Sasterawan Negara S. Othman Kelantan meninggal dunia

HARI ini, 31 Julai 2008, dunia sastera dikejutkan dengan berita kembalinya Sasterawan Negara, S. Othman Kelantan ke Rahmatullah tengah malam tadi akibat serangan sakit jantung. Al-Fatihah. Anak Allahyarham, S.M. Zakir berkata, jenazah ayahnya akan dikebumikan pada pukul 11.30 pagi ini.

"Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pangkas, Bangi, Selangor,'' katanya.

Biodata S Othman Kelantan

S OTHMAN KELANTAN atau nama sebenarnya Syed Othman bin Syed Omar (al-Yahya) dilahirkan pada 13 November 1938, di Tebing Tinggi, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan.

Beliau memperoleh Sarjana Muda Sastera (1979) dan Sarjana Sastera (1982/83) dari Universiti Sains Malaysia. Kemudian pada tahun 1994/95 beliau memperoleh Ph.D dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Setelah lulus Ijazah Sarjana, S Othman berkhidmat dengan Universiti Sains Malaysia selama dua tahun. Mulai tahun 1983, beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pensyarah di fakulti Pendidikan/ATMA.

Jawatan terakhirnya yang disandang ialah Profesor Madya hingga beliau bersara pada tahun 1997. Kemudian beliau berkhidmat sebagai karyawan tamu di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1997-1999). Kini beliau menjadi pensyarah sambilan di Pujangga Management Institute (Francais UUM).

S Othman Kelantan aktif menulis puisi, cerpen, novel serta esei/kritikan. Sehingga kini S Othman telah menghasilkan lebih 182 buah cerpen. Beliau gemar meneroka persoalan yang mencakupi soal-soal kemasyarakatan, politik, agama, dan falsafah. Novel yang dihasilkannya ialah 12 buah novel dewasa dan empat buah novel remaja.

Antara novel beliau yang terkenal ialah Pengertian (1966), Pertentangan (1967), Angin Timur Laut (1969), Perjudian (1973), Juara (1973), Perwira (1980), Ruang Perjalanan (1989), Wajah Seorang Wanita (1990), Ustaz (1991), Nagogho Astana (1997), dan Orang Kota Bharu (2003. Beliau juga menghasilkan lima buah antologi cerpen persendirian.

Cerpen dan novel beliau pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis, Jepun, Inggeris, Rusia, Thai, Vietnam dan Cina.

Sebagai seorang sarjana sastera, beliau telah menghasilkan banyak buku-buku akademik yang berkaitan tentang kesusasteraan.

Selain menulis cerpen dan novel, S Othman Kelantan turut menghasilkan esei dan kertas-kertas kerja untuk beberapa pertemuan penulis baik pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan sebanyak 364 buah esei/kritikan.

Di samping berkecimpung dalam dunia penulisan sastera, beliau turut terlibat dalam kegiatan persatuan penulis. Beliau pernah menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK) (1973-1976), Persatuan Penulis Nasional, Penasihat PPK, dan Penasihat Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (Puspa).
Kesungguhannya menghasilkan karya dan mengabdikan dirinya dalam dunia kesusasteraan mewajarkan beliau dipilih untuk menerima hadiah seperti Hadiah Peraduan Mengarang Novel DBP 1962, Pelangi (sagu hati), Hadiah Sastera Malaysia 1972, 1973, 1974 (cerpen) dan 1984 (esei), S.E.A. Write Awards (1990), Pingat Bakti (PB) oleh DYMM Sultan Kelantan (1973), Pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N.) oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong (1974), Anugerah Tokoh Sastera Negeri Kelantan (2003), dan Anugerah Sastera Negara (2003).

1 comment:

Beejay said...

Semua Novel-novel Allahuyarham adalah Khazanah Negara Amnya. Dan Khazanah Negeri Kelantan Khususnya. Dan kami Orang kota Bharu sangat terhutang kepadanya. Semoga Allah cucuri Rahmat atas rohnya

qiuaish