafi

Penulis senior, muda dituntut bekerjasama

PERSATUAN penulis yang diwujudkan di kebanyakan negeri termasuk Sarawak (beberapa persatuan penulis) akan merangka banyak program untuk ahli-ahlinya, terutama untuk melahirkan ramai kalangan penulis baru untuk bersama-sama berjuang dengan penulis sedia ada.

Pun demikian, terdapat juga persaingan dalam berpersatuan yang mungkin akan membawa kebaikan. Tidak kurang pula akan membawa kepada masalah. Akhirnya, persatuan tidak dapat bergerak untuk melaksanakan sekian banyak program ataupun aktiviti yang telah, sedang dan bakal dilaksanakan.

Dalam hal demikian, seolah-olah semacam 'individu A tidak setuju dengan individu B'. Jika sikap sedemikian masih dikekalkan dan masih juga mengatakan mewujudkan persaingan, maka ia hanya memusnahkan sastera Sarawak itu sendiri. Juga persatuan penulis.

Kita tidak mungkin mahu perkara yang sama berulang iaitu tidak ada persatuan yang mewakili keseluruhan Sarawak. Kita bertuah kerana mempunyai Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) di bahagian utara negeri ini, dan Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) di bahagian selatan.

Lebih menarik, kedua-dua persatuan ini turut berdaftar sebagai ahli Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA). Bermakna, penulis dari negeri ini tidak ketinggalan dalam arena kesusasteraan dan kebahasaan kebangsaan.

Jika pergolakan berlaku, kita tidak mahu akan membawa masalah kepada persatuan penulis. Bayangkan bagaimana keadaan penulis di selatan Sarawak apabila tidak ada persatuan penulis yang mewakili mereka.

Dahulu, sudah berapa lama bahagian Kuching tidak mempunyai persatuan penulis. Kemudian kewujudan Pekasa telah menampung kekosongan tersebut yang akhirnya kini bakal berusia lima tahun. Walaupun masih mudah, tetapi sudah cukup berpengalaman untuk berjuang dalam dunia sastera dan bahasa.

Apa yang kita tidak mahu ialah masalah yang mungkin timbul hanya akan menyebabkan masalah kepada persatuan. Dulu kita ada macam-macam persatuan. Antaranya Gabungan Persatuan Penulis Sarawak (GPPS), PEBAS, AKSARA dan sebagainya (sekadar menyebut beberapa nama persatuan), tetapi kewujudannya tidak kekal hingga ke hari ini.

Lantas, siapa yang akan mewakili penulis sedia ada di peringkat nasional. Sebab itu pernah dikatakan bahawa penulis kita di Sarawak ini sukar untuk menembusi medan sastera nasional. Alasannya, ialah kita tidak mempunyai jaringan yang rapat. Jikapun mempunyai jaringan mungkin ia sekadar bersifat individu. Bukan berpersatuan.

Kini, semuanya sudah berubah. Melalui persatuan penulis ramai kalangan penulis kita sudah dikenali di arena kebangsaan. Satu kebanggaan kepada negeri ini. Telah muncul Abizai Abi yang memenangi hadiah sastera di peringkat nasional, juga Poul Nanggang, Jaya Ramba (sekadar menyebut beberapa nama) yang telah memeriahkan sastera Sarawak dan nasional.

Itu di peringlkat PUTERA. Di peringkat Pekasa pula, kita ada Ja'afar Haji Hamdan, Pharo Abdul Hakim, Haji Taufik Firdaus, Dahiuri Saini dan Mohd Faizal Jamil (sekadar menyatakan beberapa nama). Semuanya sudah menempa nama di arena sastera kebangsaan.

Wujudnya persatuan penulis sebenarnya memberikan sinar untuk melahirkan lebih ramai penulis. Tetapi bukan untuk mewujudkan persaingan.

Atas sebab ini, penulis ingin menegaskan bahawa sastera Sarawak akan maju jika setiap penulis mengenepikan sikap tidak senang antara satu sama lain.

Bekerjasama adalah jalan terbaik. Tidak kira penulis itu senior ataupun muda. Mereka saling memerlukan. Sastera Sarawak akan malap dan musnah juga oleh penulis itu sendiri jika beranggapan orang lain adalah pesaing tidak sihat baginya.

Oleh itu, apa yang harus dilakukan sekarang? Mewujukan kerjasama sesama penulsi dan badan penulis atau tidak?

Sastera bina tamadun hebat

NILAI-NILAI luhur seperti kesopanan, kesusilaan, kejujuran, kebertanggungjawaban dan kekeluargaan yang terpancar daripada hasil karya sastera bermutu tinggi akan membentuk pemikiran, nilai dan budaya masyarakat maju yang seimbang.

Menegaskan perkara tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia ke-18 baru-baru ini, menyatakan bahawa para karyawan sastera menggalas amanah untuk menyuburkan nilai-nilai luhur yang menjadi tunjang dan sumber kekuatan masyarakat sejak zaman-berzaman.

Timbalan Perdana Menteri berkata, masyarakat maju perlu mempunyai jati diri dan ketahanan rohani sebagai sumber kekuatan untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran getir dalam mendepani era revolusi maklumat yang membawa perubahan kepada pemikiran, nilai, budaya dan landskap sosial masyarakat pasca industri.

"Tidak ada gunanya kita berjaya melahirkan masyarakat yang maju dari segi kebendaan sedangkan jiwa, perasaan dan impian anggota masyarakat lompong serta tidak berdaya, daif nilai kemanusiaan dan miskin kasih sayang terhadap sesama insan dan alam semesta.

“Dalam arus globalisasi sekarang, negara berhadapan dengan hakikat bahawa sempadan nilai dan budaya makin kurang signifikan dalam mentakrif jatidiri dan menjana kekuatan jiwa sesuatu bangsa,” katanya.

Mengulas perkara ini, Poul Nanggang menyatakan bahawa jika mahu membina sebuah tamadun bangsa yang hebat, sastera merupakan antara ilmu yang harus diberikan ruang dan tempat ke arah itu.

“Kita jangan asyik mahu bercakap sahaja, tetapi tidak melaksanakan apa-apa yang diucapkan bagiakan aksara-aksara itu mempunyai roh.

“Kita amat berbangga dengan apa yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri bahawa karyawan sastera galas amanah menyuburkan nilai-nilai luhur. Harapan kita bukanlah retorik semata-mata tetapi wawasan yang memajukan bangsa,” katanya.

Dalam hal yang lain katanya, contohnya dalam pemilihan teks Komsas dan sastera Melayu mestilah terpilih daripada karya-karya yang dinobatkan ini.

“Lantaran inilah karya yang dianggap hebat (pemenang Hadiah Sastera Perdana). Kenapakah harus diketepikan? Kalau bukan semua, pilih mana-mana yang terbaik.

Baginya, tidak guna mengiktiraf karya-karya ini kalau langsung tidak dimanfaatkan. Inilah tanggungjawab meletakkan karya yang terbaik untuk dijadikan ruang perbincangan dalam kalangan generasi muda agar mereka teruja dan terasa keindahan sastera bangsa yang agung ini.

“Semua kita mahukan suatu tindakan yang bermakna bukan sekadar duplikasi kata-kata yang hambar atau sekadar mahu mengangkat jiwa pengarang kita, hasilnya masih tidak ke mana.

“Kita harus perkasakan sastera kita menjulang angkasa raya sebagai sebuah khazanah yang tidak akan kering dek panas atau hancur dek hujan ribut melanda.”

Sementara itu, Ja'afar Hamdan berkata, sastera sudah sekian lama berperanan sebagai wahana pemikiran.

Menurutnya, penceritaan yang menjadi karya diolah melalui rakaman realiti dan imaginasi.

“Tentu sahaja proses "sebab-akibat" dalam pengkaryaan akan menonjolkan nilai baik dan buruk sebagai pilihan. Pasti yang baik akan menjadi cukup dominan untuk diketengahkan dan yang buruk wajar dikalahkan.”

Namun katanya, perkembangan semasa memperlihatkan terlalu banyak karya yang lebih mengutamakan cinta asyik berdasarkan permintaan massa.

Justeru ada menimbulkan pembahagian yang jelas antara sastera berat dan sastera ringan. Sudah tentu, sastera ringan lebih berjaya dari segi jualan dan kepopularan berbanding dengan sastera berat.

“Maka, perkembangan sastera mutakhir bukan lagi terpikul oleh karyawan tetapi juga oleh pembaca yang harus lebih bijak memilih dan menentukan bahan bacaan yang lebih tepat dan berilmu.”

Seterusnya, Toh Chee Leong menyatakan, “Memang benar apa yang telah disebut oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang karyawan sastera menggalas amanah menyuburkan nilai-nilai luhur. Apa yang ditulis itu berfungsi untuk mengubah minda kita hasil daripada pembacaan yang luas.”

Itu semua katanya, kerana pengaruh, semangat dan nilai jati diri yang ada pada penulis itu sendiri yang berjaya menghasilkan artikel, buku dan lain-lain lagi untuk pembacaan para pembaca.

“Contoh paling jelas ialah penjawat awam. Mereka perlu mempunyai sifat-sifat dan semangat kerja yang lebih profesional lagi.

“Profesionalisme ini hanyalah dapat dibentuk melalui kempen kesedaran, juga boleh melalui buku, artikel semasa, majalah dan sebagainya untuk membentuk sebuah negara yang berprestij dalam menangani segala masalah dalam kehidupan kita seharian.”

Sebaran makalah hasil daripada para penulis tidak kira penulis yang mempunyai pengetahuan tentang ekonomi, politik, sosial, motivasi dan sebagainya berjaya untuk mempengaruhi pemikiran masyarakat hari ini, tambahnya.

Pertemuan tingkat kerjasama NGO budaya


SEPERTI biasa, pada penghujung tahun Jabatan Kebudayaan, Kesenian Negara (JKKN) Sarawak akan mengadakan Pertemuan Budaya iaitu antara jabatan berkenaan dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di negeri ini yang terlibat secara langsung dalam kegiataan kebudayaan dan kesenian.

Pelbagai kegiatan diadakan pada pertemuan tersebut yang bertujuan untuk menghimpunkan kalangan budayawan negeri ini dalam satu program. Pada masa yang sama, mereka dapat bertukar-tukar pandangan antara satu sama lain bagi meningkatkan lagi tahap perkembangan kebudayaan negeri ini di peringkat kebangsaan.

Diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di sini, antara acara yang diadakan ialah persembahan nyanyian, bergendang termasuk persembahan daripada mereka yang pernah menaikkan nama Sarawak ke peringkat kebangsaan, malah antarabangsa. Memenangi pertandingan.

Ahli Parlimen P200 Batang Sadong, Hajah Nancy Shukri yang menjadi tetamu utama pada malam tersebut dalam ucapannya menjelaskan, pertemuan tersebut merupakan kegiatan yang dapat merapatkan perhubungan antara JKKN Sarawak dengan pihak NGO.

“Pada masa yang sama, pihak NGO berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat warga jabatan ini. Dengan ini, mereka akan dapat mengetahui aktivit-aktiviti yang dirancangkan pada masa akan datang.

“Saya berharap semua ahli pertubuhan budaya yang mengambil kesempatan melalui program sebegini untuk berkongsi idea dan pengalaman bagi merancang dan menetap hala tuju sama ada dari pihak ahli NGO ataupun jabatan ini untuk memperkasakan lagi kegiatan dan budaya di negeri ini pada 2010 nanti,” katanya.

Beliau amat berharap agar tokoh, pemimpin, seniman dan ahli pertubuhan budaya di negeri ini agar sentiasa memberikan sokongan dari segi idea dan kepakaran kepada jabatan berkenaan memperkembangkan kebudayaan dari negeri ini.

“Marilah kita sumbangkan hasil karya seni budaya yang berbentuk seni persembahan, produk seni kreatif dan data-data seni budaya yang bermutu dan mempunyai estetika, logika dan etika yang amat tinggi nilainya.

“Sumbangan ini perlu kita kemukakan kepada pihak jabatan. Jika karya tersebut diakui mempunyai nilai seni yang tinggi, boleh dipertonton, dipamer dan didokumentasi ke peringkat kebangsaan.”

Nancy berkeyakinan dan percaya masih banyak khazanah seni budaya, warisan tempatan yang terdapat di negeri ini masih terpendam dan belum digali dan diketengahkan.

Dengan adanya kesungguhan, komitmen dan usaha sungguh-sungguh antara NGO budaya negeri ini dan pihak JKKN Sarawak, kekayaan seni negeri ini dapat dipamer dan dipersembahkan kepada masyaraiat luar.

“Sekali gus bertujuan mempromosi dan di samping itu menambah koleksi seni budaya yang sedia ada. Saya menaruh harapan pada tahun akan datang, kegiatan seni dan budaya di negeri ini akan bertambah rancak dan mempunyai ramai pendukung dan peminatnya.

“Pada masa yang sama, hasrat dan misi jabatan untuk membudayakan masyarakat negeri tidak akan tercapai tanpa sokongan dan dokongan semua,” katanya.

Timbalan Pengarah JKKN Sarawak, Haji Saini Lihi turut hadir.

Sumpah Budayawan ke-30 malam esok



WARTAWAN BUDAYA

Kami, budayawan dan seniman muda sedar di Sarawak, meskipun datang dari latar belakang hidup yang berlainan, berkecimpung dalam dunia seni yang berbeza, dan mempunyai cara dan bentuk pengucapan yang berbagai-bagai bersumpah bahawa: Kami sesungguhnya mempunyai satu negara – Negara Malaysia, satu bangsa – Bangsa Malaysia, dan satu bahasa – Bahasa Malaysia.
Dan kami berikrar bahawa: Kami sesungguhnya mempunyai satu semangat, satu suara, dan satu cita-cita, iaitu, mahu memberi sumbangan dengan cara dan gaya kami yang tersendiri kepada penentuan, pembentukan, pembinaan, pengembangan, pemupukan, dan penghidupan kebudayaan nasional yang kami cintai – Kebudayaan Malaysia.

TEKS di atas merupakan teks Sumpah Budayawan dan Seniman Muda Sedar Sarawak yang pernah diikrarkan 30 tahun yang lalu menjelang jam 12 tengah malam 31 Disember 1979 di Dewan Pembangunan Tun Abdul Razak, Kuching (kini Muzium Sarawak).

Buat kali ke-30, ikrar ini akan dilafazkan sekali lagi pada majlis sambutan Ulang Tahun ke-30 Sumpah Budayawan dan Seniman Muda Sedar Sarawak di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama pada 31 Disember ini (esok).

Majlis itu merupakan satu manifestasi kerjasama di kalangan anak seni pelbagai bidang yang cuba menyuarakan fahaman budaya mereka terhadap persekitaran sosial yang dirasakan masih dibelenggu oleh sanjungan terhadap budaya penjajah.

Dengan kata lain, majlis malam itu merupakan satu pernyataan berani anak-anak muda terhadap arah tuju dan corak perjuangan mereka dalam mengisi erti kemerdekaan dan membentuk masyarakat yang mereka warisi.

Pada malam itu, anak-anak seni dari pelbagai cabang kegiatan berhimpun bersama-sama di Dewan Pembangunan Tun Abdul Razak dan upacara dimulakan dengan azan Maghrib diikuti bacaan al-Quran dan tahlil sebelum solat Isya.

Lepas itu, setiap kumpulan kesenian yang ahlinya hadir mengadakan persembahan masing-masing yang pastinya pelbagai dan banyak kerana antara Isya dan tengah malam ada lebih tiga jam.

Bagaimanapun disebabkan hampir kesemua seniman malam itu berpakaian beradab yakni baju kebangsaan dan baju kurung maka persembahannya amat terkawal.

Kemuncaknya ialah apabila dilafazkan ikrar menjelang jam 12 tengah malam setelah lagu Negaraku dinyanyikan bersama-sama dan di samping diadakan upacara menaikkan bendera Jalur Gemilang.

Ramai yang hadir ketika itu menitiskan air mata mengenang betapa anak seni tanpa banyak disokong oleh kerajaan ketika itu mampu bersatu mengadakan majlis yang dianggap besar ketika itu memandangkan kebiasaannya pada malam Tahun Baru para pembesar berhimpun di kelab dan hotel untuk menyambutnya secara barat.

Di bawah kibaran lesu bendera Jalur Gemilang anak-anak seni mengangkat tangan dan menyambut ketibaan dekad 80-an dengan satu lafaz sumpah yang menegaskan sumbangan anak seni secara tersendiri terhadap kemajuan dan pembangunan bangsa dalam konteks mereka adalah satu bangsa, bangsa Malaysia – satu bahasa – bahasa Malaysia dan satu negara – negara Malaysia.

Dengan kata lain pada saat itu, 30 tahun lalu telah diungkapkan oleh anak-anak seni Sarawak konsep atau gagasan 1Malaysia kerana sedar hanya dengan menentukan arah hala dan tujuan bersama dapat warga pelbagai kaum dan latar budaya dapat hidup bersama dalam suasana aman damai dan sejahtera sambil sama-sama mencapai tujuan dan cita-cita.

Dengan itu, setelah dihadirkan Gagasan 1Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 Sumpah Budayawan dan Seniman Muda Sedar Sarawak mempunyai makna tersendiri, melambangkan kematangan dan kebijakan anak muda berperanan di dalam pembangunan nusa dan bangsa.