Pemantapan Karya dan Penerbitan


ARTIKEL 1: Pemantapan karya dan penerbitan


HAJI Hamzah Hamdani ketika membentangkan makalah Ideologi Pengarang, Pemantapan Karya dan Penerbitan dalam Perkampungan Penulis Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) 2012 baru-baru ini menyatakan, dalam PPG dekad 1990-an, perbincangan mengenai ideologi pengarang tidak diberikan perhatian.

Namun dalam perkembangan sastera mutakhir, ada kesedaran supaya perbincangan mengenai ideologi pengarang diberikan perhatian. Zaman kini, perhatian memang lebih bersifat politik.

Walaupun ideologi sering kali dikaitkan dengan politik, seperti demokrasi, sosialis, komunis dan Islam, namun perbincangan mengenai ideologi dalam konteks ini tidak bersifat politik.

Menurut Yudiaryani, ideologi tidak hanya terkait dengan suatu proses berfikir seniman, namun ideologi muncul pula melalui proses pentafsiran dari penikmat atau masyarakatnya,” katanya.

Kehadiran sebuah karya seni jelas Hamzah sesungguhnya merefleksikan dialektika pemikiran antara seniman dan masyarakat.

Terkadang karya seni tertentu mendukung hadirnya norma dan tingkah laku masyarakat. Namun pada saat tertentu, justeru karya seni melawan dan mendobrak nilai-nilai moral masyarakat.

Seni yang terlibat pada persoalan masyarakat tersebut pastilah memiliki ideologi, disedari atau tidak oleh senimannya. Untuk itulah merunut ideologi dalam karya seni dapat diawalkan melalui pemahaman gagasan yang ada dalam karya seni tertentu.”

Lalu dirumuskan oleh Lephen Purwaraharja bahawa ideologi adalah gagasan, nilai, norma, falsafah hidup atau keyakinan diri,” katanya.

Katanya, pada zaman ASAS '50 pada dekad 1950-an, biasa didengar cita-cita perjuangan “Seni untuk Masyarakat” dan “Seni untuk Seni”. Ketika itu, penulis secara jelas terlibat dalam perjuangan politik dan sosial menjelang negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Kesusasteraan ujarnya, menjadi 'alat' untuk memperjuangkan kemerdekaan atau menuntut keadilan sosial.

Gerakan sosialis memang amat menyerlah dalam perjuangan politik dan gerakan buruh di Singapura ketika itu. Namun pada dekat 1960-an, apabila ramai penulis terlibat dalam ASAS '50 berpindah ke Kuala Lumpur lalu menubuhkan PENA (1961), slogan “Seni untuk Masyarakat” tidak muncul lagi.

Namun ideologi tersebut sebenarnya masih melekat dalam cita-cita perjuangan penulis ASAS '50 seperti Keris Mas dan Usman Awang. Dalam gerakan badan pengarang, slogan tersebut tidak lagi menjadi sebutan.

Pada dekad kedua abad ke-21 ini, masiah relevankah penulis memegang kuat pada sesuatu ideologi? Dalam dunia politik, ideologi komunis atau sosialis yang begitu hebat pada dekad-dekad selepas Perang Dunia Pertama, kita semakin sirna apbila Republik Rakyat China semakin cenderung ke arah ideologi ekonomi kapitalis dan Rusia pula cenderung menganut ideologi demokrasi seperti Amerika Syarikat.

Oleh kerana kita mengambil pengertian ideologi dalam konteks individu, iaitu himpunan nilai, idea, norma, kepercayaan dan keyakinan yang dimiliki seseorang, maka setiap penulis harus sedar terhadap ideologi anutannya.

Sebenarnya, secara tidak disedari, setiap penulis menganut ideologinya masing-masing berdasarkan lingkungannya, bidang pendidkan, taraf sosial, agama dan khalayak pembacanya.

Bagi penulis yang menajdikan karyanya sebagai sumber rezekinya, dia akan menulis menurut selera pasar. Namun bagi penulis yang mementingkan seni, kehendak pasaran tidak menarik perhatiannya. Yang penting, hasil karyanya mencapai suatu tahap kualiti seni yang memuaskan, yang akan tahan diuji zaman, malah menjadi 'karya agung' bagi bangsanya.”

