20 sertai Bengkel Penulisan Skrip Drama Radio

PESERTA Bengkel Penulisan Skrip Drama Radio merakam gambar kenang-kenangan bersama-sama pengendali bengkel serta ahli jawatankuasa Pekasa.

LEBIH 20 peserta menyertai Bengkel Penulisan Skrip Drama Radio anjuran bersama Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak di Bilik Wacana, DBP Cawangan Sarawak pada 2 Februari lalu.

Bengkel sehari itu dilaksanakan dengan inisiatif awal bagi membina dan menghasilkan skrip drama radio bagi tujuan terbitna pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak.

Dua objektif bengkel ini ialah pertama, membina karyawan yang mampu menghasilkan skrip drama radio yang baik dan bermutu, dan objektif kedua ialah menampung keperluan dan memperbanyakkan manuskrip drama radio.

Bengkel tersebut dikendalikan oleh Hazami Jahari yang merupakan Ketua Unit Pengembangan Sastera DBP Cawangan Sarawak.

Pengendali kedua ialah Dahiri Saini yang merupakan pendatang baru dalam dunia penulisan skrip. Baru-baru ini memenangi hadiah ketiga Peraduan Menulis Skrip Drama Peringkat Kebangsaan. Selain itu, beliau turut menulis novel, cerpen dan puisi.

Sementara Hajah Latifah Haji Mohd. Shebli merupakan salah seorang penulis skrip drama radio yang cukup aktif dan berkaliber, di samping menulis cerpen dan pantun. Selain skrip drama radio, giat juga menghasilkan skrip drama pentas dan drama tv.

“Kita berasa bangga dengan penyertaan ini. Sememangnya kita mensasarkan ramai penyertaan. Tetapi, apa yang kita utamakan ialah hasil. Tidak mustahil, kesemua peserta ini akan serius menghasilkan skrip drama radio selepas ini,” kata Ketua 1 Pekasa, Ja’afar Haji Hamdan.

Katanya, lebih menarik skrip yang baik dan telah dimurnikan melalui bengkel ini serta diterima oleh pihak RTM Sarawak akan dibayar (setelah tersiar) sekitar RM360.00. Skrip hendaklah bersesuaian dengan penerbitan sekitar 30 minit.

(Utusan Sarawak, Khamis, 14 Fabruari 2008)

No comments: