Landas gerak, langkah penulis muda

PADA 31 Disember 1987, kerutinan sastera Melayu digegarkan oleh penyair, penyanyi, sasterawan dan budayawan dari seluruh pelosok tanah air mengisi program Perhimpunan Penulis Muda Malaysia (PPMM).

Kebangkitan PPMM dengan penuh semangat dan ghairah dalam menjayakan program tersebut menunjukkan bahawa penulis muda sebenarnya memerlukan paying untuk mereka berteduh dan mengembangkan bakat yang sekian lama terpinggir oleh arus prejudis serta peremehan individu yang sekian lama sudah stabil.

Mohamad Daud Mohamad yang membincangkan Landas Gerak Dan Langkah ke Hadapan Penulis Muda Malaysia di Kuching menjelaskan, untuk merealisasikan idea PPMM buat pertama kalinya, sekumpulan penulis muda telah berbincang di sudut kopi Pasar Budaya, Kuala Lumpur.

“Setelah mendapat mandat dan kata sepakat, penulis muda melalui media arus perdana dan tabloid telah memalukan canang ke seluruh pelosok negara memberitahu akan program PPMM.

“Dengan inisiatif ahli jawatankuasa ad hoc PPMM yang menjadi editor serta pembantu editor daripada pelbagai media dan juga majalah Dewan Sastera telah memainkan peranan penting bagi menjayakan program tersebut.

“Kesungguhan dan sumbangan daripada ahli jawatankuasa yang terlibat akhirnya PPMM berhasil menghimpun beratus penyair dan peminat sastera,” katanya.

Gerak landas PPM cukup jelas yang dimanifestasikan berdasarkan visi dan misi untuk menentukan hala tuju PPM dalam percaturan kepenyairan dan kretaiviti kreatif sebagai golongan pelapis dalam memartabatkan susastera Melayu.

Katanya, jika golongan ASAS 50 bergerak atas landasan “seni untuk masyarakat” dan kelompok pendukung Hamzah bertitik tolk atas “seni untuk seni”, PPM pula bergerak atas keyakinan “susastera untuk masa depan”.

Kebangkitan PPM juga katanya, bukan bertujuan untuk bersaing dengan golongan sasterawan yang sudah stabil, tetapi untuk meletakkan nafas baru dan susastera Melayu sejajar dengan evolusi iklim dan zaman yang berubah.

“Maksudnya, PPM menyedari akan keterpinggiran mereka dan golongan mereka dianggap sebagai golongan ekspiremental atau cuba mencari kelainan daripada lingkaran konvensional yang menjadi anutan sepanjang zaman semenjak penguasaan golongan ASAS 50 hingga dekad 1980-an.”

Menurutnya, fenomena penobatan segelintir penyair oleh kelompok penyair stabil tertentu memperkuatkan lagi azam kewujudan PPM.

“Menyedari sikap tersurat segelintir penulis stabil yang cuba terus-menerus meminggirkan penulis muda tanah air, PPM telah menentukan sikap untuk membuktikan bahawa mutu karya susastera yang dihasilkan oleh mereka standing dengan penulis yang sudah stabil dan malah ada yang lebih baik.”

“Dengan kesungguhan untuk membuktikan bahawa genre susastera yang dihasilkan mereka wajar mendapat tempat terutama di majalah susastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan antologi atau kumpulan genre susastera kreatif mereka diterbitkan, mereka terus menghasilkan karya susasterayang bermutu tinggi,” katanya.

Kelahiran penulis muda selepas itu katanya yang berbakat besar merupakan asset penting dalam dunia penulisan karya kreatif imaginative tanah air dan sekali gu sebagai penyumbang besar dalam dunia pemikiran bangsa.

Melalui polemik antara tokoh-tokoh pengamat kesusasteraan itu, mendukung lagi ketajaman sensitiviti penulis muda Malaysia dalam mengamati pelbagai peristiwa lahir dan batin dalam pergaduhan dan penghasilan karya kreatif mereka.

PPM muncul di tengah-tengah arus perkembangan pertembungan antara ilmu duniawi dan ukrawi yang hangat diperbincangkan.

“Dengan perkembangan arus ilmu dan keilmuan tersebut banyak membantu PPM memeprtajamkan intuisinya dalam menghasilkan genre susastera yang berbobot.

“Maka dengan perkembangan sedemikian, tidak hairanlah jika kita berdepan dengan cerpen-cerpen Mawar Shafie yang banyak menggunakan istilah-istilah sains dan kedoktoran.

“Kita juga berhadapan dengan pencarian diri dalam kekosongan yang sukar ditebak arah tujunya. Kita juga berhadapan dengan puisi-puisi himpunan rasa kata dan fikiran melihat diri dan kemanusiaan.

“Kesemua genre susastera ini menampakkan kepada kita betapa kekuatan ilmu dan keilmuan yang dikunyak oleh PPM dalam mengadun, mengolah dan mematangkan hasil penulisan mereka.

“Jadi, kita harus mengakui bahawa PPM bukan hasil daripada barang jadi, tetapi hasil daripada kesungguhan dan keyakinan diri untuk terus menghasilkan genre susastera yang bermutu dan standing dengan penulis besar lainnya.”

Mohamad Daud turut menjelaskan bahawa PPM juba bukan lahir daripada kebangkitan rasa tidak puas hati terhadap penjajahan baru atau sebagainya, tetapi mereka lahir daripada evolusi ilmu dan keilmuan yang berkembang di bawah langit terbuka.

Dalam menentukan jalurnya, PPM bukan merupakan satu gerakan yang menentang arus kestabilan dalam pembangunan susastera Melayu, malah merupakan kaderisasi daripada kekuatan penentuan perjalanan panjang susastera Melayu itu sendiri dalam menghadapi pengaruh kebudayaan dunia yang semakin mencabar kekuatan minda dan ilmu.

“Tanpa berani melakukan pembaharuan, sudah tentu penulis muda hanya dianggap sebagai golongan monotonis yang tidak memiliki akar tunjang yang kukuh.

“Oleh yang demikian, kesedaran di kalangan penulis muda melakukan pelbagai eksperimen yang bersifat positif tidak boleh dianggap sebagai suatu pemberontakan terhadap nilai-nilai penulisan genre sastera tradisi, tetapi sesuatu yang patut dibanggakan,” tambahnya.

1 comment:

TUNTUNG LANG said...

Salam saudara. Saya amat tertarik dengan rencana yang saudara siarkan di Utusan Sarawak pada 18.September lepas. Saya rasa amat benar juga hujah yang saudara utarakan terutama bagi penulis muda seperti diri ini. Kadang - kadang diri ini terasa terpinggir dan rasa putus asa semakin bertapak walaupun cuba diri ini buang jauh dari lubuk hati. Tapi hakikat yang saudara utarakan ada munasabahnya untuk golongan penulis seperti diri ini. Hasrat untuk menimba ilmu semakin luntur diragut masa dan tanpa ada seseorang yang membimbing untuk kembali.Lantaran jika berlarutan mungkin ramai penulis yang mula berjinak seperti diri ini akan terus hilang tanpa disedari. Sekian.