Untuk itu, Hamzah menjelaskan peserta PPG sewajarnya memiliki ideologi pengarang yang tidak cenderung kepada kehendak pasaran agar dapat mencipta hasil karya yang tinggi nilainya, yang bernilai sastera, yang menggambarkan pemikiran tinggi pengarangnya.

Walaupun mencipta karya 'popular' akan membawa pulangan keuntungan kewangan yang besar jumlahnya, namun ia akan hilang ditelan zaman seperti buih-buih di pantai.”

ARTIKEL 2:  Perkampungan Penulis Gapena


DENGAN tema 'Martabat Sastera Pemersatuan Bangsa', Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) berjaya mengadakan Perkampungan Penulis Gapena 2012 di salah sebuah hotel terkemuka di Kuching.

Perkampungan kali ini yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Karyawan Sastera (Pekasa) Sarawak selaras dengan tujuan 4.7 dalam Perlembangan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), iaitu mengusahakan peluang untuk penulis memajukan bakat mereka, Gapena melaksanakan tujuan itu sejak awal penubuhannya pada 23 Oktober 1970 melalui kegiatan badan gabungannya.

Pada 1980, Gapena bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan siri Bengkel Penulisan Kreatif Wilayah di seluruh Malaysia berdasarkan zon.

Mulai dekat 1990-an, Gapena bersama-sama badan gabungan menjayakan tiga siri Perkampungan Penulis Gapena (PPG) berdasarkan enam zon.

Peserta terbaik dalam PPG 1994 dan 1996 diikutsertakan dalam program penulisan di Padang, Sumatera Barat (1995) dan Rupat, Riau (1997).

Hasil penulisan peserta dalam genre puisi, cerpen, novel dan skrip drama pentas diterbitkan oleh DBP. Gapena akan meneruskan PPG bagi memperteguh matlamat penubuhannya.

Tujuan pertama PPG ialah membimbing penulis dalam genre puisi, cerpen dan novel kanak-kanak serta remaja yang menjadi ahli badan gabungan (pada lingkungan usia 18 hingga 35 tahun).

Kedua, mendedahkan mereka (penulis) kepada kemahiran dunia penulisan yang luas bagi menghadapi cabaran dunia global.

Ketiga, mengusahakan peluang program penulisan di peringkat serantau/serumpun bagi peserta yang terbaik.

Keempat, mengusahakan penerbitan hasil karya peserta dalam majalah dan antologi puisi, antologi cerpen dan novel kanak-kabak/remaja.

Sebanyak lima kerta dibentangkan dalam PPG kali ini. Untuk sesi pertama, kertas kerja yang dibincangkan ialah Esei Kritikan Sastera oleh Ja'afar Haji Hamdan dan Proses Penciptaan Karya Puisi oleh Rosani Hiplee. Pengerusi sesi ialah Awang Kelana Awang Hassan.

Dua kertas kerja dalam sesi kedua ialah Proses Penciptaan Karya Cerpen oleh Mohd. Ali Salim dan Proses Penciptaan Karya Novel oleh Haji Hamdan Hamdani. Pengerusi sesi ialah Naziah Naziri.

Hamzah Hamdani seterusnya membentangkan Ideologi Berkarya dan Penerbitan dalam sesi ketiga yang dipengerusikan oleh Dahiri Saini.

Bersempena PPG kali ini, turut diadakan Sayembara Deklamasi Puisi Peringkat Negeri Sarawak yang dimenangi oleh Rosni Ili.


ARTIKEL 3: Memori Abadi disalah tafsir

JAYA RAMBA

MEMBACA ruangan sastera pada 17 September 2012 lalu, saya rasa terpanggil membuat respon balik. Alangkah tidak percaya dan tidak menyangka itulah penilaian tentang novel
Memori Abadi oleh seorang Profesor dalam seminar Pelbagai Kaum 2012 di Dewan Orkestra di ASWARA baru-baru ini.

Di sini, elok saya menambah tanggapan berkenaan setelah saya lebih awal membaca novel berkonsepkan biografi oleh Poul Nanggang. Maka, saya berani mematahkan penilaian pembentang yang juga seorang tokoh bahasa Melayu di sebuah institusi besar.

Setelah bencana besar yang melanda novel Interlok yang dikritik hebat, kini tiba giliran novel Memori Abadi direndah-rendahkan. Malah diletakkan ditahap paling rendah oleh tokoh hebat itu.

Dalam negara kita ini, seakan hanya ada tiga bangsa yang boleh menulis dalam bahasa Melayu. Atau kita sudah lupa untuk mengenali adat budaya etnik kecil di Sabah dan Sarawak.

Saya mengenali sangat isi dan keseluruhan karya Poul Nanggang dalam novel Memori Abadi yang merupakan luahan penulis dan bangsanya di tengah-tengah cengkaman kemodenan. Bagaimana boleh mengatakan bahawa novel berkenaan gagal bangkit?

Dalam aspek emosi dan sikap, Poul Nanggang melontarkan rasa tidak puas hati terhadap bangsanya sendiri. Malah rasa tidak puas hati itu ditujukan kepada banyak pihak sehingga yang dilihat kurang memberi pembelaan sewajarnya tentang nasib masyarakat yang terpinggir.

Dalam aspek matlamat dan tanggungjawab, saya rasa berjaya dalam novel ini. Cuma cara penyampaian Poul berjela-jela sehingga beliau tidak dapat mengawal cara penyampaian menurut keindahan berbahasa.

Dalam aspek pemahaman dan pemikiran, saya melihat amat luas apa-apa yang diluahkan kepada pembaca. Kita sedar bahawa kebebasan menulis itu terpulang kepada penulis sendiri bagi menggarap sejauh mana hasil karya masing-masing.

Terpulang kepada pihak penerbit sama ada mahu menerbitkannya atau tidak. Mengatakan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sarawak silap, Prof Dr. Teo tidak sewajarnya menegur dengan keterlaluan.

Pihak DBP Sarawak melihat perspektif latar kisah bangsa di Sarawak dalam lingkung kebangsaan. Individu yang mengedit novel ini adalah tokoh terbaik di Sarawak. Malah novel ini diterima dan diluluskan oleh bekas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak.

Komen saya, inilah akibatnya apabila seorang tokoh bahasa yang tidak mendalami seni sastera dalam menilai sebuah novel etnik pelbagai kaum. Mungkin beliau hanya cenderung
dan pakar dalam bahasa Melayu tetapi tidak pakar dalam menilai sastera. Jika pembentang di Malaysia bersikap 100 peratus menilai dengan mengutamakan kelemahan, maka saya percaya kelompok penulis akan mandul cara kepengarangan mereka.

Penulis minoriti juga merasa ketakutan untuk mengungkai kisah hidup bangsa mereka. Atau perkembangan awal ini boleh menjadikan sastera kita dibunuh oleh pihak bergelar tokoh. Atau amat perlu pihak penganjur menjemput pembentang yang lebih menjiwai seni sastera sebagai tukang bentuk penulis dimartabatkan.

Pembentang yang bertanggungjawab adalah pembentang yang lebih bersikap berbelah bahagi dengan menterterakan kekurangan dan kelebihan karya penulis. Bukannya datang dengan membentang hanya mencemuh, mencaci dan merendahrendahkan karya serta penulis berkenaan.

Masakan novel Memori Abadi tidak ada kelebihan tersendiri? Tidak dapat dinafikan, sesebuah karya ada kelebihan dan kekurangan. Namun, harus dinyatakan juga kelebihan mengukur keseluruhan karya berkenaan sebagai motovasi penulis.

Bukan saya seorang teramat kecewa, malah penulis lain juga kecewa dengan pengakuan luar biasa ini. Penulis sendiri tidak diberi ruang membela karyanya. Penulis pasti berasa amat kesal.

No comments: