Modeniti lahirkan keteraturan sosial

RADIN AZHAR AHMAD

“JIKA kita meneliti pendapat yang dikemukakan oleh Lyotard, Derrida dan Foucault, kita dapat merasakan tanggapan dan sikap yang agak berbeda terhadap modernity dan grand narrative.”

Ini apa yang diperkatakan olah Dr. Kamaruddin M. Said menjelaskan Penyuburan Pembinaan Teori dan Kritikan Sastera Timur-Barat di Kalangan Khalayak Sastera tidak lama dahulu.

Katanya, “Lyotard menanggapi modeniti sebagai satu situasi yang telah melahirkan keteraturan sosial (social order) apabila masyarakat Barat berupaya melahirkan naratif aliran utama atau falsafah besar yang berteraskan rasionaliti yang terbika sejak zaman Pencerahan.”

Naratif aliran utama ini jelasnya, sebagai satu totaliti, terhasil dalam bentuk kelahiran perlembagaan, kapitalisme moden, faham demokrasi, dan orientasi nilai sepunya yang dibentuk oleh pelbagai institusi sosial.

“Tetapi Loytard tidak terlalu ‘menyalahkan’ atau melakukan sesuatu untuk menolak naratif aliran utama ini kerana beliau bukanlah seorang aktivis yang memusuhi naratif ini.

“Beliau hanya menyatakan bahawa kondisi pascamoden yang sedang muncul akan melahirkan pelbagai naratif kecil, yang mungkin tidak selari dengan naratif aliran utama, semata-mata kerana kondisi sosial, dan penghasilan serta penyebaran ilmu pengetahuan sedang mengalami perubahan,” katanya.

Derida katanya, memusatkan falsafah dan kegiatan ilmiahnya untuk mendekonstruksikan naratif aliran utama kerana beliau benci kepada logocentrism.

Derida ialah seorang aktivis yang memperkenalkan sikap serta tata cara untuk mencari dan mendedahkan kepincangan wacana sesebuah teks terhasil oleh logocentrism Barat.

“… dan Foucault lebih memusatkan perhatian kepada kelemahan discursive discourse yang juga terhasil oleh naratif aliran utama. Namun begitu, kelebihan Foucault ialah bahawa beliau telah menghasilkan wacananya sendiri mengenai ‘permasalahan” yang tidak diwacanakan oleh naratif aliran utama.”

“Permainan” pascamoden ini jelasnya, masih berterusan dan tidak pasti apakah kesudahannya.

Beberapa persoalan masih belum terjawab. Apakah kondisi pascamoden ini akan mengglobal sepenuhnya? Apakah modeniti benar-benar akan digantikan oleh pascamodentiti secara zero-sum? Apakah pascamoden akan dikalahkan oleh agenda pembinaan negara bangsa oleh kumpulan yang mempunyai kepentingan strategik?

Apakah naratif besar yang mempertahankan sistem nilai dan moral tertentu akan benar-benar dikalahkan oleh naratif pascamoden? Benarkah bahawa kesemua nararif moden itu bersifat diskursif? Apakah modentiti benar-benar menghalang komponen budaya “yang lain” daripada persembunyiannya?

“Pelbagai persoalan ini hanya dapat dijawab menerusi penyelidikan yang berterusan. Apa yang ingin saya katakan ialah bahawa dalam konteks masyarakat kecil, bekas tanah jajahan, dan sedang mengisi zaman kemerdekaannya dengan pelbagai strategi pembangunan dan pembinaan naratif kebangsaan seperti Malaysia, kondisi pascamoden yang lahir adalah begtu ekslusif, urban dan beriroentasikan pengalaman antarabangsa.”

Kondisi pascamoden masyarakat yang sedang mengindustri ini ujarnya, tidak mencetuskan satu bentuk keghairahan intelektual untuk mendekonstruksikan naratif aliran utamanya (yang tidak bersifat diskursif), tetapi lebih cenderung memberikan ilham baru kepada para pengarangnya untuk menghasilkan teks pascamoden sebagai satu bentukmainan intelektual.

“Mainan intelektual dan kepengarangan ini mendapat isinya daripada pengalaman ketika berada di luar negara, seperti yang diperlihatkan oleh Arena Wati dan Anwar Ridhwan,” tambahnya.

Pengertian pasamoden

Walaupun agak sukar untuk mentakrifkan dengan tepat apakah yang dimaksudkan pascamoden, sebenarnya terdapat enam maksud umum yang dikaitkan dengannya.

Pertama, pascamoden dikaitkan dengan satu kategori atau aliran seni yang mula muncul dalam bentuk kritikan dan perdebatan mengenai terbatasnya ruang lingkup modenisme dalam bidang arkitektur, dan kemudiannya menjangkit kepada bidang seni tampak dan kesusasteraan.

“Aliran seni pascamoden ini dianggap sebagai kelahiran baru dari segi bentuk dan genre yang mencampur-gaulkan pelbagai gaya daripada pelbagai budaya atau zaman. Oleh itu, seni pascamoden dikatakan bersifat leluasa dan bebas daripada ikatan kontekstualitinya,” kata Dr. Kamaruddin M. Said.

Kedua, pascamoden dikaitkan dengan penamatan satu era terdahulu, iaitu era moden, yang telah menghasilkan serta (hanya) mengiktiraf naratif aliran utama yang didakwa relevan pada tahap universal dan yang bermotifkan emansipasi manusia.

“Oleh itu, kelahiran pascamoden dianggap sebagai satu era baru yang meraikan penemuan atau penemuan semula natarif “lain” serta “kelainan” masing-masing yang selama ini telah terpinggir (atau dipinggirkan oleh naratif aliran utama moden).”

Ketiga, pascamoden dikaitkan dengan kelahiran “falsafah baru”, iaitu falsafah contra modernism yang di Perancis dalam dekad ketika golongan intelektual Perancis berhadapan dengan pelbagai kesan yang ditimbulkan oleh peperangan Algeria menentang kolonialisme Perancis (1945-1962), yang dianggap begitu bertenaga mengemukakan tafsiran alternatif terhadap pelbagai aspek kehidupan manusia dan masyarakat.

Keempat, pascamoden dikaitkan dengan kelahiran late capitalism (kapitalisme tahap terkini) yang ditandai oleh kemunculan masyarakat pascaindustri, kepesatan kinsumerisme, dan pertambahan kegiatan syarikat-syarikat multi dan transnasional.

Kelima, pascamoden dikaitkan dengan fenomena galobalisasi yang melahirkan ‘desa global’ dan ‘dunia tanpa sempadan’. Proses globalisasi dikatakan telah dan sedang melahirkan pelbagai budaya global, warga global, imej global, barangan dan perkhidmatan global dan sebagainya.

“Globalisasi yang berlaku serentak dengan terjadinya revolusi terhadap teknologi maklumat dan komunikasi dikatakan telah dan sedang merobah identiti bangsa, bahasa dan budaya, malah persempadanan negara bangsa.”

Keenam, pascamoden dikaitkan dengan ungkapan ‘selepas moden’, iaitu satu proses logik yang berlaku setelah segala hasrat modeniti tercapai.

“Barangkali pengetian keenam ini tidak banyak menimbulkan keleliruan berbanding dengan yang lima di atas.

“Walaupun pengertian pascamoden ini begitu luas, wacana utama yang lazimnya ditekankan oleh kebanyakan pengkaji ialah mengenai sikap penolakan falsafah pascamoden terhadap naratif aliran utama,” katanya.

Dr. Kamaruddin M. Said. menjelaskan, wacana berkaitan kondisi, teori dan mainan pascamoden telah berlangsung di Eropah dan Amerika Syarikat selama 30 tahun.

“Oleh kerana luasnya alam semestakeilmuan yang dicakupi oleh perkataan pascamoden ini, maka kewujudannya, pengaruh, kegunaan, malah kontroversi yang ditimbulkannya sentiasa diperdebatkan oleh para sarjana daripada pelbagai disiplin akademik.

“Wacana ini yang pada mulannya melibatkan pemikiran yang dicetuskan oleh para sarjana dan ahli Falsafah Perancis seperti Jean-Francois Lyotard, Jacques Derrida dan Michael Foucault, kemudiannya telah merebah hampir ke seluruh dunia, termasuklah di negara-negara sedang mengindustri.

“Oleh itu, amat perlu diperkatakan tentang perbedaan kondusi pascamoden Barat yang asli dengan kondisi pascamoden sekunder yang muncul dalam kehidupan masyarakat yang sedang mengindustri kerana kondisi moden dan pascamoden yang berbeda ini (malah perbedaan modeniti Barat dan modeniti Dunia Ketiga), setakat ini telah melahirkan reaksi, kreativiti dan mainan keilmuan yang berbeda-beda,” tambahnya.

(Utusan Sarawak, 21 Februari 2008)


No comments: