Kebudayaan dibangunkan dalam norma masyarakat

PENEKANAN kepada globalisasi maklumat dan ilmu dan globalisasi saintifik serta teknologi semata-mata tidak mungkin akan dapat memberi imej tersendiri bagi sesebuah kota kerana sifat kesejagatannya itu.

Kata Datu Haji Adi Badiozaman Tuah, “Justeru, dalam konteks ini, kebudayaan dilihat sebagai satu unsur yang penting kerana ia dibangunkan dalam lingkungan nilai dan norma masyarakat tradisi yang menyokongnya.

“Kebudayaan dan nilai-nilai serta adab yang dimiliki oleh warganya lebih berpotensi untuk memberi kelainan itu.

“Bersandarkan fahaman sedemikian, adalah wajar bagi kebudayaan masyarakat setempat dijadikan sandaran utama dalam usaha memupuk kegemilangan atau dalam usaha mengembalikan kegemilangan kota sebagai pusat perkembangan kebudayaan dan kemanusiaan.”

Penekanan kepada unsur kebudayaan menjadi relevan dalam proses pembentukan jati diri sesebuah kota kerana ia adalah identity dan keperibadian sesuatu bangsa – iaitu rupa dan wajah yang memberikan imej, citra dan watak kepada kota tersebut.

Jati diri juga adalah gambaran dan jelmaan kepada jiwa raga, emosi, ‘semangat’ dan abal budi bangsa.

Pembinaan atau pembangunan kota akan menjadi lebih gemilang dan bermakna sekiranya selain berkeupayaan menampilkan wajah yang amat moden dan teknikal, ia menampilkan juga imej bangsanya – akal minda, pemikiran, emosi dan semangatnya.

“Sebarang usaha untuk tujuan peningkatan kegemilangan kota perlu memberi penekanan kepada penyemarakan usaha pengembangan kebudayaan sesuatu bangsa utama negara di mana kota itu terletak, dan kemudahan dan prasarana kebudayaan mestilah juga dibangunkan untuk menjadi satu daripada ciri penting kota tersebut.

“Perlu juga disedari bahawa berbeza dengan aspek ekonomi dan politik yang dibawa masuk dan banyak dipengaruhi secara langsung oleh ideologi dan pemikiran serta amalan Barat atau budaya asing, unsur-unsur kebudayaan seperti kesenian sesuatu bangsa adalah pancaran kehalusan dan keindahan rasa, dan ketinggian budi, nilai dan adabnya.”

Unsur-unsur kesenian seperti seni bahasa (kesusasteraan), seni bina, seni tari, seni silat, seni lukis, seni lakon, seni hias, seni rupa dan seni suara sekiranya mempunyai identiti tersendiri yang amat mewakili citra bangsanya, ia mampu menjadikan sesebuah kota itu lambang negaranya.

“Dilihat dalam konteks itu, pembangunan kota yang berteraskan perkembangan kebudayaan, selain pembangunan aspek-aspek lain dalam kehidupan, akan menjadikan kota itu lebih mesra insane dan mesra alam sekitarnya.

UTUSAN Sarawak, 28 FEBRUARI 2009

No comments: