Kapit bahagian terakhir tubuh Kelab Penggiat Sastera


SECARA umumnya, bahagian Kapit merupakan bahagian yang agak ketinggalan dalam aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan. Bahkan, Kapit merupakan bahagian yang terakhir menubuhkan Kelab Penggiat Sastera menerusi Jawatankuasa Kerjasama Bahasa dan Sastera Bahagian.

Pertemuan yang pertama pada 23 Februari 2008 dengan seorang penulis yang bertugas sebagai guru di Kapit telah menjadi jalan rintis ke arah memeriahkan kegiatan sastera di Kapit. Pertemuan itu juga membuka ruang dan peluang bagi Dewan Bahasa dan Pustaka mendapat gambaran tentang kehendak dan keadaan penulis di Kapit.

Justeru, program Bengkel Penulisan Kreatif dirasakan sebagai satu alternatif yang amat wajar serta sesuai menjadi wahana ke arah pembentukan golongan sasaran ini. Perbincangan bersama Pengerusi Kelab Penggiat Sastera Kapit, Helen telah membuahkan idea untuk mengadakan bengkel penulisan pada 4 hingga 6 April 2008.

Bengkel Penulisan Kreatif yang diadakan di Sekolah Menengah Kerajaan Selirik itu telah menarik sekitar 40 orang penulis daripada kalangan guru dan pelajar. Bengkel yang diadakan selama dua hari tu telah dikendalikan oleh Ja’afar Haji Hamdan, yang merupakan kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak.

Apa yang menarik pada hari pertama bengkel ini adalah, penubuhan Kelab Penulis Muda Kapit, dengan singkatan PEMUKA yang terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selirik. Penubuhan kelab itu dilihat dapat menyediakan ruang ahli berbincang tentang hal-hal penulisan dan merangka keperluan yang berkaitan dengan penulisan.

PEMUKA secara automatiknya bernaung di bawah Kelab Penggiat Sastera Bahagian Kapit. Penubuhan PEMUKA sebagai medan ahli bergiat, telah merencana beberapa kegiatan bagi tahun 2008.

Dalam ucapan alu-aluan, Helen selaku Pengerusi Kelab Penggiat Sastera Bahagian Kapit, menjelaskan bahawa perlu ada usaha untuk mempergiatkan kegiatan bahasa dan sastera di Kapit agar Kapit tidak tertinggal dalam bidang tersebut.

Ucapan sambutan oleh Ja’afar Hamdan juga menjelaskan bahawa sekumpulan penulis harus bergerak bagi menjamin keakraban di kalangan yang berminat dalam sastera, kerana tegasnya, menulis kerja sendiri-sendiri tetapi perkembangan idea dan pemikiran memerlukan orang lain dalam menilai penulisan.

Justeru, tambahnya, menulis bukan sahaja kerja yang lahir daripada minat tetapi juga menjadi tanggungjawab untuk memastikan masyarakat mempunyai bahan bacaan yang baik dan bermutu.

Bengkel penulisan kreatif itu bermatlamatkan untuk membina dan mengembang bakat berkarya secara lebih menyeluruh dari segi mutu terutamanya dalam penulisan cerpen dan puisi di samping membina dan memupuk bakat penulisan yang bermutu di kalangan penulis baru yang sedia ada dan akhirnya melahirkan karya yang juga bermutu, khususnya di Kapit dan sebagai kegiatan Kelab Penggiat Sastera Kapit.

Pada hari kedua bengkel, peserta diberikan peluang untuk menghasilkan karya yang kemudiannya dibincangkan secara kumpulan. Hasil perbincangan menjadi cukup menarik dengan pendapat dan andaian peserta masing-masing. Tugasan secara perbincangan kumpulan banyak menyedarkan peserta tentang keperluan memahami aspek penulisan dan ilmu penulisan.

Tentu sahaja, perbincangan mereka kemudiannya diulas dan diberi komen oleh pembimbing bengkel. Pada hari terakhir, peserta juga menilai dan meneliti karya rakan-rakan mereka. Melalui kaedah ini, secara tidak langsung peserta mengenali dan memahami kelemahan dan kekuatan karya yang dihasilkan oleh mereka dan rakan-rakan mereka.

Sememangnya, pertemuan dua hari itu tidak mencukupi untuk peserta mampu menghasilkan cerpen dan puisi dengan bermutu, tetapi pertemuan itu telah membuka lembaran baru buat penulis muda di Kapit, khususnya peserta daripada SMK Selirik, bahawa minta dan bakat mereka terasah bagi menghasilkan karya kreatif. – ZAIHIDDIN SEMAWI (Utusan Sarawak, 8 Mei 2008)

No comments: